Salam kepada sahabat-sahabat yang
dikasihi kerana Allah. Semoga rahmat Allah melimpah ruah dalam kehidupan
seharian kita.
Amma ba’d.
Siapa sahaja kita, kehidupan
hanyalah di antara dua. Iman atau kufur, berjaya atau gagal, kaya atau miskin,
hidup atau mati, cinta dan benci. Dan di antara dua tersebut, jawapan kepada
diri hanyalah YA atau TIDAK. Jika ditanya mahu berjaya atau gagal, pastilah
orang waras akal fikirannya menjawab YA.
Jawapan YA atau TIDAK menentukan
tindakan kita dalam pelbagai soalan kehidupan. Jika kita ingin berjaya, ingin
jadi kaya, ingin jadi pandai, maka jawapan YA akan disusuli dengan tindakan
yang betul bagi mencapai tujuan tersebut.
Namun dalam hidup, ada sesetengah
perkara yang sama ada jawapan kita YA atau TIDAK, kita mesti melalui iaitu persoalan
tentang kematian. Jika ditanya, sama ada kita ingin mati atau tidak, jika kita
menjawab YA atau TIDAK kita pasti mati kerana inilah sunnah kehidupan yang
telah termaktub dalam Al Quran.
Di sini ada kaitan antara iman
dan kehidupan. Kita boleh memilih untuk beriman atau tidak, namun kita tidak
boleh memilih sama ada untuk mati atau tidak. Allah berfirman;
“Wahai orang-orang yang beriman,
bertaqwalah kamu kepada Allah dan janganlah kamu mati melainkan dalam Islam”
(Ali Imran 3:102)
Memandangkan kita wajib mati,
pilihan sama ada untuk beriman atau kufur harus dibuat dengan sedar konsekuens
yang bakal kita hadapi selepas kita mati kelak. Jika kita beriman kita selamat,
jika kufur maka azab Allah tidak terperi sakitnya.
Begitulah juga dengan dakwah. Tabiat
dakwah adalah perit, dipenuhi dengan ranjau dan onak berduri tetapi inilah
jalan yang menyampaikan kita kepada keredhaan Allah dan syurgaNya. Adapun jalan
untuk duduk bersenang lenang, sekadar memenuhi tuntutan kehidupan; makan
,pakaian, tempat tinggal, pasangan hidup jalan ini tidak menyampaikan kita
kepada Allah.
Courtesy of google
Jika jalan bersenang dipilih, di
antara kita dan binatang ternak tiada bezanya. Binatang ternak juga mencari
makanan, tempat tinggal, pasangan hidup demi memenuhi TUNTUTAN hidup tetapi
kita insan dianugerahi aqal fikiran bukan sahaja untuk memenuhi TUNTUTAN hidup
tetapi apa yang lebih besar daripada itu adalah memenuhi TUJUAN hidup. apa
tujuan hidup kita? Allah berfirman:
“Dan ingatlah ketika Tuhanmu
berfirman kepada para malaikat. “sesungguhnya Aku hendak menjadikan khalifah di
muka bumi”. Lalu malaikat bertanya “adakah Engkau ingin menjadikan di bumi itu
orang yang membuat bencana dan menumpahkan darah sedangkan kami sentiasa bertasbih
memujiMu. Allah berfirman, sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak
ketahui” (Albaqarah 2:30)
“Tidak aku jadikan jin dan
manusia melainkan menghambakan diri (melakukan ibadah) kepada Ku”( Adzariyat
51:56)
Jadi persoalan TUJUAN hidup telah
Allah nyatakan dalam Alquran. Janganlah kita memilih untuk hidup seperti
binatang ternak kerana ia suatu kehidupan yang amat buruk di sisi Allah
sebagaimana firmanNya:
“Dan sesungguhnya Kami jadikan
untuk neraka Jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi)
tidak mahu memahami dengannya dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu
melihat dengannya dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar
dengannya; mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi;
mereka itulah orang-orang yang lalai”. (Al-A'raaf 7: 179)
Akhir kalam, dalam hidup kita
tidak akan dapat lari daripada membuat pilihan. Buatlah pilihan yang tepat demi
kesejahteraan hidup dunia dan akhirat. Indeed! It is your call.
No comments:
Post a Comment