Thursday, October 4, 2012

7 Habits of Daie...


Salam kepada semua sahabat yang saya kasihi kerana Allah, semoga Allah mengurniakan kepada kita rahmatNya yang maha luas.
Amma ba’d.

Sejauh mana kita beriman bahawa berdakwah menyampaikan kebenaran (Al Haq) adalah wajib? Jika kita mengakui bahawa berdakwah itu adalah fardhu a’in ke atas setiap muslim, maka kita harus mempertimbangkan beberapa perkara. Kenapa perlu berdakwah? Apa yang akan terjadi kalau kita tidak berdakwah? Bagaimana perlu kita berdakwah? Kepada siapa harus kita tujukan dakwah ini?

Jadi persoalan ini mungkin bermain di benak kepala kita. Saya tidak mahu membincangkan bagaimana harus berdakwah, kepada siapa harus berdakwah, apa kepentingan berdakwah. Cuma selaku muslim, saya beriman bahawa berdakwah itu wajib demi memenuhi tanggungjawab dan amanah selaku hamba Allah di muka bumi. Atas sebab ini, saya ingin berkongsi beberapa perkara yang harus kita selaku penyeru kepada jalan Allah lakukan.

Pertama sekali, kita harus taqarrub (mendekatkan) diri kepada Allah. Banyak amalan seharian kita perlu diteliti semula. Bagi lelaki, solat berjemaah itu adalah WAJIB dan jadikan ia sebagai amalan harian. Selain solat fardhu, ada beberapa solat sunat yang harus diberi penekanan; solat sunat qiyamullail, solat sunat dhuha, solat sunat witir dan solat sunat rawatib. Solat adalah penghubung antara hamba dan tuhan, solat juga merupakan terapi yang ampuh apabila kita menghadapi kesulitan.

Selain amalan solat, amalan bersedekah dan membantu insan adalah amalan terpuji. Membantu insan termasuklah berkorban harta, wang dan tenaga untuk memudahkan urusan insan yang memerlukan pertolongan dan bantuan. Selaku penyeru di jalan Allah, berkorban itu adalah sunnahnya. Puasa selain puasa fardhu di bulan ramadhan, amat-amat dituntut untuk berpuasa sunat isnin dan khamis, paling kurang sekali seminggu. Puasa juga merupakan benteng kepada iman untuk menundukkan nafsu yang tak pernah surut.

Membaca Alquran adalah wajib setiap hari bagi penyeru kebenaran di jalan Allah. Alquran merupakan hujah dalam kita berdakwah menerangkan Islam yang benar. Pastikan seharian hidup kita tidak sunyi daripada Alquran. Andai daie itu, jaraknya dengan Alquran bagaikan langit dan bumi, kepada siapa dakwah ini diserukan?.

Kebersihan jasmani, pakaian dan persekitaran seorang daie harus diambil berat sepenuhnya. Bagaimana kita mahu berbicara perkara yang berat sedangkan perkara berkaitan hal kebersihan diri pun masih tidak terjaga dengan baik?

Di sebalik semua ini, sama penting bagi seorang daie memelihara hati dan diri daripada terjerumus ke lembah dosa dan maksiat. Dosa boleh datang dalam pelbagai bentuk yang terkadang kita tidak menyedarinya. Oleh yang demikian, sentiasalah membasahi lidah kita dengan beristighfar kepada Allah. Wajib bagi daie memelihara kebersihan dan kesucian hati dengan menghindari segala sifat riya’ dan mazmumah, berburuk sangka serta sifat tidak ikhlas. Hal ini, andai dapat dijaga dengan baik, ia menjamin kualiti dan keberhasilan dakwah. Berbicara perkara teoretikal amat mudah, namun praktikalnya memerlukan satu mujahadah yang tinggi untuk melakukan semua ini.

Sebelum menutup bicara pada kali ini, suka saya mengingatkan diri saya dan kalian semua, jalan ini tidak dihampar dengan karpet merah, jalan ini tidak dijanjikan habuan dan pangkat duniawi, jalan ini sangat rencam dan penuh tipu daya di sekeliling, jalan ini adalah jalan Rasulullah SAW dan jalan para salafus soleh. Jalan ini penuh tapisan. Telah ramai orang sebelum kita gugur sama ada kerana kematian ataupun tarikan duniawi yang lain. Saya berdoa buat diri saya dan kalian, barangsiapa yang tidak hidup melainkan mencari redha Allah, semoga Allah meneguhkan kedudukan kita di atas manhaj nubuwwah ini dan semoga Allah membantu kita untuk terus menyampaikan kalimah Al Haq di muka bumiNya. Jalan ini, di penghujungnya dijanjikan syurga Allah.

Wallahualam.

1 comment:

Unknown said...

Tahajjud dan witir. T_T






Ah, berhenti beri alasan!