Monday, March 4, 2013

Warkah Tentang Turki: Bahagian 1...


Salam buat sahabat yang dekat mahupun yang jauh. Semoga Allah melimpahkan rahmatNya yang besar buat kita semua.
Amma ba’d.

Hampir dua minggu tidak menulis di blog kerana berada di ‘luar negara’; kini masa untuk mencoretkan sedikit warkah buat tatapan semua. Perjalanan ke Turki dirasakan begitu indah kerana banyak pertolongan Allah sepanjang saya dan dua sahabat saya di sana. Saya tidak tahu dari mana harus saya memulai tulisan ini tetapi saya rasa hanya akan menceritakan perkongsian yang saya rasakan bermakna untuk kita semua.

Kami sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Attartutk pada pukul 5.45 pagi waktu Istanbul (GMT+2). Di sana kami disambut oleh kenalan kami, Ali Kandemir. Dia membawa kami ke sebuah masjid untuk menunaikan solat subuh dan kemudian terus ke rumahnya. Sampai di rumahnya, kami dijamu sarapan pagi. Makanan orang utama orang Turki sememangnya roti, keju, zaitun, daging dan kentang. Saya boleh ‘masuk’ dengan makanan ini, Alhamdulillah. Minuman utama mereka adalah cay (teh). Pagi, petang, siang dan malam semuanya teh panas yang lazat. Saya rasa ketagih dengan teh Turki. Petangnya kami berangkat ke Bursa dengan menaiki feri. Merentasi laut Marmara di senja hari sangat damai dan menenangkan. 
sarapan pagi

Jarak dari Istanbul ke Bursa menggunakan jalan darat adalah 250 KM tetapi menggunakan feri, hanya mengambil masa selama 1 jam 30 minit. Kami sampai di Mudanya, terminal feri di Bursa pada pukul 7.30 malam dan keadaan sudahpun gelap. Bermulalah episode sulit pengembaraan kami apabila boleh dikatakan 99% peratus orang yang kami temui di Bursa tidak boleh berbahasa Inggeris. Setiap persoalan yang ditanya, dijawab mereka dalam bahasa Turki. Kami hanya mampu menulis destinasi yang hendak kami tujui kepada pemandu bas. Alhamdulillah pemandu bas faham dan suruh kami menaiki bas yang menuju ke hotel kami tanpa bayaran. Di sini kami merasai nusrah (pertolongan) Allah buat kami. Menarik lagi tentang Orang Turki, mereka begitu menyanjungi rakyat Malaysia. Bila kami mengatakan dari Malaysia, mereka mengangkat ibu jari memuji-muji Malaysia. Ada yang kami temui di Istanbul berkata “Malaysia is number one, Turkey number two”.
feri ke Bursa

Kami memulakan melawat Bursa pada hari kedua. Antara tempat menarik untuk dilawati di sini ialah, Ulu Cami (The Grand Mosque), Tophane Tower, Koza Han (bazar), Mount Uludag (buat peminat ski dan snowboard), dan hamam (rumah mandi Turki). Saya tidak galakkan pelajar-pelajar perempuan ke sini tanpa ditemani mahram. Bandar ini seolah-olah sangat jarang dikunjungi pelancong. Setiap mata mengekori kami tatkala kami melewati mereka. tambahan pakaian kami di luar norma masyarakat Turki, lagi lah kelihatan asing.
keadaan pasar di Bursa

Pada hemat saya, dasar kerajaan yang menghantar pelajar Malaysia ke luar negara dengan mengambil bidang hard science  wajar dibincangkan semula. Saya tidak nafikan keperluan untuk bidang-bidang kritikal seperti kejuruteraan, perubatan, sains pertanian, dan pergigian tetapi soft science  seperti bahasa wajar diberi perhatian serius. Sekadar yang saya tahu, sekarang hanya ada seorang di Malaysia yang menguasai banyak bahasa iaitu Mahadzir Lokman yang boleh menguasai bahasa Sepanyol, Itali, Jepun, Inggeris, dan Yunani. Saya tersedar peri pentingnya bahasa selepas kembara ini kerana, negara kita banyak melakukan hubungan diplomatik dengan negara-negara Islam. Justerus amat molek jika penguasaan bahasa Arab perlu ditekankan selain daripada penguasaan bahasa inggeris.
kesibukan bandar Bursa

Inilah sedikit warkah untuk hari-hari pertama di Turki, insha Allah saya akan cuba sambung dalam entri-entri selepas ini.

No comments: