Tuesday, December 11, 2012

Neraca Pemikiran Kita...


Salam kepada semua sahabat yang dirahmati Allah, semoga kita tergolong dalam golongan yang sentiasa bersyukur atas segala nikmatNya.
Amma ba’d.

Tamadun Mesir Purba merupakan sebuah tamadun yang hebat dengan binaan piramidnya. Siapa tidak kenal dengan rajanya yang diberi gelaran firaun. Sungguh firaun ini benar-benar melampaui batas apabila sanggup mengaku dirinya sebagai tuhan sedangkan iblis sendiri tidak pernah mengakui dirinya sebagai tuhan. Apa yang terjadi di zaman firaun adalah sesuatu yang kita kenali sebagai pembodohan kaum. Ya! Firaun memperbodohkan kaumnya sebagaimana tercatat dalam Al Quran:

”Dan Firaun pula menyeru (dengan mengisytiharkan) kepada kaumnya, katanya: "Wahai kaumku! Bukankah kerajaan negeri Mesir ini - akulah yang menguasainya, dan sungai-sungai ini mengalir di bawah (istana) ku? Tidakkah kamu melihatnya? Bahkan bukankah aku lebih baik daripada orang yang hina (Nabi Musa) keadaannya ini, dan yang hampir-hampir tidak dapat menjelaskan perkataannya? (Kalau betul ia seorang Rasul) maka sepatutnya ia dipakaikan (oleh Tuhannya) gelang-gelang emas (yang menandakan ia seorang pemimpin), atau datang malaikat bersama-sama dengannya (sebagai saksi tentang kebenarannya)? (Dengan yang demikian), maka Firaun memperbodohkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya; sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasiq - derhaka. Setelah mereka menyebabkan kemurkaan Kami (dengan perbuatan derhaka itu), Kami menyeksa mereka, iaitu menenggelamkan mereka semuanya di laut (sehingga binasa).” ( Az Zukhruf 43:51-55)

Bagi kerajaan yang zalim, skrip mereka berulang sebagaimana yang telah terjadi di zaman firaun.

“Eh, kerajaan dah bagi kamu biasiswa, kamu nak apa lagi?”

“Bersyukurlah, kerajaan yang buat semua sekolah, jalan raya, lebuh raya semua ini. Semuanya demi kemudahan rakyat.”

“Ini satu lagi projek kerajaan, demi rakyat.”

Di semua Negara maju, mereka tidak pernah sesekali menggunakan istilah ‘wang kerajaan’ tetapi istilah yang mereka gunakan adalah ‘wang pembayar cukai’ (taxpayer money). Bagi rakyat yang kurang berfikir, mereka terus hidup dengan doktrin yang sungguh busuk ini sama seperti yang telah menimpa rakyat firaun.
Merenung alam dan memikirkan penciptaannya

Bagaimana kita boleh mengelak dari terkena pembodohan ini? Islam bukanlah agama dogmatik yang lahir di tengah-tengah masyarakat arab jahiliyah tanpa petunjuk wahyu dan dalil. Segala yang terdapat dalam Islam bersumberkan dalil naqli dan aqli. Begitu banyak ayat al quran menyuruh dan menggalakkan kita berfikir.

“Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir.” (Al Baqarah 2:219)

“Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran.” (Ali Imran 3:7)

“Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?” (Al An’aam 6:32)

Cara fikir dan sudut pandang kita harus betul berneracakan Al Quran dan As Sunnah. Kita terlibat dengan usrah ataupun gerakan Islam bukan kerana ikut-ikutan. Kalau kita bergerak atas dasar kerana ‘orang itu buat’, maka proses pembodohan sedang berlaku ke atas diri kita, dan tidak mustahil untuk kita berhenti di pertengahan jalan Islam. Kita mesti membebaskan fikiran kita dari memandang dimensi kesempitan duniawi kepada keluasan ukhrawi. Jika kita mengambil petunjuk selain Al Quran dan As Sunnah, ia mustahil untuk menyampaikan kita kepada Allah. Betulkan cara fikir dan sudut pandang, kita akan jadi umat yang Berjaya, insha Allah. Sebagai pengakhiran, suka saya memetik kata-kata Prof. Tariq Ramadan, “There is no faith without a critical mind” (tiada iman tanpa minda yang kritikal).

Wallahua’lam.

No comments: