Saturday, December 29, 2012

Bangunlah...


Salam kepada semua sahabat yang jauh mahupun dekat, semoga sentiasa dalam rahmat dan redha Allah.
Amma ba’d.

Tahun 2012 berbaki lagi dua hari lagi. Apa azam kita untuk tahun 2013? Adakah sudah terlaksana segala perancangan 2012? Marilah merenung sejenak kehidupan kita, sudahkah kita penuhi dengan tuntutan dan tanggungjawab kita sebagai muslim. Untuk tahun 2013, saya tidak mahu terlalu merancang itu dan ini, cuma biarlah hanya sedikit perancangan tapi berfokus.

Saya mengajak, marilah kita semua merancang untuk mendalami  ilmu dan mengubah cara kita berfikir. Saya  dapati sebahagian sahabat di Amerika ini begitu bersemangat berbicara soal dakwah dan tarbiyah (pendeknya DnT). Satu semangat yang wajar dipuji kerana tatkala masih ramai anak muda yang hanyut dengan keduniaan, namun sahabat-sahabat saya ini sudah tersedar bahawa umat ini harus bangkit. Namun, saya tidak pasti apa sama ada mereka tidak nampak atau terlepas pandang tentang situasi semasa yang berlaku di Malaysia. Mereka begitu cakna dengan keadaan umat di Palestin, Syria dan dunia Islam lainnya yang bergolak tetapi mereka langsung tidak atau begitu kurang cakna dengan apa yang berlaku di negara sendiri. Mereka berdalilkan satu hadith Rasulullah SAW:

"Barangsiapa tidak mengambil berat tentang urusan umat Islam, maka bukanlah mereka daripada kalangannya" (Hadith Rasulullah SAW)

Satu persoalan yang ingin saya lontarkan, apakah tiada muslim yang hidupnya susah dan merempat di Malaysia? Jika dikatakan umat Islam di Palestin dan Syria ditindas oleh kezaliman zionis, apakah orang-orang miskin dan faqir di Malaysia tidak ditindas oleh kezaliman pihak berkuasa yang menafikan hak rakyat (hak royalty minyak rakyat Kelantan misalnya)?

Berdegar-degar mereka melaungkan, marilah kita berjihad di Palestin,Syria, dan sebagainya, apakah tiada jihad bagi menentang kezaliman di Malaysia?bercakaplah dengan melihat realiti umat. Saya tidak pernah menafikan bahawa pentingnya untuk kita mengambil tahu dan membantu perjuangan umat Islam di sana tetapi cukuplah gambar di bawah mengingatkan kita peri pentingnya membangunkan umat dalam erti kata lain menghapuskan kezaliman di tanah air kita
Kredit gambar: PAS Selangor
.
Cara fikir inilah harus diperbetulkan. Allah berfirman dalam surah At Tahrim ayat 6:

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” (At Tahrim 66:6)

Ada sesetengah ulama’ menafsirkan perkataan ‘ahli’ dalam ayat ini, selain merujuk kepada keluarga, termasuk juga, jiran tetangga dan masyarakat sekeliling. Akhirnya kita hanya mampu mengeluh melihat keadaan umat di negara sendiri tetapi dalam masa sama, kita terlalu sibuk membantu mereka di yang berada di jauh. Cara berfikir yang sebegini kurang tepat. Sesiapa sahaja yang ditindas oleh kezaliman wajib dibantu sama ada jauh atau dekat.

Kepada ikhwah dan akhawat yang saya kasihi, bentuklah diri menjadi insan yang matang dan mampu berfikir dengan kritis; bukan hanya mengangguk dan mengiyakan segala kata-kata naqib naqibah. Akal adalah anugerah Allah yang tidak ternilai, maka janganlah mempersiakan anugerah Allah ini dengan malas berfikir, mengkaji dan membaca. Bangunlah dan ayuh menentang kezaliman dalam negara kita dan dunia Islam yang lain.

Wallahua’lam.


Monday, December 17, 2012

Infiru...


Salam kepada sahabat yang saya sayangi kerana Allah, semoga semua kita dianugerahkan ketenangan dalam mengharungi liku-liku kehidupan yang penuh tribulasi.
Amma ba’d.

Cuti musim sejuk (winter break) akan bermula tidak lama lagi di US. Ada beberapa tempat di tanah Inggeris serta Ireland sudah mula cuti mereka. Apa perancangan kalian sempena cuti ini? Saya bercadang untuk ke Toronto,Canada bagi menghadiri Reviving Islamic Spirit yang diadakan setiap kali cuti musim sejuk setiap tahun. Namun, sehingga hari ini masih tiada perkhabaran tentang visa Canada yang telah saya mohon sebulan lepas. Apapun, andai tiada rezeki saya ke sana, saya akur akan takdir Allah. Saya percaya dan pasti setiap sesuatu berlaku pasti mempunyai hikmah tersendiri.

“Berangkatlah kamu beramai-ramai (untuk berjihad pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.” (At Taubah 9:41)

Kepada sahabat-sahabat yang akan menghadiri program yang diadakan di tempat masing-masing, saya doakan semoga Allah mempermudahkan urusan kalian. Hati-hati bagi yang memandu kereta. Bagi yang menaiki kenderaan awam, periksa betul-betul jadual flight, bas, tren, dan sebagainya agar tidak terlepas. Niat menghadiri program-program baik ini kerana Allah dan ingin mendapat manfaat buat diri. Yakinlah, andai niat kita ikhlas dan jujur, kesan yang baik terhadap diri akan muncul selepas tamatnya program. Bagi yang berjalan-jalan, sila berhati-hati juga di musim sejuk, pastinya jalan raya licin disebabkan salji.

Akhir kalam, seeru a’la barakatillah..:)

Reviving Islamic Spirit 2012 (RIS 2012), Toronto,Canada

Muktamar MISG 2012, Dallas, Texas

Perhimpunan Ukhuwwah Insaniyyah Seluruh Ireland 2012 (PUISI 2012), Glendalough, Ireland

Rehlah Insaniah Seluruh England 2012 (RISE 2012), Lancanshire, England

Semoga Allah mengurniakan keberkatan dan kerahmatanNya yang banyak dalam setiap langkah kita.


Tuesday, December 11, 2012

Neraca Pemikiran Kita...


Salam kepada semua sahabat yang dirahmati Allah, semoga kita tergolong dalam golongan yang sentiasa bersyukur atas segala nikmatNya.
Amma ba’d.

Tamadun Mesir Purba merupakan sebuah tamadun yang hebat dengan binaan piramidnya. Siapa tidak kenal dengan rajanya yang diberi gelaran firaun. Sungguh firaun ini benar-benar melampaui batas apabila sanggup mengaku dirinya sebagai tuhan sedangkan iblis sendiri tidak pernah mengakui dirinya sebagai tuhan. Apa yang terjadi di zaman firaun adalah sesuatu yang kita kenali sebagai pembodohan kaum. Ya! Firaun memperbodohkan kaumnya sebagaimana tercatat dalam Al Quran:

”Dan Firaun pula menyeru (dengan mengisytiharkan) kepada kaumnya, katanya: "Wahai kaumku! Bukankah kerajaan negeri Mesir ini - akulah yang menguasainya, dan sungai-sungai ini mengalir di bawah (istana) ku? Tidakkah kamu melihatnya? Bahkan bukankah aku lebih baik daripada orang yang hina (Nabi Musa) keadaannya ini, dan yang hampir-hampir tidak dapat menjelaskan perkataannya? (Kalau betul ia seorang Rasul) maka sepatutnya ia dipakaikan (oleh Tuhannya) gelang-gelang emas (yang menandakan ia seorang pemimpin), atau datang malaikat bersama-sama dengannya (sebagai saksi tentang kebenarannya)? (Dengan yang demikian), maka Firaun memperbodohkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya; sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasiq - derhaka. Setelah mereka menyebabkan kemurkaan Kami (dengan perbuatan derhaka itu), Kami menyeksa mereka, iaitu menenggelamkan mereka semuanya di laut (sehingga binasa).” ( Az Zukhruf 43:51-55)

Bagi kerajaan yang zalim, skrip mereka berulang sebagaimana yang telah terjadi di zaman firaun.

“Eh, kerajaan dah bagi kamu biasiswa, kamu nak apa lagi?”

“Bersyukurlah, kerajaan yang buat semua sekolah, jalan raya, lebuh raya semua ini. Semuanya demi kemudahan rakyat.”

“Ini satu lagi projek kerajaan, demi rakyat.”

Di semua Negara maju, mereka tidak pernah sesekali menggunakan istilah ‘wang kerajaan’ tetapi istilah yang mereka gunakan adalah ‘wang pembayar cukai’ (taxpayer money). Bagi rakyat yang kurang berfikir, mereka terus hidup dengan doktrin yang sungguh busuk ini sama seperti yang telah menimpa rakyat firaun.
Merenung alam dan memikirkan penciptaannya

Bagaimana kita boleh mengelak dari terkena pembodohan ini? Islam bukanlah agama dogmatik yang lahir di tengah-tengah masyarakat arab jahiliyah tanpa petunjuk wahyu dan dalil. Segala yang terdapat dalam Islam bersumberkan dalil naqli dan aqli. Begitu banyak ayat al quran menyuruh dan menggalakkan kita berfikir.

“Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir.” (Al Baqarah 2:219)

“Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran.” (Ali Imran 3:7)

“Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?” (Al An’aam 6:32)

Cara fikir dan sudut pandang kita harus betul berneracakan Al Quran dan As Sunnah. Kita terlibat dengan usrah ataupun gerakan Islam bukan kerana ikut-ikutan. Kalau kita bergerak atas dasar kerana ‘orang itu buat’, maka proses pembodohan sedang berlaku ke atas diri kita, dan tidak mustahil untuk kita berhenti di pertengahan jalan Islam. Kita mesti membebaskan fikiran kita dari memandang dimensi kesempitan duniawi kepada keluasan ukhrawi. Jika kita mengambil petunjuk selain Al Quran dan As Sunnah, ia mustahil untuk menyampaikan kita kepada Allah. Betulkan cara fikir dan sudut pandang, kita akan jadi umat yang Berjaya, insha Allah. Sebagai pengakhiran, suka saya memetik kata-kata Prof. Tariq Ramadan, “There is no faith without a critical mind” (tiada iman tanpa minda yang kritikal).

Wallahua’lam.

Sunday, December 9, 2012

Sampaikan Aku KepadaMu Ya Allah...


Salam kepada sahabat semuanya. Semoga rahmat Allah turun mencurah-curah ke atas kita semua.
Amma ba’d.

Hidup merupakan perjuangan. Perjuangan untuk merebut syurga Allah.Perjuangan ini bukan sekadar berjuang untuk mendaulatkan Islam di atas tanah air kita tetapi juga berjuang membebaskan diri daripada belenggu jahiliyah yang mencengkam, berjuang menundukkan hawa nafsu, berjuang menjadi insan soleh dan berjuang untuk menyedarkan masyarakat yang sedang kelalaian. Ramai orang bercita-cita untuk merebut syurga Allah, namun terkadang cita-cita itu lebih daripada usaha itu sendiri. Apabila kita berjuang, ia bukanlah satu kemestian untuk kita memperoleh kemenangan. Dalam perjuangan, kalah atau menang, hanya Allah yang tahu tetapi bagi kita yang faham, berjuang ialah untuk mengutip pahala dan rahmat daripada Allah. Bagi kita yang ingin berjuang di atas jalan Allah, carilah wasilah atau jalan yang dapat menghampirkan diri kepada Allah. Kenapa perlu menghampirkan diri kepada Allah? Allah adalah sumber kekuatan, Allah tempat bergantung harap, dan Allah adalah wali (pembantu) bagi kaum mukminin. Allah berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah wasilah (jalan) yang boleh menyampaikan kepadaNya (dengan mematuhi perintahNya dan meninggalkan laranganNya); dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan.” (Al Maidah 5:35)

Jalan yang dibentangkan kepada kita kadang-kadang terlalu rencam kerana banyaknya persimpangan. Salah satu wasilah untuk menyampaikan kita kepada Allah, hampirkanlah diri kita dengan orang-orang yang soleh. Orang-orang soleh itu bukanlah mereka yang memakai gelaran ustaz, mufti, tok guru dan pelbagai lagi gelaran agama yang lain tetapi orang-orang soleh itu adalah mereka yang sentiasa bertaqwa alam erti kata melaksanakan segala titah perintah Allah dan menjauhi segala larangannya. Mereka yang sentiasa memelihara perkara-perkara halal dan haram. Mereka yang senantiasa berakhlaq dengan akhlaq Rasulullah SAW tatkala susah dan senang. Mereka yang sentiasa basah hati dan bibir mereka berzikir kepada rabbul jalil. Itulah mereka golongan orang yang soleh yang kedudukan mereka di sisi Allah sangat dekat.

Melihat wajah mereka yang adanya nur Allah, menjadikan hati kita yang resah gelisah menjadi tenang. Tidaklah perkataan yang keluar daripada mulut mereka melainkan penuh hikmah dan kelembutan. Setiap nasihat mereka mampu menghidupkan semula hati-hati yang kering. Apabila kita bersama mereka, hati akan berasa begitu tawar untuk bermaksiat kepada Allah. Maha suci Allah dengan segala kebaikan yang dianugerahkan kepada hamba-hambaNya yang soleh.

Bukanlah wali-wali Allah itu mereka yang boleh berjalan atas air, terbang tanpa sayap, hidup tanpa makan dan pelbagai perkara pelik di luar jangkauan akal tetapi wali-wali Allah itu adalah mereka yang  beriman dan bertaqwa kepada Allah seperti mana firman Allah:

“Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa. Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang mengembirakan di dunia dan di akhirat; tidak ada (sebarang perubahan pada janji-janji Allah yang demikian itulah kejayaan yang besar.” (Yunus 10:62-64)

Insan-insan yang soleh ini mereka telah dijamin Allah bahawa tidak ada apa yang akan menggundahkan hati mereka dan mereka tidak bersedih dengan apa yang menimpa mereka. Mudah-mudahan, dengan menghampirkan diri dengan insan –insan soleh, Allah mempermudahkan jalan buat kita menjadi soleh. Tiadalah yang kita kejar dan cari di dunia ini melainkan mardhatillah (keredhaan Allah) semata-mata. Andai Allah redha, apa yang kita hilang? Allah tuhan yang maha berkuasa.

Ya Allah, kami memohon kepadaMu, janganlah Engkau pesongkan hati-hati kami daripada jalan yang Engkau redhai setelah Engkau menganugerahkan kami hidayah dan taufiq. Dan janganlah Engkau serahkan urusan diri kami kepada kami sendiri atau orang lain, kelak kami pasti binasa. Engkau yang maha pengasih dan penyanyang, bimbinglah kami, rahmatilah kami dan masukkanlah kami ke dalam golongan orang yang soleh dn bertawakkal kepadaMu. Amin ya rabbal a’lamin.

Wallahua’lam.

Friday, December 7, 2012

Di Mana Allah Di Hatimu...


Salam kepada semua sahabat yang saya kasihi kerana Allah. Semoga kita sentiasa dalam rahmatNya selalu.
Amma ba’d.

Bila saya fikirkan semula, sedar tidak sedar, insha Allah masa saya di US hanya berbaki enam atau tujuh bulan lagi. Perasaan memang bercampur baur; antara sayangkan Rochester tempat saya mendalami makna hidup, dan perasaan tidak sabar membuak-buak untuk pulang ke Malaysia untuk bersama keluarga tercinta. Sejak-sejak akhir ini, perasaan saya semakin sensitif apabila bercakap mengenai ibu bapa. Saya pernah menceritakan pengorbanan ayah saya dalam entri yang lepas. Kadang-kadang saya belek gambar emak dan ayah saya di FB, tanpa saya sedari air mata mengalir mengenangkan telah banyak jasa mereka kepada saya sehingga saya berada di tahap ini. Mereka hanya orang kampung biasa namun didikan agama dan ketegasan mereka dalam mendidik membentuk siapa saya di hari ini. Allah berfirman:

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)". (Al Ahqaf 46:15)

Tahap kematangan kita mungkin berbeza; ada yang awal dan ada yang lambat namun usia 40 tahun, merupakan tahap kemuncak untuk seseorang mencapai kematangan yang sempurna dalam hidup. Di umur yang sudah menjengah 22 tahun, kita seolah-olah berada di persimpangan kehidupan. Jalan manakah harus kita pilih? Setiap jalan pasti mempunyai rencana tersendiri. Perlunya kita kepada istikharah dan beristisyarah dengan mereka-mereka yang terlebih dahulu ‘makan garam’  daripada kita. Siapalah yang paling hampir dengan kita andai bukan ibu bapa sendiri. Saya terfikir, setelah hampir sedekad saya tidak membesar di depan emak dan ayah, saya perlu lebih kerap menghubungi mereka. Saya dapati, cara emak saya bersembang dengan saya juga sudah berbeza, lebih terbuka untuk membincangkan topik-topik orang dewasa (politik, pendidikan,dan  pernikahan).
Antara perkara besar yang saya belajar dalam kehidupan apabila hidup berjauhan dengan orang yang kita sayang, dan berjauhan dari zon keselesaan, tahap kebergantungan dan tawakkal hanya kepada Allah sebulat-bulatnya. Tidak ada tempat lagi yang boleh saya mengadu melainkan kepadaNya, As Somad. Bila kita bergantung kepada Allah sepenuhnya, kita akan lebih berkeyakinan untuk kita bergerak dalam kehidupan. Oleh itu, agar kita dipelihara Allah, kita hendaklah menjaga hak-hak Allah. Nabi SAW bersabda:

“Dari Ibnu Abbas RA, katanya: Pada suatu hari aku berada dibelakang Rasulullah SAW (boncengan), lalu baginda bersabda: Wahai anak muda, peliharalah Allah nescaya (Dia) akan memelihara kamu, peliharalah Allah nescaya (Dia) akan berada dihadapan kamu, dan jika engkau memohon maka memohonlah kepada Allah, dan jika engkau meminta pertolongan maka mintalah pertolongan kepada Allah, dan ketahuilah bahawa sekiranya umat berkumpul (bersepakat) untuk memberikan suatu manfaat kepadamu, nescaya mereka tidak akan mampu berbuat demikian melainkan dengan sesuatu yang telah ditetapkan (ditakdirkan) oleh Allah, dan sekiranya umat berkumpul (bersepakat) untuk mendatangkan bencana keatas kamu, nescaya mereka tidak akan mampu berbuat demikian melainkan dengan sesuatu yang telah ditetapkan (ditakdirkan) oleh Allah. Dan telah diangkat segala pena dan telah kering segala buku.” (Hadith Hasan Sahih Imam Tirmizi).

Kenanglah jasa ibu bapa kita dengan berbakti dan berakhlaq dengan mereka. Berdoalah dan bertawakallah kepada Allah dalam hidup, sesungguhya tawakkal adalah perkara paling ajaib dalam dunia.

Wallahualam
Emak dan ayah, Kelantan,2008


Tuesday, December 4, 2012

Kematangan Hidup...



Emosi mungkin sukar dikawal, tetapi penilaian kita mesti adil. Kematangan hidup diperoleh setelah menghadapi pelbagai mehnah dan tribulasi dalam hidup.

Sunday, November 25, 2012

Memburu Sakinah...


Salam kepada semua sahabat.Semoga Allah memelihara kita dalam hidayah dan inayahNya.
Amma ba’d.

Alhamdulillah masih lagi diberi nafas untuk meneruskan kehidupan demi menyelami hikmah penciptaan diri. Bermula cuti minggu lepas, program saya bermula dengan Islamic Fall Retreat (IFR). Program yang sangat bermakna bagi saya kerana inilah pertama kali RIT menganjurkan program sebegini dan dibuka penyertaannya kepada university sekitar Region East. Saya bertugas untuk membawa imam Ismet Husny Akcin, imam bagi Islamic Center of Rochester(ICR). Perjalanan ke Vanderkamp, tempat program IFR kami mengambil masa lebih kurang satu jam 45 minit. Macam-macam yang dibualkan dengan imam antaranya, kisah keluarganya di Turki, kisah beliau belajar di Universiti Al-Azhar, keadaan Muslim di peringakt global dan juga yang paling menarik beliau mengalunkan bacaan ayat Alquran ketika saya memandu. Terima kasih juga kepada sahabat saya Faz, yang meninggalkan kereta Honda Accord nya untuk saya guna selama pemergiannya ke London selama seminggu. Allah sahajalah tuhan yang mempermudahkan segala urusan kita. Berada dekat dengan alam, menjadikan jiwa kita tenang dan damai. Melihat kebesaran Allah, menjadikan diri kita insaf hakikat kekerdilan diri.

Hari Isnin saya bertolak ke New Haven,Connecticut bagi menziarahi sahabat saya, Ahmad Topal yang merupakan orang Turki. Ahmad seorang yang sangat baik dan jujur orangnya. Orangnya sangat menjaga pemakanan terutama yang melibatkan halal dan haram serta sentiasa mendoakan kebaikan orang.. Saya bertuah kerana Allah menganugerahkan sahabat-sahabat yang baik sepanjang perjalanan hidup saya, Alhamdulillah. Hari Selasa saya bertolak ke Rhode Island, sebuah negeri yang kecil terletak di sebelah timur Amerika. Apa yang saya dapati, kebanyakan nama-nama tempat di Rhode Island sama dengan nama-nama tempat di UK seperti Durham, Coventry, Warwick, New Port, dan Middletown. Keadaan geografinya yang terbuka kepada lautan Atlantic sangat mengujakan. Selepas puas berjalan-jalan di Rhode Island, saya dan sahabat-sahabat saya kembali semula ke New Haven, Connecticut.

Pada hari Rabu, kami bertolak pulang semula ke Rochester. Biarpun kembara ini singkat namun ia sangat bermakna buat saya. Sampainya saya di rumah, rupanya housemate saya buat makan-makan turkey pada hari itu. Semoga Allah memberkati kesemua housemate yang sangat saya sayangi. Malam itu pula, seusai maghrib saya bersiap sedia untuk membawa usah di rumah sahabat saya di River Knoll. Biarpun badan letih akibat memandu sepanjang hari, namun keletihan hilang melihat sahabat-sahabat begitu bersemangat mendengar pengisian. Sehabisnya usrah pukul 9 malam, saya dengan seorang sahabat terus menuju ke kedai kopi Tim Horton. Ada beberapa perkara besar sempat dibincangkan dengan sahabat tersebut. Alhamdulillah.

Pada hari Khamis, semasa hendak pergi ke ICR bagi menunaikan solat subuh, saya dapati ramai orang yang tidur di rumah saya di tingkat bawah, rupa-rupanya sahabat-sahabat dari Michigan State University dan University of Michigan berkunjung ke rumah saya. Mereka semua baru sahaja sampai awal pagi tersebut. Selepas solat subuh, saya ke gym Park Point Club House bagi mengeluarkan sedikit peluh. Apa yang menariknya pagi itu, selepas pulang dari gym, kelihatan Suhaimi sudah mula menyiapkan barang-barang memasak nasi lemak bagi menjamu tetamu dari jauh tadi. Saya terus mandi dan membuat sedikit persiapan bagi pengisian kuliah usul 20 pada  hari tersebut. Petangnya selepas pulang dari kuliah perbincangan usul 20, sekali lagi rezeqi Allah datang; Suhaimi sekali lagi memasak nasi kerabu bagi menjamu tetamu istimewa tadi. Petangnya selepas solat Maghrib, sahabat saya yang baru sahaja pulang dari London menghubungi saya meminta tolong menjemputnya di airport dan pada petang itu juga selepas solat Isya’, saya bersama sahabat-sahabat di RIT, berangkat ke Buffalo bagi mengahdiri Tamrin MISG 2012.

Tamrin di Buffalo bermula pada malam Khamis tersebut dan berakhir pada pukul 8 malam hari Sabtu. Antara nikmat yang terbesar dalam hidup adalah apabila kita bertemu sahabat-sahabat atas tujuan mencari keredhaan Allah dalam gerakan dakwah. Pelbagai ilmu dikongsi, masalah didengari, padangan diberi dan ukhuwah bersemi. Semuanya rahmat Allah pakejkan bagi mereka yang ingin bersama gerakan Islam yang indah ini.

Biarpun letih masih belum hilang tetapi dek kerana indahnya hidup dalam gerabak dakwah ini, menyebabkan semangat menulis terus berkobar-kobar. Orang yang dalam hidupnya memburu sakinah (ketenangan) akan memperolehi dengan melakukan sunnah Rasulullah SAW yang agung ini, berdakwah. Ketenangan ini milik Allah dan hanya DIa lah yang akan menganugerahkan ketenangan ini dalam diri kita selagi mana kita yakin dan bekerja demi melihat sinar kemenangan Islam di muka bumi ini.

Wallahua’lam

Tuesday, November 13, 2012

Kehidupan Ini Sebuah Misteri...


Salam kepada semua sahabat yang saya kasihi kerana Allah, semoga Allah memberkati kita semua.
Amma ba’d.

Alhamdulillah atas segala nikmatnya, baru terasa boleh bernafas sikit.Blog ini pun sudah berhabuk. Ya Allah ampunilah dosa hambaMu ini andai tidak menyumbangkan sesuatu buat sahabat-sahabatnya. Antara perkara yang saya suka bicarakan adalah persoalan tentang kehidupan. Kehidupan ini sebuah misteri. Bagi mereka yang hidup hanya memburu duniawi, mereka tidak akan Nampak betapa misterinya hidup. Namun, bagi mereka yang menjadikan akhirat sebagai buruan, mereka akan Nampak kehidupan ini sesuatu perjalanan yang penuh misteri dan ajaib. Kenapa? Kerana bagi mereka yang memburu akhirat, dibentang segala ujian, mehnah dan tribulasi bagi pembuktian iman yang haq.

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.” (Al An’kabut 29:2-3)

Bagi mereka yang menjadikan akhirat sebagai matlamat pasti diuji dengan ujian yang berat. Ada yang melalui detik sukar apabila gagal dalam peperiksaan, gagal dalam hubungan, gagal dalam perniagaan dan gagal dalam kerjaya walaupun semuanya telah dibuat mengikut kehendak syariat. Allah maha adil, bersamanya kesusahan itu adanya kesenangan.

“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.” (Al Sharh 94:5-6)

Selaku orang beriman, apabila diuji, percayalah akan ada sesuatu perkara yang lebih baik di masa hadapan cuma apa yang penting, kita mesti tetap yaqin dan istiqamah dengan amalan soleh. Allah tidak pernah bermaksud mempermainkan kita hambaNya. Dia Cuma ingin menunjukkan kepada kita bahawa Dia amat menyanyangi kita. Kehidupan lebih bermakna dan menjadi manis apabila ujian dan nikmat datang silih berganti. God works in mysterious ways. Kita sendiri tidak terjangkau dek akal memikirkan bagaimana kita boleh keluar daripada permasalahan yang kita rasa begitu berat ketika kita diuji. Itulah cara Allah ingin membawa kita lebih dekat kepadaNya. Kita mungkin sedih tatkala diuji, itu fitrah! namun janganlah sampai membawa kepada hilang kebergantungan hidup kepada Allah.


Apabila Allah menunjuk jalan atau membawa kita keluar daripada permasalahan hidup barulah kita sedar bahawa Allah bersama kita. Pokoknya, kebergantungan hidup kepada Allah menjadi nadi kepada kita untuk meneruskan kehidupan yang serba rencam. Marilah kita berazam untuk istiqamah dan mempertingkatkan amal soleh dan amal kebajikan agar jiwa kita lebih dekat dengan Allah.
Wallahua’lam

Trials will come but surely they will fade away. Senyum

Monday, October 29, 2012

Dia Di Mata Dunia...


Salam kepada semua sahabat yang saya kasihi kerana Allah. Semoga Allah memandu kita dengan hidayah dan taufiqNya.
Amma ba’d.

Sejarah manusia telah membuktikan bahawa sesiapa sahaja dalam kalangan manusia yang memerintah dengan penuh keadilan pastilah semua rakyat dibawahnya hidup dalam keadaan aman dan sejahtera serta pemimpin yang adil tersebut pasti dikenang sepanjang zaman. Singkaplah zaman khalifah Umar Abdul Aziz yang diakatakan sehingga serigala dan kambing boleh duduk sekali. Kenanglah juga di zaman khalifah Umar Alkhattab di mana setiap orang mendapat hak mereka.

Tidak seperti di Malaysia, setiap waktu solat boleh berjemaah di masjid, tetapi di sini saya  berkesempatan untuk berjemaah sesekali di masjid hanya waktu subuh, maghrib atau isya’. Baru-baru ini, saya sempat berbual dengan imam masjid (Islamic Center of Rochester), beliau berkata:

“once I had been in Kelantan. I have stayed there about four months. The Emir (leader) is very a’lim (knowledgeable) but I forgot his name”

“is it Nik Aziz?”

