Monday, April 1, 2013

Mari Memaknakan Kehidupan...


Salam kepada semua yang dikasihi, semoga Allah mengampunkan segala dosa kita dan meningkatkan kefahaman kita dalam beragama.
Amma ba’d.


Secara personal, saya memang sangat meminati video-video Mat Lutphi. Kesemua videonya mempunyai nilai-nilai positif walaupun ada sesetengahnya disampaikan secara kasar. Namun bagi saya yang berdarah utara, itu bukan masalahnya. Saya percaya, video-videonya sedikit sebanyak mampu mengubah minda masyarakat terutamanya minda mahasiswa yang kaya dengan idealism tetapi takut untuk disuarakan.

Tetapi video kali ini sangat menarik untuk sedikit saya kupas tentangnya. Saya bersetuju dengan kenyataan Mat Lutfi, kejayaan tidak diukur sejauh mana pencapaian dalam akademik sahaja. Kejayaan harus diukur sejauh mana kita mampu untuk menyumbangkan untuk memajukan agama, keluarga, masyarakat dan negara. Daripada pemerhatian, saya dapati masih ramai lagi tidak mahu peduli dengan nasib orang lain. Bagi mereka, cukuplah dirinya belajar pandai, grad, dapatkan kerja yang baik, berkahwin, beranak pinak, hidup mewah bersama keluarga dan mati. Apakah makna hidup sebegini? saya nampak kehidupan sebegini sungguh kosong daripada sebarang makna. Saya suka memetik kata-kata Buya HAMKA:

Kalau hidup sekadar hidup,
babi di hutan juga hidup.
Kalau bekerja sekadar bekerja,
kera di hutan juga bekerja.

Hidup ini sangat bermakna andai kita mampu menyumbangkan sesuatu untuk manusia lain. Rasulullah SAW bersabda:

“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain” (Hadith Sahih)

Manusia yang terbaik adalah mereka yang mampu meberi manfaat kepada manusia lain. Jika kaya, sumbangkan duit untuk membina sekolah, anjurkan program motivasi dan kerohanian, menjamu orang ramai makan, menaja pelajar untuk belajar, dan menubuhkan rumah perlindungan fuqara’(golongan faqir’, masakin (golongan miskin), dan janda. Kalau doktor, sekurang-kurang buat medical check-up percuma, sertai rally dan volunteering work, dan menyertai misi bantuan kemanusiaan. Sebenarnya siapa sahaja boleh menyumbang dengan cara tersendiri. Cuma saya bagi contoh, yang biasa saya lihat dan dengar sahaja.
Allah telah menganugerahkan kita aqal, tenaga, harta,kesihatan, dan pelbagai lagi yang tidak mampu kita hitung. Semuanya akan dipersoalkan. Apakah dengan tidak membantu manusia-manusia yang memerlukan di luar sana, kita berasa mampu untuk menjawab di hadapan Allah? Mari berfikir sejenak.

Video Mat Lutphi kali ini diharapkan dapat membuatkan kita ponder sesuatu. Kita bukan semakin kecil, tetapi semakin menuju kedewasaan. Kematian itu satu kepastian, bagaimana dengan bekalan untuk kebahagiaan kampong akhirat andai hidup hanya untuk memenuhi tembolok perut sendiri?

No comments: