Sunday, December 9, 2012

Sampaikan Aku KepadaMu Ya Allah...


Salam kepada sahabat semuanya. Semoga rahmat Allah turun mencurah-curah ke atas kita semua.
Amma ba’d.

Hidup merupakan perjuangan. Perjuangan untuk merebut syurga Allah.Perjuangan ini bukan sekadar berjuang untuk mendaulatkan Islam di atas tanah air kita tetapi juga berjuang membebaskan diri daripada belenggu jahiliyah yang mencengkam, berjuang menundukkan hawa nafsu, berjuang menjadi insan soleh dan berjuang untuk menyedarkan masyarakat yang sedang kelalaian. Ramai orang bercita-cita untuk merebut syurga Allah, namun terkadang cita-cita itu lebih daripada usaha itu sendiri. Apabila kita berjuang, ia bukanlah satu kemestian untuk kita memperoleh kemenangan. Dalam perjuangan, kalah atau menang, hanya Allah yang tahu tetapi bagi kita yang faham, berjuang ialah untuk mengutip pahala dan rahmat daripada Allah. Bagi kita yang ingin berjuang di atas jalan Allah, carilah wasilah atau jalan yang dapat menghampirkan diri kepada Allah. Kenapa perlu menghampirkan diri kepada Allah? Allah adalah sumber kekuatan, Allah tempat bergantung harap, dan Allah adalah wali (pembantu) bagi kaum mukminin. Allah berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah wasilah (jalan) yang boleh menyampaikan kepadaNya (dengan mematuhi perintahNya dan meninggalkan laranganNya); dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan.” (Al Maidah 5:35)

Jalan yang dibentangkan kepada kita kadang-kadang terlalu rencam kerana banyaknya persimpangan. Salah satu wasilah untuk menyampaikan kita kepada Allah, hampirkanlah diri kita dengan orang-orang yang soleh. Orang-orang soleh itu bukanlah mereka yang memakai gelaran ustaz, mufti, tok guru dan pelbagai lagi gelaran agama yang lain tetapi orang-orang soleh itu adalah mereka yang sentiasa bertaqwa alam erti kata melaksanakan segala titah perintah Allah dan menjauhi segala larangannya. Mereka yang sentiasa memelihara perkara-perkara halal dan haram. Mereka yang senantiasa berakhlaq dengan akhlaq Rasulullah SAW tatkala susah dan senang. Mereka yang sentiasa basah hati dan bibir mereka berzikir kepada rabbul jalil. Itulah mereka golongan orang yang soleh yang kedudukan mereka di sisi Allah sangat dekat.

Melihat wajah mereka yang adanya nur Allah, menjadikan hati kita yang resah gelisah menjadi tenang. Tidaklah perkataan yang keluar daripada mulut mereka melainkan penuh hikmah dan kelembutan. Setiap nasihat mereka mampu menghidupkan semula hati-hati yang kering. Apabila kita bersama mereka, hati akan berasa begitu tawar untuk bermaksiat kepada Allah. Maha suci Allah dengan segala kebaikan yang dianugerahkan kepada hamba-hambaNya yang soleh.

Bukanlah wali-wali Allah itu mereka yang boleh berjalan atas air, terbang tanpa sayap, hidup tanpa makan dan pelbagai perkara pelik di luar jangkauan akal tetapi wali-wali Allah itu adalah mereka yang  beriman dan bertaqwa kepada Allah seperti mana firman Allah:

“Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa. Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang mengembirakan di dunia dan di akhirat; tidak ada (sebarang perubahan pada janji-janji Allah yang demikian itulah kejayaan yang besar.” (Yunus 10:62-64)

Insan-insan yang soleh ini mereka telah dijamin Allah bahawa tidak ada apa yang akan menggundahkan hati mereka dan mereka tidak bersedih dengan apa yang menimpa mereka. Mudah-mudahan, dengan menghampirkan diri dengan insan –insan soleh, Allah mempermudahkan jalan buat kita menjadi soleh. Tiadalah yang kita kejar dan cari di dunia ini melainkan mardhatillah (keredhaan Allah) semata-mata. Andai Allah redha, apa yang kita hilang? Allah tuhan yang maha berkuasa.

Ya Allah, kami memohon kepadaMu, janganlah Engkau pesongkan hati-hati kami daripada jalan yang Engkau redhai setelah Engkau menganugerahkan kami hidayah dan taufiq. Dan janganlah Engkau serahkan urusan diri kami kepada kami sendiri atau orang lain, kelak kami pasti binasa. Engkau yang maha pengasih dan penyanyang, bimbinglah kami, rahmatilah kami dan masukkanlah kami ke dalam golongan orang yang soleh dn bertawakkal kepadaMu. Amin ya rabbal a’lamin.

Wallahua’lam.

No comments: