Salam kepada semua sahabat yang saya
kasihi kerana Allah. Semoga terus diberi kekuatan untuk istiqamah dengan segala
amal-amal soleh yang dilakukan di bulan Ramadhan lepas.
Amma ba’d.
Alhamdulillah saya panjatkan
kesyukuran kepada Allah atas segala nikmat dan rahmatNya, saya masih lagi
berada di atas muka bumiNya ini. Masih lagi kiranya diberi peluang untuk
bertaubat atas dosa-dosa yang menggunung tinggi. Sesungguhnya kita manusia
selalu melakukan dosa, namun Allah dengan sifat Ar Rahman, Ar Rahim dan Al
Latif, membuka ruang taubat dan kemapunan melebihi luas langit dan bumi.
Terpulang kepada kita untuk merebut peluang ini.
Saya menyedari hakikat yang saya bakal
menamatkan undergraduate studies saya kurang dari setahun
(biidznillah.mohon doa sahabat semua buat kebaikan saya). Apa yang berada dalam
kotak pemikiran saya adalah, “Apa arah tuju aku selepas ini?”
Semalam dalam usrah disini, saya
bertanyakan hal ini kepada anak-anak buah saya, apa yang mereka akan lakukan
selepas habis degree. Masing-masing dengan jawapan tersendiri. Saya tidak
mahu bincang sangat arah tuju masing-masing selepas ini. Apa yang saya terfikir
adalah, fasa berbaki Sembilan bulan ini adalah fasa memikirkan arah tuju hidup,
dakwah, kerjaya, keluarga, dan sebagainya.
Makanya, Sembilan bulan ini selain
berusaha untuk mempertingkatkan prestasi akademik, adalah seiring juga kita
kena fikirkan bagaimana kita boleh menyumbang kepada masyarakat selepas tamat
belajar nanti.
“Sebaik-baik manusia adalah manusia
yang bermanfaat kepada manusia lain” (Maksud Hadith)
Apa sahaja yang kita ingin lakukan
selepas ini, kita tidak lari daripada tanggungjawab sebenar kita yang telah
diamanahkan oleh Allah jalla wa a’la selaku hamba dan khalifah di muka
bumi. Kita mungkin ingin menjadi
saintis, ahli perniagaan, cendekiawan, dan teknokrat namun jangan lupa untuk
berbakti kepada insan lain. Lantaran itu, segala budaya jahiliyah dan lagha
wajiblah kita kikis sedikit demi sedikit dengan menyedari kita akan memasuki
satu lagi fasa kehidupan yang lebih mencabar di luar alam kampus. Sikap melambatkan
solat, suka baca anime, membuang masa berborak berita-berita gossip, banyak
tidur, dan sikap kurang berhemah dalam berbelanja wajiblah dikikis dalam
membentuk diri menjadi insan yang bertaqwa dan berkualiti.
Menjadi pelajar tahun akhir merupakan
masa transisi dari satu fasa kehidupan ke fasa kehidupan yang lebih mencabar
selepas ini, atas sebab ini, persediaan untuk berhadapan dengan pelbagai
kerenah masyarakat yang rencam harus dilakukan sebaik mungkin. Di luar sana,
pasti kita tidak terjangka untuk bertemu dengan manusia yang berbagai ragam.
“Sesungguhnya kamu tetap melalui beberapa keadaan yang
bertingkat-tingkat baik buruknya, (dalam kehidupan sebelum kamu menemui Tuhan -
menerima kesenangan dan kebahagiaan atau sebaliknya)” (Al Insyiqaq:19)
Mengakhiri
entri ini, saya mengingatkan agar peningkatan umur biarlah seiring dengan
meningkatnya kematangan dan amalan soleh. Selamat merancang dan berfikir untuk
kebaikan sesama insan.
Wallahu’alam.
Kenangan cuti summer di Batu Ferringhi
No comments:
Post a Comment