Sunday, March 10, 2013

Warkah Buat Bakal Zaujahku...


Bismillahirrahmanirrahim,

Kehadapan bakal zaujahku yang diharapkan senantiasa dalam pemeliharaan Allah. Aku mulakan warkah ini dengan memetik kalam Allah dari surah Rum ayat 21 yang bermaksud:

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” (Ar Rum 30:21)

Alhamdulillah segala puji hanya bagi Allah yang memutikkan rasa cinta di antara kita sehingga membawa kepada tautan hati. Ketahuilah bahawa Allah lah yang mencampakkan rasa tenang dan tenteram di dalam jiwa hamba-hambaNya. Maka janganlah ada di antara kita yang ragu akan anugerah Allah yang agung ini.

Sebelum bernikah, aku tidak mahu terlalu menjanjikan itu dan ini, cuma satu janjiku yang pasti, aku ingin menghidupkan rumah tangga kita dengan sakinah, mawaddah dan rahmah. Aku sentiasa mengharapkan kehadiranmu dalam hidupku bukan sekadar memenuhi ruang hatiku yang sepi namun yang akan sentiasa bersama aku di saat susah dan senang tatkala aku diuji dalam perjuangan. Aku bukanlah insan sesempurna Nabi Muhammad SAW yang telah menawan hati Saidatina Khadijah radiyallahu a’nha. Aku cumalah seorang insan yang lemah dan banyak khilaf. Harapanku untuk bersamamu supaya terus beriltizam untuk memberi manfaat kepada insan-insan, menegur kesilapanku, menjadi pelebur egoku yang tinggi dan menjaga maruah serta kehormatanku.

Aku berharap agar lahir zuriat yang soleh solehah daripada sulbimu yang akan mewarisi perjuangan Nabi Muhammad SAW dalam gerakan Islam. Aku inginkan sebuah rumah tangga yang benar-benar harmoni dipenuhi kasih sayang dan sentiasa dalam keredhaan Allah. Aku telah berjanji kepada Allah bahawa aku akan memeliharamu dan memberi kelengkapanmu sekadar yang aku mampu.

Sesungguhnya kehidupan ini penuh ranjau berliku yang adakalanya tak terduga dek akal. Oleh itu, aku sentiasa berharap dirimu sentiasa disisiku dengan penuh kelembutan dalam susah dan senang. Sebaik-baik bekalan adalah taqwa. Maka marilah sama-sama meningkatkan ketaqwaan, kuatkan tekad dan lengkapkan diri kita dengan ilmu yang bermanfaat agar kita dapat melayari bahtera rumah tangga hingga ke syurga Allah.
Apa yang akan terjadi, aku serahkan segala urusan kepada Allah kerana Dia adalah tuhan yang maha mengetahui segala yang terbaik untuk setiap hambaNya.

Aku akhiri bicara ini dengan menyingkap firman Allah dari surah At Talaq ayat dua dan tiga:

“..dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” (At Talaq 65:2-3)

Sesungguhnya rezeki dijamin Allah bagi hamba-hambaNya yang bertaqwa. Jadi, marilah berazam untuk menjadi insan yang sentiasa memperbaiki diri dan membawa kebaikan kepada orang lain.
Yang benar
Bakal suamimu