Thursday, January 10, 2013

Angkara Fitnah...


Salam kepada semua sahabat. Semoga semuanya dikasihi dan dirahmati Allah harapnya.
Amma ba’d.

Apa yang kita faham tentang fitnah? Rata-rata kita memahami fitnah adalah umpatan, atau kata-kata yang tidak benar kepada seseorang. Sebenarnya perkara sedemikian dalam Islam dinamakan buhtaan. Dalam banyak ayat di dalam Al Quran, fitnah yang dimaksudkan Allah adalah ujian yang sangat berat sehingga boleh menggugat agama dan pegangan. Antara maksud lain fitnah adalah kekafiran, gangguan, konflik, godaan, mangsa kezaliman dan kebinasaan.

Dan bunuhlah mereka (musuh yang memerangi kamu) di mana sahaja kamu dapati mereka, dan usirlah mereka dari tempat yang mereka telah mengusir kamu; dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan dan janganlah kamu memerangi mereka di sekitar masjid Al-Haraam sehingga mereka memerangi kamu di situ. Oleh itu kalau mereka memerangi kamu (di situ), maka bunuhlah mereka. Demikianlah balasan bagi orang-orang yang kafir.” (Al Baqarah 2:191)

Fitnah dalam ayat ini bermaksud kezaliman kaum kafir terhadap kaum muslimin, maka kaum kafir itu harus diperangi sehingga tiada lagi fitnah daripada mereka. Allah menyambung dalam ayat 193:

“Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah agama itu semata-mata kerana Allah. Kemudian jika mereka berhenti maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim.” (Al Baqarah 2:193)

Jadi, dalam konteks kita hidup di akhir zaman ini, fitnah sentiasa berlegar. Kadang-kadang kita merasakan bahawa tiada lagi tempat untuk kita berlindung daripada fitnah yang berleluasa. Di negara kita sebagai contoh, melemparkan tuduhan tanpa tabayyun (usul periksa) sudah menjadi biasa terutama mereka yang terlibat dalam politik. Gejala seks luar nikah dan pembuangan bayi semakin menjadi-jadi. Jenayah bunuh dan rasuah di akhbar menunjukkan ia semakin membarah. Perempuan-perempuan yang berpakaian sambil aurat terdedah sudah terlalu biasa walaupun di kampung. Nabi pernah bersabda:

”Aku tidak meninggalkan suatu fitnah yang paling berbahaya sesudahku nanti kecuali fitnah yang dihadapi oleh kaum lelaki dengan sebab kaum wanita” (Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim)

Apabila fitnah berleluasa di dalam masyarakat, kerahmatan dan keberkatan hilang. Hati manusia tidak tenang dalam menjalani kehidupan seharian walaupun mereka kaya raya. Perasaan tidak selamat berada dalam hati jantung manusia.
Fitnah akhir zaman

Oleh sebab itu, kita semua kena kembali berhukum kepada syariat Islam. Kembalilah menyokong dan mendokong perjuangan Islam untuk melaksanakan syariat di atas muka bumi Allah supaya ketenangan meresapi semula dalam sanubari kita. Perbanyakkan membaca doa memohon agar diselamatkan daripada terkena fitnah yang boleh menggugat iman dan aqidah. Bentuklah dan hiduplah dalam persekitaran yang baik (biah solehah). Bergaullah dengan orang-orang soleh serta jauhilah tempat maksiat, semoga Allah menghindarkan kita daripada terkena fitnah.

Allahumma salimna minal fitan



No comments: