Monday, April 22, 2013

Hakikat Ilmu...


Salam kepada sahabat yang dekat dan jauh. Semoga Allah melimpahkan ilmu dan kefahaman dalam agamaNya kepada kita.
Amma ba’d.

Saya terdedah kepada pelbagai bahan bacaan daripada buku, artikel, website, dan tidak kurang juga daripada status update di facebook dan twitter. Saya bersetuju dengan Stephen R Covey dalam bukunya Seven Habits of Highly Effective People apabila dia mengungkapkan:

We do not see the world as it is, but we see the world as we are”

Perkataan sebegini tiada tafsiran spesifik sebagaimana penafsiran Alquran. Jadi melalui kenyataan ini, saya sedar bahawa minat, kecenderungan, concern, dan cita-cita kita lahir daripada pengalaman dan latar belakang hidup kita. Ya! Bumi itu bulat tetapi bagaimana saintis memandang bumi ini? Bagaimana sasterawan memandang bumi ini? Bagaimana aktivis alam sekitar memandang bumi ini? Sudah pasti mereka akan melihat bumi dari sudut perspektif dan dimensi berbeza.

Satu contoh lagi agar mudah faham. Apa makna sebatang pokok? Bagi saya selaku orang yang belajar biologi, pokok adalah nadi kehidupan apabila melalui proses fotosintesis, ia menghasilkan oksigen untuk melestarikan kehidupan. Bagi orang seperti A Samad Said, dia pasti menghasilkan puisi tentang damainya kehidupan sabagaimana pokok dihembus angin sepoi-sepoi bahasa. Bagi musafir di padang pasir yang tandus, sudah pasti pokok merupakan tempat berteduh seketika sebelum menyambung semula perjalanan ke destinasi. Bagi usahawan, dia pasti melihat pokok sebagai bahan bagi menghasilkan produk kesihatan, kraf tangan atau perabot.
Sebatang pokok (Wisconsin, 2011)

Berbalik kepada kenyataan Stephen R Covey tadi, pembacaan kita juga dipengaruhi oleh pengalaman dan latar belakang kita. Saya sendiri sangat suka membaca kisah tokoh-tokoh pemimpin dan pemikiran mereka. Ada orang suka membaca buku falsafah. Ada orang suka membaca novel dan puisi.

Buku apa yang kita minat dan kenapa kita minat, bukanlah persoalan di sini. Sebagai seorang Muslim, saya berpegang teguh dengan konsep hablumminallah wa hablumminannas. Persoalan yang patut kita fikirkan, apakah pembacaan kita selama ini sudah membentuk kita untuk berhubung baik dengan Allah dan sesama makhluq? Adakah pembacaan kita menyumbang kepada kebaikan manusia sekeliling kita? Saya bukanlah orang yang suka berbahas apatah lagi jika di media sosial. Ditambah dengan tidak nampaknya reaksi muka dan intonasi suara, pelbagai penafsiran akan berlaku pada kenyataan kita. Dalam setiap perkara, saya suka untuk berbincang dan mengetahui kenapa seorang itu berfikiran begitu dan begini. Hakikat perbincangan adalah untuk mencari kebenaran, bukan untuk menentukan siapa menang.

Hakikat kehidupan, kita meniti dari satu fasa ke satu fasa. Setiap fasa pula menjadi semakin rumit dan rencam. Persoalan terakhir dalam entri kali ini, adakah pembacaan dan ilmu yang kita perolehi akan membawa kita menuju tuhan dalam keadaan hati sejahtera. Selepas semuanya, yang kita tagih dari Allah hanyalah keredhaan dan syurgaNya. Biarpun kita bijak berdebat di alam maya, biarpun hujah dan cakap kita sentiasa bernas, namun sampaikah ia kepada keredhaan Allah? Saya tidak bermaksud kita tidak boleh berhujah tapi sampaikah segala ilmu-ilmu kita kepada keredhaan Allah? Jadi langkah pertama untuk menyampaikan kita hakikat kehidupan yang membawa keredhaan Allah dan rasulNya, sahutlah seruan tuhan yang berbunyi  “iqra’ bismirabbikal lazi khalaq”.Mudah-mudahan kita menjadi ulul albab (golongan cerdik pandai)

Satu muhasabah buat kita, marilah berazam untuk menjadi orang yang mempunyai ilmu pengetahuan. Mulakan diri kita dengan membaca.

Allahumma faqqihna fiddin, Wa a’limna ta’wil.

No comments: