Sunday, September 16, 2012

Memaknakan Kehidupan Sebagai Insan...


Salam kepada sahabat yang saya kasihi, semoga Allah mengurniakan keberkatan dalam hidup.
Amma ba’d.

Apa beza antara kita dan binatang yang melata di atas muka bumi Allah, andai hidup hanya memikirkan bagaimana hendak isi perut? Kita selaku khalifah Allah di atas muka bumi harus tunduk dan patuh hanya kepada Allah dan sebarkan mesej kebenaran Islam yang Allah turunkan melalui lisan Rasulullah SAW kepada makhluq sekalian alam.

Cuma sedikit perkongsian, Alhamdulillah sekarang saya semakin nampak kenapa saya dicampakkan di RIT ini yang pada mulanya bukanlah pilihan di hati. Semakin hari Allah menunjukkan mutiara-mutiara hikmah kehidupan di sini. Di sini, saya ditarbiyah dan mentarbiyah, di sini Allah juga menyingkap rahsia dan menyuluh jalan kehidupan. Dipertemukan dengan sahabat-sahabat yang sehati dan sefikrah. Kami mungkin berbeza manhaj pemikiran, tetapi kami meraikan perbezaan yang wujud di antara kami yang membuahkan kebahagiaan dalam berukhuwah.

Seperti saya maklumkan entri sebelum ini, kita mesti menjadi manusia bermanfaat kepada manusia lain. Atas dasar ini, kami ikhwah dan akhawat di RIT mengambil kata sepakat untuk membincangkan Usul 20  Assyahid Imam Hassan Albanna setiap minggu. Apa yang kami harapkan dari perbincangan ini adalah dapat menghasilkan dai’e yang kritikal serta memahami waqi’ (situasi) semasa dalam  kita ingin membawa seruan dakwah. Melalui perbincangan ini juga, kami bebas mengemukakan pandangan dan idea dalam mencari kaedah yang relevan untuk bergerak di medan. Insha Allah, mudah-mudahan Allah memberkati usaha ini.

Cuti summer lepas, saya ada membeli sebuah buku hadith, Syamail Muhammadiyah. Apa yang saya fikir, apa guna kita mengaku umat Rasulullah SAW andai kita tidak betul-betul mengenali susuk tubuh, manhaj dan kehidupan Rasulullah SAW. Dalam buku ini, diceritakan sifat fizikal, cara Rasulullah SAW bergaul, makan, minum, bergurau dan banyak lagi urusan kehidupan Rasulullah SAW dalam seharian.Jadi, saya dan ahli rumah saya mengambil inisiatif untuk membaca satu hadith satu hari selepas setiap kali solat maghrib berjemaah di rumah. Mudah-mudahan usaha ini juga menambah kecintaan kami kepada Rasulullah SAW dan menjadikan hidup kami lebih menepati sunnah baginda.

Berada di Rochester yang kaya dengan tempat-tempat semula jadi yang menarik, menggamit hati kami untuk mengambil peluang mengadakan rehlah dan tadabbur alam. Setiap quarter, kami sentiasa pastikan adanya satu rehlah di tempat-tempat menarik di sini seperti di Mendon Park, Ontario Lake, Letchworth State Park dan juga Seneca Lake. Mendampingi alam menyedarkan kami keagungan dan kebesaran Allah lantas diri menjadi insaf atas kekerdilan diri.


Kenangan untuk diuntai: rehlah di Seneca Lake

Petang hari kami sama-sama beriadah bermain volley ball, pocket billiard dan bola sepak. Semuanya dilakukan demi merapatkan ukhuwah. Kalau ada majlis-majlis di sini, kami adakan persembahan nasyid dan sebagainya, sehinggakan kami dijemput untuk membuat persembahan di University of Rochester semasa program bersama Baba Ali bulan depan. Semoga Allah permudahkan urusan kami.


Anak muda kreatif: Anak Kampung versi hari raya

Dalam hidup, Allah dengan sifat lemah lembutnya memberi kita ujian namun hikmah disebaliknya amat besar jika kita bersabar dan terus memohon kepadaNya agar diberi jalan keluar atas setiap mehnah. Kunci kehidupan, jangan pernah lelah mencari hikmah. Gunakanlah masa kita dengan perkara-perkara bermanfaat agar kita ada jawapan depan Allah.
Wallahualam.

2 comments:

Anas Faris said...

kupasan hang byk yg menarik. terbaik!

~W.A.H.I.E~ said...

syarah usul 20 setiap minggu? menariknya! sedih x dpt join..;(