Monday, April 29, 2013

Mari Mendengar...


Jemput dengar bagi sahabat yang berkelapangan untuk sama-sama mendengar siri bedah buku bersama saya. Detailnya seperti dalam poster di bawah.


Semoga bermanfaat..:)

Monday, April 22, 2013

Hakikat Ilmu...


Salam kepada sahabat yang dekat dan jauh. Semoga Allah melimpahkan ilmu dan kefahaman dalam agamaNya kepada kita.
Amma ba’d.

Saya terdedah kepada pelbagai bahan bacaan daripada buku, artikel, website, dan tidak kurang juga daripada status update di facebook dan twitter. Saya bersetuju dengan Stephen R Covey dalam bukunya Seven Habits of Highly Effective People apabila dia mengungkapkan:

We do not see the world as it is, but we see the world as we are”

Perkataan sebegini tiada tafsiran spesifik sebagaimana penafsiran Alquran. Jadi melalui kenyataan ini, saya sedar bahawa minat, kecenderungan, concern, dan cita-cita kita lahir daripada pengalaman dan latar belakang hidup kita. Ya! Bumi itu bulat tetapi bagaimana saintis memandang bumi ini? Bagaimana sasterawan memandang bumi ini? Bagaimana aktivis alam sekitar memandang bumi ini? Sudah pasti mereka akan melihat bumi dari sudut perspektif dan dimensi berbeza.

Satu contoh lagi agar mudah faham. Apa makna sebatang pokok? Bagi saya selaku orang yang belajar biologi, pokok adalah nadi kehidupan apabila melalui proses fotosintesis, ia menghasilkan oksigen untuk melestarikan kehidupan. Bagi orang seperti A Samad Said, dia pasti menghasilkan puisi tentang damainya kehidupan sabagaimana pokok dihembus angin sepoi-sepoi bahasa. Bagi musafir di padang pasir yang tandus, sudah pasti pokok merupakan tempat berteduh seketika sebelum menyambung semula perjalanan ke destinasi. Bagi usahawan, dia pasti melihat pokok sebagai bahan bagi menghasilkan produk kesihatan, kraf tangan atau perabot.
Sebatang pokok (Wisconsin, 2011)

Berbalik kepada kenyataan Stephen R Covey tadi, pembacaan kita juga dipengaruhi oleh pengalaman dan latar belakang kita. Saya sendiri sangat suka membaca kisah tokoh-tokoh pemimpin dan pemikiran mereka. Ada orang suka membaca buku falsafah. Ada orang suka membaca novel dan puisi.

Buku apa yang kita minat dan kenapa kita minat, bukanlah persoalan di sini. Sebagai seorang Muslim, saya berpegang teguh dengan konsep hablumminallah wa hablumminannas. Persoalan yang patut kita fikirkan, apakah pembacaan kita selama ini sudah membentuk kita untuk berhubung baik dengan Allah dan sesama makhluq? Adakah pembacaan kita menyumbang kepada kebaikan manusia sekeliling kita? Saya bukanlah orang yang suka berbahas apatah lagi jika di media sosial. Ditambah dengan tidak nampaknya reaksi muka dan intonasi suara, pelbagai penafsiran akan berlaku pada kenyataan kita. Dalam setiap perkara, saya suka untuk berbincang dan mengetahui kenapa seorang itu berfikiran begitu dan begini. Hakikat perbincangan adalah untuk mencari kebenaran, bukan untuk menentukan siapa menang.

Hakikat kehidupan, kita meniti dari satu fasa ke satu fasa. Setiap fasa pula menjadi semakin rumit dan rencam. Persoalan terakhir dalam entri kali ini, adakah pembacaan dan ilmu yang kita perolehi akan membawa kita menuju tuhan dalam keadaan hati sejahtera. Selepas semuanya, yang kita tagih dari Allah hanyalah keredhaan dan syurgaNya. Biarpun kita bijak berdebat di alam maya, biarpun hujah dan cakap kita sentiasa bernas, namun sampaikah ia kepada keredhaan Allah? Saya tidak bermaksud kita tidak boleh berhujah tapi sampaikah segala ilmu-ilmu kita kepada keredhaan Allah? Jadi langkah pertama untuk menyampaikan kita hakikat kehidupan yang membawa keredhaan Allah dan rasulNya, sahutlah seruan tuhan yang berbunyi  “iqra’ bismirabbikal lazi khalaq”.Mudah-mudahan kita menjadi ulul albab (golongan cerdik pandai)

Satu muhasabah buat kita, marilah berazam untuk menjadi orang yang mempunyai ilmu pengetahuan. Mulakan diri kita dengan membaca.

Allahumma faqqihna fiddin, Wa a’limna ta’wil.

Friday, April 19, 2013

Injustice & Discrimination...


Injustice and discrimination will not bring any good in the world that we are living.

Tuesday, April 16, 2013

Masa Bermuhasabah...


Salam kepada semua sahabat yang saya kasihi kerana Allah. Semoga Allah melimpahkah taufiq dan hidayahNya kepada kita.
Amma ba’d.

Masa begitu pantas berlalu. Sedar tidak sedar, sudah hampir tiga tahun perkelanaan saya di bumi Uncle Sam. Insha Allah lagi kurang lebih sebulan, saya akan grad (May 18,2013). Saya fikir baki-baki kehidupan di bumi Amerika Syarikat yang tidak sampai lagi dua bulan ini, ada moleknya saya kembali bermuhasabah tentang apa yang telah saya buat dan capai. Saya juga ingin mengajak semua rakan-rakan yang akan grad agar kembali berfikir dan bermuhasabah.

Adakah kita cukup kuat dan bersedia untuk menghadapi cabaran kehidupan di bumi sendiri? Adakah masa kita di bumi asing telah digunakan sebaiknya untuk membina karakter diri? Apakah pengalaman yang kita punyai di bumi asing dapat digunakan apabila pulang ke Malaysia kelak?

Jadi, biarkan persoalan ini menghantui minda kita. Secara jujur, saya akui kehidupan di bumi asing tidak semudah yang disangka. Walaupun dikelilingi pelbagai kemudahan, namun ada masa tertentu kesusahan mesti dihadapi. Derita dan bahagia tak pernah jemu bertamu silih berganti. Saya tidak mahu menceritakan kisah peribadi di sini, cukup saya katakan bahawa dalam kehidupan pasti kita akan menghadapi kesusahan, namun sunnatullah tetap berlaku; selepas kesusahan pastinya ada kesenangan. Every cloud has a silver lining. Setiap yang terjadi ke atas diri, telah terungkai hikmahnya sedikit demi sedikit.

“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,” (As Sharh 94:5)

Atas setiap mehnah, jangan pernah mengalah. Dalam setiap susah, pasti terselit hikmah. Jangan pernah menyerah, kerana masa depan kita cerah. Teruskan kaki melangkah, yakini adanya Allah.

Rochester yang sentiasa tenang.

Saturday, April 13, 2013

Allahu Akbar!!!...


Salam buat semua sahabat. Semoga Allah melindungi kita daripada bahana fitnah politik yang menggila terutama di musim pilihan raya ini.
Amma ba’d.

Sebagai muslim setiap hari kita menunaikan solat demi mematuhi perintah Allah, tuhan sekalian alam. Namun, apakah kita benar-benar memaknakan solat kita dalam kehidupan seharian kita? Solat mengandungi falsafah yang agung dalam kehidupan seorang muslim. Di sini, mungkin pendek sahaja entri kali ini, saya tertarik untuk menekankan tentang takbiratul ihram dan takbir intiqalat. Kita mengangkat takbiratul ihram sambil niat ketika mula-mula hendak memulakan solat. Di sebalik lafaz Allahu akbar itu, adakah ia memberi kesan kepada jiwa kita?

Bila kita menyebut Allahu akbar, kita perlu tahu dan yakin bahawa tiada yang lebih besar melainkan Allah. Dalam kehidupan seharian, manusia tidak mampu lari daripada ujian yang adakala datang bertamu. Kemurungan, kesedihan, masalah, stress, dan kesakitan merupakan ujian yang sesekali bertandang dalam hidup manusia. Sebab itu, kita perlu menjiwai solat dengan penuh kekhusyukan. Apabila kita sudah menyedari bahawa Allah adalah tuhan yang maha besar, tiada sekutu baginya maka segala ujian yang menimpa kita hanyalah kecil dan kita juga menyedari hakikat bahawa ujian yang berupa kesedihan, kemurungan, dan stress tadi adalah daripada Allah.

Berada di Amerika Syarikat, telah mengajar saya bagaimana untuk survive di luar zon keselesaan. Sebagai contoh, apabila saya bermusafir, memandu kereta berbelas-belas jam, tentu sukar bagi saya untuk mencari masjid. Maka saya hanya akan berhenti di mana-mana dan sembahyang tepi jalan. Pengalaman saya semasa mula belajar untuk sembahyang di mana sahaja apabila masuk waktunya, memang sedikit takut-takut. Risau akan pandangan masyarakat di sini, khuatir disuruh berhenti menunaikan solat di tempat terbuka, dan tidak biasa bersolat di tempat awam. Namun, lama-lama kelamaan inilah secara tidak langsung dakwah yang boleh kita sebagai Muslim tonjolkan kepada masyarakat non-muslim. Mereka pasti tertarik dengan cara solat Muslim. Lagipun, bila difikirkan balik, ini adalah bumi milik Allah dan saya melakukan perkara yang disuruhNya. Mengapa perlu takut?
Bersolat di Niagara Falls

Berbalik kepada lafaz Allahu akbar tadi, biarlahia benar-benar meresapi dalam jiwa kita bahawa segala-galanya hanyalah kecil. Hanya Allah yang maha besar. Jika ia telah meresapi dalam jantung sanubari kita, maka mengalirlah ketenangan dalam jiwa kita.

“Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan, dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama - (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintahNya)" (Al An’am 6: 162-163)

Wallahualam.

Friday, April 12, 2013

Mari Berkawan...


Salam jumaat kepada semua sahabat. Semoga hari yang mulia ini diisi dengan memperbanyakkan selawat ke atas Rasulullah SAW dan membaca surah al kahfi.
Amma ba’d.

Manusia adalah makhluq sosial yang mustahil untuk hidup bersendirian. Kita perlukan teman sekeliling untuk kita berinteraksi dengannya. Kewujudan kita di muka bumi begitu kompleks kerana dianugerahi oleh Allah dengan aqal dan perasaan. Jadi perlunya manusia kepada teman atau sahabat untuk mengharmonikan sinergi di antara kita.

Kawan ada pelbagai ragam. Ada yang datang dalam kehidupan kita untuk menguji kita. Ada yang hadir mereka membuahkan bahagia. Ada yang muncul menimbulkan keserabutan dalam hidup kita. Sebelum kita menuding jari tentang fiil kawan-kawan kita, mari kita bermuhasabah tentang diri kita. Adakah kewujudan kita dalam kehidupan rakan kita menyenangkan mereka atau menyusahkan mereka. adakah hadirnya kita dalam hidup mereka meringankan beban atau menambah derita?

Kawan yang baik bukanlah kawan yang membenarkan segala kata-kata dan tindakan sahabatnya tetapi kawan yang baik adalah mereka yang berkata benar kepada sahabatnya. Kadang-kadang kita berada dalam dilemma di antara menjaga hati kawan atau menyatakan kebenaran. Usahkan ragu untuk menyatakan kebenaran dan menegur sesuatu yang kita lihat kurang elok dari segi agama dan norma masyarakat yang ada pada sahabat kita.
Kenangan winter 2012.

Allah SWT berfirman:

“Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh).” (Az Zukhruf 43:67)

Pesanan buat diri saya dan sahabat semua, bersahabatlah atas dasar taqwa. Sesunguhnya sebaik-baik bekalan menuju akhirat adalah bertaqwa kepada Allah.

Wallahualam.

Tuesday, April 9, 2013

Ke Mana Hala Tuju Pendidikan Negara...



Salam kepada sahabat semua, semoga dirahmati Allah senantiasa.
Amma ba’d.

Saya masih teringat perbualan antara saya dengan ayah 10 tahun yang lepas selepas mendapat keputusan UPSR.

“Abang ngah dapat tawaran mana?”

“Dapat masuk SMKA Nibong Tebal ayah”

“Haa. Baguih! Takpa nanti pi masuk sana belajaq elok-elok. Jangan pi sekolah berkenaan (merujuk sekolah harian berdekatan rumah saya). Kalau masuk sekolah tu, baguih tera mana pun, keluaq mesti pandai hisap rokok. Ayah tak mau anak-anak ayah hisap rokok”

Begitulah perbualan saya dan ayah sejurus posmen menghantar surat tawaran kemasukan saya ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Nibong Tebal (SMKANT). Hari ini, ramai orang ‘share’ di Facebook dua video tentang pergaduhan pelajar di sekolah menengah. Boleh klik link di bawah untuk menontonnya.


Saya bersekolah asrama beraliran agama selama lima tahun, jadi saya tidak terdedah dengan kes pergaduhan sebegini. Saya pernah juga membaca berita di akhbar tentang pergaduhan di sekolah berasrama di Negeri Sembilan beberapa tahun yang lalu, tetapi selama lima tahun saya bersekolah di sekolah agama, saya tidak pernah mengalaminya apatah lagi terlibat. Sebelum pergi lebih lanjut, suka saya berkongsi  falsafah, matlamat, visi, dan misi pendidikan Negara kita.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan

“Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.
Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara”

Visi

Sekolah Unggul Penjana Generasi Terbilang.

Misi

Membangun Potensi Individu Melalui Pendidikan Berkualiti

Matlamat

1) Melahirkan bangsa Malaysia yang taat setia dan bersatu padu.
2) Melahirkan insan yang beriman, berakhlak mulia, berilmu, berketerampilan dan sejahtera.
3) Menyediakan sumber tenaga manusia untuk keperluan kemajuan negara.
4) Memberi peluang-peluang pendidikan kepada semua warganegara Malaysia.

Melihat kepada falsafah, visi, misi, dan matlamat pendidikan Negara kita memerlukan semua rakyat Malaysia insaf dan bermuhasabah. Apakah kesemuanya sudah mencapai objektif? Sejak dari zaman dahulu lagi, pendidikan merupakan elemen asas dalam membangunkan sesebuah tamadun. Jika anak-anak Malaysia pergi sekolah untuk beradu tenaga, dan tunjuk hero, saya fikir PELAKSANAAN sistem pendidikan Negara kita mempunyai masalah. Saya tidak mahu menuduh mana-mana pihak bersalah, tetapi saya ingin mengajak rakyat Malaysia sedar bahawa pendidikan Negara sama ada dari segi sistem dan pelaksanaannya memerlukan kepada pembaharuan. Pandangan peribadi saya mengatakan, untuk melakukan pembaharuan, memerlukan kepada kepimpinan yang mempunyai kesedaran bahawa pelaksanaan sistem pendidikan kita (mungkin sistem itu juga) mempunyai masalah.

Jika natijah memasuki sekolah adalah menjadi gangster, bagaimana rakyat Malaysia akan hidup aman? Siapa yang akan mengisi tampuk kepimpinan kegara di masa hadapan? Apakah nasib Malaysia dan rakyatnya di masa hadapan? Untuk menjawab persoalan-persoalan ini, ia harus diterjemahkan melalui undi dalam PRU 13 untuk melakukan perubahan yang positif kepada hala tuju pendidikan Negara kita. Tidak pelik andai hari ini, jika ada anak-anak menjadi jahat walaupun berasal daripada keluarga yang baik-baik kerana masa bersama rakan-rakan lebih banyak. Pengaruh rakan-rakan menjadi dominan dalam kehidupan seharian berbanding pengaruh ibu bapa. Ini suatu kebimbangan saya memikirkan keluarga saya di masa hadapan.
Terserah kepada rakyat Malaysia untuk melakukan perubahan. Semoga Allah membantu kita menyelamatkan Negara yang kita cintai daripada budaya gangterisme dalam kalangan pelajar. Ayuh ubah!

Visi dan Misi Pendidikan Negara boleh dilihat di sini


Sunday, April 7, 2013

Reflection...


Alhamdulillah, all praise be to Allah as He is the one who guides me through His path. He is the one who gives me strength whenever I am weak. Certainly in this world and hereafter, He is the one who will not leave me alone. Allahu rabbi.


Do you know Sheikh Hamza Yusof? He is among the prominent Muslim scholar in the United States. He is American and embraced Islam in 1977. He was originally from Washington DC and after he embraced Islam, he traveled to Muslim countries o study about Islam. Now he is living in California with his family and founded Zaytuna College in Berkeley, California. What I admire the most about him is his fluency in speaking Arabic. I would like to reflect myself. I am Muslim since I was born. I can read Quran since I was seven years old but still until now I cannot speak Arabic. It is a shameful for me. This is the quality of most the Americans have. If they want something, they would put painstakingly efforts until they achieve what they desire. Sometimes I always listen to his talk. Personally, his thought about Islam is very contemporary and amazing. Please watch the video above and let us reflect on ourselves, what have we done for the sake of Islam? May Allah guide us to the truth. 

San Francisco, California. I am missing the tranquility of this place



Wednesday, April 3, 2013

Selamat Mengundi...


Salam kepada sahabat semua. Semoga dinaungi rahmat dan kasih sayang Allah selalu.
Amma ba’d.

Setelah sekian lama menunggu, akhirnya DS Najib mengumumkan pembubaran parlimen yang bermula 3 April 2013. Setiap minggu saya menelefon emak saya. Selalu saya bersembang dengan emak pasal perkembangan politik tanah air. Emak yang merupakan Muslimat PAS kawasan Kepala Batas dan juga ahli JKKN (Jawatankuasa Kemajuan Kampung Negeri) Kampung Bakau Tua sering bercerita masalah penduduk kampong dan juga aktiviti Muslimat PAS setiap minggu. Atas beberapa perkara, emak menasihati saya supaya jangan tinggal di kampong bila dah bekerja dan berkahwin nanti.

Secara peribadi, saya melihat bahawa regime Barisan Nasional (BN) tidak dapat menjadi contoh sebagai kerajaan yang baik. Saya tidak menafikan bahawa mereka juga memberi sumbangan dalam pembangunan negara, namun dalam masa sama pemerintahan mereka gagal membentuk satu gagasan rakyat Malaysia yang boleh hidup tanpa prejudis dan prasangka. Saya tidak mahu sentuh isu peribadi yang membabitkan skandal menteri dengan artis tetapi apabila ia melibatkan kepentingan awam, maka ia harus ditegur. Menggunakan peruntukan demokrasi, maka ruang kebebasan bersuara patut digunakan untuk menerangkan yang Haq. Sedikit teguran buat mereka yang sering melaungkan kebebasan bersuara. Manifestasi kebebasan bersuara adalah kebebasan bertindak. Ramai hari ini saya lihat mereka begitu taksub mengangkat slogan kebebasan bersuara, namun apabila diajak bekerja, diajak berbincang tentang idea, mereka jadi kaku. Jadi inilah masalah kita apabila sudu terlebih daripada kuah.

Ada satu hadith yang jelas di sini:

Rasulullah S.A.W pernah mengungkapkan : "Bantulah saudaramu yang zalim dan dizalimi ".Para sahabat kehairanan,lalu bertanya: "Memang kita perlu membantu saudara kita yang dizalimi,tetapi bagaimana pula kita membantu mereka apabila mereka melakukan kezaliman?"Maka jawab Rasulullah S.A.W: "Engkau mencegahnya daripada melakukan kezaliman,itulah caranya membantu saudaramu yang zalim.".(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Kita sedar, sama ada dari PAS atau UMNO, mereka adalah saudara seislam kita. PAS bagi saya begitu konsisten ingin melaksanakan undang-undang Islam, sedangkan UMNO walaupun sudah diberi  mandate 55 tahun, mereka masih gagal menerangkan Islam itu apa kepada rakyat Malaysia khususnya kaum melayu. Oleh sebab ini, wajar jika kita bagi UMNO dan persepakatannya berehat sebentar dari menerajui negara. Daripada cerita-cerita yang saya dengar, ada yang di dalam IC nya jelas menunjukkan agamanya Islam, tetapi tidak tahu mengucap. Ada yang tidak tahu solat yang merupakan tiang agama (fundamental) dalam agama Islam. Rentetan tidak tahu bersyahadah dan solat, timbul pelbagai kebejatan sosial seperti zina, buang anak, lari dari rumah, merompak, meragut, mencuri, penagihan dadah serta seribu satu macam lagi masalah sosial. Tidak perlu saya sertakan link mengenai masalah sosial di sini, cukuplah saya sarankan agar sahabat semua membaca akhbar metro. Setiap hari pasti ada masalah sosial yang dilaporkan.

Inilah yang menjadi kebimbangan saya. Jika UMNO bersungguh-sungguh ingin banteras masalah sosial ini, saya tiada masalah untuk menyeru rakyat Malaysia agar mengundi BN pada pilihan raya kali ini, namun setelah sekian kalinya diberi mandat, ternyata mereka tidak berhajat untuk membanteras gejala sosial ini. Saya selalu bersembang dengan Imam Ismet, imam di Islamic Center of Rochester. Beliau sudah 12 tahun menjadi imam di masjid sekitar US ini, beliau mendoakan Allah mengekalkan PAS di Kelantan dan memberi kejayaan kepada PAS di Malaysia. Beliau yang pernah tinggal di Kelantan selama empat bulan sangat kagum dengan suasana Islam di Kelantan. Beliau kagum dengan anak-anak muda yang mampu bangun solat subuh berjemaah di Masjid semasa di Kota Bharu.Inilah hasil didikan Tuan Guru Nik Abdul Aziz selama hampir 23 tahun memerintah Kelantan.
Imam Ismet dan saya

Saya menyeru bagi mereka yang berpeluang mengundi agar memberi undi kepada parti yang ingin menjalankan agenda Islam. Ingatlah, setiap undi kita adalah saksi yang pasti dipertanggungjawabkan di hadapan Allah. Jadikan kematian sebagai paksi kehidupan kita agar setiap tindakan yang kita lakukan hanyalah mencari redha Allah. Suka saya memetik kata-kata Dr Mazslee Malik yang dipetik dari laman Twitternya:

“Bagi yang beriman, jangan lupa istikharah sehingga hari mengundi nanti agar Allah bimbing nak buat keputusan.ini keputusan besar.”

Sebagai pengakhiran, ingin saya ingatkan kepada a’milin islam (pekerja Islam) agar berkempen dan menerangkan Islam dengan penuh adab dan akhlaq islamiyah. Pastikan sebarang berita yang ingin disebarkan berasal daripada sumber yang sahih. Marilah sama-sama mempertingkatkan munajat dan doa kita kepada Allah, berqiyamullail, berpuasa sunat, solat sunat dhuha, membaca alquran serta memberi infaq agar nusrah (bantuan) Allah turun buat hamba-hambaNya yang ikhlas ingin melihat sebuah negara Islam tertegak di muka bumi Malaysia. Marilah memenangkan Islam serta pejuangnya di Malaysia. Selamat mengundi.

Monday, April 1, 2013

Mari Memaknakan Kehidupan...


Salam kepada semua yang dikasihi, semoga Allah mengampunkan segala dosa kita dan meningkatkan kefahaman kita dalam beragama.
Amma ba’d.


Secara personal, saya memang sangat meminati video-video Mat Lutphi. Kesemua videonya mempunyai nilai-nilai positif walaupun ada sesetengahnya disampaikan secara kasar. Namun bagi saya yang berdarah utara, itu bukan masalahnya. Saya percaya, video-videonya sedikit sebanyak mampu mengubah minda masyarakat terutamanya minda mahasiswa yang kaya dengan idealism tetapi takut untuk disuarakan.

Tetapi video kali ini sangat menarik untuk sedikit saya kupas tentangnya. Saya bersetuju dengan kenyataan Mat Lutfi, kejayaan tidak diukur sejauh mana pencapaian dalam akademik sahaja. Kejayaan harus diukur sejauh mana kita mampu untuk menyumbangkan untuk memajukan agama, keluarga, masyarakat dan negara. Daripada pemerhatian, saya dapati masih ramai lagi tidak mahu peduli dengan nasib orang lain. Bagi mereka, cukuplah dirinya belajar pandai, grad, dapatkan kerja yang baik, berkahwin, beranak pinak, hidup mewah bersama keluarga dan mati. Apakah makna hidup sebegini? saya nampak kehidupan sebegini sungguh kosong daripada sebarang makna. Saya suka memetik kata-kata Buya HAMKA:

Kalau hidup sekadar hidup,
babi di hutan juga hidup.
Kalau bekerja sekadar bekerja,
kera di hutan juga bekerja.

Hidup ini sangat bermakna andai kita mampu menyumbangkan sesuatu untuk manusia lain. Rasulullah SAW bersabda:

“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain” (Hadith Sahih)

Manusia yang terbaik adalah mereka yang mampu meberi manfaat kepada manusia lain. Jika kaya, sumbangkan duit untuk membina sekolah, anjurkan program motivasi dan kerohanian, menjamu orang ramai makan, menaja pelajar untuk belajar, dan menubuhkan rumah perlindungan fuqara’(golongan faqir’, masakin (golongan miskin), dan janda. Kalau doktor, sekurang-kurang buat medical check-up percuma, sertai rally dan volunteering work, dan menyertai misi bantuan kemanusiaan. Sebenarnya siapa sahaja boleh menyumbang dengan cara tersendiri. Cuma saya bagi contoh, yang biasa saya lihat dan dengar sahaja.
Allah telah menganugerahkan kita aqal, tenaga, harta,kesihatan, dan pelbagai lagi yang tidak mampu kita hitung. Semuanya akan dipersoalkan. Apakah dengan tidak membantu manusia-manusia yang memerlukan di luar sana, kita berasa mampu untuk menjawab di hadapan Allah? Mari berfikir sejenak.

Video Mat Lutphi kali ini diharapkan dapat membuatkan kita ponder sesuatu. Kita bukan semakin kecil, tetapi semakin menuju kedewasaan. Kematian itu satu kepastian, bagaimana dengan bekalan untuk kebahagiaan kampong akhirat andai hidup hanya untuk memenuhi tembolok perut sendiri?