Salam kepada ikhwah dan akhawat
fillah. Sudah menjadi lumrah kehidupan bahawa setiap ujian pasti bersamanya ada
kesenangan. Apa yang penting letakkan pergantungan kita hanya kepada Allah,
tuhan pemilik semesta alam.
Amma ba’d.
Hari ni sukalah saya membincangkan
factor-faktor keberkesanan Tarbiyyah. Tarbiyyah seperti mana kita semua sedia
maklum, merupakan elemen pembangunan sesebuah peradaban. Dengan tarbiyyah yang
betul, insha Allah kita mampu mengembalikan peradaban Islam yang gilang
gemilang dahulunya. Sebenarnya ada banyak faktor, tetapi pada kali ini, kita
akan membincangkan empat daripada faktor-faktor tersebut.
Kesungguhan & Komitmen Yang Kuat
Bersungguh-sungguh dalam setiap
perkara memang dituntut oleh Allah dan Rasulullah SAW. Allah berfirman dalam
Alquran:
“Dan sesiapa yang menghendaki
akhirat dan berusaha mengerjakan amal-amal yang baik dengan bersungguh-sungguh,
sedang dia beriman, maka mereka itu akan diberi pahala di atas
usahanya.”(17:19)
Dengan keazaman dan visi yang
jelas, ingin melihat Islam kembali berdaulat di dunia (sekurang-kurangnya di
tanah air tercinta), maka tidak layak lagi bagi kita bermain-main, masih
berkhayal, dan masih bermanja-manja (terkena atas batang hidung sendiri). Kalau
kita singkap kembali seerah bagaimana Suhaib Arrumi, seorang hartawan
meninggalkan segala hartanya menyertai Hijrah bersama para sahabat ke kota
Madinah. Dalam konteks kita, katakanlah satu hari nanti kita terpaksa
ditugaskan ke pedalaman Sabah atau Sarawak yang mana kita perlu menaiki bot
yang merentasi sungai yang ada begitu banyak buaya di samping kita terpaksa
berhadapan dengan masyarakat pedalaman yang buta IT, sanggupkah kita? Begitulah
Kesungguhan Suhaib Arrumi, meninggalkan hartanya di Kota Mekah dan terpaksa
menempuh perjalanan dalam padang pasir yang terdedah kepada lanun padang pasir,
ribut padang pasir, panas terik serta kehabisan bekalan makanan dan minuman
demi mencari mardhatillah. Satu muhasabah buat diri kita agar kita mampu
melakukan pengorbanan seperti ini.
Keperibadian Murabbi
Panggillah apa sahaja, pemimpin,
naqib, murabbi, ayah, abang, senior atau saudara seislam, kita haruslah
menonjolkan akhlaq yang mahmudah. Tidak ada model yang paling ideal untuk
dicontohi melainkan junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Keperibadian Nabi yang
agung adalah model yang paling baik untuk kita contohi dan teladani. Bagaimana
baginda begitu menjaga hati para sahabat. Ada satu kisah yang selalu kita
dengar, iaitu kisah dimana baginda menyantuni wanita yahudi yang mencacinya. Selepas
kewafatan Nabi Muhammad SAW, barulah wanita tersebut masuk Islam. Agenda kita
adalah “winning people’s heart and mind” . Sebab itu kita perlu
menyantuni mad’u-mad’u kita. Perwatakan kita perlu matang, bersifat kebapaan/keibuan,
problem solver, sering bertanya khabar kepada mereka, dan memberi
hadiah/penghargaan kepada mereka.
Mewujudkan Biah Solehah
Mebina biah solehah atau
persekitaran yang baik adalah penting supaya adanya amar maa’ruf wa nahi
munkar dalam komuniti yang kita duduki. Cara untuk kita membina
persekitaran yang baik adalah dengan berkawan dan begaul dengan orang-orang
yang soleh (baik). Bagi yang dah mempunyai calon pasangan hidup, bolehlah
merancang untuk mendirikan baitul muslim kerana cara ini juga merupakan cara
yang terbaik untuk mewujudkan biah solehah dalam keluarga sebelum dikembangkan
dalam masyarakat. Dalam konteks pelajar luar Negara, perlu juga kita associate
diri kita dengan komuniti muslim tempatan, banyakkan bergaul dengan mereka
serta banyak menyertai program-program yang mereka anjurkan. Perkara ini secara
tidak langsung, akan menambah dan membetulkan cara fikir kita. Idea kita juga
akan bercambah selepas kita bergaul serta memahami budaya serta adat masyarakat
setempat. Alhamdulillah, apa yang sdapati, perpaduan komuniti muslim di
Rochester sangat utuh melalui pelbagai program yang dianjurkan oleh Islamic
center of Rochester.
Pemerkasaan Sistem.
Bercakap mengenai system, kita
mendapati bahawa system usrah sehingga sekarang mampu membentuk individu
menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Katakanlah, selepas ini system usrah
tidak lagi relevan untuk membentuk individu muslim, maka satu jalan baru harus
difikirkan supaya matlamat melahirkan indvidu muslim yang berkualiti digapai. Jadi,
untuk masa sekarang, system usrah itu sendiri harus diperkasakan. Pastikan sesibuk
mana kita, naqib atau naqibah harus mencari masa untuk adakan usrah walaupun
sekejap (walaupun usrah itu terpaksa diadakan di airport. Usrah siapa la
kan.:P). bermula dengan perbetulkan cara pandang dalam hidup; daripada memandang
kesempitan hidup duniawi kepada memandang keluasan hidup ukhrawi, pembentukan
aqidah islamiah yang kukuh, perkukuhkan ibadah yang wajib dan sunat,
pembentukan akhlaq yang mulia serta istiqamah dalam dakwah dan tarbiyyah.
Khulasahnya, kita punya tugas dan
cita-cita yang murni tetapi sulit untuk menuju ilahi.apakah masih ada masa untuk bermalas-malasan
(terkena sekali lagi batang hidung)? Insha Allah, Allah sentiasa bagi ruang
kepada kita untuk berubah menjadi manusia yang lebih baik daripada sebelumnya. Ayuh
sahabat, kita mampu mengubahnya.
Wallahua’lam.
2 comments:
mantap. boleh tahu sources mana? haha.
Sumber yang sahih lagi dipercayai..:P
Post a Comment