Tuesday, April 9, 2013

Ke Mana Hala Tuju Pendidikan Negara...



Salam kepada sahabat semua, semoga dirahmati Allah senantiasa.
Amma ba’d.

Saya masih teringat perbualan antara saya dengan ayah 10 tahun yang lepas selepas mendapat keputusan UPSR.

“Abang ngah dapat tawaran mana?”

“Dapat masuk SMKA Nibong Tebal ayah”

“Haa. Baguih! Takpa nanti pi masuk sana belajaq elok-elok. Jangan pi sekolah berkenaan (merujuk sekolah harian berdekatan rumah saya). Kalau masuk sekolah tu, baguih tera mana pun, keluaq mesti pandai hisap rokok. Ayah tak mau anak-anak ayah hisap rokok”

Begitulah perbualan saya dan ayah sejurus posmen menghantar surat tawaran kemasukan saya ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Nibong Tebal (SMKANT). Hari ini, ramai orang ‘share’ di Facebook dua video tentang pergaduhan pelajar di sekolah menengah. Boleh klik link di bawah untuk menontonnya.


Saya bersekolah asrama beraliran agama selama lima tahun, jadi saya tidak terdedah dengan kes pergaduhan sebegini. Saya pernah juga membaca berita di akhbar tentang pergaduhan di sekolah berasrama di Negeri Sembilan beberapa tahun yang lalu, tetapi selama lima tahun saya bersekolah di sekolah agama, saya tidak pernah mengalaminya apatah lagi terlibat. Sebelum pergi lebih lanjut, suka saya berkongsi  falsafah, matlamat, visi, dan misi pendidikan Negara kita.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan

“Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.
Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara”

Visi

Sekolah Unggul Penjana Generasi Terbilang.

Misi

Membangun Potensi Individu Melalui Pendidikan Berkualiti

Matlamat

1) Melahirkan bangsa Malaysia yang taat setia dan bersatu padu.
2) Melahirkan insan yang beriman, berakhlak mulia, berilmu, berketerampilan dan sejahtera.
3) Menyediakan sumber tenaga manusia untuk keperluan kemajuan negara.
4) Memberi peluang-peluang pendidikan kepada semua warganegara Malaysia.

Melihat kepada falsafah, visi, misi, dan matlamat pendidikan Negara kita memerlukan semua rakyat Malaysia insaf dan bermuhasabah. Apakah kesemuanya sudah mencapai objektif? Sejak dari zaman dahulu lagi, pendidikan merupakan elemen asas dalam membangunkan sesebuah tamadun. Jika anak-anak Malaysia pergi sekolah untuk beradu tenaga, dan tunjuk hero, saya fikir PELAKSANAAN sistem pendidikan Negara kita mempunyai masalah. Saya tidak mahu menuduh mana-mana pihak bersalah, tetapi saya ingin mengajak rakyat Malaysia sedar bahawa pendidikan Negara sama ada dari segi sistem dan pelaksanaannya memerlukan kepada pembaharuan. Pandangan peribadi saya mengatakan, untuk melakukan pembaharuan, memerlukan kepada kepimpinan yang mempunyai kesedaran bahawa pelaksanaan sistem pendidikan kita (mungkin sistem itu juga) mempunyai masalah.

Jika natijah memasuki sekolah adalah menjadi gangster, bagaimana rakyat Malaysia akan hidup aman? Siapa yang akan mengisi tampuk kepimpinan kegara di masa hadapan? Apakah nasib Malaysia dan rakyatnya di masa hadapan? Untuk menjawab persoalan-persoalan ini, ia harus diterjemahkan melalui undi dalam PRU 13 untuk melakukan perubahan yang positif kepada hala tuju pendidikan Negara kita. Tidak pelik andai hari ini, jika ada anak-anak menjadi jahat walaupun berasal daripada keluarga yang baik-baik kerana masa bersama rakan-rakan lebih banyak. Pengaruh rakan-rakan menjadi dominan dalam kehidupan seharian berbanding pengaruh ibu bapa. Ini suatu kebimbangan saya memikirkan keluarga saya di masa hadapan.
Terserah kepada rakyat Malaysia untuk melakukan perubahan. Semoga Allah membantu kita menyelamatkan Negara yang kita cintai daripada budaya gangterisme dalam kalangan pelajar. Ayuh ubah!

Visi dan Misi Pendidikan Negara boleh dilihat di sini


No comments: