Showing posts with label perkongsian. Show all posts
Showing posts with label perkongsian. Show all posts

Thursday, January 26, 2012

Kita Di Mana?...

Salam buat ikhwah akhawat dan sahabat yang saya kasihi kerana Allah. Alhamdulillah saya panjatkan kepada Allah atas kurniaan semula semangat yang menghilang. Kadang-kadang Allah sengaja menguji kita dengan lemah semangat supaya kita benar-benar kembali merintih kepadaNya.
Amma ba’d.

Ada satu hadith yang panjang yang menceritakan tentang kepimpinan di dunia ini. Insya Allah saya akan cuba huraikan potongan hadith ini.

Telah berkata kepada kami Sulaiman bin Dawud al-Thayaalisiy; di mana dia berkata, "Dawud bin Ibrahim al-Wasithiy telah menuturkan hadith kepadaku (Sulaiman bin Dawud al-Thayalisiy). Dan Dawud bin Ibrahim berkata, "Habib bin Salim telah meriwayatkan sebuah hadith dari Nu’man bin Basyir; dimana dia berkata, "Kami sedang duduk di dalam Masjid bersama Nabi saw, –Basyir sendiri adalah seorang laki-laki yang suka mengumpulkan hadith Nabi saw. Lalu, datanglah Abu Tsa’labah al-Khusyaniy seraya berkata, "Wahai Basyir bin Sa’ad, apakah kamu hafal hadith Nabi saw yang berbicara tentang para pemimpin? Hudzaifah menjawab, "Saya hafal khuthbah Nabi saw." Hudzaifah berkata, "Nabi saw bersabda, "Akan datang kepada kalian masa kenabian, dan atas kehendak Allah masa itu akan datang. Kemudian, Allah akan menghapusnya, jika Ia berkehendak menghapusnya.

Waktu ini merupakan ketika Nabi memerintah Madinatul Munawwarah. Baginda membuat piagam Madinah yang dikenali sebagai Sohifatul Madinah merupakan perlembagaan bertulis pertama di dunia yang digubal sendiri oleh Rasulullah SAW. Semasa pemerintahan Nabi, umat Islam hidup dalam dunia yang aman tanpa fitnah. Zaman ini sudah lebih 1400 tahun meninggalkan kita. 

Setelah itu, akan datang masa Kekhilafahan ‘ala Minhaaj al-Nubuwwah; dan atas kehendak Allah masa itu akan datang. Lalu, Allah menghapusnya jika Ia berkehendak menghapusnya.

Kemudian legasi pemerintahan khalifah diteruskan oleh Khulafa’ Arrasyidun Almahdiyun. Zaman ini Islam disebarkan dengan rancak dan pada zaman Saidina Umar sendiri menakluk Palestin. Pelbagai pembaharuan dilakukan zaman ini termasuk dalam bidang pentadbiran, pertanian, dan pembukuan Alquran. Bibit-bibit fitnah sudah mula timbul semasa pemerintahan Saidina Ustman dan Saidina Ali dan mereka sendiri dibunuh. Zaman ini juga telah lama meninggalkan kita namun jasa dan pengorbanan mereka mempunyai nilai yang amat tinggi untuk kita hayati serta teladani.

Setelah itu, akan datang kepada kalian, masa raja menggigit (Mulkan ’Adhan), dan atas kehendak Allah masa itu akan datang. Lalu, Allah menghapusnya, jika Ia berkehendak menghapusnya.

Zaman ini merupakan zaman pemerintahan monarki dan tampuk pemerintahan Islam berjalan sehingga ribuan tahun bermula dengan zaman Umayyah kemudian kerajaan Abbasiyah diteruskan pula oleh kerajaan Uthmaniyyah. Zaman ini merupakan paling lama bermula dari tahun 660 M sehinggalah jatuhnya kerajaan Uthmaniyyah pada tahun 1924 M. kerajaan ini dikenali sebagai kerajaan menggigit kerana pemerintahan diwarisi kepada anak-anak atau kaum kerabat khalifah yang memerintah. Sebagai contoh Khalifah Harun Arrasyid digantikan oleh anaknya Khalifah Almakmun (Zaman Abbasiyah) dan Sultan Murad digantikan oleh anaknya Sultan Muhammad Alfateh (Zaman Uthmaniyyah). Perkembangan ilmu, tamadun, serta teknologi berlaku pada zaman ini. Perluasan wilayah takluk Islam juga berkembang dengan amat pesat semasa era Khalifah ini. Dan zaman ini sudah hampir sekurun meninggalkan kita.
Sejarah pasti berulang

Setelah itu, akan datang masa raja diktator (Mulkan Jabariyyan); dan atas kehendak Allah masa itu akan datang; lalu Allah akan menghapusnya jika berkehendak menghapusnya. Kemudian, datanglah masa Khilafah ‘ala Minhaaj al-Nubuwwah (Khilafah yang berjalan di atas kenabian). Setelah itu, baginda diam".(HR. Imam Ahmad)

Kemudian datang satu pemerintahan yang mana pemimpin yang jahil lagi zalim memerintah bermula dengan Mustafa Kamal Attartuk di Turki, Jamal Abdul Naser di Mesir, Ben Ali di Tunisia, Muammar Ghadafi di Libya, Basyar Al Assad di Syiria dan Hosni Mubarak di Mesir. Mereka memerintah berasaskan ketenteraan dan mereka menghukum sesiapa sahaja yang tidak sehaluan dengan mereka. Lihatlah berapa ramai ahli Ikhwanul Muslimin dipenjarakan. Lihatlah juga berapa ramai pejuang IM diusir keluar dari Mesir termasuklah Prof Sheikh Dr Yusof Alqardawi. Zaman ini sedang berlaku dan di ambang kejatuhan. Kita sudah lihat Ben Ali sudah tumpas di Tunisia, Hosni Mubarak sudah tumpas di Mesir, Muammar Ghadafi sudah tumpas di Libya. Kita juga sedang menyaksikan kebangkitan beberapa parti politik Islam di dunia seperti parti An Nahda di Tunisia, Parti Hurriyah wal ‘Adalah (Freedom and Justice Party) yang merupakan sayap IM di Mesir, Parti HAMAS di Palestin, dan Parti AKP di Turki di mana Recep Tayyip Erdogan yang merupakan anak didik Dr Erbakan Necmettin (pengasas Parti Refah) mengepalai Turki sekarang ini. Di Malaysia kita juga boleh lihat parti yang memperjuangkan Islam sedang melakukan transformasi supaya masyarakat yang berbilang bangsa lebih lunak dengan Islam. Nak tahu? Sila kaji sendiri..:)
                                            Celakanya Bashar Al Assad

Persoalan yang ingin saya timbulkan, di saat sahabat serta saudara kita berjuang bertungkus lumus memenangkan Islam, kita di mana? Nabi telah menjanjikan bahawa Rom, Parsi dan Konstantinopel akan jatuh ketangan Muslim dan semua janji Nabi telah terbukti benar. Apakah kita meragukan janji Nabi SAW yang ini?Janganlah.

Islam sudah ingin kembali semula ke puncaknya. kita masih longlai?ayuh bangun.
wallahu'alam.

Wednesday, January 18, 2012

Mencari Solusi...





“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang membawa kepada kerosakan” (17:32)

Mencari-cari solusi? Lihat video di bawah


Selamat beramal..:)

Tahniah kepada kerajaan negeri Kelantan kerana menganjurkan program Taysir Alziwaj (permudahkan pernikahan).Baca di sini.

Wednesday, November 30, 2011

4S...

Salam buat semua, Alhamdulillah atas segala kurniaan Allah. Marilah kita bermuhasabah akan segala nikmat-nikmat Allah kepada kita. Cuba bandingkan pula nikmat yang kita terima dan dosa yang kita lakukan. Apakah sama banyak? Saya mohon ampun daripada Allah atas segala kekhilafan yang saya lakukan. Astaghfirullahal a’zim.
Amma ba’d.

Saya mulakan entri kali ini dengan memetik ayat Al Quran daripada surah An Nur ayat 32:

Dan kahwinkanlah orang-orang yang bujang diantara kamu, dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka MISKIN Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui.” (24:32)

Memang setiap kali roadtrip topik perkahwinan ataupun bait almuslim ini tidak terlepas daripada diperbincangkan. Secara jujurnya, atas sebab ini saya suka kalau kereta yang saya pandu semuanya adalah kaum adam sahaja supaya pandangan dan pemikiran lebih luas untuk dikongsikan. Kalau naik dengan kaum hawa, mungkin tidak serancak seperti bermusafir bersama dengan orang lelaki ini untuk membincangkan topik ini. Banyak perkara yang kami bincang namun topik ini antara topik terpanas dalam kalangan orang-orang bujang walaupun cuaca di luar di bawah 5’C.

Sama ada sedar atau tidak, umur masing-masing sudah menjengah 20 an, umur yang saya kira sudah agak matang bagi memulakan langkah untuk memikirkan soal pasangan hidup. Kebiasaannya, di fatrah (fasa) ini, ramai kita mula menanamkan azam dan tekad bagi mencari pasangan yang ideal. Jadi sukalah saya untuk berkonsgi secebis pandangan tentang pemilihan bakal peneman hidup. Ia terangkum dalam 4S.

SEPADAN
Mencari pasangan yang sepadan ini bermaksud, memilih pasangan yang sesuai di pandangan kita. Maksud yang sesuai ini bolehlah dilihat dari segi kecantikan paras rupa, kebaikan hati budi serta kesopanan akhlak. Carilah pasangan yang cantik di mata kita, jangan cari yang cantik di mata orang lain.

SEKUFU
Sekufu ini pun boleh ditakrif dengan pelbagai maksud tetapi saya lebih suka untuk melihat dari segi pendidikan. Kebiasaannya, seseorang yang belajar di luar Negara akan mencari pasangan di luar Negara juga. Tidak kisah sama ada Negara tempat mereka belajar sama atau tidak. Ini penting bagi menghidupkan rumah tangga dan agar ‘bahasa’ yang akan digunakan semasa berumah tangga kelak adalah sama. Jika seseorang menggunakan ‘bahasa’ akademik, dia akan mengharapkan agar pasangannya mampu bertutur menggunakan ‘bahasa’ yang sama. Begitu juga jika seseorang itu menggunakan ‘bahasa’ agama, dia mengharapkan isterinya menggunakan ‘bahasa’ agama juga.

SEFIKRAH
Sefikrah ini bermaksud mempunyai pemikiran yang sama dalam kehidupan. Jika si suami berfikrah kuning, dia akan mengharapkan bakal isterinya juga berfikrah kuning. Jika si suami berfikrah ungu, itu juga yang diharapkannya daripada isterinya. Ini antara elemen yang dapat menguatkan perjuangan si suami serta dapat mewujudkan suasana harmonis dalam rumah tangga dakwah (bait addakwah). Si isteri menjadi penguat semangat serta sayap kiri kepada perjuangan si suami dan si suami dapat membimbing isterinya dan anak-anak kearah jalan yang diredhai Allah.

SEHATI & SEJIWA
Dalam banyak perkara, hal ini penting bagi mewujudkan kasih saying dalam keluarga. Untuk mencapai sehati dan sejiwa ini, kebiasaannya suami dan isteri berkongsi minat yang sama. Sebagai contoh, kalau si suami suka menonton iron chef (Food Channel), si isteri juga suka menonton channel yang sama. Begitu juga berkongsi hobi dan aktiviti masa lapang. Tidak terkecuali juga jika si suami minat bercerita tentang ekonomi, si isteri juga berkongsi minat yang sama. Sehati dan sejiwa ini juga elemen yang dapat melahirkan sikap tolak ansur dan toleransi sesama pasangan suami isteri apabila berumah tangga kelak.

Ramai orang selalu sangat mengimpikan seseorang yang ideal tetapi dalam masa yang sama, barangkali terlupa mungkin, tidak berusaha membentuk diri sendiri menjadi ideal mengikut acuan Al Quran dan Sunnah Nabi Muhammad SAW. Lebihnya pada mencari berbanding menjadi. Sekarang ini, apa yang perlu kita lakukan adalah melakukan turning point dalam pemikiran kita. Berusahalah untuk menjadi orang yang baik dan insya Allah pasangan kita kelak adalah daripada kalangan orang yang baik juga. Saya sudahkan entri kali ini dengan memetik ayat Al Quran daripada surah An Nur ayat 26:

Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula). Mereka (yang dituduh) itu bersih dari apa yang dituduhkan oleh mereka (yang menuduh itu). Bagi mereka ampunan dan rezeki yang mulia (syurga)” (An Nur:26)


"aku hanya ingin cinta yang halal,
di mata dunia dan di akhirat"

"aku hanya ingin cinta yang halal,
dengan dia tentu atas izin-Nya"

Wednesday, March 30, 2011

Jangan Main Belakang..

Salam buat sahabat, semoga sihat dan bertambah amal kebajikan serta berkurangan jahilliyah dalam diri kita.
Amma ba’d.

Kali ini saya tidak berhasrat mahu melencong lagi. Tajuk kali ini memang berkaitan cinta, baitul muslim atau yang sewaktu dengannya. Kebelakangan ini, saya lihat rakan-rakan semakin rancak berbicara isu kahwin. Satu pujian harus saya hamburkan buat sahabat-sahabat kerana semakin meningkat minda dan tahap kematangan. Kanak-kanak tidak akan memikirkan soal perkahwinan, berumah tangga, mencari calon dan sebagainya kerana mereka masih di dunia ‘main-main’.

Proses menuju ke tangga baitul muslim adalah proses menjadi bukannya proses mencari. Kadang-kadang kita sibuk mencari calon yang soleh/solehah dengan harapan baitul muslim yang dibina akan berkekalan bahagia hingga ke akhirat. Salahkah? Tidak salah sama sekali cuma sebelum itu marilah sama-sama kita bermuhasabah diri adakah kita sudah benar-benar soleh/solehah. Kita tidak boleh tentukan sama ada kita soleh atau solehah tetapi orang sekeliling kita lah yang boleh menilai sama ada kita soleh/solehah. Itupun penilaian manusia bukanlah penilaian yang hakiki kerana manusia hanya nampak apa yang zahir. Atas sebab ini, perkahwinan itu sendiri merupakan proses menjadi insan soleh dan solehah. Tidak perlulah mencari yang terlalu sempurna kerana khuatir apabila kita nampak kekurangan dan kelemahan pasangan kita selepas berkahwin kelak akan menimbulkan penyesalan.

Lebih kurang dua bulan lepas, ada senior senior saya bertanya kepada seorang sahabat saya di sini.

“Eh, Nazrul tu dah ‘ade’ ke?”

“Hurm.entahlah, die tu kuat berahsia sikit.”

Alhamdulillah, satu lagi pujian buat sahabat saya yang seorang ini atas jawapan yang sangat tepat diberikan. Saya sangat terbuka untuk berbincang mengenai agama,akademik,politik, ekonomi, sukan, movie, lagu hits terbaru dan sebagainya.  Namun, apabila berbicara mengenai calon isteri (kalau dah ada), sahabat yang paling rapat dengan saya pun tidak akan tahu. Sahabat terapat saya boleh beritahu bila waktu saya happy, bila saya marah, saya suka makan apa, apa hobi saya, di mana saya berada pada waktu-waktu tertentu tetapi untuk mengcungkil rahsia saya yang satu ini, insya Allah mereka tidak akan tahu selagi masanya belum tiba.

Kenapa saya begitu berahsia? Saya mempunyai pendirian bahawa dalam bab ini, orang pertama yang berhak untuk tahu adalah kedua ibu bapa saya. Mana mungkin saya membelakangi pengetahuan ibu yang bersusah payah mengandungkan saya dan ayah yang siang malam bekerja keras menyara kehidupan saya. Kadang-kadang habis semua kawan-kawan di US, UK, Aussie, Malaysia dan di merata tempat lagi sudah tahu kita memang ada affair dengan sekian-sekian orang tetapi ibu bapa yang membesarkan kita dari kecil, dibelainya dengan kasih sayang, ditatangnya bagai minyak yang penuh tidak tahu tentang calon menantu mereka. Kenapa mereka perlu tahu? Mari kita renungi sebuah hadis Rasulullah SAW:

"Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa.

Rasulullah SAW tidak menjanjikan keredhaan Allah melalui keredhaan selain keredhaan ibu dan ayah. Kadang-kadang saya memerhati sesetengah pasangan muda bercinta bagai nak rak, berjanji sehidup semati tetapi kesudahannya berkahwin dengan orang lain. Atas dasar ini, sesiapa dari kalangan kita yang rasa telah bertemu calon pilihan hati, jangan pernah segan untuk luahkan kepada ibu bapa kalian; kawan-kawan kemudian pun tidak mengapa. Ingat keredhaan Allah terletak pada keredhaan mereka. Jika tidak hadir redha mereka dalam hidup kita, bahagia yang ingin dikecapi hanyalah sebuah angan-angan. Saya mengingatkan diri saya dan sahabat-sahabat sekalian, jangan main belakang.

Wallahua’lam.

setitis air mata ibu yang gugur kerana kesedihan
segaris luka di hati ibu kerana kederhakaan
tertutup pintu syurga jika tiada keampunannya
azimat ini ku tanam di lubuk hati yg dalam.

Tuesday, March 1, 2011

MenJadI HaraPanKu..

Salam buat sahabat-sahabat sekalian. Mudah-mudahan dipermudahkan Allah dalam setiap urusan.
Amma ba’d

Bagi yang sedang bercuti sekarang, selamat bercuti diucapkan. Rancanglah percutian kalian dengan baik dan buatlah aktiviti yang berfaedah.

Bagi saya, perjalanan di RIT ini memang diatur oleh Allah dengan rapi. Saya selaku khalifah di atas muka bumiNya hanya mampu melakukan yang termampu bersama teman-teman seperjuangan disini. Alhamdulillah saya panjatkan kesyukuran kepada Allah atas kejayaan penganjuran program ISK di RIT. Harapan saya agar biah solehah di RIT dapat diwujudkan, seterusnya Islam mekar di bumi Rochester ini.

Saya masih teringat ketika pergi ke Muktamar di St. Louis lebih kurang 2 bulan lepas. Ada yang bertanya

“berapa orang peserta dari RIT?”

“kitorang datang dengan lima kereta”

“wah ramainya. Sebelum ini tak de pun students RIT datang ke Muktamar.sekali datang lima kereta”
 kami di rumah Dr Roslan, Pengarah MSD Chicago selepas program muktamar

Mungkin selama ini, RIT hanya kolej kecil yang terpencil di Rochester namun selepas kehadiran students RIT yang ramai ke muktamar dan kejayaan penganjuran program ISK yang pertama kalinya diadakan di RIT ini, menjadi harapan saya agar RIT tidak dipinggirkan lagi dalam program-program yang dianjurkan MISG dan sebagainya. Bukan saya ingin mengatakan bahawa selama ini RIT dipinggirkan oleh mana-mana pihak, tetapi keterlibatan pelajar-pelajar RIT memang kurang.

Apa-apa pun, saya selaku pengarah program bagi program ISK 2011 mengucapkan jutaan terima kasih kepada peserta-peserta dan speakers dari RIT, SUNY Buffalo, dan Penn State University. Saya juga memohon maaf atas segala kekurangan dan kesilapan teknikal. Semoga Allah memberkati usaha kita dan Islam terus subur berkembang di bumi Amerika. Kepada committees ISK RIT 2011, tahniah dan terima kasih atas kerjasama dan kerja keras kalian mengadakan program kita kali ini. Mudah-mudahan Allah menjadikan kita lebih kuat dalam perjuangan. Insha Allah
Seeru a’la barakatillah.

P/S: sasaran kami (RIT students) selepas ini adalah menjuarai permainan bola sepak dalam Midwest Game 2011 di Wisconsin nanti. Insha Allah..:)

Wednesday, February 23, 2011

SenaSib DenGan SiaPa...

Assalamualaikum buat semua sahabat yang saya kasihi. Moga kita selamat di dalam rahmat dan inayah Nya.
Amma ba’d

Ada dua kisah yang saya rasa menarik untuk dikongsi bersama. Ia berkisar tentang kehidupan para Sahabat Rasulullah SAW sekitar 1500 tahun yang lalu tetapi ibrahnya sangat bermanfaat untuk kita pada hari ini.

Kisah Salman Al Farisi Radhiallahu An’hu

Siapa tidak kenal dengan Salman Alfarisi, pemuda Parsi yang memeluk agama Islam setelah melihat kebenaran risalah yang dibawa Nabi Muhammad SAW. Salman al Farisi juga merupakan seorang yang bertanggungjawab membawa kemenangan kepada umat Islam dalam perang Khandak (perang parit). Beliaulah yang mencadangkan agar tentera Islam menggali parit di sekeliling Madinatul Munawwarah agar pihak musuh tidak berjaya mencerobohi kota Madinah. Kisah yang ingin saya bawakan kepada sahabat sekalian adalah kisah cinta beliau. Diceritakan bahawa Salman al Farisi telah jatuh hati kepada seorang gadis solehah di Madinah lalu memanjangkan hasratnya kepada saudaranya yang soleh(melalui persaudaraan muhajirin-ansar) yakni Abu Darda’. Lalu Abu Darda’ dengan senang hati bergegas ke rumah gadis solehah tersebut dengan niat menyunting kuntuman bunga yang sedang mekar tak disentuh dek mana-mana kumbang buat saudaranya, Salman al Farisi. Manakan mungkin kuntuman mawar yang memelihara dirinya itu membiarkan dirinya disentuh dengan mudah oleh kumbang durjana.  

Apabila disampaikan lamaran itu kepada wali gadis tersebut oleh Abu Darda’, maka berdebarlah hati Salman al Farisi menantikan jawapan dari si gadis yang duduk di sebalik tabir. Telah berkata wali gadis tersebut bahawa, hal itu selayaknya dijawab tuan empunya badan. Selepas mendapat jawapan dari gadis solehah tersebut, bertambah berdebarlah Salman Al Farisi untuk mendengar keputusannya. Ternyata, Salman Al Farisi bertepuk sebelah tangan dan perasaan cintanya itu hanya bersifat satu arah. Rupanya-rupanya, gadis solehah tersebut berkenan bersuamikan si pelamar, Abu Darda’. Tetapi haruslah difahami, bahawa Salman Al Farisi adalah sahabat Rasululullah SAW  yang agung, beliau hanya pasrah dan redha dengan ketentuan taqdir. Beliau langsung tidak merungut malah jauh sekali menyalahkan taqdir. Inilah tahap iman para sahabat. Subhanallah

Kisah Saidina Ali Karamallahuwajhah

Sekarang mari kita hayati kisah Saidina Ali. Siapa tidak kenal Saidina Ali yang merupakan seorang yang Allah muliakan wajahnya kerana tidak pernah menyembah berhala. Beliau juga merupakan salah seorang sahabat yang dijamin syurga dan merupakan seorang yang sangat bijak. Rasulullah sangat mengenali saidina Ali kerana Rasulullah SAW dipelihara oleh bapa saidina Ali sewaktu kecil yakni Abu Talib. Kisah Saidina Ali kali ini juga tentang kisah cinta beliau kepada Fatimah Azzahra binti Rasulullah. Siapakah Fatimah binti Rasulullah ini? Beliau bukan sahaja memiliki paras rupa yang jelita tetapi mempunyai akhlak yang sangat mempesona hasil didikan sang ayah, pembawa risalatul haq dari Rabbul A’lamin. 

Saidatina Fatimah dan Saidina Ali merupakan teman akrab sejak kecil. Mana mungkin tidak timbul bibit cinta diantara mereka. Mereka telah mengenali hati budi masing-masing sejak kecil, mana mungkin hati tidak terpaut. Apabila Saidina Ali sampai umur matang, umur yang membolehkan beliau memikul tanggungjawab sebagai seorang suami dan ayah, maka makin membuaklah cintanya kepada Saidatina Fatimah bagaikan mengalirnya air sungai yang deras tanpa mampu disekat lagi. Akan tetapi beliau sedar dirinya miskin tidak berharta. Apakah Rasulullah SAW akan memandangnya jika beliau menyatakan hasrat ingin memperisterikan gadis solehah Rasulullah SAW? perasaan cinta dan malu sering bertembung dalam dirinya. Saban hari beliau melihat orang-orang kenamaan seperti Saidina Abu Bakar Assidiq RA, dan  Saidina Umar Alkhattab datang melamar sang puteri solehah namun kedua-duanya ditolak dengan baik oleh Nabi Muhammad SAW. Saidina Ali menjadi semakin bingung. Menantu yang bagaimanakah yang diinginkan Rasulullah SAW? Adakah yang seperti Saidina Usman bin Affan, saudagar kaya yang telah menikahi puteri Rasulullah SAW yang lain, Siti Ruqayyah atau seperti  Abul A’sh ibnu Rabi’ah ,saudagar kaya Quraisy yang menikahi saidatina Zainab, puteri Rasulullah SAW yang lain. Antara harapan dan bimbang bergelojak di jiwa beliau. Masih ada harapan memiliki Saidatina Fatimah lantaran lamaran Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar ditolak. 

Namun kebimbangan melanda diri memikirkan diri tidak standing Saidina Usman dan Abul A’sh, menantu Rasulullah SAW yang lain.  Namun saudara-saudara Saidina Ali dari kalangan Ansar menyarankan agar mengapa tidak beliau sahaja yang memberanikan diri menyunting kuntuman mawar indah dan harum itu.  Kata saidina Ali kepada yang berkata itu “aku hanyalah pemuda miskin yang tidak berharta, apakah aku dipandang oleh Raslulullah SAW?”. “jangan risau saudaraku, kami di belakang kamu”. Berbekalkan semangat dan keberanian, beliau menuju ke rumah Nabi Muhammad SAW dengan harapan mawar mewangi itu dapat beliau miliki. Setelah menyatakan hasratnya, ternyata cinta beliau berbalas dan Saidina Ali tidak bertepuk sebelah tangan. Rasulullah SAW menerima lamaran Saidina Ali. Subhanallah

Ibrah Kisah Cinta Ini

Demikianlah dua kisah cinta insan-insan soleh yang mencintai gadis solehah dambaan hati. Namun cinta yang seorang itu berbalas dan cinta yang seorang lagi hampa tanpa bicara. Kenapa saya buat post ini? Minggu lepas ada seorang sahabat yang sedang belajar di..(dirahsiakan) buzz saya di skype.

“yun, down giler doh”
“nape weyh”

Sunyi  tidak berbalas namun selang dua tiga hari sahabat yang sama menyapa lagi di skype. Kali ini moodnya happy.

“Kenape down hari tu.cite la.tak kan dengan aku pun nak berahsia.commonla”
“haha.tak de pape la.”
“ala,cite la”
“hurm, macam ni, aku baru tengok filem ketika cinta bertasbih (KCB).pergh!!best gile kalau dapat jadi macam Khairul Azzam tuh. Erm, aku ade minat kat seorang muslimat ini tapi..”
“tapi ape?”
“tapi..hurm,ade sorang mamat ni asyik kacau je.asal aku minat, ade je die”
“ooo.ingatkan pasal exam ke ape ke………….”

Jadi, saya faham perasaan yang berlegar-legar di minda sahabat-sahabat saya sebab kita sama level. Saya mesti mengakui bahawa kalau kita tidak dapat seseorang yang kita berkenan memang frust nya hanya Allah yang maha mengetahui kerana soal hati dan perasaan bukan persoalan kecil. Jadi, sedikit perkongsian daripada saya, jika kita berkenan kepada seseorang setelah kita redha kepada agama, akhlak dan budi pekertinya, maka berdoalah kepada Allah agar Allah membukakan hatinya untuk kita. Perbaikilah segala kekurangan diri dan tanamlah cita-cita untuk menjadi suaminya yang soleh yang dapat membimbing dia dan anak-anak menuju syurga ilahi. Mudah-mudahan Allah memperkenankan doa kita. Senasib dengan siapakah kita? Dengan saidina Ali yang cintanya berbalas atau Salman al Farisi yang hanya bertepuk sebelah tangan..

Wallahua’lam.

Wednesday, October 27, 2010

KeKuataN jiWa...

Salam buat sahabat-sahabat yang dikasihi kerana Allah. Semoga kita terpelihara daripada fitnah duniawi yang semakin mencengkam.
Amma ba’d 

Tajuk hangat yang menghiasi akhbar di Malaysia, facebook, blog dan sebagainya adalah beberapa tindakan pihak kerajaan yang kelihatan tidak selari dengan syara’ seperti penganjuran Islamic Fashion Festival, pembinaan menara warisan (hak rakyat dikebelakangkan) dan terbaru ingin menjadikan Malaysia hub spa dan pusat hiburan.

Membaca berita-berita ini, saya teringat kata-kata Allahyarham bekas mufti Selangor, Dato’ Ishak bin Baharom “saya bukan anti-kerajaan, tetapi anti kemungkaran”. Beliau berkata sedemikian selepas dipecat daripada memegang jawatan mufti oleh Tun Dr Mahathir selepas beliau mengeluarkan fatwa mengharamkan pertandingan ratu cantik di Malaysia pada tahun 1998. Jadi segala kritikan yang dilontarkan oleh anak-anak muda di facebook,blog dan sebagainya menandakan anak muda sekarang semakin matang dan telah nampak bahawa hakikat hidup sebagai seorang muslim itu sangat tenang dan terbaik. Mana tidaknya, ada sesetengah kawan-kawan mereka rosak disebabkan melakukan aktiviti-aktiviti tidak bermoral seperti minum arak,berjudi,berzina dan merempit. Andai mahu ditambah lagi tempat-tempat hiburan ini, gejala tidak bermoral ini akan semakin menjadi-jadi dan anak-anak muda yang lalai ini akan terus leka dengan duniawi yang tidak pernah surut.

Anak-anak muda ini adalah warisan kepimpinan masa hadapan. Kenapa perlu mendedahkan atau menyajikan mereka dengan perkara-perkara yang meransang syahwat? Kenapa tidak mendedahkan mereka dengan program-program atau latihan kepimpinan? Duit lima billion (RM 5 000 000 000) boleh digunakan untuk mengadakan pelbagai program serta mewujudkan pusat-pusat IT di kampung bagi mencelikkan IT kepada warga desa.

Hendak bercakap banyak pun saya bukanlah ahli sangat dalam bidang ekonomi, Cuma saya merasakan keutamaan harus diberikan untuk menjana modal insan kerana ini pelaburan bagi jangka masa panjang yang akan membawa lebih banyak manfaat kepada Negara. Sebagai contoh, jika digunakan duit bagi menghantar pelajar-pelajar melakukan kajian dalam bidang perubatan, menyambung ke peringkat PhD, mewujudkan pusat kajian bioteknologi, saya yakin ekonomi Negara akan dijana dengan lebih pesat.

Sebenarnya, ini bukanlah topik sebenar yang ingin saya warkahkan kali ini tetapi sebagai rakyat yang sayang dan prihatin akan negaranya, saya tidak boleh terlepas pandang kepada setiap yang berlaku di Negara kita.
Inilah fitnah akhir zaman yang sangat mengelirukan minda kita terutama anak-anak muda. Entri kali ini suka untuk membicarakan kekuatan jiwa. Kita hidup di zaman yang terlebih jahil daripada masyarakat arab jahiliah, sebagai contoh anak yang dikandung sudah dibunuh sedangkan masyarakat arab jahiliah menunggu anak perempuan selamat dilahirkan baru dibunuh.

Di dalam dunia ini kita tidak ada tempat berlindung daripada fitnah duniawi yang semakin mencengkam melainkan bergantung harap (bertawakkal) sepenuhnya kepada Al Khaliq. Fitnah terbesar bagi anak muda hari ini ialah mereka disuntik dengan pemikiran materialisma, dan hedonisma. Mereka terkeliru jalan mana harus dipilih dalam mengharungi usia remaja. Oleh itu, ada satu amalan yang dapat menguatkan jiwa serta dapat mendekatkan diri kepada Allah Azza Wajalla. Allah berfirman :

“Wahai orang yang berselimut, bangunlah sembahyang tahajud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat). Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit daripada separuh itu. Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya: dan bacalah al-Quran dengan ‘Tartil’ (perlahan-lahan). Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat (wahyu yang mengandungi perintah yang berat). Sesungguhnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya”.(73:1-6)

Amalan qiamullail merupakan satu amalan Rasulullah SAW yang menjadi tuntutan ke atas umatnya. Amalan bertahajjud di malam hari merupakan masa dimana rahmat Allah turun ke bumi, dan Allah lebih mendengar rintihan hambaNya yang bersusah payah bangun semata-mata kerana ingin bertemu Allah. Di saat orang lain masih tidur, kita bangun menghadap Allah, apakah masih tidak dipandang Allah? Yakinlah, Allah memandang kepada hamba-hambaNya yang ikhlas bangun untuk menghadapnya.

Sabda Rasulullah SAW Barang siapa yang mengerjakan solat malam, dan dia membangunkan solat, maka Allah memuliakan dia dengan sembilan perkara: Lima perkara di dunia dan yang empat lagi di akhirat.
Sembilan perkara tersebut adalah:

 Di dunia


  • Dia dijaga oleh Allah daripada beberapa bencana.




  • Berkat ketaatannya, akan nampak tanda soleh pada wajahnya.




  • Dia disukai oleh hamba Allah yang soleh dan  semua manusia.




  • Ucapannya mampu mengeluarkan kata-kata yang penuh hikmah.




  • Cepat memahami dan mendapat ilmu pengetahuan.





  • Di akhirat


  • Dia dibangunkan dari kubur dengan wajah yang putih berseri.




  • Diringankan hisabnya.




  • Melalui titian siratul mustaqim bagaikan kilat yang menyambar.




  • Diberi buku catatan amalannya melalui tangan kanannya di hari kiamat. (Raudhatul Ulama).





  • Khulasahnya, kita tidak mampu melindungi diri kita daripada fitnah duniawi melainkan kita serahkan hidup kita sepenuhnya kepada Allah agar dipelihara dalam iman senantiasa.

    Ayuh cari kekuatan jiwa dalam uzlah yang lama di malam hari.

    Monday, October 4, 2010

    2:216.....

    Alhamdulillah dizahirkan segala kesyukuran kepada Allah tuhan sekalian alam. Tuhan yang maha esa serta memiliki alam semesta dan kepada Nya kita semua akan dikembalikan.
    Amma ba’d.

    Sedar tidak sedar, sudah sebulan dan seminggu saya berada di perantauan. Allah telah mencampakkan saya di bumi Rochester yang aman dan damai. Bumi yang saya lebih nampak akan kekuasaan Allah. Saya akui, saya tidaklah dilanda homesick kepada ahli keluarga saya di Malaysia kerana selalu sahaja berhubung dengan mereka melalui skype, facebook dan sebagainya. Sebenanya, walaupun keluarga jauh di Malaysia tetapi saya mempunyai ramai ‘ahli keluarga’ di sekitar bumi Amerika ini. Lagipun emak saya mencadangkan supaya saya tidak balik pada tahun hadapan tetapi ambillah peluang untuk berjalan-jalan meneroka bumi ciptaan Allah sementara diberi peluang. Kata orang “erti hidup pada memberi” (tagline Ustaz Hasrizal). Jadi saya ingin berkongsi gambar-gambar sepanjang saya berada di bumi Rochester ini.

    Skalny Room: tempat sembahyang jumaat

                                              Park Point: rumah saya paling hujung sebelah kanan

                                                RIT: sekitar kampus saya

                           suasana di pasar awam Rochester (Public Market of Rochester)

                                                       bermulanya autumn season 

                                                    di persimpangan Riverknoll

                                             aktiviti mingguan: bermain futsal dalam liga RIT

                                                       they are future nation developers..

    Alhamdulillah sebulan pertama dilepasi dengan pelbagai pengalaman dan cabaran. Saya memohon kepada Allah agar perjalanan saya di Rochester sentiasa dibimbing Allah SWT. 

    Saturday, October 2, 2010

    Oh BeratNya AmaNah iTu...

    Salam buat sahabat-sahabat yang dikasihi kerana Allah.Semoga hidup ceria selalu
    Amma ba’d

    Semakin bertambah hari maka semakin bertambah usia kita dan berkurang umur kita. Hidup tidak pernah lekang daripada ujian yang adakalanya terasa tidak mampu untuk ditempuhi. Saban hari kita dapati bahawa hidup menjadi semakin rumit. Sebenarnya kita tidak perlu mengeluh dan terkejut dengan keadaan ini kerana Allah telah berfirman:

    “sesungguhnya kamu melalui tingkat demi tingkat (dalam kehidupan).” (84:19)

    Ayat ini jelas memberitahu kepada kita bahawa semakin meningkat usia kita,semakin  banyak cabaran yang akan kita tempuhi. Keadaan ini sekaligus memahamkan kita, semakin kita dewasa maka tanggungjawab kita semakin besar.

    Tanggungjawab itu berat

    Memang untuk kali ini, saya ingin berkongsi sedikit sebanyak tentang tanggungjawab. Rasulullah SAW bersabda:

     Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap kepimpinanmu (Hadis riwayat al-Bukhari)

    Andai kita tidak memimpin organisasi ataupun persatuan sekalipun, semestinya kita adalah pemimpin kepada diri sendiri. Kita bertanggungjawab terhadap harta kita, ibadah kita, umur kita dan masa kita. 

    Saya sendiri sebagai contoh, kalau lima tahun lepas tanggungjawab saya hanyalah sebagai hamba Allah, anak, pelajar, abang kepada adik-adik saya, adik kepada kakak saya dan ahli masyarakat. Namun, tiga tahun lepas tanggungjawab saya yang sedia ada ditambah lagi dengan memegang jawatan di sekolah menengah dan ketika di INTEC pula tanggugjawab bertambah sebagai amir usrah dan pemegang biasiswa (amanah rakyat Malaysia). Begitulah kehidupan kita, seiring dengan peningkatan umur maka tanggungjawab bertambah. Cerita di masa hadapan pula, tanggungjawab akan bertambah lagi; sebagai pekerja (majikan mungkin), sebagai suami, dan sebagai bapa. Semua ini akan Allah persoalkan di hari akhirat.

    Oleh itu, mentaqarrubkan (mendekatkan) diri kepada Allah agar dipermudahkan segala urusan hidup adalah langkah terbaik untuk mengharungi segala mehnah dan tribulasi hidup. Selain amalan-amalan wajib, perbanyakkanlah melakukan amalan sunat terutama qiyamullail, puasa sunat, berzikir, bersedeqah dan sentiasa berlapang dada sesame saudara kita.

    Wallahu’alam.

    beratnya amanah seorang bapa mertua kepada bakal menantunya.

    Monday, September 20, 2010

    MenuJu keCeMerlanGan hiDuP...

    Salam buat muslimin dan muslimat seluruh dunia. Bertaqwalah kepada Allah dan hiduplah di bawah panji-panji Islam kerana hanya itu sahajalah keselamatan hidup di dunia dan akhirat.
    Amma ba’d

    “Baguslah anak pak cik Mail tu. Dah la pandai, perangai pun menyenangkan. Tak ade lah nak menyusahkan orang” kata mak cik Senah.

    “Itulah. Kalau perangai macam tu, ade ke perempuan yang tak pandang? Jenuh beratur” balas mak cik Siah

    Agaknya beginilah perbualan orang-orang kampong, tentang remaja-remaja yang cemerlang akhlak dan pelajarannya di kampong mereka. Sebenarnya, menjadi insan cemerlang dan hebat jati diri bukan perlu disuruh tapi harus dicetuskan oleh kemahuan diri. Kenapa perlu menjadi insan cemerlang? Adakah untuk disanjung? Adakah untuk memperolehi pekerjaan dengan gaji yang hebat?

    Menjadi insan cemerlang dari sudut akhlak, akademik, sahsiah dan pemikiran merupakan elemen terpenting dalam pembentukan tamadun yang hebat. Pada awal zaman Rasulullah SAW, hasil tarbiyyah Rasulullah SAW, remaja seperti Saidina Ali bin Abi Talib R.A dan Usamah bin Zaid R.A mampu memimpin tentera Islam pada usia belasan tahun. Rasulullah SAW bersabda:

    sebaik-baik manusia adalah, mereka yang memberi manfaat kepada manusia yang lain” (maksud Hadis)

    Inilah yang kita inginkan sebenarnya. Fitrah manusia hari ini, sangat memandang kepada orang cemerlang. Orang cemerlang sering diminta buah fikirannya dalam menyelesaikan masalah. Orang cemerlang akan lebih mempunyai banyak peluang untuk berkhidmat dan memberi manfaat kepada orang lain. Doktor adalah orang cemerlang, jurutera adalah orang cemerlang, saintis adalah orang cemerlang, para ustaz dan tok guru adalah orang yang cemerlang. Mereka membantu masyarakat untuk menjalani kehidupan atas muka bumi Allah. Kalau setakat inginkan sanjungan, jadi penglipur lara kampong pun sudah disanjung. Kalau inginkan kerja dengan gaji yang tinggi, jual one drop perfume pun boleh jadi jutawan.

    Permulaan

    Permulaan yang baik bermula dari peringkat kecil. Ibu bapa dan bakal ibu bapa harus mendidik anak dengan menunjuk teladan yang baik kepada anak-anak. Kepada bakal ibu bapa pula, kamu harus memupuk akhlak yang baik dalam diri kamu dahulu sebelum anak kamu mewarisinya kelak. Saidatina AIsyah pernah ditanya tentang akhlak Rasulullah SAW maka dijawabnya akhlak Rasulullah SAW adalah alquran. Apakah maksudnya? Ia bermakna akhlak rasulullah SAW sempurna tanpa sebarang cacat cela. Oleh itu didiklah anak-anakmu berpandukan alquranul karim. 

    Hidupkan sunnah Rasulullah saw dalam rumahmu. Pupuklah akhlak yang baik dalam diri kita nescaya akan terpancar sifat-sifat mahmudah dari diri kita. Kesilapan besar masyarakat kita hari ini adalah menjadi terlalu academic oriented dalam mengukur kecemerlangan. Kecemerlangan sepatutnya diukur dari aspek yang menyeluruh. Ada orang sangat pandai dalam akademik namun tidak tahu menahu tentang ilmu kemahiran (soft skill). Inilah ketempangan yang berlaku dalam masyarakat kita apabila mengukur kecemerlangan dari satu sudut sahaja.
    Akhir kalam, ayuhlah berlumba menjadi insan cemerlang bagi menyahut seruan Nabi Muhammad SAW agar kita boleh memberi manfaat kepada orang sekeliling kita.
    Wallahua’lam.

    Remind yourself several times daily "My attitudes are more important than my intelligence". It's not how many brains you've got that matters, but its how you use your brains that counts. Ability to manage your thinking is of much greater value than the ability to memorize facts & your IQ score. Never underestimate your own intelligence & never overestimate the intelligence of others."  (Ustaz Zaharuddin Bin Abdul Rahman,2010)

    Saturday, September 4, 2010

    MereKa PemiMpiN seJAti..

    "Aku tidak akan berhenti berdakwah sekalipun kamu meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku" maksud hadith Rasulullah saw ketika ditawarkan pangkat, wanita dan harta dengan syarat tinggalkan Islam.


    "Apakah aku akan mengurangi bilangan agama (bilangan orang muslim) sedangkan aku masih hidup" Saidina Abu Bakar R.A ketika golongan riddah berleluasa

    "Bagaimana aku mampu tersenyum dan ketawa sedangkan Palestin masih dijajah" Sultan Salahuddin Al Ayyubi apabila ditanya kenapa beliau susah untuk dilihat tersenyum.

    "I am not going to give one inch of Palestine to the jews as Palestine is not mine to give but it belongs to the Ummah. And Ummah have shed blood to defend this land but if one day, the Islamic State falls apart then you can have Palestine for free but as long as I am alive, I would rather have my flesh be cut up then cut out Palestine from the Muslim land. I will not allow any carving up while we are alive" Sultan Abdul Hamid II ketika seorang yahudi datang menawarkan emas dan duit untuk ditukarkan dengan palestin


    "Are you afraid to die? it's death.either by killing or cancer.it's the same thing.we are all waiting for the last day of our lives.if it's an apache or cardiac arrest, i prefer to be killed by apache" As Syahid sheikh Dr Abdul Aziz Rantisi


    P/S: Bagaimana kamu ingin melihat agama kamu di atas jika kamu buang politik dari hidup kamu? Politik itu sebahagian daripada Islam..

    Friday, September 3, 2010

    DuLu & sEkaRang..


    Salam buat semua muslimin dan muslimat yang dikasihi. Semoga bulan ini menjanjikan diri kita dengan pengampunan Allah dan pelepasan dari api neraka.
    Amma ba’d.

    Dulu & Sekarang
    1)      Dulu pergi sembahyang di masjid yang jaraknya 150 meter pun naik moto tetapi sekarang sembahyang Jemaah dalam rumah bersama teman serumah.

    2)      Dulu pergi Intec naik bas atau kereta (kereta Amin Asyraf) tetapi sekarang pergi kelas naik basikal.

    3)      Dulu berbuka puasa di rumah, makanan berbuka emak yang masak tetapi sekarang kena masak sendiri.

    4)      Dulu rakan-rakan hanya dari Malaysia tetapi sekarang rakan-rakan dari seluruh dunia.

    5)      Dulu kalau nak kemana-mana, start  enjin kereta ayah dan terus jalan tetapi sekarang kena minta tolong senior bawa ke sana ke mari.

    6)      Dulu hendak berurusan dengan orang sekeliling, hanya bercakap bahasa ibunda tetapi sekarang semua urusan harus dilakukan dalam bahasa inggeris.

    7)      Dulu jalannya sebelah kiri tetapi sekarang kena berjalan di sebelah kanan.
                                                hasil air tangan bersama rakan-rakan

    Adakalanya dalam hidup, kita ada kuasa untuk memilih, tetapi adakalanya kita tidak mampu memilih. Adakah kita boleh memilih jantina kita sebelum kita dilahirkan di muka bumi Allah? Adakah kita mampu memilih siapa yang boleh menjadi ibu bapa kita sebelum dilahirkan? Adakah kita mampu memilih bangsa apa yang patut kita dilahirkan? Persoalan taqdir adalah mutlak milik Allah. Jadilah hamba Allah yang tahu bersyukur. Allah berfirman:

    Dan (ingatlah) tatakala Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras"  (Ibrahim:7)

    Perkara yang ingin saya bawakan pada post kali ini adalah bagaimana cara kita melihat kehidupan seterusnya melakukan anjakan paradigm dalam kehidupan. Memang saya sering bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran di luar Negara sejak dari kecil lagi namun bukannya Amerika Syarikat. Sebaliknya saya bercita-cita untuk belajar di United Kingdom. Namun taqdir telah tertulis di luh mahfuz bahawa tempat saya di Amerika Syarikat dan saya tidak berkuasa menentang taqdir melainkan terus berfikir secara positif bahawa jalan ini adalah yang terbaik buat saya. Sebenarnya banyak perkara dalam kehidupan, kita harus belajar menerima seadanya dan terus berusaha untuk memajukan diri dan orang sekeliling dalam kehidupan. Tiada nilai dalam kehidupan orang yang hidup hanya untuk diri sendiri.
    Lakukanlah perubahan demi melihat masa depan yang gemilang.

    “We do not see the world as it is, but we see the world as we are” Stephen R Covey.

    Monday, August 30, 2010

    ManA mIliK kiTa...







    Mana milik kita?
    Tidak ada milik kita
    Semua yang ada
    Allah yang punya
    Tidak ada kita punya
    Kita hanya mengusahakan saja
    Apa yang kita dapat
    Allah sudah sediakannya
    Kita Allah punya
    Dunia ini ciptaan-Nya
    Miliklah apa saja
    Tidak terlepas dari ciptaan-Nya
    Mana kita punya
    Tidak ada kepunyaan kita
    Kita hanya mengusahakan
    Apa yang telah ada
    Mengapa kita sombong
    Memiliki Allah punya
    Mengapa tidak malu
    Kepada Allah yang empunya
    Patut bersyukur kepada Allah
    Yang memberi segalanya
    Malulah kepada Allah
    Kerana milik Ia punya
    Janganlah berbangga
    Apa yang ada pada kita
    Kalau Allah tidak beri
    Kita tidak punya apa-apa
    Janganlah mengungkit
    Mengungkit jasa kita
    Jasa kita di sisi-Nya
    Yang sebenarnya Allah punya
    Marilah kita bersyukur
    Bukan berbangga
    Bersyukur kepada Allah
    Bukan mengungkit jasa
    Gunakanlah nikmat Allah itu
    Untuk khidmat kepada-Nya
    Selepas itu lupakan saja
    Agar tidak mengungkit-ungkitnya

    P / S : tidak perlu kita berasa sombong kerana apa yang kita ada semuanya milik Allah . Marilah menjadi hamba Allah yang bersyukur dan redha dengan ketentuannya .

    Friday, August 27, 2010

    BerMula SeBuah keHidupAn...


    Salam buat semua rakan-rakan yang berada di atas muka bumi Allah.mudah-mudahan kita keluar dari kolej ramadhan dengan mendapat ijazah taqwa.
    Amma ba’d.

    Ketentuan Ilahi
    Alhamdulillah seinfiniti kesyukuran saya lafazkan kepada Allah kerana telah memberi peluang dan keizinan untuk saya terus merantau di bumi Nya. Allah telah membawa saya ke bumi Rochester, sebuah Bandar yang aman di negeri New York. Allah berfirman:

    “Boleh jadi kamu mebenci sesuatu,padahal perkara itu baik bagi kamu dan boleh jadi kamu meyukai sesuatu perkara padahal ia amat buruk bagi kamu.Allah menegtahui sedangkan kamu tidak mengetahui” (2:216)

    Pada asalnya, tidak ada fikiran saya untuk menyambung di Rochester Institute of Technology (RIT) namun Allah lebih mengetahui. Saya begitu bersemangat untuk pergi ke Michigan State University (MSU). Dek kerana tawaran MSU datang lebih lambat berbanding RIT, hati saya telah tawar untuk ke MSU. Saya mendapati RIT sesuai dengan jiwa saya memandangkan ia terletak di kawasan kampong dan tidak sesak dan sibuk dengan kenderaan. Alhamdulillah….

    Perjalanan Yang Panjang
    Perjalanan yang panjang bermula di KLIA. Flight  ke Los Angeles International Airport (LAIA) bermula pada 25/8/2010 tepat pukul 3.15 petang. Selepas 4 jam perjalanan,flight  berhenti di Tao Yuan International Airport, Taipei. Airport di Taiwan tidaklah sehebat airport di KLIA. Selepas 1 jam 30 minit, perjalanan diteruskan ke LAIA selama 12 jam 10 minit. Dalam pesawat MAS tersebut, pelbagai makanan dan minuman sedap disediakan.

    “Sir, do you want beer?

    Soal peramugari melayu muslim kepada penumpang berbangsa asing.inilah perkara yang saya amat kesali. Setibanya di LAIA, saya tidak menghadapi masalah untuk melepasi kastam di Amerika namun beberapa orang rakan saya ditahan selama 3 jam di LAIA tanpa diketahui sebabnya. Pukul 11.30 malam waktu LA, saya dan rakan-rakan yang lain meneruskan perjalanan ke Detroit menaiki Delta Airlines dan perjalanan ini mengambil masa selama 3 jam 15 minit. Tepat pukul 6.15 pagi, kami tiba di Detroit Airport; sebuah airport yang cantik dan sangat kemas. Sekali lagi saya dan rakan yang lain menukar flight yang lain untuk ke Rochester Airport dan masa perjalanan ini mengambil masa 1 jam 10 minit. Tepat pukul 9.30 pagi waktu Rochester, saya selamat sampai di bumi Rochester. Alhamdulillah

    Anti Sampah
    “ Kamu sebagai ketua murid ada kuasa mutlak untuk menyuruh mana-mana murid untuk kutip sampah di kawasan sekolah kita” pesan guru disiplin sekolah rendah kepada saya lapan tahun yang lepas. Tarbiah ini melekat di hati saya. Di sini, sampah tidak kelihatan di jalan-jalan raya dan perkara ini sangat menenangkan saya. Sesiapa yang pernah sebilik dengan saya tahu fiil saya yang anti sampah. Rochester Bandar yang tenang dan bersih tanpa sampah. Alhamdulillah..
                                                           Park Point Drive; rumah saya dari luar
    Diperli Atau Memang Hensem
    Kelmarin, bagi menghilangkan jet lag, saya berjalan keluar bersama Akmal, Ainuddin, dan Leh Ming. Ketika berjalan di sekitar Park Point Drive, rumah kediaman saya, 4 orang minah saleh menaiki sebuah kereta dan membunyikan hon kepada kami sambil tersengih-sengih malu. Sama ada, mereka memerli kami kaum lelaki yang berjalan sedangkan mereka menaiki kereta ataupun kami memang hensem. Wallahualam…
                                    Rumah senior yang saya tumpangi di Rustic Village
    Setakat ini sahaja dahulu coretan untuk kali ini.