Wednesday, March 27, 2013

Jom Melepak...


Salam kepada sahabat yang dikasihi, semoga Allah menganugerahkan kefahaman, hidayah dan taufiq untuk terus beriltizam dengan amal-amal islami.
Amma ba’d.

Perkataan melepak kebiasaannya berkonotasi negatif. Memang melepak dikaitkan dengan budak-budak ponteng sekolah, mat-mat rempit, remaja-remaja bohsia dan kutu rayau. Melepak sememangnya sangat jauh dengan orang-orang Usrah. Buang masa kata mereka.

Tetapi berbeza dengan orang-orang usrah RIT, kami mengamalkan budaya melepak ini setiap minggu. Usrah itu usrah, tetap wujud namun budaya melepak boleh dikatakan seminggu sekali kami buat. Tempat kebiasaan kami melepak tidak lain tidak bukan di kedai kopi Tim Hortons.
Ada dua kedai Tim Hortons dekat rumah saya

Saya melihat dalam usrah, setiap perbincangan sentiasa berbau agama; tadabbur alquran, bincang hadith dan seerah, serta tazkirah dan muhasabah. Sedangkan Islam ini sangat luas mencakupi politik, ekonomi, muamalat, sosial serta seluruh kehidupan kita. Jadi saya cuba membawa budaya melepak secara sihat di RIT. Apabila melepak, kerangka perbincangan lebih meluas. Semua yang datang melepak, sudah ada mind setting, melepak adalah perkara santai dan topik perbincangan lebih meluas berbanding dalam usrah.
Kaki lepak

Kadang-kadang kami berbincang tentang zaman nakal di sekolah, adakala situasi semasa politik di Malaysia, tidak terlepas juga membincangkan perihal perkahwinan serta persiapan menujunya, dan juga tentang kerjaya di masa hadapan. Saya bersyukur kerana ramai sahabat di RIT mengambil  Business sebagai minor. Jadi, kebanyakkan kami memang berotak business. Selalu juga kami bincang prospek business di masa hadapan. Ada yang ingin membela algae bagi tujuan penghasilan bio energy, ada yang ingin menternak ayam, ada yang ingin membuka kedai makan dan ada pelbagai lagi prospek business yang kami sama-sama perbincangkan secara santai. Walaupun secara santai, saya lihat semuanya ada wawasan.
Cukup dengan secawan kopi ais dan sebiji donat

Kebiasaannya, kami melepak hari Khamis malam Jumaat dan hanya balik ke rumah selepas pukul 12.30 pagi atau 1.00 pagi. Walaupun saya sedar, melepak ini hanya budaya orang bujang. Selepas pulang ke Malaysia dan bernikah kelak, budaya seperti ini sudah tidak boleh selalu dibuat memandangkan komitmen sudah bertambah dan masa santai sudah berkurangan. Inilah antara kemanisan hidup di perantauan..:)
Kemanisan berukhuwwah

Monday, March 25, 2013

Rindu...




Kerinduan kita kepada siapa atau apa?

Orang bertaqwa rindunya kepada kebenaran, kejujuran, keikhlasan serta keredhaan tuhannya.

Orang mukmin merindukan isteri serta anak-anak yang soleh solehah dan keluarga yang bahagia.

Orang yang mencintai kebenaran rindukan suasana masyarakat yang harmoni dan bahagia. Mereka merindukan tertegaknya kalimah al Haq serta merindukan maghfirah Allah.

Siapa orang yang kita rindukan?

P/S:  Orang yang saya rindukan sentiasa dalam doa saya. Semoga mereka semua dipelihara Allah dan dimurahkan rezeki..:)

Wednesday, March 20, 2013

Harapan Kita...


Salam kepada sahabat yang saya kasihi kerana Allah. Semoga semuanya dalam lindungan rahmat dan kasih sayang Allah.
Amma ba’d.

Menjadi hamba Allah, pasti kita melalui liku-liku kehidupan yang rencam. Terkadang berduka, adakala suka. Itulah lumrah kehidupan seorang insan bergelar hamba. Mana mungkin seorang hamba hidup tanpa diuji imannya. Sehari-hari kita melalui tingkatan demi tingkatan dalam kehidupan dan setiap tahapan kehidupan semakin mencabar. Kepada Allah sahajalah diserahkan segala urusan kehidupan.

