Wednesday, June 5, 2013

Kalam Akhir...

Salam buat sahabat yang saya kasihi kerana Allah. Semoga Allah memberkati dan merahmati kita semuanya.
Amma ba’d.

Insha Allah esok, 6 Jun 2013 saya akan bertolak balik ke Malaysia tanah tumpah darah. Saya kira ini ialah entri terakhir sebelum meninggalkan bumi United States yang penuh warna warni mewarnai kehidupan saya. Adakah saya akan kembali ke sini semula? wallahua'lam. 
Allah berfirman:

“Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.” (Al A’raf 7:34)

Tempoh keberadaan saya di United States telah tamat. Saya harap junior-junior yang masih tinggal dapat meneruskan legasi menyambungkan silaturahim bersama komuniti Rochester yang telah kami, senior-senior bina. Bukan kami ingin mendabik dada membangga diri, cuma sekelumit harapan kami agar nama baik rakyat Malaysia di mata umat Islam di United States terus dipelihara. Mereka sangat menyanjung keluhuran dan budi pekerti umat Islam dari Malaysia. Begitu banyak pujian dihamburkan apabila bergaul bersama mereka. bukanlah pujian yang dicari, tetapi bersyukur kerana kehadiran kita dalam kehidupan mereka menjadi qudwah hasanah serta memberi impak positif buat mereka.


Saya bukanlah siapa-siapa yang terlepas dari silap dan salah, maka sepuluh daktil saya susun memohon kemaafan. Saya juga mohon dihalalkan segala makan dan minum serta mohon dituntut hutang jika ada. Alhamdulillah, saya terlepas daripada satu fasa kehidupan dan sedang memasuki satu lagi tingkatan liku kehidupan. Semoga Allah sentiasa bersama saya dalam susah dan senang. Selamat berjuang sahabat semua, sesungguhnya hidup kita mengutip pahala untuk menuju ke negeri akhirat yang abadi.

2010

2013

How fast time flies. Ya Allah, kurniakanlah kebaikan dan keberkatan dalam umurku. amin ya rabb