Tuesday, October 25, 2011

Kesederhanaan...



Salam buat ikhwah akhawat sekalian. Sejarah mengajar kita agar tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan umat-umat terdahulu. Seerah mengajar kita agar meneladani para sahabat yang setia mempertahankan Islam dan aqidah yang murni itu. Oleh itu marilah sama-sama menelusuri sejarah dan seerah orang yang terdahulu daripada kita.

Amma ba’d.

“Dan ingatlah ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: Wahai kaumku! Mengapa kamu menyakitiku, sedang kamu mengetahui bahawa sesungguhnya aku ini pesuruh Allah kepada kamu? Maka ketika mereka menyeleweng (dari kebenaran yang mereka sedia mengetahuinya), Allah selewengkan hati mereka (daripada mendapat petunjuk dan hidayah) dan sememangnya Allah tidak memberi hidayah kepada kaum yang fasik (derhaka)” (As Soff:5)

Dalam ayat ini Allah menceritakan bagaimana kaum Nabi Musa AS mengingkari akan kenabian Nabi Musa AS. Sehari selepas kaumnya terselamat dari fitnah (kezaliman) firaun yang ditenggelamkan laut merah, Nabi Musa dan kaumnya berjalan menuju ke Palestin. Mereka berhenti sebentar di Syam (dikenali sebagai Syiria sekarang). Ketika mereka berhenti di Syam, mereka dapati ada satu kaum menyembah berhala, lalu dengan tidak ada rasa syukurnya terselamat daripada fitnah firaun, mereka meminta Nabi Musa agar membuatkan mereka ukiran untuk disembah padahal mereka telah menyaksikan kemukjizatan Nabi Musa sebagai utusan Allah azza wa jalla melalui tongkatnya yang dapat membelah laut merah. Betapa kecewanya Nabi Musa AS kepada umatnya yang berperangai tersangat liberal. Mereka lupa akan Allah yang telah menyelamatkan mereka, maka jadilah kaum yang fasiq.

“Dan ingatlah ketika Nabi Isa Ibni Maryam berkata: wahai bani Israil, Sesungguhnya aku ini pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu kitab Taurat dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang selepasku bernama Ahmad. Maka ketika dia (Nabi Isa AS) datang memberi keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berkata,inilah sihir yang nyata (sebenar-benar sihir)” (As Soff:6)

Dalam ayat ini pula Allah jelas menceritakan bagaimana kaum yang terlalu ekstreme dalam agama. Kita sedia maklum bahawa kaum Nabi Isa AS terlalu ekstreme dalam beragama sehingga mereka menganggap Nabi Isa AS sebagai anak tuhan. Sebab itu, dalam kebanyakan ayat Al Quran, apabila disebut nama Nabi Isa AS pasti disebut juga Ibni Maryam. Hal ini menjernihkan bahawa Nabi Isa yang lahir tidak berbapa itu adalah anak manusia bernama Maryam,bukannya anak tuhan.

Jadi melalui kedua kisah ini kita boleh mencapai satu kesimpulan. Dalam beragama kita perlu mempunyai sikap wassatiyah. Wassatiyah adalah bermaksud kesederhanaan dalam beragama. Sikap ini adalah sikap positif demi kecemerlangan ummah. Saya akui, dalam konteks Malaysia sendiri wujudnya pelbagai bilangan jemaah-jemaah Islam (Taadud Jamaah). Melalui kewujudan jemaah yang pelbagai ini, kita yakin bahawa matlamat kita adalah sama iaitu ingin menegakkan dan mendaulatkan agama tauhid ini sebagai agama tertinggi di muka bumi.

Namun, kadangkala berlaku ketidak sefahaman dari segi tindakan dalam ingin menterjemahkan matlamat asal tadi. Ruang kritikan dan pembaikan sentiasa terbuka tetapi apa yang perlu dalam jiwa seorang ahli jemaah dan pejuang kebenaran ini adalah sifat tidak taksub hatta kepada jemaah sendiri sehingga kita tidak boleh menerima pandangan dari ahli jemaah lain. Allah memberi kita akal supaya kita boleh membuat  penilaian. Oleh itu, ilmu fiqh dan seerah harus sentiasa dirujuk agar manhaj kita adalah manhaj nubuwwah; bukan mengikuti apa yang dilakukan jemaah secara taklid buta (membabi buta). Perlu wujudnya check & balance dalam pergerakan kita agar terselamat daripada budaya fanatisme yang akhirnya merosakkan dakwah dan tarbiyyah kita. Selamat Beramal..:)
Wallahua’lam.

united we stand, devided we fall

No comments: