Friday, August 16, 2013

Khabar Ardul Kinanah...

Salam kepada sahabat semua. Semoga Allah mengurniakan kita taufiq dan hidayahNya, agar kita senantiasa di atas landasan Islam.
Amma ba’d.

Saya membaca tulisan Dr Maszlee Malik di akhbar sinar harian. Satu tulisan yang holistik bagi menggambarkan situasi yang berlaku di Mesir. Bacaan lanjut tulisan beliau boleh dibaca di blog beliau. Klik di sini.

Sehingga kini melalui sumber-sumber yang terdapat di laman sosial FB seperti, Mesir Kini melaporkan bahawa jumlah mereka yang syahid telah melebihi 2500 orang dan jumlah mereka yang cedera melebihi 10000 orang. Angka ini sememangnya sangat besar kerana ia hanya berlaku dalam tempoh dua hari.

Mesir Kini

Ulasan ringkas yang saya boleh katakan tentang apa yang berlaku di Mesir adalah, wujudnya golongan-golongan yang begitu busuk dan jahat hati mereka. Mereka ini tidak mahu melihat Islam didaulatkan. Siapakah mereka? mereka adalah fulul Mubarak yang kesemuanya kalah dalam pertandingan calon Presiden Mesir pada tahun lepas. Dari sumber-sumber FB jugak, mereka mendapat dana yang besar dari kerajaan UAE dalam usaha memburukkan Dr Mursi terutama melalui media. Media Awani melaporkan bahawa, Kerajaan Saudi memberikan $5 billion dollar kepada kerajaan kudeta Mesir, manakala kerajaan UAE menyuntik dana sebanyak $3 billion dollar selepas kerajaan Dr Mursi digulingkan. Di sini sudah menjelaskan hipokrasi sesetengah golongan aristokrat Arab yang mempunyai hati yang jahat. Semoga Allah membalasnya dengan balasan yang setimpal.

Saya tidak menyalahkan rakyat Mesir secara keseluruhannya. Hal ini disebabkan, berada dalam tekanan selama lebih 30 tahun di bawah regim Hosni Mubarak, menyebabkan mereka hilang harapan untuk hidup. Apabila Dr Mursi naik menjadi presiden, harapan mereka sangat besar untuk melihat perubahan kearah yang lebih baik. Namun sayang, sikap kurang bersabar dalam ingin melihat perubahan telah membawa kepada kacau bilau yang sedang berlaku. Keadaan sekarang sangat tidak terkawal sehingga sebuah masjid, Masjid Rabiatul Adawiyah dibakar oleh puak regim. Ini perbuatan yang sangat terkutuk dan melampau. Semoga Allah membalas kejahatan mereka yang membakar rumahNya.

Ada ura-ura yang mengatakan kerajaan Malaysia akan membawa pulang rakyat Malaysia yang ada di sana. Hal ini juga membinmbangkan mereka yang masih menuntut di sana. Dikhuatiri, mereka tidak dapat menamatkan pelajaran yang telah berjalan selama beberapa tahun. Ada yang masih mempunyai satu tahun sahaja lagi untuk tamat. Jadi, doa kita agar Allah mengembalikan keamanan kepada bumi Mesir dan seluruh ahlinya.

Ada pelajaran penting yang kita boleh ambil tentang apa yang berlaku di sana. Pertama, dalam ingin melihat perubahan, kita harus menjalaninya dengan sabar dan tekun. Kesabaran dalam membawa agenda kebaikan serta tidak tergesa-gesa membawa perubahan (tadarruj), merupakan perkara penting untuk melihat perubahan. Hal dapat dilihat dalam dalil pengharaman arak yang dilakukan sebanyak tiga peringkat dalam Alquran. 

Kedua, Pendidikan haruslah ditekankan sedari peringkat bayi. Saya mengutarakan pendidikan kerana, pengamatan saya mendapati negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Britain, Jepun dan Korea Selatan, seolah-olah tidak wujud demonstrasi sehingga membawa kepada tembak menembak. Hal ini pada hemat saya, mereka merupakan golongan terpelajar yang mampu mengawal emosi dalam perbezaan pendapat, mengutamakan hujah berbanding sentimen serta mampu bekerjasama dengan siapa sahaja asal mereka tahu apa isu yang diperjuangkan. Berbalik kepada situasi Mesir, disebabkan kebanyakkan rakyatnya masih tidak mendapat pendidikan yang sempurna, mereka bertindak atas dasar sentimen. Mereka mungkin dengan mudah mempercayai berita-berita dari akhbar arus perdana di Mesir tanpa mengkaji terlebih dahulu. Seperti saya katakan di awal tadi, media arus perdana di Mesir masih dikawal oleh puak fulul Mubarak.

Banyak lagi yang perlu diperkatakan tetapi saya ingin tumpukan kepada dua aspek ini dahulu. Ini bukan tulisan akademik, tetapi satu penulisan untuk buat kita semua berfikir atas permasalahan yang menimpa umat. Selagi mana kita bernama Umat Islam, kita akan diuji sehinggalah terbukti bahawa kita benar-benar beriman kepada Allah dan apa yang diturunkanNya.

Wallahualam


Allahummansuril Islam wal muslimeen fil misr. 

No comments: