Salam
kepada sahabat yang saya kasihi kerana Allah. Semoga Allah melindungi kita
daripada fitnah yang menggugat agama dan pegangan kita.
Amma
ba’d.
Dunia
Islam kaya dengan sejarah yang agung. Jika ditelusuri sejarah islam terutama
seerah nabawiyah, kita akan menghargai serta mensyukuri nikmat Islam yang
menjadi pegangan kita. Setiap sejarah Islam di zaman dahulu mempunyai
pengajaran yang amat berguna bukan hanya kepada Muslim tetapi seluruh umat
manusia akhir zaman. Golongan orientalis barat menuduh bahawa Islam mengongkong
wanita, sedangkan datangnya Islam membebaskan wanita daripada perhambaan seks
kepada lelaki di tanah Arab ketika itu. Jika dahulu, wanita tidak berhak
membuat pilihan dengan siapa dia mahu berkahwin, tetapi datangnya Islam
memberi kebebasan kepada wanita untuk membuat
pilihan dengan siapa dia mahu berkahwin (rujuk kisah Mughits dan Barirah).
Islam
berkembang dari satu zaman ke satu zaman dan setiap pengembangan Islam
mempunyai tamadun tersendiri. Dalam banyak tamadun Islam yang muncul, saya amat
tertarik dengan tamadun kerajaan Turki Uthmaniyyah. Tamadun yang diasaskan oleh
Osman Gazi pada tahun 1299M ini berkembang menjadi tamadun Islam yang
memerintah paling lama dalam sejarah Islam; dianggarkan selama 625 tahun
(1299M-1924M). Fokus kegemilangan dalam tamadun ini ialah apabila Sultan
Muhammad Alfateh Berjaya menakluki Kota Konstantinople (Sekarang dikenali
sebagai Istanbul). Sedikit sejarah Istanbul, ‘bul’ dalam bahasa turki adalah bandar,
pada asalnya selepas Kota Konstantinople, ia dikenali sebagai Islambul (Bandar
Islam), lama kelamaan, dek kerana dialek penduduk setempat mungkin, kota
ini dikenali sebagai Istanbul sehingga ke hari ini. Uniknya adalah, hanya Turki
satu-satunya negara di dunia yang terletak di antara dua benua; benua Asia(bahagian
Ankara) dan benua Eropah(bahagian Istanbul).
Rasulullah
SAW bersabda;
“Kota
Konstantinople pasti jatuh kepada kaum Muslimin, Sebaik-baik pemimpin adalah
pemimpinnya dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya” (maksud hadith)
Apa
yang menariknya tentang hadith ini adalah, ianya direalisasikan selepas lebih
kurang 800 tahun Rasulullah SAW mengatakannya. Percubaan demi percubaan dilakukan
tetapi gagal mengalahkan kerajaan Byzantine sehinggalah ekspedisi ke 10 di
bawah pimpinan Sultan Muhammad Alfateh (Sultan Muhammad bin Murad), Allah menganugerahkan
kemenangan kepada kaum muslimin. Sebelum kita pergi lebih lanjut, amat molek
jika kita mengetahui peri pentingnya Kota Konstantinople kepada umat Islam.
Pada
ketika itu, penguasaan umat Islam ke atas Konstantinople amat penting kerana
kedudukannya yang strategik terletak di antara dua benua, yang merupakan laluan
perdagangan rempah bagi bangsa Eropah. Ia memberi faedah yang besar bagi
mengukuhkan ekonomi serta politik kerajaan Uthmaniyyah. Selain itu, Kota
Konstantinople ini dibangunkan oleh Maharaja Byzantine pada tahun 330 masihi,
mempunyai struktur pertahanan kota yang sangat kukuh. Kota ini mempunyai tembok
luar dan dalam. Tembok luarnya mempunyai ketinggian 25 kaki (7.6 meter) dan
setebal 10 meter manakala tembok dalamnya mempunyai ketinggian 40 kaki (12.2
meter) dan setebal 15 meter. Bahagian luar kota dilingkungi parit besar yang
mempunyai lebar sebanyak 60 meter dan sedalam 10 meter.
