Salam buat semua, Alhamdulillah atas segala kurniaan Allah. Marilah kita bermuhasabah akan segala nikmat-nikmat Allah kepada kita. Cuba bandingkan pula nikmat yang kita terima dan dosa yang kita lakukan. Apakah sama banyak? Saya mohon ampun daripada Allah atas segala kekhilafan yang saya lakukan. Astaghfirullahal a’zim.
Amma ba’d.
Saya mulakan entri kali ini dengan memetik ayat Al Quran daripada surah An Nur ayat 32:
“Dan kahwinkanlah orang-orang yang bujang diantara kamu, dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka MISKIN Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui.” (24:32)
Memang setiap kali roadtrip topik perkahwinan ataupun bait almuslim ini tidak terlepas daripada diperbincangkan. Secara jujurnya, atas sebab ini saya suka kalau kereta yang saya pandu semuanya adalah kaum adam sahaja supaya pandangan dan pemikiran lebih luas untuk dikongsikan. Kalau naik dengan kaum hawa, mungkin tidak serancak seperti bermusafir bersama dengan orang lelaki ini untuk membincangkan topik ini. Banyak perkara yang kami bincang namun topik ini antara topik terpanas dalam kalangan orang-orang bujang walaupun cuaca di luar di bawah 5’C.
Sama ada sedar atau tidak, umur masing-masing sudah menjengah 20 an, umur yang saya kira sudah agak matang bagi memulakan langkah untuk memikirkan soal pasangan hidup. Kebiasaannya, di fatrah (fasa) ini, ramai kita mula menanamkan azam dan tekad bagi mencari pasangan yang ideal. Jadi sukalah saya untuk berkonsgi secebis pandangan tentang pemilihan bakal peneman hidup. Ia terangkum dalam 4S.
SEPADAN
Mencari pasangan yang sepadan ini bermaksud, memilih pasangan yang sesuai di pandangan kita. Maksud yang sesuai ini bolehlah dilihat dari segi kecantikan paras rupa, kebaikan hati budi serta kesopanan akhlak. Carilah pasangan yang cantik di mata kita, jangan cari yang cantik di mata orang lain.
SEKUFU
Sekufu ini pun boleh ditakrif dengan pelbagai maksud tetapi saya lebih suka untuk melihat dari segi pendidikan. Kebiasaannya, seseorang yang belajar di luar Negara akan mencari pasangan di luar Negara juga. Tidak kisah sama ada Negara tempat mereka belajar sama atau tidak. Ini penting bagi menghidupkan rumah tangga dan agar ‘bahasa’ yang akan digunakan semasa berumah tangga kelak adalah sama. Jika seseorang menggunakan ‘bahasa’ akademik, dia akan mengharapkan agar pasangannya mampu bertutur menggunakan ‘bahasa’ yang sama. Begitu juga jika seseorang itu menggunakan ‘bahasa’ agama, dia mengharapkan isterinya menggunakan ‘bahasa’ agama juga.
SEFIKRAH
Sefikrah ini bermaksud mempunyai pemikiran yang sama dalam kehidupan. Jika si suami berfikrah kuning, dia akan mengharapkan bakal isterinya juga berfikrah kuning. Jika si suami berfikrah ungu, itu juga yang diharapkannya daripada isterinya. Ini antara elemen yang dapat menguatkan perjuangan si suami serta dapat mewujudkan suasana harmonis dalam rumah tangga dakwah (bait addakwah). Si isteri menjadi penguat semangat serta sayap kiri kepada perjuangan si suami dan si suami dapat membimbing isterinya dan anak-anak kearah jalan yang diredhai Allah.
SEHATI & SEJIWA
Dalam banyak perkara, hal ini penting bagi mewujudkan kasih saying dalam keluarga. Untuk mencapai sehati dan sejiwa ini, kebiasaannya suami dan isteri berkongsi minat yang sama. Sebagai contoh, kalau si suami suka menonton iron chef (Food Channel), si isteri juga suka menonton channel yang sama. Begitu juga berkongsi hobi dan aktiviti masa lapang. Tidak terkecuali juga jika si suami minat bercerita tentang ekonomi, si isteri juga berkongsi minat yang sama. Sehati dan sejiwa ini juga elemen yang dapat melahirkan sikap tolak ansur dan toleransi sesama pasangan suami isteri apabila berumah tangga kelak.
Ramai orang selalu sangat mengimpikan seseorang yang ideal tetapi dalam masa yang sama, barangkali terlupa mungkin, tidak berusaha membentuk diri sendiri menjadi ideal mengikut acuan Al Quran dan Sunnah Nabi Muhammad SAW. Lebihnya pada mencari berbanding menjadi. Sekarang ini, apa yang perlu kita lakukan adalah melakukan turning point dalam pemikiran kita. Berusahalah untuk menjadi orang yang baik dan insya Allah pasangan kita kelak adalah daripada kalangan orang yang baik juga. Saya sudahkan entri kali ini dengan memetik ayat Al Quran daripada surah An Nur ayat 26:
“Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula). Mereka (yang dituduh) itu bersih dari apa yang dituduhkan oleh mereka (yang menuduh itu). Bagi mereka ampunan dan rezeki yang mulia (syurga)” (An Nur:26)
"aku hanya ingin cinta yang halal,
di mata dunia dan di akhirat"
"aku hanya ingin cinta yang halal,
dengan dia tentu atas izin-Nya"
1 comment:
bagaimana dengan perbezaan? adakah perlu wujud perbezaan? kerana ada yang mengatakan perkahwinan ini saling melengkapi antara satu sama lain
salam perjuangan :)
Post a Comment