Monday, April 4, 2011

Kerana Ia Menyucikan...

Salam sahabat-sahabat yang saya kasihi kerana Allah. Mudah-mudahan hidup kita diberkati dan dirahmati Allah.
Amma ba’d.

Apakah Al Quran di hati kita? adakah sebagai perhiasan yang terletak di dalam rak? Atau sekadar untuk dijadikan acara tahunan sebagai musabaqah Al Quran? Atau dijadikan sekadar hantaran sewaktu perkahwinan? Sebagai umat Islam, Al Quran itu tidak boleh dipisahkan dalam setiap inci dan aspek kehidupan. Al Quran adalah kalamullah yang diturunkan sebagai panduan buat penyuluh kehidupan sebagaimana Allah firmankan:

“Alif lam mim. Kitab (Al Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa” (2:1-2)

Ada sesetengah orang bertanya, apa guna kita baca quran kalau kita tidak memahami maknanya. Disini saya ada analogi yang menarik untuk dikongsi bersama. Analogi ini saya dapat daripada sahabat saya, Ahmad Faiz bin Khalil (Fateh) sewaktu saya di tingkatan lima dulu. Beliau memberi analogi dengan menceritakan bahawa ada seorang datuk menyuruh cucunya mengambil air dari perigi menggunakan bakul rotan yang jarang. Lalu cucu tersebut tanpa banyak soal terus melakukan seperti yang disuruh oleh datuknya. Namun selepas beberapa kali mengambil air dari perigi tersebut, ternyata air yang masuk itu keluar semula kerana sifat bakul yang jarang. Lalu cucu itu mengadu kepada datuknya bahawa mustahil dia mampu membawa air menggunakan bakul yang jarang itu. Lalu berkatalah datuk tersebut kepada cucunya. “ wahai cucuku, datuk yakin bahawa bakul itu sudah tentu bersih setelah beberapa kali engkau mengambil air daripada perigi itu walaupun air itu tidak mampu engkau bawakan kepada datuk. Begitulah dengan hati kita, walaupun kita tidak memahami al quran tetapi apabila kita tetap membacanya, hati akan menjadi bersih”. Lalu tahulah cucu itu bahawa datuknya sedang menagajarnya ilmu hikmah.

Begitulah sepatutnya yang kita amalkan, walaupun kita tidak memahami isi Al Quran tetapi jika terus membacanya, Allah akan membersihkan hati kita dari penyakit-penyakit mazmumah. Hari ini kita boleh lihat, akibat Al Quran dipinggirkan rasuah dalam kalangan pemimpin politik sangat membarah, hedonisme dalam kalangan muda mudi merebak bagai api membakar lalang, budaya fitnah memfitnah serta menjatuhkan kredibiliti orang lain seperti tidak ada apa-apa. Astaghfirullahal azim, Islam versi mana yang kita warisi? Islam Mustafa Kamal Attartuk atau Islam Saidina Mustafa Muhammad Rasulullah SAW?

Oleh yang demikian saya menyeru kepada diri saya dan sahabat-sahabat agar marilah sama-sama membaca, memahami, menghayati dan mengamalkan ayat –ayat suci Allah agar kita tidak terpesong daripada jalan hidup yang diredhai Allah. Bacalah sekurang-kurangnya satu helai satu hari. Apabila Quran diamalkan, kita dapat menilai antara batu dan permata serta palsu dan dusta .
Wallahua’lam.

Sesungguhnya kepimpinan taghut dan sekular akan jatuh dan kepimpinan Islam akan tertegak. yakinlah...

2 comments:

sKiRafaRgEek said...

lahirkan generasi al quran..=)

Mohamad Nazrul Fazli bin Abdul Mutalib said...

betul2..kena didik anak2 dari kecik..melentur buluh biarlah daripada rebungnya..:)