Wednesday, March 27, 2013

Jom Melepak...


Salam kepada sahabat yang dikasihi, semoga Allah menganugerahkan kefahaman, hidayah dan taufiq untuk terus beriltizam dengan amal-amal islami.
Amma ba’d.

Perkataan melepak kebiasaannya berkonotasi negatif. Memang melepak dikaitkan dengan budak-budak ponteng sekolah, mat-mat rempit, remaja-remaja bohsia dan kutu rayau. Melepak sememangnya sangat jauh dengan orang-orang Usrah. Buang masa kata mereka.

Tetapi berbeza dengan orang-orang usrah RIT, kami mengamalkan budaya melepak ini setiap minggu. Usrah itu usrah, tetap wujud namun budaya melepak boleh dikatakan seminggu sekali kami buat. Tempat kebiasaan kami melepak tidak lain tidak bukan di kedai kopi Tim Hortons.
Ada dua kedai Tim Hortons dekat rumah saya

Saya melihat dalam usrah, setiap perbincangan sentiasa berbau agama; tadabbur alquran, bincang hadith dan seerah, serta tazkirah dan muhasabah. Sedangkan Islam ini sangat luas mencakupi politik, ekonomi, muamalat, sosial serta seluruh kehidupan kita. Jadi saya cuba membawa budaya melepak secara sihat di RIT. Apabila melepak, kerangka perbincangan lebih meluas. Semua yang datang melepak, sudah ada mind setting, melepak adalah perkara santai dan topik perbincangan lebih meluas berbanding dalam usrah.
Kaki lepak

Kadang-kadang kami berbincang tentang zaman nakal di sekolah, adakala situasi semasa politik di Malaysia, tidak terlepas juga membincangkan perihal perkahwinan serta persiapan menujunya, dan juga tentang kerjaya di masa hadapan. Saya bersyukur kerana ramai sahabat di RIT mengambil  Business sebagai minor. Jadi, kebanyakkan kami memang berotak business. Selalu juga kami bincang prospek business di masa hadapan. Ada yang ingin membela algae bagi tujuan penghasilan bio energy, ada yang ingin menternak ayam, ada yang ingin membuka kedai makan dan ada pelbagai lagi prospek business yang kami sama-sama perbincangkan secara santai. Walaupun secara santai, saya lihat semuanya ada wawasan.
Cukup dengan secawan kopi ais dan sebiji donat

Kebiasaannya, kami melepak hari Khamis malam Jumaat dan hanya balik ke rumah selepas pukul 12.30 pagi atau 1.00 pagi. Walaupun saya sedar, melepak ini hanya budaya orang bujang. Selepas pulang ke Malaysia dan bernikah kelak, budaya seperti ini sudah tidak boleh selalu dibuat memandangkan komitmen sudah bertambah dan masa santai sudah berkurangan. Inilah antara kemanisan hidup di perantauan..:)
Kemanisan berukhuwwah

No comments: