Saturday, April 30, 2011

Hikmah Itu Indah...

Salam buat semua. Perbaharuilah iman kita dengan bertahlil “La ilaha Illallah”.
Amma ba’d.

Baru-baru ini saya mendapat mesej di FB meminta pendapat saya tentang sesautu masalah yang beliau hadapi. Si pengirim mesej ini memberi situasi seperti berikut:

dalam satu komuniti ni, ada seorang ketua yg boleh kata ilmu agama dia paling banyak. janggut paling panjang, solat paling lama. senang kata kalau ilmu agama tu dia lah tmpt nak refer. tapi manusia tak ada yang sempurna. walaupun ilmu penuh di dada tapi masih ada cacat dari segi perilaku kan? soalnya, macam mana kita nak tegur orang yang macam ni kalau ada masanya dia mmg perlu ditegur? adat lah kalau kita lebih dari orang lain, kadang2 terasa orang lain x layak tegur kita.lagi2 ahli2 komuniti ni mmg cetek ilmu agamanya, n selalu pulak ditegur oleh ketua yang hebat ilmu agamanya.ada certain time orang2 yang cetek ilmu ni nak menegur pulak, ketua ni melenting. perkara macam ni sangat halus untuk dinilai tapi hakikatnya kadang2 berlaku. kalau tak dihandle macam menarik rambut dalam tepung memang boleh berpecah belahlah komuniti kan?

Secara peribadi, saya sendiri tidak tahu macam mana hendak menjawab soalan ini, lalu saya ajukan soalan ini kepada sahabat saya yang berada di Mesir. Ini jawapan yang sahabat saya berikan:

salam,alhamdulillah,kami sehat2 belaka,tuk jawapan bg soalan itu,bg pendapat ana, jikalau teguran yg dimaksudkan itu ialah amar bil maaruf dn nahi munkar, maka kalau dia ad ilmu bahawa perkara munkar yg di lakukan itu perkara yg disepakati ulama tentang pengharamannya, maka wajib bagi dia tuk mencegahnya sama ad dgn kuasa,mulut,atau dgn hati(sekira-kira dia berasa perkara yg lebih teruk akan berlaku jika dia tegur), jikalau pengharaman perkara yg mungkar itu tidak disepakati ulama, maka tidak boleh kita mengingkarinya, 

jikalau teguran tu dari sudut keduniaan, seperti kebersihan, akhlak, maka teguran itu berbentuk nasihat yang baik, maka tegurlah dgn nada yg baik, serta hati yg ikhlas...insyaAllah dia boleh terima...pelan2


jadi saya cenderung untuk mengambil pendapat kedua; teguran dari sudut keduniaan itu. Kadang-kadang memang ketua ini mempunyai satu sifat yang kita kenali sebagai EGO. Biasalah kadang-kadang kita terlupa bahawa segala nikmat yang diberikan pangkat, kedudukan,ilmu, harta semua adalah hak mutlak milik Allah, hanya dipinjamkan buat sementara waktu. Allah ingin menguji kita selaku hambaNya, sejauh mana kita bersyukur dan memanfaatkan.

Memang susah untuk kita menegur ketua yang mempunyai ego yang tinggi. Apa yang dia buat semua betul, apa yang kita buat semua tidak kena pada pandangannya, tambah-tambah anak buahnya terdiri daripada kaum hawa. Kebiasaannya kaum hawa ini, mereka banyak memendam perasaan dan suka jika kaum adam yang membuat keputusan. walaupun keputusan yang dibuat tidak mereka setujui namun mereka diamkan dan hanya melakukan apa yang diarahkan.

Allah berfirman dalam surah An Nahl ayat 125:

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik 
dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik.”

Dalam surah Taha ayat 44:

‘‘Berbicaralah kalian berdua kepadanya (Firaun) dengan kata-kata yang lemah lembut, 
mudah-mudahan ia ingat atau takut.” 

Jadi disini Allah menyuruh kita supaya berhikmah dalam menegur. Kepada firaun yang mengaku dirinya tuhan pun, Allah suruh menegurnya dengan lemah lembut apatah lagi orang beriman yang faham agama Cuma mempunyai ego yang menebal lagilah perlu berlembut dengan harapan hatinya lembut dan sedar egonya tidak membantu dalam gerak dakwah dan kepimpinannya. Carilah waktu yang sesuai untuk menegurnya. Mungkin waktu yang sesuai apabila dia bersendirian dalam mood tidaklah terlalu happy tidaklah terlalu sedih agar dia mudah menerima teguran itu.. gunakanlah kata-kata yang lembut dan hikmah, terangkan kepadanya kesan bila dia melenting.sebagai contoh kalau dia melenting, anak buah hanya akan buat kerja secara lebih kurang (orang utara cakap “halai balai”), hubungan akan renggang, dan sebagainya.

Kepada ketua tersebut, leburkanlah sedikit ego itu kerana itu tidak membawa kepada kebaikan. Jiwa kita akan sentiasa resah dan gelisah jika ada orang yang sekeliling tidak senang dengan tingkah laku kita.

“Kita bukan saja kena jadi soleh tapi kita kena jadi muslih”

Ini adalah Kata-kata abang Hafidzi Hassan (senior saya) pada satu tazkirah asar sewaktu saya di tingkatan empat lebih kurang lima tahun lepas masih terngiang-ngiang di minda ini. kenapa kata-kata ini masih saya ingati sehingga sekarang? Kerana beliau menyampaikan dengan penuh hikmah dan kelembutan.

Kepada sahabat yang bertanya, hanya sekadar ini yang mampu saya berikan. Jika ini tidak membantu saya mohon maaf kerana ini hanyalah pandangan saya yang dhaif dan kerdil. Semoga anda diberi kekuatan untuk menegur ketua anda yang kurang disenangi itu.

P/S: gunakan kata-kata yang manis tanpa perlu meletakkan tangan ke dada mata ke atas.^__^
                                                   subhanallah cantiknya..

Sunday, April 24, 2011

Like & Love, It's Different...

I just copied this article from a blog. Since it seems true, i publish this article in my blog. First of all, don't get me wrong because love here refers to my family in my homeland. However for those who have been married, love may be refered to husband or wife besides their families..^__^

Like and Love…it's different.

In front of the person you like,
Your heart beat faster…
But in front of the person you love,
You’ll get happy.

In front of the person you love,
Winter seems like spring…
But in front of the person you like,
Winter is just a beautiful winter.


If you look into the eyes of the one you like,
You’ll blush.
But if you look into the eyes of the person you love,
You’ll smile.


In front of the person you like,
You can’t say anything on your mind…
But in front of the person you love,
You can.

In front of the person you like,
You’ll tend to get shy…
But in front of the person you love,
You can show your own self.

You can’t look straight into the eyes of the one you like,
But you can always smile and stare into the eyes of the one you love.

When the one you like is crying,
You end up comforting…
But when the one you love is crying,
You will cry with her/him.

The feeling of like starts from the ear
But the feeling of love starts from the eyes…

So if you stop liking a person you used to like,
All you need to do is cover your ears.
But if you try to close your eyes,
Love turn into a drop of tears and remain in your heart forever.

Saturday, April 23, 2011

Tahniah! Kamu Mendapat Naungan Allah..

Salam buat semua sahabat-sahabat yang saya kasihi kerana Allah.mudah-mudahan kita semua dirahmati Allah.
Amma ba’d.

Alhamdulillah semalam (22 April 2011) telah berlangsungnya pemilihan presiden bagi RIT MySA (Rochester Institute of Technology Malaysian Students Association). Saudara Fuad Ismail telah dilantik menjadi presiden yang baru  bagi penggal 2011/2012. Sekalung tahniah saya ucapkan kepada saudara Fuad atas pelantikan beliau. Menjadi harapan dan keyakinan saya agar MySA dibawah kepimpinan Fuad akan lebih mantap dan progresif terutama dalam memperbanyakkan aktiviti-aktiviti yang lebih bersifat Islamik. Disini perlu difahami bahawa kepimpinan sebelum ini sangat mantap cuma saya berharap MySA dibawah kepimpinan Fuad Ismail akan menjadi lebih mantap. Terlanjur bercakap mengenai kepimpinan, sukalah saya untuk berbicara mengenai syarat-syarat menjadi pemimpin. 

Dalam ucapan saudara Fuad, beliau mengaskan bahawa kepimpinan adalah amanah yang akan dipersoalkan. Kita (warga RIT) perlu faham bahawa naiknya saudara Fuad selaku presiden adalah dengan DILANTIK dan bukannya MELANTIKNYA dirinya sendiri. Jadi kita semua telah menaruh sepenuh kepercayaan kepada beliau. Andaikata ada kelemahan dan kepincangan di masa hadapan, terimalah hakikat bahawa kita manusia dan kita tidak sesekali lari daripada kesilapan dan marilah sama-sama kita menampung kelemahan itu. Memang sepatutnya kita tiada ruang melakukan kesilapan tetapi kita sentiasa ada peluang untuk melakukan pembaikan.

Dalam kitab Fiqh Islam Wa Adillatuhu (Feqah Islam dan Dalil-Dalilnya) karangan Profesor Dr. Wahbah Zuhaili yang merupakan penerima anugerah tokoh maal hijrah antarabangsa pada tahun 2008 ada menyatakan syarat-syarat menjadi pemimpin (Bab Shurutul Imam). Hari ini kita dapat lihat di Malaysia, terlalu ramai yang ingin jawatan terutama yang melibatkan ahli politik. Mereka melihat menjadi ahli parlimen atau ahli dewan undangan negeri sebagai langkah mudah untuk mengaut kekayaan. Mana tidaknya, sebarang projek harus mendapat tandatangan mereka. Adakah sekadar tandatangan? Tidak, pasti ada ‘bayaran’ disebalik tandatangan itu. Tetapi tidak semua ahli politik bersikap demikian kerana ada sebahagiannya  yang baik, amanah serta berkhidmat dengan penuh keikhlasan.
                                                              Profesor Dr Wahbah Zuhaili

Dr Wahbah Zuhaili menggariskan tujuh syarat dalam memilih pemimpin.

Yang pertama, seseorang itu haruslah mempunyai keupayaan yang sempurna (wilayatul tammah). Maksudnya, dia bukanah seseorang yang terdiri daripada orang yang cacat fizikal dan mental. Dia juga haruslah seorang lelaki, Islam, berakal, baligh, dan merdeka.

Yang kedua, dia mesti seorang yang adil (al a’dalah). Adil disini bermaksud dia seseorang yang berpegang dengan agama dan tidak meremehkan hukum hakam yang telah termaktub dalam AL Quran dan Assunnah. Dia juga mesti berakhlak dengan akhlak islamiah yang mulia dan tidak mencemarkan maruah. Mencemarkan maruah bermaksud tidak melakukan sesuatu yang dipandang serong oleh masyarakat umum. Sebagai contoh, jika kita berkumpul beramai-ramai pasti ada sahaja jenaka yang dibuat. Bagi orang biasa ketawa berdekah-dekah itu adalah perkara biasa namun bagi pemimpin perbuatan itu dapat mencemarkan maruahnya selaku pemimpin maka dia harus mengelakkannya. Termasuk di bawah syarat-syarat ini adalah, dia tidak mengambil ringan dosa-dosa kecil serta menjauhi dosa-dosa besar.

Yang ketiga, beliau mesti mempunyai ilmu yang mencukupi (al kifayah ilmiyah). Ilmu yang dimaksudkan disini adalah ilmu mengenai hukum serta mampu berijtihad apabila menghadapi situasi genting. Sebagai contoh, Kes buang bayi semakin meruncing di Malaysia, jadi seharusnya dia tahu solusi terbaik dalam menangani kes ini mengikut lunas-lunas Al Quran dan Assunnah. Dalam bab ini dia berkuasa dan wajib menjalankan amar maaruf dan anhi munkar atau dalam erti kata lain, dia berkuasa untuk mengimplimentasikan peraturan yang mencegah kemungkaran.

Yang keempat, seorang pemimpin harus tahu selok-belok ilmu pentadbiran, peperangan dan politik. Dia harus tahu dan faham sesuatu isu yang melanda dibwah kepimpinannya. Dia juga harus menangani isu dengan ilmu, kematangan serta tidak mudah ‘melatah’.

Yang kelima, seorang pemimpin itu harus bersemangat waja, tabah dan kental. Dia tidak mudah merajuk jika menerima kritikan serta tidak mudah lemah semangat. Beliau sentiasa berani menyatakan kebenaran walaupun dicerca oleh puak yang suka mencerca. Allah berfirman dalam surah al maidah ayat 54:

Hai orang-orang yang beriman, barangsiapa di antara kamu yang murtad dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan merekapun mencintaiNya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad dijalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah kurniaan Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui.(5:54)

Yang keenam, sesorang itu harus mempunyai kesempurnaan tubuh badan (alkifayah aljasadiah). Dalam hal ini, pemimpin bukanlah yang terdiri daripada orang yang buta, pekak, dan bisu. Dia juga bukanlah dari kalangan orang yang menghidap penyakit-penyakit kronik.

Yang ketujuh, yang dilantik menjadi pemimpin itu haruslah dari kalangan mereka yang berpengaruh dan mendominasi sesuatu tempat. Sebagai contoh di Malaysia, kaum melayu yang mendominasi kaum-kaum lain. Maka seharusnya Melayu Islam yang berhak untuk menjadi pemimpin Malaysia.  

Rasulullah SAW bersabda:

Dari Ibn Umar r.a. Sesungguhnya Rasulullah Saw. Berkata :”setiap kalian adalah pemimpin, setiap kalian akan dipertanggungjawabkan atas kepimpinan kalian. Penguasa adalah pemimpin, dan akan diminta pertanggungjawaban atas kepemimpinannya. Suami adalah pemimpin keluarganya, dan akan diminta pertanggungjawaban atas kepemimpinannya. Isteri adalah pemimpin dirumah suaminya, dan akan diminta pertanggungjawaban atas kepemimpinannya. Pelayan adalah pemimpin dalam mengelola harta tuannya, dan akan diminta pertanggungjawaban tentang kepemimpinannya. Oleh kerana itu kalian sebagai pemimpin akan diminta pertanggungjawaban atas kepemimpinannya.

Disebalik kepayahan memimpin sebuah organisasi atau Negara, jika pemimpin itu amanah, Allah menyatakan ganjaran yang akan diperolehi oleh pemimpin tersebut dalam satu hadis Rasulullah SAW:

Dari Abu Hurairah ra., dari Nabi Saw., beliau bersabda : “Ada tujuh golongan yang akan mendapat naungan Allah pada hari yang tiada naungan kecuali naungan-Nya, yaitu : Pemimpin yang adil, Pemuda yang senantiasa beribadah kepada Allah Ta’ala, Seseorang yang hatinya senantiasa terpaut (dipertautkan)” dengan masjid, Dua orang saling mencintai kerana Allah, yang keduanya berkumpul dan berpisah keranaNya. Seorang lelaki yang ketika diajak [dirayu] oleh seorang wanita bangsawan yang cantik lalu ia menjawab :”Sesungguhnya saya takut kepada Allah.”Seorang yang mengeluarkan sedekah sedang ia merahsiakannya, sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kanannya dan seseorang yang mengingati Allah di tempat yang sepi sehingga menitiskan air mata.”

Dalam hadis ini, kita dapat lihat bahawa pemimpin yang adil didahulukan mendapat naungan Allah berbanding enam golongan yang lain.

Kesimpulannya, menjadi pemimpin itu sesuatu yang berat tetapi saya kira  rakyat Malaysia sudah cukup matang dan bijak untuk memilih pemimpin yang selayaknya memimpin kita. buatlah pilihan bijak kerana kita akan dipersoalkan Allah tentang mengapa kita mengangkat seseorang menjadi pemimpin.

Wallahualam.


Pemimpin yang sangat saya kagumi dan rindui pada zaman ini. semoga saya mengikuti jejak langkah beliau.

Mengalir Air Mataku..



Tidak dapat menahan air mataku daripada mengalir mendengar lagu ini...

"Ya Allah jadikanlah aku anak yang soleh kepada kedua ibu bapaku. Rahmati dan kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihi aku ketika kecil. Ya Allah hambaMu memohon ampun dan maaf andai pernah terlanjur dan terkasar kepada kedua ibu bapaku. tiada erti hidup aku di dunia andai redha mereka tidak menyertaiku"

Wednesday, April 20, 2011

Tuntutan Zaman...

Zaman ini menuntut saya menjadi lebih bertaqwa kepada Allah kerana fitnah yang datang tidak ringan.

Zaman ini menuntut saya agar menjadi lebih berhati-hati dalam memilih arah hidup kerana kehidupan menjadi semakin rumit.

Zaman ini menuntut saya menjadi lebih bijak dan rasional dalam bertindak kerana ia mempengaruhi kehidupan saya di masa hadapan.

Zaman ini menuntut saya sentiasa mencipta dan mencari peluang yang ada di sekeliling demi tertegaknya Islam.

Zaman ini menuntut saya agar bersungguh-sungguh dalam setiap pekerjaan kerana sedetik terleka pasti dipintas orang.

Zaman ini menuntut saya agar menjadi berani untuk menyatakan kebenaran walaupun dicerca oleh puak yang suka mencela kerana inilah tanggungjawab seorang hamba dan khalifah Allah.

Zaman ini menuntut saya sentiasa berfikir secara matang dan kritis kerana mehnah dan tribulasi yang mendatang adalah berat.

Zaman ini menuntut saya menjadi yang terkehadapan kerana Muslim harus cemerlang dalam segala aspek.

Zaman ini menuntut saya agar lebih taqarrub kepada Allah kerana hanya kepadaNya lah tempat berlindung dan kembali.


Zaman ini menuntut saya supaya sentiasa optimis dengan setiap qada’ dan qadar Allah kerana Allah yang mengetahui segala yang terbaik untuk saya.

Kerana zaman ini adalah zaman fitnah. Zaman di mana orang membuang Islam dari kehidupan. Zaman di mana kebanyakan orang sudah melupakan akhirat.

“Ya Allah, kepadaMu lah hamba berlindung dari segala bala’ dan bencana. Ya Allah, kepadaMu lah hamba serahkan jiwa raga dan sandarkan segala harapan. Amin Ya Rabbal A’lamin..”

Ayuh terbang tinggi..:)

Tuesday, April 12, 2011

One Step Taken, One Step Closer

Salam buat sahabat-sahabat yang dikasihi kerana Allah azza wa jalla. Bersempena musim bunga yang tiba di negara-negara empat musim di hemisfera utara ini, marilah kita sama-sama menghayati kebesaran Allah yang menciptakan bunga-bunga cantik bagi mereka yang berfikir. Sesungguhnya memandang bunga-bunga, langit, laut dan alam sekeliling sangat menenangkan kerana mereka sentiasa berzikir dan bertasbih kepada Allah. Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang (13:28).
Amma ba’d.

Entri kali ini dikeluarkan khas atas permintaan akhi Abdul Wahid Munif yang sedang berada di Colorado School of Mines, Colorado. Saya kira akh Wahid lebih mengetahui tentang perkara ini namun mungkin beliau ingin melihat pendapat saya dan dalam masa yang sama kami boleh bertukar-tukar pendapat. Persoalan yang ingin kita rungkaikan kali ini adalah berkaitan khitbah. Saya sangat memahami bahawa umur 20 hingga 25 tahun merupakan zaman kritikal (critical time) bagi seseorang kerana zaman ini, kita harus membuat pilihan yang mana pilihan-pilihan ini akan mempengaruhi kehidupan kita  apabila berumur 30 an, 40 an, 50 an dan begitulah seterusnya sehingga datangnya malaikat Izrail untuk mencabut nyawa.

 Apa itu khitbah?  Khitbah bermaksud peminangan seorang lelaki terhadap perempuan yang mahu diambilnya sebagai permaisuri hidup atau dalam bahasa lebih mudah ialah bertunang. Bertunang tidak bermaksud segala-segalanya halal melainkan dalam beberapa perkara. Rasulullah SAW bersabda:

Dari Mughirah bin Syu’bah berkata “Aku pernah melamar seorang wanita. Lalu Nabi SAW
bersabda, ‘Lihatlah ia, kerana yang demikian itu akan menimbulkan kasih sayang antara kalian
berdua.” (HR Nasa’I, Ibn Majah dan Tirmidzi).

Disini Rasulullah SAW menyuruh kita melihat wajah gadis yang ingin kita peristerikan supaya tidak menyesal sesudah perkahwinan nanti. Jadi melihat muka adalah harus supaya kita berpuas hati dengan pilihan yang dibuat kerana perkahwinan bukan proses yang singkat tetapi ia memerlukan komitmen sehingga ke syurga. Ramai orang yang berkata, rupa tidak penting asalkan ada agama. Bagi saya pernyataan ini harus diperbetulkan kepada asalkan ada agama dan sedap mata memandang. Setiap orang mentakrif kecantikan dari perspektif yang berbeza. Ada berkata yang hitam manis itu menawan, ada yang berkata yang putih melepak itu menarik, dan ada yang berkata yang berkulit kuning langsat itu cantik. Jadi, terpulanglah kepada kehendak masing-masing. Jika ditanya saya yang mana menjadi pilihan hati, jawapan saya adalah asalkan ada agama dan sedap mata memandang. Ustaz Ridhauddin pernah berpesan kepada saya.

“Nanti kalau Nazrul nak cari isteri, cari yang pakej. Cari yang solehah, cantik dan sama fikrah.”

Segala pesanan Ustaz Ridha kepada saya sebelum berangkat ke bumi asing ini memang sentiasa terpahat kukuh di sanubari saya.

Bertunang vs Coupling

Ada soalan dari seorang sahabat baru-baru ini.

“Yun, macam mana kalau kita saling menyukai dengan orang perempuan tu dan kita tak nak jatuh ke lembah coupling?”

“ha, itu pasal lah kita kena bagitau kat mak ayah kita kalau kita berkenan dengan seseorang. Pastikan mak ayah kita tahu dan mak ayah yang sebelah sana pun tahu. Sebab benda saling menyukai ni fitrah.”

Hari ini kita sangat sedih dengan budaya coupling dalam kalangan muda mudi yang begitu bebas ke mana sahaja tanpa batasan. Mereka keluar ke taman, panggung wayang, shopping mall dan makan-makan sekali seolah-olah sudah mempunyai hubungan yang sah. Bahkan ada yang lebih teruk pada itu apabila syaitan dan nafsu menguasai diri, ibu bapa sudah tidak diingati, ‘perkara’ yang paling kita takuti itu pun terjadi. Wana’uzubillahimin zalik.

Apabila bertunang, kita sudah mendapat restu dan redha dari ibu bapa. Apabila bertunang, kita boleh keluar bersama asalkan ada mahram yang menemani dari pihak perempuan. Kita boleh bertanya khabar dengan syarat tidak berlebih-lebihan. Tetapi sangat tidak digalakkan bagi mana-mana pihak untuk bermalam sama ada di rumah lelaki atau rumah perempuan selagi ikatan pernikahan belum dimerterai.

Namun bagi yang bercouple, mereka bebas keluar ke mana bersama-sama bernaungkan kemurkaan Allah. Emak dan ayah seolah-olah tunggul kayu di rumah kerana mereka tidak dikhabarkan perihal anak yang mereka lahir dan besarkan. Mereka berjanji bersumpah setia, sedangkan redha dan restu ibu  bapa belum diminta. Tidak malukah kita mengusung anak dara orang ke hulu hilir tanpa pengetahuan orang tuanya? Yang paling patut dimalukan adalah, tidak malukah kita melanggar larangan Allah yang sentiasa memberi rezeki dan melihat kita?

Malu Tapi Mahu

Rasulullah SAW bersabda:
"Tidak boleh bagi seorang lelaki melamar tunangan orang lain sehingga ia menikahinya atau
meninggalkannya ".
(HR Bukhari dan An-Nasai)

Dalam hal ini, kita tidak boleh melamar seseorang yang sudah diketahui menjadi tunang orang. Atas dasar ini, perlulah kita selidik terlebih dahulu. Bagi yang berani, dia akan berterus terang.

“Sebenarnya, saye dah lame menaruh hati kat awak. Sudi tak awak menjadi isteri saye?”

Tapi bagi orang-orang yang pemalu, khidmat orang tengah sangat diperlukan. Orang tengah pula bukanlah orang yang jenis tangkap muat tetapi haruslah orang yang menjaga agamanya. Seafdhal-afdhalnya sudah tentulah dari kalangan orang yang berkahwin sendiri. Maksud menjaga agama disini adalah yang mempunyai akhlak yang bagus baik dari segi tingkah laku,perbuatan dan tutur kata.

Tempoh pertunangan ini tidak perlulah dilamakan kerana khuatir ada orang-orang yang dengki kepada kita akan melakukan sesuatu yang akan menggagalkan impian menuju mahligai impian. Dibimbangi kedua pasangan banyak melakukan dosa disepanjang tempoh pertunangan dengan kerapnya mengadakan pertemuan yang tak syarie. Susah untuk menjaga batas aurat dan syarat ditemani oleh Mahram. Seharus-harusnya tempoh pertunangan juga harus dirahsiakan. Rasulullah SAW bersabda:

“Rahsiakan pertunangan dan iklankan (maklumkan) tentang perkahwinan”
(Hadith riwayat Ahmad dari Abdullah bin Zubair Radhiyallahu ‘anhu, dan disahihkan oleh al-Albani di dalam Irwa’ al-Ghalil)

Situasi yang boleh dilihat pada masa kini terutamanya di Facebook adalah pasangan-pasangan ini sudah meletakkan status “in relationship”, “engaged” dan sebagainya. Bagi saya status yang sesuai hanyalah “married” apabila benar-benar sudah berkahwin. Sebab itu saya tidak meletakkan sebarang status sama ada single,it’s complicated, in relationship dan sebagainya di Info FB saya bagi mengelakkan spekulasi-spekulasi yang akan timbul.

Mungkin orang-orang yang malu ini jugak bertanya macam mana nak memulakan hal perkahwinan ini dengan ibu bapa. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana dikurniakan emak dan ayah yang sentiasa berminda terbuka untuk bercerita tentang hal ini, Alhamdulillah.

“Tak payah tunggu sapa lahir dulu. Kalau angah dah ada, angah la naik dulu” kata emak pada suatu hari

Mungkin cara yang boleh saya sarankan adalah cuba bersembang hal sebegini dengan ibu bapa kalian.

“Mak, ada kawan angah yang sampai kat US ni dah kahwin dah”

Ayat ini boleh dijadikan permulaan untuk memulakan topik perkahwinan ini bersama ibu bapa kalian.

Pesanan Buat Diriku dan Dirimu

Kita harus ingat, cinta makhluk hanyalah alat untuk menyampaikan cinta yang sebenar-benarnya kepada Allah. Andai tidak memiliki bunga yang kita dambakan itu, yakinlah Allah telah menyediakan kuntuman bunga yang lebih harum dan indah mewangi. Perkahwinan itu selain memenuhi fitrah, ia juga mesti mempunyai matlamat dan matlamat itu biarlah bersambung kepada kebaikan Akhirat kita. Niatlah di hati moga perkahwinan kita diberkati Allah dengan anak-anak yang soleh dan solehah yang dapat mendoakan kebahagiaan kita di alam barzakh sesudah kematian kita kelak.

Kepada Wahid, saya memohon maaf jika terdapat kekurangan pada tulisan saya. Semoga apa yang baik boleh diamalkan, dan yang kurang baik, saya memohon keampunan daripada Allah dan jauhkan kami daripada mengamalnya.

Satu langkah diambil, satu langkah menghampirinya.

Wallahua’lam.

untuk Wahid, terimalah lagu ini

Monday, April 11, 2011

Memali: Kami Golongan Celik Sejarah..

salam buat sahabat-sahabat yang dirindui kerana Allah,semoga semakin ceria dan sihat selalu.
Amma ba'd.

"Sesiapa yang melupai sejarah pasti akan mengulanginya" George Santayana

Dibawah ini saya bawakan sejarah yang perlu kita tahu tentang perkembangan Islam di negara kita.
Artikel ini diambil dari blog ini.


BALING, ialah sebuah daerah di Kedah yang terletak di utara Malaysia. Daerah ini pernah mengalami pelbagai pengalaman tragedi yang dicetuskan oleh Parti Komunis Malaya yang diharamkan itu, walaupun ia menerima sokongan kerajaan Cina yang berpusat di Peking. Apakah satu keanihan, tragedi yang terjadi pada 19hb November, 1985 di Baling itu berlaku ketika Perdana Menteri Malaysia, Dr. Mahathir Mohammad sedang melakukan satu kunjungan rasmi di China?

Tragedi ini telah mengorbankan empat belas nyawa orang Islam yang mati syahid kerana mereka lebih rela memilih jalan syahadah daripada jalan sekularisme. Orang yang lebih memilih jalan kebenaran daripada akur kepada kekerasan telah turut terkorban nyawanya. Beliaulah al Syahid Ibrahim Mahmud. Latar belakang Al-syahid Ibrahim Mahmud berumur 43 tahun ketika itu dan amat dihormati oleh masyarakat di Kampung Memali, yang termasuk dalam Mukim Siong, Baling. Beliau memang merupakan seorang yang banyak pengalaman dan berpendidikan Islam yang cukup tinggi. Beliau lulus daripada Universiti Al Azhar dan kemudiannya melanjutkan pelajarannya lagi di India dan Libya. Sebaik pulang ke tanah air, Al Syahid Ibrahim telah berkhidmat sebagai pegawai pendakwa di Bahagian Agama di Jabatan Perdana Menteri.

Thursday, April 7, 2011

Lughatul Hubb..

Salam buat semua, semoga hari ini lebih gemilang dari hari semalam.
Amma ba’d.

Apakah lughatul hubb ini? lughatul hubb bermaksud bahasa cinta; bahasa yang indah untuk dipertuturkan. Bila dan dimana bahasa cinta boleh digunakan? Sebenarnya bahasa cinta ini boleh digunakan bila-bila masa dan di mana saja. Kondisi yang saya maksudkan kali ini untuk menggunakan bahasa cinta adalah dalam medan dakwah. Ya, ramai dalam kalangan ‘orang agama’ hari ini menggunakan kaedah menghukum dalam berdakwah.

“ape kau buat ni, tau tak perbuatan ini haram. Allah berfirman bla  bla bla..”

“ish, teruknye kau ni.takkan kau tak belajar pasal benda simple ni waktu kecik dulu.”

“dah nampak dah kau ni memang calon neraka.Allah kate jangan makan bende haram, kau sumbat jugak.”

Begitulah sebahagian cakap-cakap mereka yang ada ilmu agama lebih sedikit berbanding orang lain. Wahai sahabat nabi bersabda:

“Barangsiapa yang Allah mengehendaki kebaikan kepadanya, maka Allah akan memberi kefahaman agama kepadanya” (hadis riwayat Bukhari)

Di sini, Allah berjanji memberi KEFAHAMAN dalam agama. Kefahaman dalam agama bukan sekadar tahu. Sebagai contoh, seseorang sangat tahu untuk memasak ayam masak lemak cili api. Dia tahu berapa banyak cili api perlu dimasukkan, berapa banyak santan perlu dimasukkan, berapa batang serai yang diperlukan bagi menghasilkan ayam masak lemak cili api yang sangat sedap itu. Hendak dijadikan cerita, satu hari dia termasuk santan lebih daripada yang sepatutnya, apa yang sepatutnya dia lakukan? Disinilah kefahaman sangat diperlukan. Bagi orang yang sekadar tahu, dia hanya boleh memasak tanpa silap tetapi jika ditakdirkan kesilapan berlaku, maka masakannya yang dipuji ramai tidak akan menjadi kerana dia tidak tahu apa yang patut dilakukan bagi mengatasi kesilapan tadi. Bagi orang yang faham, dia mungkin boleh menambah air sedikit ke dalam masakan tadi bagi mengimbangi kepekatan kuah masak lemak cili api tadi.

Begitulah beza antara orang yang sekadar tahu dan orang yang tahu serta faham dalam agama. Apa kaitan dengan bahasa cinta tadi? Bezanya orang yang sekadar tahu dalam hukum fiqh tetapi tidak memahami diri seseorang yang hendak didakwahnya mudah untuk menghukum seseorang. Sebagai contoh:

“eh! Kenape kau tak bertudung. Kau tau tak tudung tu WAJIB dan perempuan yang tak pakai tudung BERDOSA dan masuk NERAKA. Rasulullah SAW bersabda:

“Dua golongan dari ahli neraka yang tidak pernah aku lihat : satu kaum yang mempunyai cemeti seperti ekor lembu, mereka memukul manusia dengannya, dan wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang, mereka jauh dari ketaatan kepada Allah serta mengajar yang lain tentang perbuatan mereka (tidak menutup aurat), kepala mereka seperti bonggol unta, mereka ini tidak masuk syurga dan tidak mencium bau syurga sedangkan bau syurga itu dapat dihidu dari jarak ini dan ini.” (Diriwayatkan oleh Muslim)

Rasulullah SAW kate tak cium bau syurga tau tak.”

Wah hebat betul “ustaz/ustazah” ini, siap berlapikkan hadis lagi. Betul, memang betul tudung itu wajib dan barang siapa yang mengingkarinya berdosa. Tetapi selaku dai’e, kita harus menggunakan pendekatan kasih dan sayang untuk mad’u kita. apabila kita melihat orang tidak bertudung (merujuk situasi di atas), perkara pertama yang mesti kita lakukan adalah MUHASABAH DIRI. Bagi kita yang FAHAM,Kita perlu bertanya kepada diri sendiri dahulu, adakah kita  telah bertanya kepadanya kenapa dia tidak bertudung? Adakah kita sudah memberitahunya tentang kewajipan bertudung? Adakah kita telah menghadiahkannya sehelai tudung buat permulaan untuk dia pakai? Jadi disinilah bahasa cinta sangat diperlukan. Hampiri mad’u kita, makan sekali, bertanya kabar dan tanyakan kenapa dia tidak bertudung. 

Sesetengah orang tidak bertudung kerana bi’ah (suasana) yang tidak islamik di rumah, ada sebahagiannya kerana tidak diberi pendedahan tentang agama sejak kecil dan ada sesetengahnya yang memang sukakan hidup bebas dari syaria’t agama. Di sini saya tertarik dengan konsep real problem vs presenting problem  yang dikemukan oleh ustaz Hasrizal Abdul Jamil. dalam konsep ini, presenting problemnya adalah tidak bertudung dan real problemnya mungkin tidak tahu tentang kewajipan bertudung. Jadi yang perlu diselesaikan adalah pada real problem bukannya presenting problem.

Kita sepatutnya menggunakan bahasa-bahasa yang indah dalam menegur:

“Eh! Nur rupanya. Ape kabar hari ni? Muka happy je. Jom saye belanje makan. (dalam perjalanan ke kedai makan) Nur, saye nak tanye sikit la. Maaf la kalau menyinggung perasaan awak, kenape awak tak pakai tudung? Alhamdulillah, saye tengok makin ramai kawan kite dah mule pakai tudung. Saye yakin awak pun tahu tudung tu wajib (dengan senyuman di bibir)….”

Kesimpulannya, gunakanlah bahasa-bahasa yang lembut dalam menyeru orang lain kearah kebaikan. Janganlah sesekali menghukum seseorang atas kesilapan mereka kerana yang layak menghukum hanyalah Allah azza wa jalla. Fastabiqul khairat
Wallahua’lam.

P/S: situasi feminine yang digunakan di atas adalah bertujuan supaya mudah difahami.

Monday, April 4, 2011

Kerana Ia Menyucikan...

Salam sahabat-sahabat yang saya kasihi kerana Allah. Mudah-mudahan hidup kita diberkati dan dirahmati Allah.
Amma ba’d.

Apakah Al Quran di hati kita? adakah sebagai perhiasan yang terletak di dalam rak? Atau sekadar untuk dijadikan acara tahunan sebagai musabaqah Al Quran? Atau dijadikan sekadar hantaran sewaktu perkahwinan? Sebagai umat Islam, Al Quran itu tidak boleh dipisahkan dalam setiap inci dan aspek kehidupan. Al Quran adalah kalamullah yang diturunkan sebagai panduan buat penyuluh kehidupan sebagaimana Allah firmankan:

“Alif lam mim. Kitab (Al Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa” (2:1-2)

Ada sesetengah orang bertanya, apa guna kita baca quran kalau kita tidak memahami maknanya. Disini saya ada analogi yang menarik untuk dikongsi bersama. Analogi ini saya dapat daripada sahabat saya, Ahmad Faiz bin Khalil (Fateh) sewaktu saya di tingkatan lima dulu. Beliau memberi analogi dengan menceritakan bahawa ada seorang datuk menyuruh cucunya mengambil air dari perigi menggunakan bakul rotan yang jarang. Lalu cucu tersebut tanpa banyak soal terus melakukan seperti yang disuruh oleh datuknya. Namun selepas beberapa kali mengambil air dari perigi tersebut, ternyata air yang masuk itu keluar semula kerana sifat bakul yang jarang. Lalu cucu itu mengadu kepada datuknya bahawa mustahil dia mampu membawa air menggunakan bakul yang jarang itu. Lalu berkatalah datuk tersebut kepada cucunya. “ wahai cucuku, datuk yakin bahawa bakul itu sudah tentu bersih setelah beberapa kali engkau mengambil air daripada perigi itu walaupun air itu tidak mampu engkau bawakan kepada datuk. Begitulah dengan hati kita, walaupun kita tidak memahami al quran tetapi apabila kita tetap membacanya, hati akan menjadi bersih”. Lalu tahulah cucu itu bahawa datuknya sedang menagajarnya ilmu hikmah.

Begitulah sepatutnya yang kita amalkan, walaupun kita tidak memahami isi Al Quran tetapi jika terus membacanya, Allah akan membersihkan hati kita dari penyakit-penyakit mazmumah. Hari ini kita boleh lihat, akibat Al Quran dipinggirkan rasuah dalam kalangan pemimpin politik sangat membarah, hedonisme dalam kalangan muda mudi merebak bagai api membakar lalang, budaya fitnah memfitnah serta menjatuhkan kredibiliti orang lain seperti tidak ada apa-apa. Astaghfirullahal azim, Islam versi mana yang kita warisi? Islam Mustafa Kamal Attartuk atau Islam Saidina Mustafa Muhammad Rasulullah SAW?

Oleh yang demikian saya menyeru kepada diri saya dan sahabat-sahabat agar marilah sama-sama membaca, memahami, menghayati dan mengamalkan ayat –ayat suci Allah agar kita tidak terpesong daripada jalan hidup yang diredhai Allah. Bacalah sekurang-kurangnya satu helai satu hari. Apabila Quran diamalkan, kita dapat menilai antara batu dan permata serta palsu dan dusta .
Wallahua’lam.

Sesungguhnya kepimpinan taghut dan sekular akan jatuh dan kepimpinan Islam akan tertegak. yakinlah...