“Yes! He is. But I guess he must be very old now”
Bersama Imam Sheikh Ismet Husny Akcin

Kemudian saya bertemu bekas perdana menteri Libya, Dr Mustafa Abushagur.Beliau betanya kepada saya:

“You must be from Indonesia right?”

“No, I am from Malaysia.”

“Which state are you?”

“I am from penang”

“Oh, I don’t know”
Bersama Dr Mustafa Abushagur, Ex PM Libya

Kemudian beliau bertanya kepada sahabat saya:

“Where are you from?”

“I am from Malaysia too. From Kelantan”

“From Kelantan? The Islamic State.”

Kemudian sahabat saya bertemu dengan orang Bangladesh. Kata orang Bangladesh itu:

“There is one Islamic state in Malaysia, the leader is very good. What is his name?
“Nik Aziz?”

“Yes he is! You have been blessed by having such this people brother.Masha Allah”

Ramai lagi sebenarnya saya jumpa antaranya orang Libya, Pakistan, Turki dan banyak lagi. Semuanya memuji Kelantan sebagai negeri Islam. Subhanallah.

Apa yang saya cuba bawa di sini? Saya cuma mengajak kita semua berlaku adil dalam hal ini. Di saat orang luar mengambil berat hal ehwal Negara kita dan memuji negeri Kelantan, tetapi di dalam Negara kita dimomokkan Kelantan sebagai negeri termiskin, Kelantan mundur, Kelantan tiada pembangunan dan rakyat Kelantan tidak bijak memilih pemimpin. Saya tiada kepentingan dengan Kelantan kerana saya orang Pulau Pinang, cuma yang menyebabkan saya terkilan ialah sebahagian sahabat-sahabat walaupun belajar di luar Negara masih tiada kemampuan untuk menilai mana satu kerajaan yang baik dan mana kerajaan yang korup. Menilailah dengan neraca Alquran bukan melalui sumber-sumber media yang berkepentingan.

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.” (An Nisa’ 4:58)

Jika tidak mampu melihat di antara dua yang mana lebih baik, lihatlah yang mana lebih kurang korupnya. Saya membela Tuan Guru NIk Aziz bukan kerana jawatan menteri besar yang beliau sandang atau parti yang beliau wakili, tetapi saya menyanjungnya sebagai ulama’ yang gigih berdakwah sama ada kepada umat Islam atau yang bukan Islam. Lihatlah kuliah hari Jumaat yang diadakan pada setiap hari Jumaat di tengah-tengah bandaraya Islam Kota Bharu, ia turut dihadiri oleh orang bukan Islam. Walaupun sudah tua, namun semangat dakwahnya bagaikan seorang pemuda yang tidak kenal apa itu letih.

Satu muhasabah buat kita semua, jadilah adil dalam menilai. Jangan berjuang atas sentiment kaum dan kebangsaan, berjuanglah untuk umat Islam sejagat supaya Islam benar-benar kelihatan rahmatan lil ‘alamin (rahmat bagi sekelian alam).

Wallahualam.

Friday, October 26, 2012

Mencari Kebahagiaan...


Salam kepada sahabat ikhwah akhawat yang saya kasihi kerana Allah. Semoga Allah menerima segala amal soleh dan amal kebajikan kita. Allahu akbar! Allahu akbar! Allahu akbar walillahil hamd.
Amma ba’d.

Terlalu banyak kemungkinan dalam kehidupan sehingga adakalanya menyesakkan minda dan jiwa. Hanya satu menjadi kepastian, itulah kematian. Menyedari hakikat bahawa kita wajib mati, apakah kehidupan di dunia ini masih menjadi buruan? Saya sering terfikir, di hadapan Allah, apa jawapan yang akan saya berikan jika saya didakwa.

Solat yang masih belum sampai tahap kekhusyukan sebenar, puasa yang tidak benar-benar membentengi diri, dakwah yang adakala masih sambil lewa, di tambah dengan dosa-dosa yang sengaja dan tidak sengaja, pelbagai amanah yang tidak disempuranakan dengan baik, semua ini sering menjadikan saya termenung. Untuk menyesali hakikat kehidupan bukanlah sifat mukmin sejati kerana telah banyak nikmat  Allah berikan kepada kita.

Hidup kita ini hanya menumpang kasih dan simpati Allah, andai hilang rahmat Allah, kehidupan yang senang lenang, harta yang melimpah ruah, dan pengaruh yang kuat tidak langsung akan memberi makna. Rasulullah SAW bersabda:

"Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara : sedekah jariah,atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya." (Sahih Muslim)

Mati satu kepastian. Mati bukanlah perkara besar andai kita faham namun perkara yang  besar adalah kehidupan selepas mati yang kita imani. Adanya soalan munkar dan nakir di dalam kubur, adanya hisab di hari al mahshar, adanya syurga dan neraka.
Saya terfikir, apakah bekalan yang ingin saya persembahkan di hadapan Rabbul Jalil kelak? Saya berharap supaya saya mampu menghasilkan sekurang-kurangnya sebuah buku yang dapat memberi manfaat buat saya di alam barzakh dan alam akhirat kelak. Bayangkan, buku-buku jika saya dapat hasilkan, masih di baca dan dirujuk selepas seratus tahun yang akan datang, sudah pasti membahagiakan saya di alam sana. Saya sentiasa berharap, apa sahaja ilmu dan kebaikan yang didapati di blog saya disebar luaskan. Mudah-mudahan Allah merahmati saya dan orang yang menyebarkan ilmu di blog ini dengan rahmat yang banyak dan berpanjangan. Segala kesilapan dan kesalahan harap diperbetul dan ditegur. Saya juga insan biasa yang tidak maksum. Boleh jadi saya benar, boleh jadi saya salah.

Kehidupan terlalu singkat untuk kita bersuka ria, sedangkan amanah Allah kepada kita agar mentaati perintahnya serta menyebarkan Islam masih belum tertunai. Satu muhasabah buat diri saya dan semua sahabat, ambillah dunia seadanya. Fikirkanlah tentang kehidupan kita di alam sana, hiduplah dengan berlandaskan Alquran dan Assunnah, dan jadilah insan yang bermanfaat kepada alam sarwajagat.
Wallahualam

Selamat hari raya aidiladha, kullu ‘am wa antum bikhair.



Sunday, October 21, 2012

Arus Cinta...


Salam kepada semua sahabat yang saya kasihi, semoga Allah mengampunkan semua dosa kita yang telah lepas.
Amma ba’d.

Agak lama saya tidak menulis, mungkin semangat menulis yang sudah meluntur (semangat bercakap membuak-buak mungkin). Antara perkara yang saya suka bercakap tentangnya adalah perkara berkenaan pernikahan, baitul muslim dan terminologi yang seangkatan dengannya. Saya akui, memang jarang saya perkongsikan berkenaan hal ini di facebook dan blog tetapi dalam percakapan seharian dengan sahabat-sahabat di sini dan juga dalam usrah, memang topik ini selalu diselitkan. Saya yakin dan pasti, bagi mereka yang berumur sebaya dengan saya (20-an) pasti topik ini antara topik yang sering menjadi bahan bual bicara.
Berbicara mengenai cinta tidaklah salah dalam Islam bahkan Islam sangat meraikan fitrah insani yang satu ini. Atas sebab ini, ditunjukkan jalan pernikahan.

Uniknya penciptaan manusia selain dijadikan roh dan jasad, insan dianugerahkan perasaan yang pelbagai. Antaranya ialah perasaan cinta. Cinta mempunyai pelbagai tafsiran. Namun, antara tafsiran yang paling saya tertarik mengenai cinta adalah, ia satu arus yang mengalir dalam hati dan sanubari insan tanpa mampu disekat. Kadang-kadang kita tidak sedar bahawa kita telah jatuh cinta kepada seseorang. Kita boleh menafikan kepada teman sekeliling, hakikatnya hati kita tidak dapat dibohongi. Apakah salah untuk kita jatuh cinta sebelum bernikah? Insan bukanlah mesin atau robot yang tidak mempunyai perasaan. Menghalang cinta bermaksud membunuh fitrah insan itu sendiri yang akan membawa kepada keburukan yang lebih parah; kekecewaan,kemurungan,kesedihan melampau dan sebagainya. Sabda Nabi Muhammad SAW:

“Aku tidak melihat (penawar) untuk dua orang yang bercinta seperti nikah” (riwayat al-Baihaqi dan Ibn Majah, sahih)

Melalui hadith ini, jelas nabi memperakui bahawa pernikahan adalah manifestasi bagi dua insan yang berlainan jenis bercinta. Dimana tercipta cinta, disitu rindu bermula. Api kerinduan tidak dapat dipadamkan melainkan setelah melangkah ke gerbang pernikahan. Timbul persoalan lain, sebelum bernikah, apakah batasan-batasan yang perlu dijaga sebelum sentuhan antara dua insan ini menjadi halal?

Saya akui, saya memang mengetahui beberapa kisah sahabat-sahabat yang bercinta sebelum bernikah, dan Alhamdulillah sekarang sebahagian mereka telah halal untuk saling bersentuhan. Ada yang pertunangannya memakan masa empat tahun, ada yang dua tahun, dan ada yang hanya beberapa bulan sahaja.

Laman sosial seperti facebook dan twitter terutamanya, merupakan medium terpantas untuk tersebarnya berita-berita mengenai pernikahan rakan-rakan. Di kesempatan ini, saya menasihati diri saya dan rakan-rakan, agar menjaga batasan pergaulan dengan teman berlainan jantina. Berbincang hanya sekadar perkara yang perlu, tidak perlu hanyut ke lembah gossip yang pasti mengundang dosa dan kemurkaan Allah. Di laman sosial, selain Allah dan malaikat, ada lagi mata-mata yang memerhati. Kita tidak tahu, apa yang tersembunyi di hati insan. Andai dia insan yang baik, pasti dia akan mendoakan kebahagiaan kita, namun jika dia insan sebaliknya, berkemungkinan untuk dia mencetuskan sesuatu yang akan membawa kebinasaan dalam perhubungan kita. Jika bakal pasangan kita itu soleh dan solehah, sudah pasti diri ini terasa zalim andai mengkhianatinya dengan tidak menjaga batas-batas ikhtilat sedangkan dia sangat menjaga batasan pergaulan demi kita.

Persediaan dari segi ilmu dan material amat penting dalam tempoh menghitung hari menuju ke alam pernikahan. Tanpa persediaan yang rapi, impian inginkan sebuah rumah tangga muslim, hanyalah angan-angan tanpa makna. Jangan hanya dipandang manisnya pasangan itu dan ini, tetapi lihatlah segala kesukaran yang mereka tempuhi sebelum mengungkapkan lafaz sakinah di hadapan wali si muslimah. Saya akui, saya masih dalam tempoh persediaan dan saya merasai sukarnya untuk menjaga batasan-batasan ini terutama apabila kita menjadi titik rujukan sebahagian teman-teman. Namun, saya sentiasa bersitighfar agar Allah menjauhi saya dan orang yang berurusan dengan saya daripada bisikan syaitan ke arah kejahatan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kaum mukminin.

Sebagai penggulungan, saya juga ingin menyedarkan diri saya dan sahabat semua, bahawa pernikahan yang ingin kita melangkah ke dalamnya, biarlah dengan kesedaran bahawa tanggungjawab selepas akad itu adalah berat. Tambahan pula, kita adalah orang yang diberi kefahaman lebih sedikit berbanding orang lain, perlu menyedari dan beriman kepada kewajipan berdakwah dan menyeru orang agar kembali kepada Islam. Kepada muslimah, sila mudahkan bakal suami kalian dengan menguasai dan memahami ilmu-ilmu fiqh kewanitaan seperti haidh,nifas, dan wiladah. Didiklah diri menjadi insan yang matang dan mampu berdikari serta pupuklah sifat keibuan sebelum bernikah. Kepada bakal-bakal suami, sila fahami bahawa pernikahan bukan sekadar memenuhi tuntutan fitrah dan batin, namun penting untuk mengembeleng gerakan dakwah islamiyah.

Saya doakan semoga Allah mengurniakan saya dan semua sahabat yang membaca entri ini agar dikurniakan pasangan hidup yang soleh dan solehah, menjadi penyejuk mata hati seperti mana firman Allah:

“Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.” (Al Furqan 25:74)

Wallahua’lam.

Kredit Gambar: Syabab Musafir Kasih

Thursday, October 4, 2012

7 Habits of Daie...


Salam kepada semua sahabat yang saya kasihi kerana Allah, semoga Allah mengurniakan kepada kita rahmatNya yang maha luas.
Amma ba’d.

Sejauh mana kita beriman bahawa berdakwah menyampaikan kebenaran (Al Haq) adalah wajib? Jika kita mengakui bahawa berdakwah itu adalah fardhu a’in ke atas setiap muslim, maka kita harus mempertimbangkan beberapa perkara. Kenapa perlu berdakwah? Apa yang akan terjadi kalau kita tidak berdakwah? Bagaimana perlu kita berdakwah? Kepada siapa harus kita tujukan dakwah ini?

Jadi persoalan ini mungkin bermain di benak kepala kita. Saya tidak mahu membincangkan bagaimana harus berdakwah, kepada siapa harus berdakwah, apa kepentingan berdakwah. Cuma selaku muslim, saya beriman bahawa berdakwah itu wajib demi memenuhi tanggungjawab dan amanah selaku hamba Allah di muka bumi. Atas sebab ini, saya ingin berkongsi beberapa perkara yang harus kita selaku penyeru kepada jalan Allah lakukan.

Pertama sekali, kita harus taqarrub (mendekatkan) diri kepada Allah. Banyak amalan seharian kita perlu diteliti semula. Bagi lelaki, solat berjemaah itu adalah WAJIB dan jadikan ia sebagai amalan harian. Selain solat fardhu, ada beberapa solat sunat yang harus diberi penekanan; solat sunat qiyamullail, solat sunat dhuha, solat sunat witir dan solat sunat rawatib. Solat adalah penghubung antara hamba dan tuhan, solat juga merupakan terapi yang ampuh apabila kita menghadapi kesulitan.

Selain amalan solat, amalan bersedekah dan membantu insan adalah amalan terpuji. Membantu insan termasuklah berkorban harta, wang dan tenaga untuk memudahkan urusan insan yang memerlukan pertolongan dan bantuan. Selaku penyeru di jalan Allah, berkorban itu adalah sunnahnya. Puasa selain puasa fardhu di bulan ramadhan, amat-amat dituntut untuk berpuasa sunat isnin dan khamis, paling kurang sekali seminggu. Puasa juga merupakan benteng kepada iman untuk menundukkan nafsu yang tak pernah surut.

Membaca Alquran adalah wajib setiap hari bagi penyeru kebenaran di jalan Allah. Alquran merupakan hujah dalam kita berdakwah menerangkan Islam yang benar. Pastikan seharian hidup kita tidak sunyi daripada Alquran. Andai daie itu, jaraknya dengan Alquran bagaikan langit dan bumi, kepada siapa dakwah ini diserukan?.

Kebersihan jasmani, pakaian dan persekitaran seorang daie harus diambil berat sepenuhnya. Bagaimana kita mahu berbicara perkara yang berat sedangkan perkara berkaitan hal kebersihan diri pun masih tidak terjaga dengan baik?

Di sebalik semua ini, sama penting bagi seorang daie memelihara hati dan diri daripada terjerumus ke lembah dosa dan maksiat. Dosa boleh datang dalam pelbagai bentuk yang terkadang kita tidak menyedarinya. Oleh yang demikian, sentiasalah membasahi lidah kita dengan beristighfar kepada Allah. Wajib bagi daie memelihara kebersihan dan kesucian hati dengan menghindari segala sifat riya’ dan mazmumah, berburuk sangka serta sifat tidak ikhlas. Hal ini, andai dapat dijaga dengan baik, ia menjamin kualiti dan keberhasilan dakwah. Berbicara perkara teoretikal amat mudah, namun praktikalnya memerlukan satu mujahadah yang tinggi untuk melakukan semua ini.

Sebelum menutup bicara pada kali ini, suka saya mengingatkan diri saya dan kalian semua, jalan ini tidak dihampar dengan karpet merah, jalan ini tidak dijanjikan habuan dan pangkat duniawi, jalan ini sangat rencam dan penuh tipu daya di sekeliling, jalan ini adalah jalan Rasulullah SAW dan jalan para salafus soleh. Jalan ini penuh tapisan. Telah ramai orang sebelum kita gugur sama ada kerana kematian ataupun tarikan duniawi yang lain. Saya berdoa buat diri saya dan kalian, barangsiapa yang tidak hidup melainkan mencari redha Allah, semoga Allah meneguhkan kedudukan kita di atas manhaj nubuwwah ini dan semoga Allah membantu kita untuk terus menyampaikan kalimah Al Haq di muka bumiNya. Jalan ini, di penghujungnya dijanjikan syurga Allah.

Wallahualam.

Monday, October 1, 2012

Mari Merancang Kehidupan...


Salam kepada sahabat yang saya kasihi kerana Allah. Semoga sentiasa dalam rahmat dan kasih sayang Allah.
Amma ba’d.

Agak lama saya tidak mencoret di sini. Hendak dikatakan saya sibuk, saya malu kerana lebih ramai para asatizah di luar sana lebih sibuk jadual dan masa namun masih sempat mencoretkan sesuatu di laman maya buat tatapan pembaca. Namun, itulah hakikat hidup; semakin meningkat dewasa tugas dan tanggungjawab tidak pernah berkurang. Semoga Allah membantu hambaNya yang penuh kedahifan ini.

Alhamdulillah sebulan telah berlalu saya di US ini dalam tahun akhir. Sehingga sekarang, semuanya masih berjalan mengikut perancangan yang saya rancang sejak di Malaysia semasa cuti summer lepas. Semoga Allah membantu dan mempermudahkan segala urusan saya dan sahabat semua.

Rancanglah demi kebaikan masa depan kita. Sesungguhnya orang yang gagal merancang adalah mereka yang merancang untuk gagal.

Kak long tiada dalam gambar
P/S: Kak long saya dijangka melahirkan anak sulongnya pada hujung bulan ini. Semoga Allah memudahkan urusan kak long saya.

Sunday, September 16, 2012

Memaknakan Kehidupan Sebagai Insan...


Salam kepada sahabat yang saya kasihi, semoga Allah mengurniakan keberkatan dalam hidup.
Amma ba’d.

Apa beza antara kita dan binatang yang melata di atas muka bumi Allah, andai hidup hanya memikirkan bagaimana hendak isi perut? Kita selaku khalifah Allah di atas muka bumi harus tunduk dan patuh hanya kepada Allah dan sebarkan mesej kebenaran Islam yang Allah turunkan melalui lisan Rasulullah SAW kepada makhluq sekalian alam.

Cuma sedikit perkongsian, Alhamdulillah sekarang saya semakin nampak kenapa saya dicampakkan di RIT ini yang pada mulanya bukanlah pilihan di hati. Semakin hari Allah menunjukkan mutiara-mutiara hikmah kehidupan di sini. Di sini, saya ditarbiyah dan mentarbiyah, di sini Allah juga menyingkap rahsia dan menyuluh jalan kehidupan. Dipertemukan dengan sahabat-sahabat yang sehati dan sefikrah. Kami mungkin berbeza manhaj pemikiran, tetapi kami meraikan perbezaan yang wujud di antara kami yang membuahkan kebahagiaan dalam berukhuwah.

Seperti saya maklumkan entri sebelum ini, kita mesti menjadi manusia bermanfaat kepada manusia lain. Atas dasar ini, kami ikhwah dan akhawat di RIT mengambil kata sepakat untuk membincangkan Usul 20  Assyahid Imam Hassan Albanna setiap minggu. Apa yang kami harapkan dari perbincangan ini adalah dapat menghasilkan dai’e yang kritikal serta memahami waqi’ (situasi) semasa dalam  kita ingin membawa seruan dakwah. Melalui perbincangan ini juga, kami bebas mengemukakan pandangan dan idea dalam mencari kaedah yang relevan untuk bergerak di medan. Insha Allah, mudah-mudahan Allah memberkati usaha ini.

Cuti summer lepas, saya ada membeli sebuah buku hadith, Syamail Muhammadiyah. Apa yang saya fikir, apa guna kita mengaku umat Rasulullah SAW andai kita tidak betul-betul mengenali susuk tubuh, manhaj dan kehidupan Rasulullah SAW. Dalam buku ini, diceritakan sifat fizikal, cara Rasulullah SAW bergaul, makan, minum, bergurau dan banyak lagi urusan kehidupan Rasulullah SAW dalam seharian.Jadi, saya dan ahli rumah saya mengambil inisiatif untuk membaca satu hadith satu hari selepas setiap kali solat maghrib berjemaah di rumah. Mudah-mudahan usaha ini juga menambah kecintaan kami kepada Rasulullah SAW dan menjadikan hidup kami lebih menepati sunnah baginda.

Berada di Rochester yang kaya dengan tempat-tempat semula jadi yang menarik, menggamit hati kami untuk mengambil peluang mengadakan rehlah dan tadabbur alam. Setiap quarter, kami sentiasa pastikan adanya satu rehlah di tempat-tempat menarik di sini seperti di Mendon Park, Ontario Lake, Letchworth State Park dan juga Seneca Lake. Mendampingi alam menyedarkan kami keagungan dan kebesaran Allah lantas diri menjadi insaf atas kekerdilan diri.


Kenangan untuk diuntai: rehlah di Seneca Lake

Petang hari kami sama-sama beriadah bermain volley ball, pocket billiard dan bola sepak. Semuanya dilakukan demi merapatkan ukhuwah. Kalau ada majlis-majlis di sini, kami adakan persembahan nasyid dan sebagainya, sehinggakan kami dijemput untuk membuat persembahan di University of Rochester semasa program bersama Baba Ali bulan depan. Semoga Allah permudahkan urusan kami.


Anak muda kreatif: Anak Kampung versi hari raya

Dalam hidup, Allah dengan sifat lemah lembutnya memberi kita ujian namun hikmah disebaliknya amat besar jika kita bersabar dan terus memohon kepadaNya agar diberi jalan keluar atas setiap mehnah. Kunci kehidupan, jangan pernah lelah mencari hikmah. Gunakanlah masa kita dengan perkara-perkara bermanfaat agar kita ada jawapan depan Allah.
Wallahualam.

Thursday, September 13, 2012

Apa Kata Mereka...


Salam kepada semua sahabat yang saya muliakan kerana Allah, semoga kita semua dalam lingkungan rahmatNya.
Amma ba’d.

Syariah Islam datang dengan maqasid syariah (objektif syariah), dengan tujuan memelihara agama, darah, akal, harta dan maruah. Begitulah tujuan diutuskan Rasululullah SAW demi menyempurnakan syariat Allah. Jadi dalam entri kali ini, saya suka untuk menaqalkan (quote) kata-kata cendekiawan barat mengenai perundangan Islam yang diambil dari buku Islam Holistik; Praktikal, Sesuai Di Tempat dan Masa tulisan Prof Dr. Yusof Al Qaradawi.

Dr Ezco Ensabato:

“Syariat Islam mengatasi perundangan-perundangan barat dalam berbagai penganalisaannya bahkan ia memberikan kepada dunia, perundangan yang paling kukuh dan kekal.”

Professor Chabrl, dekan fakulti undang-undang, University Vienna berkata:

“Sesungguhnya kemanusiaan berbangga kerana lelaki seperti Muhammad SAW adalah daripada kalangan mereka, kerana walaupun dia seorang yang buta huruf, beliau mampu semenjak beberapa belas kurun yang lalu membawakan perundangan yang akan menjadikan kami orang-orang Eropah lebih bahagia daripada keadaan sekarang walaupun kami akan mencapai kepada kemuncaknya selepas dua ribu tahun.”

Tokoh falsafah dan satera dunia terkenal, Bernard Shaw berkata:

“Sesungguhnya saya sentiasa amat menghormati agama Islam kerana ada padanya kekuatan dan keberkesanan, Ia sahajalah agama yang jelas kepada saya. Islam ialah agama yang jelas kepada saya. Islam adalah agama yang memiliki kekuatan perubahan berjalan seiring dengan kepentingan manusia pada setiap zaman.”

Tokoh sejarah Inggeris, Wales berkata:

“Sesungguhnya Eropah berhutang dengan Islam dalam bidang yang amat besar dalam perundangan pentadbiran dan system perniagaannya.”

Tokoh sejarawan Perancis, Sidio menegaskan:

“Sesungguhnya undang-undang Napoleon adalah dinukilkan daripada kitab fiqh mazhab imam Malik iaitu syarah al Dardir ‘ala Matan Khalil”

Syariah Islam jelas diperakukan oleh mereka sarjana-sarjana barat yang bukan beragama Islam. Namun, malang buat umat Islam didunia khususnya di Malaysia apabila agama tidak lebih daripada amalan-amalan harian. Perbincangan fiqh hanya sekadar rukun Islam yang lima. Pemerintah sedaya upaya menghalang wacana iIlmu di university-universiti kerana bimbang mahasiswa mendapat pencerahan sebenar mengenai undang-undang pentadbiran Islam yang sebenar. Wahai mahasiswa sekalian, Celik dan bangkitlah.

Wallahua’lam.

Saturday, September 8, 2012

Fasa Transisi...


Salam kepada semua sahabat yang saya kasihi kerana Allah. Semoga terus diberi kekuatan untuk istiqamah dengan segala amal-amal soleh yang dilakukan di bulan Ramadhan lepas.
Amma ba’d.

Alhamdulillah saya panjatkan kesyukuran kepada Allah atas segala nikmat dan rahmatNya, saya masih lagi berada di atas muka bumiNya ini. Masih lagi kiranya diberi peluang untuk bertaubat atas dosa-dosa yang menggunung tinggi. Sesungguhnya kita manusia selalu melakukan dosa, namun Allah dengan sifat Ar Rahman, Ar Rahim dan Al Latif, membuka ruang taubat dan kemapunan melebihi luas langit dan bumi. Terpulang kepada kita untuk merebut peluang ini.

Saya menyedari hakikat yang saya bakal menamatkan undergraduate studies saya kurang dari setahun (biidznillah.mohon doa sahabat semua buat kebaikan saya). Apa yang berada dalam kotak pemikiran saya adalah, “Apa arah tuju aku selepas ini?”

Semalam dalam usrah disini, saya bertanyakan hal ini kepada anak-anak buah saya, apa yang mereka akan lakukan selepas habis degree. Masing-masing dengan jawapan tersendiri. Saya tidak mahu bincang sangat arah tuju masing-masing selepas ini. Apa yang saya terfikir adalah, fasa berbaki Sembilan bulan ini adalah fasa memikirkan arah tuju hidup, dakwah, kerjaya, keluarga, dan sebagainya.

Makanya, Sembilan bulan ini selain berusaha untuk mempertingkatkan prestasi akademik, adalah seiring juga kita kena fikirkan bagaimana kita boleh menyumbang kepada masyarakat selepas tamat belajar nanti.

“Sebaik-baik manusia adalah manusia yang bermanfaat kepada manusia lain” (Maksud Hadith)

Apa sahaja yang kita ingin lakukan selepas ini, kita tidak lari daripada tanggungjawab sebenar kita yang telah diamanahkan oleh Allah jalla wa a’la selaku hamba dan khalifah di muka bumi.  Kita mungkin ingin menjadi saintis, ahli perniagaan, cendekiawan, dan teknokrat namun jangan lupa untuk berbakti kepada insan lain. Lantaran itu, segala budaya jahiliyah dan lagha wajiblah kita kikis sedikit demi sedikit dengan menyedari kita akan memasuki satu lagi fasa kehidupan yang lebih mencabar di luar alam kampus. Sikap melambatkan solat, suka baca anime, membuang masa berborak berita-berita gossip, banyak tidur, dan sikap kurang berhemah dalam berbelanja wajiblah dikikis dalam membentuk diri menjadi insan yang bertaqwa dan berkualiti.

Menjadi pelajar tahun akhir merupakan masa transisi dari satu fasa kehidupan ke fasa kehidupan yang lebih mencabar selepas ini, atas sebab ini, persediaan untuk berhadapan dengan pelbagai kerenah masyarakat yang rencam harus dilakukan sebaik mungkin. Di luar sana, pasti kita tidak terjangka untuk bertemu dengan manusia yang berbagai ragam.

Sesungguhnya kamu tetap melalui beberapa keadaan yang bertingkat-tingkat baik buruknya, (dalam kehidupan sebelum kamu menemui Tuhan - menerima kesenangan dan kebahagiaan atau sebaliknya)” (Al Insyiqaq:19)

Mengakhiri entri ini, saya mengingatkan agar peningkatan umur biarlah seiring dengan meningkatnya kematangan dan amalan soleh. Selamat merancang dan berfikir untuk kebaikan sesama insan.
Wallahu’alam.

Kenangan cuti summer di Batu Ferringhi