Wednesday, March 14, 2012

Politik Kita...

Salam kepada ikhwah dan akhawat yang saya kasihi kerana Allah. Semoga rahmat dan kasih sayang Allah menaungi kita.
Amma ba’d.

Berbicara mengenai politik, ramai orang mula ‘panas’. Ada yang mengatakan politik itu kotor, tidak kurang apabila bercakap mengenai politik, semangatnya naik mencanak. Apa itu politik? Di bawah ini saya petik maksud politik daripada wikipedia.

“Perkataan itu sendiri diambil dari perkataan Yunani bagi bandar, "Polis", dengan itu istilah 'Politics'. Gambaran apa itu Politik yang pertama di jumpai dalam Hesoid di mana ia dipetik, "Bagaimana cara terbaik manusia tinggal dalam bandar, dan dengan patuh kepada apa?". (1) Ditulis semula, ia dibaca, "Bagai mana manusia mengatur haluannya?". Bagi orang-oramg Yunani, ia adalah applikasi sebab untuk hidup. Politik adalah aturan masyarakat melalui sebab mencapai matlamat yang sama; seperti harmoni antara kelas masyarakat di Athens di bawah Solon, atau perniagaan dan perdagangan, atau bagi perperangan seperti Masyarakat Doric di Crete dan Sparta.” (Wikipedia)

Saya tertarik dengan maksud politik yang pertama; “Bagaimana CARA TERBAIK manusia tinggal di Bandar, dan dengan PATUH kepada apa?” saya berpandangan bahawa sebagai umat Islam, politik kita adalah Alquran dan Assunnah. Segala petunjuk dan bagaimana hendak hidup di atas muka bumi ini telah diterangkan secara jelas dalam Alquran dan melalui sunnah Nabi junjungan mulia kita.

Maksud yang kedua pula; “Bagaimana manusia mengatur haluannya?” sangat menarik perhatian saya. Secara asalnya, kita tidak mungkin tahu apa tujuan hidup kita. Jika kita tahu apa tujuan hidup kita, baru kita tahu bagaimana kita mengatur hala tuju kita demi mencapai tujuan hidup. Kita tidak mungkin tahu tujuan hidup jika tidak diberitahu. Allah, melalui kitab dan rasulNya memberi  tahu kepada kita bahawa tujuan hidup kita adalah menjadi hamba yang mengabdikan diri kepadaNya serta menjadi khalifah yang memakmurkan bumiNya mengikut panduan yang  terkandung dalam Alquran.

Pandangan saya secara peribadi ialah, politik itu bermaksud hubungan antara pemerintah dengan yang diperintah. Pemerintah kita yang mutlak adalah Allah jalla wa a’la. Kita hanya hambaNya yang diperintah. Adapun pemimpin-pemimpin politik yang wujud, sepatutnya mereka sedar bahawa tanggungjawab mereka adalah membawa manusia daripada bertuhankan nafsu kepada mentauhidkan Allah. Politik ini harus difahami hanyalah wasilah untuk menyampaikan kita kepada tujuan hidup.

Selepas kita memahami serba sedikit tentang politik, apakah masih lagi ada di benak fikiran kita bahawa politik itu kotor? Politik itu adalah sebahagian daripada hidup kita dan ia merupakan satu juzu’ (bahagian) dalam Islam kerana Islam itu syamil (menyeluruh), kamil (lengkap), mutakammil (saling melengkapi). Politik itu nampak kotor kerana dimainkan oleh politikus (ahli politik) yang kotor, yang korup pemikirannya serta busuk tindakannya kerana jauh dari pimpinan Alquran dan Assunnah. Politik kita bukan politik kepartian, bukan politik perkauman, bukan politik kebangsaan tetapi politik kita adalah politik menyeru manusia kepada Allah, mengeluarkan manusia daripada kegelapan menuju cahaya, mengeluarkan manusia daripada perhambaan sesama makhluq kepada perhambaan untuk Alkhaliq semata-mata serta memakmurkan bumi ini mengikut lunas-lunas Alquran.

“Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Albaqarah:256)

Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.”(Albaqarah:257)

Kita ke program, tamrin, daurah, jaulah, rehlah serta katibah adalah politik kita membawa manusia menuju Alla a’zza wa jalla. Seharusnya pemimpin politik yang sedia ada hari ini apabila mengemukakan idea, biarlah yang membawa manusia menuju kepada petunjuk ilahi.

Wallahu’alam.

P/S: Saya sudah dituntut penjelasan, kepada Allah saya sandarkan segala ketentuan.

No comments: