Friday, December 7, 2012

Di Mana Allah Di Hatimu...


Salam kepada semua sahabat yang saya kasihi kerana Allah. Semoga kita sentiasa dalam rahmatNya selalu.
Amma ba’d.

Bila saya fikirkan semula, sedar tidak sedar, insha Allah masa saya di US hanya berbaki enam atau tujuh bulan lagi. Perasaan memang bercampur baur; antara sayangkan Rochester tempat saya mendalami makna hidup, dan perasaan tidak sabar membuak-buak untuk pulang ke Malaysia untuk bersama keluarga tercinta. Sejak-sejak akhir ini, perasaan saya semakin sensitif apabila bercakap mengenai ibu bapa. Saya pernah menceritakan pengorbanan ayah saya dalam entri yang lepas. Kadang-kadang saya belek gambar emak dan ayah saya di FB, tanpa saya sedari air mata mengalir mengenangkan telah banyak jasa mereka kepada saya sehingga saya berada di tahap ini. Mereka hanya orang kampung biasa namun didikan agama dan ketegasan mereka dalam mendidik membentuk siapa saya di hari ini. Allah berfirman:

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)". (Al Ahqaf 46:15)

Tahap kematangan kita mungkin berbeza; ada yang awal dan ada yang lambat namun usia 40 tahun, merupakan tahap kemuncak untuk seseorang mencapai kematangan yang sempurna dalam hidup. Di umur yang sudah menjengah 22 tahun, kita seolah-olah berada di persimpangan kehidupan. Jalan manakah harus kita pilih? Setiap jalan pasti mempunyai rencana tersendiri. Perlunya kita kepada istikharah dan beristisyarah dengan mereka-mereka yang terlebih dahulu ‘makan garam’  daripada kita. Siapalah yang paling hampir dengan kita andai bukan ibu bapa sendiri. Saya terfikir, setelah hampir sedekad saya tidak membesar di depan emak dan ayah, saya perlu lebih kerap menghubungi mereka. Saya dapati, cara emak saya bersembang dengan saya juga sudah berbeza, lebih terbuka untuk membincangkan topik-topik orang dewasa (politik, pendidikan,dan  pernikahan).
Antara perkara besar yang saya belajar dalam kehidupan apabila hidup berjauhan dengan orang yang kita sayang, dan berjauhan dari zon keselesaan, tahap kebergantungan dan tawakkal hanya kepada Allah sebulat-bulatnya. Tidak ada tempat lagi yang boleh saya mengadu melainkan kepadaNya, As Somad. Bila kita bergantung kepada Allah sepenuhnya, kita akan lebih berkeyakinan untuk kita bergerak dalam kehidupan. Oleh itu, agar kita dipelihara Allah, kita hendaklah menjaga hak-hak Allah. Nabi SAW bersabda:

“Dari Ibnu Abbas RA, katanya: Pada suatu hari aku berada dibelakang Rasulullah SAW (boncengan), lalu baginda bersabda: Wahai anak muda, peliharalah Allah nescaya (Dia) akan memelihara kamu, peliharalah Allah nescaya (Dia) akan berada dihadapan kamu, dan jika engkau memohon maka memohonlah kepada Allah, dan jika engkau meminta pertolongan maka mintalah pertolongan kepada Allah, dan ketahuilah bahawa sekiranya umat berkumpul (bersepakat) untuk memberikan suatu manfaat kepadamu, nescaya mereka tidak akan mampu berbuat demikian melainkan dengan sesuatu yang telah ditetapkan (ditakdirkan) oleh Allah, dan sekiranya umat berkumpul (bersepakat) untuk mendatangkan bencana keatas kamu, nescaya mereka tidak akan mampu berbuat demikian melainkan dengan sesuatu yang telah ditetapkan (ditakdirkan) oleh Allah. Dan telah diangkat segala pena dan telah kering segala buku.” (Hadith Hasan Sahih Imam Tirmizi).

Kenanglah jasa ibu bapa kita dengan berbakti dan berakhlaq dengan mereka. Berdoalah dan bertawakallah kepada Allah dalam hidup, sesungguhya tawakkal adalah perkara paling ajaib dalam dunia.

Wallahualam
Emak dan ayah, Kelantan,2008


No comments: