Saturday, January 5, 2013

Zaman Berubah, Pemikiran Berubah...


Salam kepada sahabat yang dikasihi kerana Allah. Semoga semua semakin bersemangat untuk menempuhi tahun 2013.
Amma ba’d.

Kadang-kadang, saya mencari masa untuk bersendirian dan merenung liku-liku kehidupan saya semenjak kecil sehinggalah sekarang umur yang hampir mencecah 23 tahun. Banyak perkara yang terjadi sewaktu kecil dahulunya saya anggap remeh tetapi amat besar signifikannya apabila usia semakin meningkat menjadi dewasa. Banyak juga pemikiran saya yang telah berubah dek berlakunya perubahan masa. Kalau dahulu saya berfikir bahawa haram memakan makanan yang dimasak oleh orang non-muslim (Konteks Malaysia:Cina dan India), tetapi apabila di US, kadang-kadang kami makan masakan halal yang dimasak oleh non-muslim (Konteks: warga Amerika). Jika direnung ayat Allah dalam surah Al Baqarah ayat 168 yang berbunyi:

“Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.” (Al Baqarah 2:168)

Maka kita akan dapati bahawa perintah Allah, supaya memakan makanan yang HALAL dan BAIK. Mafhum (dapat difahami) daripada ayat ini tidak kira siapa yang memasaknya, asalkan ia menepati dua ciri ini, sudah pasti ianya boleh dimakan. Cuma mungkin ada hadith atau perbahasan ulama’ supaya makanan yang dimasak oleh orang-orang beriman itu lebih utama untuk dimakan. Disitulah terletaknya keberkatan.

Banyak lagi contoh pemikiran saya yang dah berubah namun cukuplah hanya makanan ini dijadikan contoh. Baru-baru ini timbul isu amanat Haji Hadi, satu amanat yang diucapkan di Kampung Banggol, Peradong, Terengganu pada 7 April 1981. Antara isi amanat tersebut ialah:

“Saudara-saudara sekelian percayalah,

Kita menentang UMNO, bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.

Percayalah saudara-saudara sekelian,

Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, Tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan 'politik suku, agama suku'.”

Begitulah sebahagian amanat Tuan Guru Haji Hadi yang sekaligus mengubah lanskap politik pada waktu tersebut terutama dalam parlimen yang menjadi lebih islamik. Peristiwa ini telah berlalu hampir 31 tahun yang lalu, tiba-tiba ada pihak yang berkepentingan politik memainkan semula isu ini.
Ia seolah-olah orang kata kepada saya;

“Eh! Dulu bukan kau tak makan ke makanan di kedai Cina?”

“Itu waktu aku kat Malaysia, Sekarang kat US ni lain”

Begitulah, secara simplistik jika kita ingin memahami isu amanat Haji Hadi. Jika diperhatikan pada kandungan isi amanat tersebut, jelas di sini bahawa UMNO ditentang kerana mengekalkan undang-undang penjajah (yang digubal oleh Lord Reid), bukan kerana namanya UMNO. Katakanlah, esok PM Najib membuat sidang media bahawa kabinetnya akan melaksanakan syariat Islam, maka mengapa tidak kita menyokong? Bahkan menjadi kewajipan bagi kita sebagai muslim untuk menyokong usul tersebut.

Namun apa yang terjadi adalah sebaliknya.


Sebenarnya isu ini dimainkan semula, bagi menutup salah laku yang lebih besar; isu pembelian scorpene, isu National Feedlot Corporation (NFC), isu rasuah Port Klang Free Zone (PKFZ), isu hutang negara yang sudah mencecah 50% KDNK serta pelbagai lagi isu ketirisan.

Nasihat saya kepada semua diri saya dan semua pihak, jadilah insan yang adil dalam menilai isu ini, pandanglah isu ini dalam kerangka zaman yang sudah berubah dan yang paling terbaik, berilah peluang agar Tuan Guru Haji Hadi diberi ruang untuk menjelaskan amanatnya sendiri.  Katakanlah, saya membuat kenyataan;

“Indahnya hidup andai si dia di sisi”

Bagi yang ingin bertanya siapa si dia yang saya maksudkan, wajarkah mereka bertanya soalan ini kepada orang selain saya?

Allah berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Al Maidah 5:8)

Berlaku adil lah dalam melakukan penilaian dan bertaqwalah kepada Allah.
Wallahua’lam.


1 comment:

Izzati Hashim said...

Nice one!

Amanat TGHH, orangnya masih ada tapi tidak diberi peluang untuk menjelaskan apa-apa pun. Adilkah?

Nilailah dengan adil, sebagaimana kamu ingin diadili dengan seadilnya.

:)