Sepanjang kelana saya di bumi Uncle Sam, banyak perkara dan peristiwa telah merubah persepsi saya. Program demi program dihadiri, daurah demi daurah disertai, rehlah demi rehlah diikuti. Apakah ia telah menjadikan diri ini mengenali hakikat kehidupan? Allah lebih mengetahui.

Mengenali masyarakat Amerika, saya menyedari bahawa pembangunan material tanpa dibangunkan jiwa-jiwa insan lebih membawa kepada kerosakan kepada ketamadunan sesuatu masyarakat. Di sini, mereka punyai segala kelengkapan dan prasarana, tetapi moral masyarakatnya sangat rendah. Lelaki dan perempuan menyewa satu rumah tanpa ikatan yang sah, parti liar pada malam minggu, anak-anak lari meninggalkan rumah ibu bapa, kes perceraian yang tinggi, dan penindasan kaum kapitalis merupakan masalah yang sangat kritikal di Amerika. Namun, saya harus bersifat adil. DI sudut baiknya, warga Amerika mereka mudah bertolak ansur, boleh menghormati hak jiran-jiran, suka menghulurkan bantuan dan mesra dengan orang asing.

Di sini juga mendidik saya menjadi seorang dewasa. Saya bergaul dengan kalangan mereka yang professional; doktor, jurutera, professor, dan ahli perniagaan dalam kalangan warga masjid Rochester (Islamic Center of Rochester). Saya dapati warga Muslim di Rochester, mereka sangat tawadhuk walaupun mereka golongan bekerjaya yang hebat. Inilah ciri-ciri muslim yang sejati. Saya juga mendapat kawan-kawan dari negara Islam seperti Arab Saudi, Yaman, Libya, Turki, Pakistan, Afghanistan dan Indonesia. Inilah Islam yang dikatakan rahmatan lil a’lamin.
Menuju puncak

Berbalik kepada situasi di Malaysia, apabila menggula-gulakan rakyat dengan BR1M, pelbagai projek pembangunan, dan konsert hiburan melampau (hedonism), saya kira ia akan jadi seperti di Amerika. Warganya hidup dalam tekanan, lalu mereka ke pub dan parti untuk mencari keseronokan sementara. Apabila remaja-remaja tidak dibangunkan jiwa mereka, maka jahiliyah akan menyelubungi hidup mereka. Mereka hilang pedoman dan arah tuju. Saya yang sedang meniti usia dewasa, merasa bimbang dengan kes buang bayi, remaja lari meninggalkan rumah, anak memukul ibu bapa, dan pelbagai lagi gejala sosial yang berlaku di negara kita. Ia terlalu menyesakkan dada. Insha Allah, satu hari saya akan mempunyai isteri dan anak-anak. Saya tidak mahu keluarga saya tinggal dalam keadaan masyarakat yang sebegini. Saya inginkan sebuah kehidupan yang dalamnya tertegak amar maaruf nahi mungkar, saling bertegur sapa serta saling bantu membantu.

Menjadi tanggungjawab kita yang cintakan keamanan negara, rindu untuk melihat kebangkitan Islam serta inginkan pembangunan sebuah tamadunan yang berakhlaq mulia di muka bumi kita, tidak boleh berpeluk tubuh mengharapkan kemenangan percuma. Kita harus bangun bekerja merealisasikan impian yang murni ini. Marilah sama-sama berada dalam gerabak gerakan Islam di Malaysia untuk melihat sebuah institusi negara yang mendapat keberkatan Allah. Inilah harapan kita. Semoga Allah membantu kita dalam setiap langkah.

Wallahualam.

Friday, March 15, 2013

Warkah Tentang Turki: Bahagian 3 (Finale)...


Kembali bersambung mengenai kembara di Turki. Kami tiba di Istanbul pada hari Rabu (27 February) pada pukul  3.00 petang. Cuaca hari itu agak sejuk memandangkan keadaan mendung dan hujan renyai-renyai. Keadaan di Istanbul atau lebih tepat di sekitar Sultanahmet Square sangat sibuk. Ia bagaikan kita berada di Eropah dari segi geografi (saya belum pernah menjejak bumi eropah lagi. Hanya tahu melalui dokumentari yang ditonton). Memang suasana kebaratan anak-anak muda Turki di situ jelas kelihatan dari segi pergaulan dan berpakaian. Berpelukan lelaki dan perempuan di tempat awam tanpa segan silu seolah-olah pemandangan biasa. Berpakaian ala-ala mereka sedang berada di bawah Eiffel Tower di Paris
Masji Biru (Sultanahmet Camii)

Sekitar Grand Bazaar

Grand Bazaar

.
Sultanahmet Square merupakan kawasan tumpuan pelancongan di mana disitu terletak Aya Sophia, Blue Mosque, Grand Bazaar, Muzium Topkapi, Sulaimaniye Mosque. Saya agak terkejut apabila mengetahui bahawa Grand Bazaar dilawati oleh 250000-400000 orang sehari. Kami shopping di Grand Bazaar pada hari Khamis sementara menunggu sahabat kami Zubayr Gunay datang ke hotel kami. Di sana kami terserempak dengan beberapa orang pelajar perempuan Malaysia; saya rasa mungkin mereka yang belajar di timur tengah.
Sembang santai anak-anak muda di Gulhane Park

Berhati-hati ketika bershopping di Grand Bazaar kerana peniaga di sana sangat pandai mengambil hati pelanggan. Khuatir terbeli barang yang kita tidak perlukan. Makanan di sini, mudah untuk mencari yang halal. Satu yang saya suka, adalah tuan kedai akan menjamu the selepas kita membeli barang di kedai mereka. Satu lagi peristiwa menarik ketika di dalam bas, seorang ibu dengan anak perempuan kecil, umur 4 5 tahun saya agak, duduk dalam bas. Apabila si ibu, memandang ada beberapa pelancong eropah sedang berdiri dalam bas dan berbual, si ibu bingkas bangun mengajak anak kecilnya lalu mempersilakan pelancong tadi duduk di tempatnya. Saya melihat nilai menghormati tetamu sangat tinggi di Turki. Situasi sebegini saya yakin ada di Malaysia, barangkali saya masih belum berpeluang melihatnya. Saya melihat mereka mengamalkan  hadith Rasulullah SAW yang berbunyi:

“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya” ( Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim)
Teh Turki yang sangat lazat

Hari Jumaat (1 Mac) merupakan hari kami all out jalan-jalan. Bermula shopping  kali kedua di Grand Bazaar, kemudian ke makan Abu Ayyub Al Ansari, Pierre Lotti, Uskudar, Muzium Topkapi, Gulhane Park dan Masjid Sulaimaniye. Untuk ke Uskudar yang telah disebelah Asia, kami mesti menaiki feri yang bagi saya sangat murah, hanya 1.45 TL bagi perjalanan sehala. Memang lama saya mengidam nak minum teh di pinggir Selat Bhosporus kerana ia mempunyai nilai sentimental tersendiri. Alhamdulillah Allah permudahkan jalan.
Simit
Merentasi Bhosporus

Di tebing Bhosporus yang tenang



Antara makanan Turki yang menarik dan sedap ialah Kebab, Doner, Lamahcun,dan Kunefe. Sememangnya Turki adalah negara yang sangat menarik untuk dilawati sehingga saya merasakan untuk melawat sekali lagi. Saya pernah melawat Dubai, tetapi cukup sekali bagi saya melwat Dubai. Marilah membangunkan ekonomi umat Islam dengan mengunjungi negara-negara Islam. Semoga percutian ini diberkati Allah.

P/S: Mudah-mudahan ada rezeki untuk saya melawat Eropah suatu masa nanti.a

Sunday, March 10, 2013

Warkah Buat Bakal Zaujahku...


Bismillahirrahmanirrahim,

Kehadapan bakal zaujahku yang diharapkan senantiasa dalam pemeliharaan Allah. Aku mulakan warkah ini dengan memetik kalam Allah dari surah Rum ayat 21 yang bermaksud:

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” (Ar Rum 30:21)

Alhamdulillah segala puji hanya bagi Allah yang memutikkan rasa cinta di antara kita sehingga membawa kepada tautan hati. Ketahuilah bahawa Allah lah yang mencampakkan rasa tenang dan tenteram di dalam jiwa hamba-hambaNya. Maka janganlah ada di antara kita yang ragu akan anugerah Allah yang agung ini.

Sebelum bernikah, aku tidak mahu terlalu menjanjikan itu dan ini, cuma satu janjiku yang pasti, aku ingin menghidupkan rumah tangga kita dengan sakinah, mawaddah dan rahmah. Aku sentiasa mengharapkan kehadiranmu dalam hidupku bukan sekadar memenuhi ruang hatiku yang sepi namun yang akan sentiasa bersama aku di saat susah dan senang tatkala aku diuji dalam perjuangan. Aku bukanlah insan sesempurna Nabi Muhammad SAW yang telah menawan hati Saidatina Khadijah radiyallahu a’nha. Aku cumalah seorang insan yang lemah dan banyak khilaf. Harapanku untuk bersamamu supaya terus beriltizam untuk memberi manfaat kepada insan-insan, menegur kesilapanku, menjadi pelebur egoku yang tinggi dan menjaga maruah serta kehormatanku.

Aku berharap agar lahir zuriat yang soleh solehah daripada sulbimu yang akan mewarisi perjuangan Nabi Muhammad SAW dalam gerakan Islam. Aku inginkan sebuah rumah tangga yang benar-benar harmoni dipenuhi kasih sayang dan sentiasa dalam keredhaan Allah. Aku telah berjanji kepada Allah bahawa aku akan memeliharamu dan memberi kelengkapanmu sekadar yang aku mampu.

Sesungguhnya kehidupan ini penuh ranjau berliku yang adakalanya tak terduga dek akal. Oleh itu, aku sentiasa berharap dirimu sentiasa disisiku dengan penuh kelembutan dalam susah dan senang. Sebaik-baik bekalan adalah taqwa. Maka marilah sama-sama meningkatkan ketaqwaan, kuatkan tekad dan lengkapkan diri kita dengan ilmu yang bermanfaat agar kita dapat melayari bahtera rumah tangga hingga ke syurga Allah.
Apa yang akan terjadi, aku serahkan segala urusan kepada Allah kerana Dia adalah tuhan yang maha mengetahui segala yang terbaik untuk setiap hambaNya.

Aku akhiri bicara ini dengan menyingkap firman Allah dari surah At Talaq ayat dua dan tiga:

“..dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” (At Talaq 65:2-3)

Sesungguhnya rezeki dijamin Allah bagi hamba-hambaNya yang bertaqwa. Jadi, marilah berazam untuk menjadi insan yang sentiasa memperbaiki diri dan membawa kebaikan kepada orang lain.
Yang benar
Bakal suamimu

Friday, March 8, 2013

Warkah Tentang Turki: Bahagian 2...


Sambungan daripada entri lepas, hari Rabu (27 Febuari 2013) adalah hari ke empat kami di Turki. Hari tersebut, kami bergerak dari Bursa ke Istanbul menaiki bas ekspres. Perjalanan dari Bursa ke Istanbul mengambil masa selama lebih kurang empat jam. Sepanjang perjalanan ke Istanbul, kami dapati ladang zaitun di sekeliling kami, sangat cantik dan indah.
Pemandu bas yang kemas bertali leher

Cara pemanduan masyarakat Turki sangat merbahaya. Saya ingat memandu dalam Chicago, Las Vegas dan New York City sudah cukup bahaya, tetapi di Turki pemandu-pemandu di sana memandu begitu laju seolah-olah tiada had laju. Saya biasa memandu di dalam bandar Chicago dan Las Vegas, itupun sudah menggila saya rasakan. Di Turki , pemandu lagi gila-gila.
TV kecil di dalam bas di setiap kerusi penumpang

Tetapi ada sesuatu menarik perhatian saya, perkhidmatan bas ekspres di sana begitu banyak seperti di Malaysia, dan setiap bas sangat selesa di dalamnya dan murah. Dalam bas ada pelayan(konduktor bas) yang akan menawarkan untuk penumpang sama ada untuk minum teh, dan kopi. Satu lagi yang saya perasan, mereka bertanggungjawab terhadap penumpang yang menaiki bas di sana. Konduktor bas yang akan memasukkan beg kita ke dalam bas, dan mengeluarkannya setelah kita sampai di destinasi. Saya merasakan ini bagus bagi mengelakkan kecurian atau tersilap mengambil beg oleh penumpang lain apabila sudah sampai di destinasi.
Ladang zaitun

Saya yang agak kerap berulang alik di antara KL, Selangor dan Pulau Pinang menggunakan bas ekspres memikirkan bahawa setiap pemandu bas Muslim mesti dipanggil berkursus tentang etika pemanduan berhemah serta menghormati waktu solat. Ada sesetengah pemandu bas eskpres Muslim yang terlalu mengejar duit tidak menghiraukan kelajuan serta waktu solat untuk penumpang Muslim menunaikan solat.
Wallahua’lam.

Monday, March 4, 2013

Warkah Tentang Turki: Bahagian 1...


Salam buat sahabat yang dekat mahupun yang jauh. Semoga Allah melimpahkan rahmatNya yang besar buat kita semua.
Amma ba’d.

Hampir dua minggu tidak menulis di blog kerana berada di ‘luar negara’; kini masa untuk mencoretkan sedikit warkah buat tatapan semua. Perjalanan ke Turki dirasakan begitu indah kerana banyak pertolongan Allah sepanjang saya dan dua sahabat saya di sana. Saya tidak tahu dari mana harus saya memulai tulisan ini tetapi saya rasa hanya akan menceritakan perkongsian yang saya rasakan bermakna untuk kita semua.

Kami sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Attartutk pada pukul 5.45 pagi waktu Istanbul (GMT+2). Di sana kami disambut oleh kenalan kami, Ali Kandemir. Dia membawa kami ke sebuah masjid untuk menunaikan solat subuh dan kemudian terus ke rumahnya. Sampai di rumahnya, kami dijamu sarapan pagi. Makanan orang utama orang Turki sememangnya roti, keju, zaitun, daging dan kentang. Saya boleh ‘masuk’ dengan makanan ini, Alhamdulillah. Minuman utama mereka adalah cay (teh). Pagi, petang, siang dan malam semuanya teh panas yang lazat. Saya rasa ketagih dengan teh Turki. Petangnya kami berangkat ke Bursa dengan menaiki feri. Merentasi laut Marmara di senja hari sangat damai dan menenangkan. 
sarapan pagi

Jarak dari Istanbul ke Bursa menggunakan jalan darat adalah 250 KM tetapi menggunakan feri, hanya mengambil masa selama 1 jam 30 minit. Kami sampai di Mudanya, terminal feri di Bursa pada pukul 7.30 malam dan keadaan sudahpun gelap. Bermulalah episode sulit pengembaraan kami apabila boleh dikatakan 99% peratus orang yang kami temui di Bursa tidak boleh berbahasa Inggeris. Setiap persoalan yang ditanya, dijawab mereka dalam bahasa Turki. Kami hanya mampu menulis destinasi yang hendak kami tujui kepada pemandu bas. Alhamdulillah pemandu bas faham dan suruh kami menaiki bas yang menuju ke hotel kami tanpa bayaran. Di sini kami merasai nusrah (pertolongan) Allah buat kami. Menarik lagi tentang Orang Turki, mereka begitu menyanjungi rakyat Malaysia. Bila kami mengatakan dari Malaysia, mereka mengangkat ibu jari memuji-muji Malaysia. Ada yang kami temui di Istanbul berkata “Malaysia is number one, Turkey number two”.
feri ke Bursa

Kami memulakan melawat Bursa pada hari kedua. Antara tempat menarik untuk dilawati di sini ialah, Ulu Cami (The Grand Mosque), Tophane Tower, Koza Han (bazar), Mount Uludag (buat peminat ski dan snowboard), dan hamam (rumah mandi Turki). Saya tidak galakkan pelajar-pelajar perempuan ke sini tanpa ditemani mahram. Bandar ini seolah-olah sangat jarang dikunjungi pelancong. Setiap mata mengekori kami tatkala kami melewati mereka. tambahan pakaian kami di luar norma masyarakat Turki, lagi lah kelihatan asing.
keadaan pasar di Bursa

Pada hemat saya, dasar kerajaan yang menghantar pelajar Malaysia ke luar negara dengan mengambil bidang hard science  wajar dibincangkan semula. Saya tidak nafikan keperluan untuk bidang-bidang kritikal seperti kejuruteraan, perubatan, sains pertanian, dan pergigian tetapi soft science  seperti bahasa wajar diberi perhatian serius. Sekadar yang saya tahu, sekarang hanya ada seorang di Malaysia yang menguasai banyak bahasa iaitu Mahadzir Lokman yang boleh menguasai bahasa Sepanyol, Itali, Jepun, Inggeris, dan Yunani. Saya tersedar peri pentingnya bahasa selepas kembara ini kerana, negara kita banyak melakukan hubungan diplomatik dengan negara-negara Islam. Justerus amat molek jika penguasaan bahasa Arab perlu ditekankan selain daripada penguasaan bahasa inggeris.
kesibukan bandar Bursa

Inilah sedikit warkah untuk hari-hari pertama di Turki, insha Allah saya akan cuba sambung dalam entri-entri selepas ini.