Salam
buat semua sahabat. Semoga Allah melindungi kita daripada bahana fitnah politik
yang menggila terutama di musim pilihan raya ini.
Amma
ba’d.
Sebagai
muslim setiap hari kita menunaikan solat demi mematuhi perintah Allah, tuhan
sekalian alam. Namun, apakah kita benar-benar memaknakan solat kita dalam
kehidupan seharian kita? Solat mengandungi falsafah yang agung dalam kehidupan
seorang muslim. Di sini, mungkin pendek sahaja entri kali ini, saya tertarik
untuk menekankan tentang takbiratul ihram dan takbir intiqalat. Kita mengangkat
takbiratul ihram sambil niat ketika mula-mula hendak memulakan solat. Di sebalik
lafaz Allahu akbar itu, adakah ia memberi kesan kepada jiwa kita?
Bila
kita menyebut Allahu akbar, kita perlu tahu dan yakin bahawa tiada yang lebih
besar melainkan Allah. Dalam kehidupan seharian, manusia tidak mampu lari
daripada ujian yang adakala datang bertamu. Kemurungan, kesedihan, masalah,
stress, dan kesakitan merupakan ujian yang sesekali bertandang dalam hidup
manusia. Sebab itu, kita perlu menjiwai solat dengan penuh kekhusyukan. Apabila
kita sudah menyedari bahawa Allah adalah tuhan yang maha besar, tiada sekutu
baginya maka segala ujian yang menimpa kita hanyalah kecil dan kita juga
menyedari hakikat bahawa ujian yang berupa kesedihan, kemurungan, dan stress
tadi adalah daripada Allah.
Berada
di Amerika Syarikat, telah mengajar saya bagaimana untuk survive di luar zon keselesaan. Sebagai contoh, apabila saya
bermusafir, memandu kereta berbelas-belas jam, tentu sukar bagi saya untuk
mencari masjid. Maka saya hanya akan berhenti di mana-mana dan sembahyang tepi
jalan. Pengalaman saya semasa mula belajar untuk sembahyang di mana sahaja
apabila masuk waktunya, memang sedikit takut-takut. Risau akan pandangan
masyarakat di sini, khuatir disuruh berhenti menunaikan solat di tempat
terbuka, dan tidak biasa bersolat di tempat awam. Namun, lama-lama kelamaan
inilah secara tidak langsung dakwah yang boleh kita sebagai Muslim tonjolkan
kepada masyarakat non-muslim. Mereka pasti tertarik dengan cara solat Muslim. Lagipun,
bila difikirkan balik, ini adalah bumi milik Allah dan saya melakukan perkara
yang disuruhNya. Mengapa perlu takut?
Bersolat di Niagara Falls
Berbalik
kepada lafaz Allahu akbar tadi, biarlahia benar-benar meresapi dalam jiwa kita
bahawa segala-galanya hanyalah kecil. Hanya Allah yang maha besar. Jika ia
telah meresapi dalam jantung sanubari kita, maka mengalirlah ketenangan dalam
jiwa kita.
“Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah
untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu
bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan, dan aku (di antara
seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama - (yang berserah diri
kepada Allah dan mematuhi perintahNya)" (Al An’am 6: 162-163)
Wallahualam.
No comments:
Post a Comment