Friday, March 2, 2012

Dimensi Akhirat...

Salam kepada ikhwah akhawat yang saya kasihi kerana Allah, semoga Allah mengampuni dosa-dosa kita dan mengekalkan kita dalam hidayahNya serta menjadikan kita hambaNya yang lebih mendekatiNya.in sha Allah.
Amma ba’d.

Manusia ini jika dia memandang sesuatu perkara dengan dimensi akhirat dalam kehidupan pasti hidupnya bahagia. Memandang akhirat sebagai matlamat yakni dalam erti kata mencari mardhatillah (keredhaan Allah), akan mengundang suatu perasaan bahawa perlunya bergantung sepenuhnya kepada Allah dalam hidup kerana pemilik segala sesuatu hanyalah Allah. Telah berkata imam Hatim Al Assam:

“Aku tahu bahwa rezekiku tidak akan dimakan oleh orang lain, lalu aku merasa tenang dengannya. aku tahu bahwa amalanku tidak akan dikerjakan orang lain, lalu aku sibuk mengerjakannya. Aku tahu bahawa kematian itu boleh datang dengan tiba tiba, lalu aku segera beramal. Aku tahu bahwa aku tidak akan lepas dari pandangan Allah dimana pun aku berada, lalu aku merasa malu kerananya.”

Atas dasar ini, kita boleh melihat seseorang yang jauh kebergantungannya kepada Allah apabila dia ditimpa musibah lalu dia berasa keluh kesah, rasa hilang tempat bergantung serta merasakan dunia ini terlalu kejam dan zalim terhadap dirinya. Allah berfirman dalam surah Al Ma’arij:

“sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah. Apabila dia ditimpa kesusahan dia berasa sangat resah. Dan apabila beroleh kesenangan, dia sangat bakhil dan kedekut.” (70:19-20)

Allah telah menyatakan bahawa inilah tabiat manusia. Kita selalu terbaca di akhbar-akhbar bahawa terlalu banyak korupsi, penyelewengan, ketirisan dan pelbagai bentuk kezaliman lagi dibuat atas muka bumi disebabkan merasakan hanya dengan memiliki harta kekayaan sahaja mereka akan bahagia. Mereka gilakan harta sehingga terlupa bahawa adanya hari perhitungan dan hari pembalasan. Salahkah mencari harta? Carilah harta sebanyak mana yang kita mahu tetapi janganlah harta itu menjadikan kita lupa matlamat asal kita untuk mengejar mardhatillah. Dengan harta yang banyak, gunakanlah ia kearah jalan yang diredhai Allah.

Perkara yang ingin dibangkitkan di sini ialah, kerana kejarkan pangkat, harta, dan kesenagan duniawi kita sanggup melanggar batas-batas syara’. Ada yang lebih parah daripada itu kita menggunakan nama islam untuk mencari keuntungan duniawi yang fana.

“Saya buat begitu dan begini kerana kepentingan umat Islam”

“perlunya saya menolak perkara itu kerana kebaikan islam itu sendiri”

Padahal hakikatnya semuanya hanya bertopengkan nafsu serakah yang bersarang dalam jiwa.

“Saya buat begitu kerana projek itu mahal. Rugi kalau terlepas”

“saya menolak perkara itu kerana ia menyebabkan saya tidak dapat berkuasa”

Mungkin ini maksud tersirat bagi orang yang memperjuangkan pangkat dan habuan duniawi.

“Dan tidak dinamakan kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?” (6:32)

Mengejar dunia hanyalah umpama orang haus yang meminum air laut; hanya menambah haus. Ingatlah kesudahan yang baik hanyalah bagi orang-orang yang bertaqwa. Andai kita memandang kehidupan di dunia ini melalui dimensi akhirat, kita akan bahagia kerana tidak ada apa yang perlu dibimbangkan tentang habuan duniawi ini. Andai kita memahami.

Wallahu’alam.

2 comments:

El-Azwar said...

Amat indah kehidupan yang melihat akhirat sbg matlamat.

nicely written.

Mohamad Nazrul Fazli bin Abdul Mutalib said...

andai semua faham bahawa dunia ini adalah sekadar transit, pastilah mereka bersungguh beramal untuk menuju kampung akhirat..