Salam
kepada sahabat, semoga semua urusan dipermudahkan Allah.
Amma
ba’d.
Kebelakangan
ni, ada beberapa sahabat sama ada yang dekat mahupun jauh bercerita kepada saya
yang niat mereka untuk bernikah, tidak mendapat kebenaran daripada ibu bapa
terutama daripada pihak ibu mereka. Saya boleh faham andai mereka ialah anak
perempuan, tetapi yang menceritakan masalah mereka itu ialah sahabat-sahabat
lelaki saya. Hal ini menyebabkan saya berfikir, punca hal ini terjadi. Di umur
23 tahun, mereka belajar jauh di
perantauan (berjauhan dengan ibu bapa), menunjukkan mereka sudah mampu
berdikari. Ini sudut pandang saya secara simplistik.
Saya
akui, di umur sebegini, ramai yang sudah mula memasang impian mendirikan rumah
tangga kerana inilah fitrah manusia yang Allah jadikan seperti mana tercatat dalam
Al Quran:
“Dan di antara tanda-tanda yang
membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai
kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati
dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri)
perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu
mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang
yang berfikir.” (Ar Rum 30:21)
Namun apabila saya cuba memposisikan
kedudukan saya di tempat ibu bapa, saya merasakan perkara ini terjadi
disebabkan keadaan tertentu di negara kita. Sebagai contoh, ramai
sahabat-sahabat saya ini dahulunya sekolah berasrama penuh, mereka sudah
berjauhan dengan kedua ibu dan bapa sejak berumur 13 tahun lagi. Ibu bapa pula
belum rasa puas untuk membesarkan anak-anaknya. Jadi apabila ingin bernikah, Mereka
mungkin menganggap anak-anak mereka masih kecil seperti mana anak-anak mereka
yang sentiasa dekat dengan mereka ketika sekolah rendah dahulu. Selepas bernikah,
sudah pasti perhatian dan komitmen akan lebih tertumpu kepada isteri dan
anak-anak berbanding ibu bapa. Manusia apabila semakin meningkat usia, mereka
semakin kaya dengan pengalaman tetapi dalam masa sama perasaan mereka menjadi
semakin sensitif.
Alhamdulillah, dalam bab ini saya tidak
menghadapi masalah. Mungkin mak dan ayah saya kenal saya, kalau saya keluar
berprogram jauh dari mereka, saya tidak akan berlama-lama. Sejurus habis
program, saya akan terus pulang ke rumah.
Satu masalah lagi bagi mereka yang
menghadapi tentangan ibu bapa apabila menyuarakan hasrat ingin bernikah,
mungkin mereka jarang menghubungi ibu bapa mereka ketika berjauhan. Ada sesetengah
yang saya tanya, mereka menelefon rumah dua minggu sekali, ada yang sebulan
sekali. Mungkin perkara ini juga menyebabkan ibu bapa terasa, jarang-jarang
telefon rumah, tiba-tiba menyatakan hasrat ingin bernikah. Saya wajibkan diri
saya, walau sesibuk manapun, setiap minggu mesti telefon rumah.
Saya berpandangan, sekarang ini kita
perlu buktikan bahawa kita sudah matang untuk memikul amanah berkeluarga. Kalau
bersembang dengan ibu bapa mungkin boleh sembang bab-bab orang tua seperti bab
politik, agama, hal masyarakat sekeliling, atau business. Bila mereka meminta
pandangan, beri pandangan yang matang supaya mereka sedar bahawa kita bukan
lagi anak kecil. Buktikan juga kepada mereka bagaimana kita sudah boleh
berdikari mencari sumber ekonomi sendiri tanpa perlu bergantung kepada mereka.
yakinkan juga mereka bahawa, walau selepas kahwin, mereka tidak akan diabaikan
dan dipinggirkan. Mungkin kalau kita bekerja di tempat yang jauh, yakinkan
mereka yang kita akan pulang melawat mereka sekurang-kurangnya sebulan sekali
(tetapi ini applicable bagi mereka
yang dari negeri atau region yang
sama). Bagi mereka yang berlainan region, harus difikirkan bagaimana
kalian boleh pulang ke rumah sekerap mungkin. Tak mungkin untuk balik hanya
pada setiap kali raya puasa dan raya haji.
Sedikit pandangan bagi sahabat-sahabat
yang memang serius memikirkan tentang pernikahan, jika sebelum ini, kalian
adalah pemain game yang tegar,
seharusnya perkara ini sudah ditinggalkan atau dikurangkan. Kalau sebelum ini,
kita masih mengharapkan atau bergantung kepada ibu bapa, kawan-kawan atau orang
sekeliling, belajarlah untuk berdikari.
Kita hidup di zaman fitnah, yang mana
jalan zina terbentang luas dan jalan syariat melalui perkahwinan disusahkan
dengan adatnya, halangan ibu bapanya, kerenah birokrasi oleh institusi agama di
negara kita serta pandangan serong masyarakat tentang kahwin awal. Rasulullah
SAW berpesan:
“Aku berwasiat kepada kalian untuk
bertaqwa kepada Allah dan mendengar serta taat (kepada pemerintahan Islam)
walaupun yang memimpin kalian adalah seorang hamba sahaya dari negeri Habasyah.
Sesungguhnya barangsiapa hidup sesudahku nescaya dia akan melihat banyak
perselisihan (fitnah yang dahsyat), maka wajib atas kalian berpegang dengan
sunnahku dan sunnah Khulafa Ar Rasyidin yang mendapat petunjuk sesudahku.
Berpeganglah kalian dengannya dan gigitlah ia dengan gigi gerahammu (pegang
dengan kuat) serta jauhilah oleh kalian perkara agama yang diada-adakan kerana
semua yang baru dalam agama adalah bid’ah dan semua bid’ah adalah sesat.”
(Hadith Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, Imam Tirmizi)
Di zaman fitnah yang sungguh menggila
ini, marilah kembali kepada sunnah dan beristiqamah untuk beramal dengan
sunnah. Bertaqarrub (dekatkanlah) diri kepada Allah, semoga Allah membantu
mempermudahkan urusan kita.
Wallahua’lam.
1 comment:
hehe. sama wavelength.
Lagu tema pun sama :D
Post a Comment