Begitulah
kekuatan serta strategiknya kedudukan Kota Konstantinople ini. Napoleon Bonaparte pernah mengungkapkan bahawa
“ Apabila dunia ini sebuah negara, Konstantinople adalah yang paling ideal
untuk menjadi ibu negaranya”
Sebenarnya
banyak faktor menyumbang kepada kejayaan penaklukan Konstantinople oleh Sultan
Muhammad Alfateh. Antaranya ialah pengetahuan yang mantap tentang kekuatan Kota
Konstantinople, tawakkal yang tinggi kepada Allah, sentiasa menjadikan ulama’
sebagai rujukan dalam setiap tindakan, serta penguasaan bahasa musuh dan
jalinan hubungan diplomasi (tahaluf siyasi?) dengan kerajaan sekeliling.
Di bawah pemerintahan Uthmaniyyah, setiap pelajar diwajibkan mengambil pengajian sains spiritual dan sains
intelektual. Setiap pelajar yang terdiri daripada golongan marhaen mahupun
golongan diraja diwajibkan menguasai klasifikasi ilmu berikut:
Sains
kaligrafi: Menguasai kaedah penulisan
Sains
oral: Menguasai bahasa termasuk puisi, sastera dan tatabahasa
Sains
Intelektual: Menguasai ilmu logik dan
dialetik
Sains
politik: Mengetahui selok belok politik termasuk cara berdiplomasi
Sains
agama: Menguasai ilmu Alquran dan Assunnah terutama dalam bidang pentafsiran
dan pentakwilan, Pengkajian sunnah dan tradisi kenabian (Prophetic Tradition),
teologi Islam serta Syariat Islam.
Selain
itu, Sultan Muhammad Alfateh menguasai cabang-cabang Ilmu seperti Sejarah,
Matematik, Geografi serta Astronomi. Subjek sejarah penting bagi mengkaji faktor-faktor
kegagalan ekspedisi terdahulu serta mengkaji kekuatan musuh secara menyeluruh.
Ilmu geografi memberi pendedahan kepada baginda untuk mengetahui struktur Kota
Konstantinople yang terletak di kawasan yang berbukit serta berangin. Ilmu
astronomi memberi kelebihan kepada Sultan Muhammad Alfateh mengetahui bila
berlakunya gerhana matahari, kerana orang-orang Rom percaya bahawa gerhana
bulan memberi nasib malang kepada mereka; ini dapat melunturkan semangat perang
mereka. Ilmu matematik, memberi kelebihan kepada Sultan Muhammad Alfateh untuk
membuat perincian angka, seperti jumlah makanan untuk tentera dan jarak bedilan
meriam Urban.
Kehebatan
Sultan Muhammad Alfateh bukanlah secara kebetulan namun pembentukan diri
baginda menjadi insan ulung adalah melalui sistem tarbiyah yang sistematik yang
mengintegrasikan antara pendidikan duniawi dan ukhrawi.
Jika
ada mana-mana kita hendak menjadi hebat, tidak perlu bersusah payah mengambil
model-model pendidikan barat, sebaliknya selongkarlah sejarah Islam, dan
kajilah tentang model tersebut. Pokoknya, ia mestilah berteraskan Alquran dan
Assunnah.
Turki,
bukan sahaja negara yang kaya dengan tempat-tempat yang indah tetapi kaya dengan sejarah ketamadunan Islam yang
hebat. Islam pernah bangkit di situ, Islam juga pernah jatuh di situ. Ambillah pelajaran,
kerana pelajaran dapat digarap oleh mereka yang berpemikiran. Jika ada peluang,
melanconglah ke sana..:)
Sumber rujukan dalam penulisan kali ini
No comments:
Post a Comment