Thursday, May 30, 2013

Mereka...

Salam kepada sahabat semua. Semoga Allah meneguhkan pendirian kita dalam Islam.
Amma ba’d.

Selalu kita terdengar bahawa jika kita berazam dan meneguhkan pendirian untuk berubah menjadi baik, maka Allah akan ‘hantarkan’ orang-orang yang baik dalam hidup kita. Kenyataan ini benar. Insan walau sejahat mana dia, pasti ada sekelumit di hatinya mahu berubah menjadi baik, yang tinggal sama ada dia terus menerus mengikut hawa nafsu atau mujahadah melawan nafsu.

Hikmah adalah perkara yang tersirat di sebalik yang tersurat. Kadang-kadang, kita tak mampu menerka apa yang sedang berlaku ke atas kita, kenapa berlaku ke atas kita; sehinggalah Allah menyingkap hikmah tentang takdir yang menimpa kita.

Saya Cuma ingin meringkaskan sepanjang saya berada di Rochester, antara hikmah yang tersingkap adalah dihadirkan tiga orang insan yang cukup bermakna bagi diri saya.

Bersama Dr Rauf Bawany

Dr Rauf Bawany merupakan bekas pakar sakit kanak-kanak (pediatrician) yang sekarang merupakan Muslim chaplain  di RIT. Beliau merupakan orang yang sering saya rujuk bagi meminta pendapat sama ada berkenaan agama, isu semasa dan juga peribadi. Banyak sudah nasihat dan manfaat yang saya perolehi daripada beliau. Seorang yang lurus hatinya, sentiasa hormat dan sayang akan anak muda seperti saya. Seorang yang tidak lekang memberi semangat jika saya menyatakan sesuatu hasrat untuk membuat kebaikan. Semoga Allah merahmatinya dan keluarganya.

Bersama Dr Shakeel Sharif

Dr Shakeel Sharif yang merupakan seorang pakar mata (ophthalmologist) yang setiap minggu mengorbankan masanya untuk membuat kelas tafseer di RIT semenjak bulan Disember 2011. Kitab tafseer yang digunakan adalah kitab tafseer Ibnu Katheer. Banyak pencerahan saya dan sahabat-sahabat di sini perolehi sepanjang mengikuti kelas tafseer beliau. Saya masih ingat, ketika bulan ramadhan tahun lepas, beliau mengadakan kelas tafseer  mengupas surah luqman dan diadakan internet live streaming. Namun, memandangkan saya di Malaysia baru sahaja selesai solat tarawikh dan perlu tidur untuk bangun sahur, maka saya tidak mengikutinya. Semoga Allah merahmatinya dan keluarganya.

Bersama Imam Ismet Husny Akcin

Imam Ismet merupakan imam bagi Islamic Center of Rochester (Masjid di sini). Beliau begitu gigih menyantuni anak muda. Di ICR, beliau mengadakan kuliah tafseer mingguan, tazkirah subuh dan maghrib setiap hari, kuliah tafseer khas bagi muslimat serta bersedia dijemput ke mana-mana program jika pelajar Malaysia ingin menjemputnya. Beliau yang berbangsa Turki, amat santun peribadinya serta senantiasa mendoakan kebaikan Jemaah yang hadir di ICR. Wajahnya yang sentiasa tersenyum, sungguh menenangkan bagi siapa sahaja yang melihatnya.

Inilah antara insan-insan yang telah saya ambil manfaat daripada mereka sepanjang keberadaan saya di sini. Sebenarnya ramai lagi sahabat-sahabat yang ingin saya sebutkan nama mereka tetapi saya biarkan mereka hanya di kotak memori saya. Mereka yang membentuk siapa saya sekarang. Saya bersyukur kepada Allah kerana dianugerahkan insan-insan yang semangatnya kental walaupun diri mereka sangat sibuk dengan urusan duniawi.


Satu persoalan yang muncul di minda saya, mereka telah menyumbang sesuatu untuk kebaikan Islam. Semoga Allah menerima amal-amal soleh mereka. Apa pula sumbangan saya kepada Islam sepanjang lebih kurang 23 tahun menjadi Muslim? Allah, ampunilah kelemahan hambaMu ini.

Allahul mustaan.

No comments: