Wednesday, March 20, 2013

Harapan Kita...


Salam kepada sahabat yang saya kasihi kerana Allah. Semoga semuanya dalam lindungan rahmat dan kasih sayang Allah.
Amma ba’d.

Menjadi hamba Allah, pasti kita melalui liku-liku kehidupan yang rencam. Terkadang berduka, adakala suka. Itulah lumrah kehidupan seorang insan bergelar hamba. Mana mungkin seorang hamba hidup tanpa diuji imannya. Sehari-hari kita melalui tingkatan demi tingkatan dalam kehidupan dan setiap tahapan kehidupan semakin mencabar. Kepada Allah sahajalah diserahkan segala urusan kehidupan.

Sepanjang kelana saya di bumi Uncle Sam, banyak perkara dan peristiwa telah merubah persepsi saya. Program demi program dihadiri, daurah demi daurah disertai, rehlah demi rehlah diikuti. Apakah ia telah menjadikan diri ini mengenali hakikat kehidupan? Allah lebih mengetahui.

Mengenali masyarakat Amerika, saya menyedari bahawa pembangunan material tanpa dibangunkan jiwa-jiwa insan lebih membawa kepada kerosakan kepada ketamadunan sesuatu masyarakat. Di sini, mereka punyai segala kelengkapan dan prasarana, tetapi moral masyarakatnya sangat rendah. Lelaki dan perempuan menyewa satu rumah tanpa ikatan yang sah, parti liar pada malam minggu, anak-anak lari meninggalkan rumah ibu bapa, kes perceraian yang tinggi, dan penindasan kaum kapitalis merupakan masalah yang sangat kritikal di Amerika. Namun, saya harus bersifat adil. DI sudut baiknya, warga Amerika mereka mudah bertolak ansur, boleh menghormati hak jiran-jiran, suka menghulurkan bantuan dan mesra dengan orang asing.

Di sini juga mendidik saya menjadi seorang dewasa. Saya bergaul dengan kalangan mereka yang professional; doktor, jurutera, professor, dan ahli perniagaan dalam kalangan warga masjid Rochester (Islamic Center of Rochester). Saya dapati warga Muslim di Rochester, mereka sangat tawadhuk walaupun mereka golongan bekerjaya yang hebat. Inilah ciri-ciri muslim yang sejati. Saya juga mendapat kawan-kawan dari negara Islam seperti Arab Saudi, Yaman, Libya, Turki, Pakistan, Afghanistan dan Indonesia. Inilah Islam yang dikatakan rahmatan lil a’lamin.
Menuju puncak

Berbalik kepada situasi di Malaysia, apabila menggula-gulakan rakyat dengan BR1M, pelbagai projek pembangunan, dan konsert hiburan melampau (hedonism), saya kira ia akan jadi seperti di Amerika. Warganya hidup dalam tekanan, lalu mereka ke pub dan parti untuk mencari keseronokan sementara. Apabila remaja-remaja tidak dibangunkan jiwa mereka, maka jahiliyah akan menyelubungi hidup mereka. Mereka hilang pedoman dan arah tuju. Saya yang sedang meniti usia dewasa, merasa bimbang dengan kes buang bayi, remaja lari meninggalkan rumah, anak memukul ibu bapa, dan pelbagai lagi gejala sosial yang berlaku di negara kita. Ia terlalu menyesakkan dada. Insha Allah, satu hari saya akan mempunyai isteri dan anak-anak. Saya tidak mahu keluarga saya tinggal dalam keadaan masyarakat yang sebegini. Saya inginkan sebuah kehidupan yang dalamnya tertegak amar maaruf nahi mungkar, saling bertegur sapa serta saling bantu membantu.

Menjadi tanggungjawab kita yang cintakan keamanan negara, rindu untuk melihat kebangkitan Islam serta inginkan pembangunan sebuah tamadunan yang berakhlaq mulia di muka bumi kita, tidak boleh berpeluk tubuh mengharapkan kemenangan percuma. Kita harus bangun bekerja merealisasikan impian yang murni ini. Marilah sama-sama berada dalam gerabak gerakan Islam di Malaysia untuk melihat sebuah institusi negara yang mendapat keberkatan Allah. Inilah harapan kita. Semoga Allah membantu kita dalam setiap langkah.

Wallahualam.

No comments: