Monday, October 29, 2012

Dia Di Mata Dunia...


Salam kepada semua sahabat yang saya kasihi kerana Allah. Semoga Allah memandu kita dengan hidayah dan taufiqNya.
Amma ba’d.

Sejarah manusia telah membuktikan bahawa sesiapa sahaja dalam kalangan manusia yang memerintah dengan penuh keadilan pastilah semua rakyat dibawahnya hidup dalam keadaan aman dan sejahtera serta pemimpin yang adil tersebut pasti dikenang sepanjang zaman. Singkaplah zaman khalifah Umar Abdul Aziz yang diakatakan sehingga serigala dan kambing boleh duduk sekali. Kenanglah juga di zaman khalifah Umar Alkhattab di mana setiap orang mendapat hak mereka.

Tidak seperti di Malaysia, setiap waktu solat boleh berjemaah di masjid, tetapi di sini saya  berkesempatan untuk berjemaah sesekali di masjid hanya waktu subuh, maghrib atau isya’. Baru-baru ini, saya sempat berbual dengan imam masjid (Islamic Center of Rochester), beliau berkata:

“once I had been in Kelantan. I have stayed there about four months. The Emir (leader) is very a’lim (knowledgeable) but I forgot his name”

“is it Nik Aziz?”

“Yes! He is. But I guess he must be very old now”
Bersama Imam Sheikh Ismet Husny Akcin

Kemudian saya bertemu bekas perdana menteri Libya, Dr Mustafa Abushagur.Beliau betanya kepada saya:

“You must be from Indonesia right?”

“No, I am from Malaysia.”

“Which state are you?”

“I am from penang”

“Oh, I don’t know”
Bersama Dr Mustafa Abushagur, Ex PM Libya

Kemudian beliau bertanya kepada sahabat saya:

“Where are you from?”

“I am from Malaysia too. From Kelantan”

“From Kelantan? The Islamic State.”

Kemudian sahabat saya bertemu dengan orang Bangladesh. Kata orang Bangladesh itu:

“There is one Islamic state in Malaysia, the leader is very good. What is his name?
“Nik Aziz?”

“Yes he is! You have been blessed by having such this people brother.Masha Allah”

Ramai lagi sebenarnya saya jumpa antaranya orang Libya, Pakistan, Turki dan banyak lagi. Semuanya memuji Kelantan sebagai negeri Islam. Subhanallah.

Apa yang saya cuba bawa di sini? Saya cuma mengajak kita semua berlaku adil dalam hal ini. Di saat orang luar mengambil berat hal ehwal Negara kita dan memuji negeri Kelantan, tetapi di dalam Negara kita dimomokkan Kelantan sebagai negeri termiskin, Kelantan mundur, Kelantan tiada pembangunan dan rakyat Kelantan tidak bijak memilih pemimpin. Saya tiada kepentingan dengan Kelantan kerana saya orang Pulau Pinang, cuma yang menyebabkan saya terkilan ialah sebahagian sahabat-sahabat walaupun belajar di luar Negara masih tiada kemampuan untuk menilai mana satu kerajaan yang baik dan mana kerajaan yang korup. Menilailah dengan neraca Alquran bukan melalui sumber-sumber media yang berkepentingan.

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.” (An Nisa’ 4:58)

Jika tidak mampu melihat di antara dua yang mana lebih baik, lihatlah yang mana lebih kurang korupnya. Saya membela Tuan Guru NIk Aziz bukan kerana jawatan menteri besar yang beliau sandang atau parti yang beliau wakili, tetapi saya menyanjungnya sebagai ulama’ yang gigih berdakwah sama ada kepada umat Islam atau yang bukan Islam. Lihatlah kuliah hari Jumaat yang diadakan pada setiap hari Jumaat di tengah-tengah bandaraya Islam Kota Bharu, ia turut dihadiri oleh orang bukan Islam. Walaupun sudah tua, namun semangat dakwahnya bagaikan seorang pemuda yang tidak kenal apa itu letih.

Satu muhasabah buat kita semua, jadilah adil dalam menilai. Jangan berjuang atas sentiment kaum dan kebangsaan, berjuanglah untuk umat Islam sejagat supaya Islam benar-benar kelihatan rahmatan lil ‘alamin (rahmat bagi sekelian alam).

Wallahualam.

Friday, October 26, 2012

Mencari Kebahagiaan...


Salam kepada sahabat ikhwah akhawat yang saya kasihi kerana Allah. Semoga Allah menerima segala amal soleh dan amal kebajikan kita. Allahu akbar! Allahu akbar! Allahu akbar walillahil hamd.
Amma ba’d.

Terlalu banyak kemungkinan dalam kehidupan sehingga adakalanya menyesakkan minda dan jiwa. Hanya satu menjadi kepastian, itulah kematian. Menyedari hakikat bahawa kita wajib mati, apakah kehidupan di dunia ini masih menjadi buruan? Saya sering terfikir, di hadapan Allah, apa jawapan yang akan saya berikan jika saya didakwa.

Solat yang masih belum sampai tahap kekhusyukan sebenar, puasa yang tidak benar-benar membentengi diri, dakwah yang adakala masih sambil lewa, di tambah dengan dosa-dosa yang sengaja dan tidak sengaja, pelbagai amanah yang tidak disempuranakan dengan baik, semua ini sering menjadikan saya termenung. Untuk menyesali hakikat kehidupan bukanlah sifat mukmin sejati kerana telah banyak nikmat  Allah berikan kepada kita.

Hidup kita ini hanya menumpang kasih dan simpati Allah, andai hilang rahmat Allah, kehidupan yang senang lenang, harta yang melimpah ruah, dan pengaruh yang kuat tidak langsung akan memberi makna. Rasulullah SAW bersabda:

"Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara : sedekah jariah,atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya." (Sahih Muslim)

Mati satu kepastian. Mati bukanlah perkara besar andai kita faham namun perkara yang  besar adalah kehidupan selepas mati yang kita imani. Adanya soalan munkar dan nakir di dalam kubur, adanya hisab di hari al mahshar, adanya syurga dan neraka.
Saya terfikir, apakah bekalan yang ingin saya persembahkan di hadapan Rabbul Jalil kelak? Saya berharap supaya saya mampu menghasilkan sekurang-kurangnya sebuah buku yang dapat memberi manfaat buat saya di alam barzakh dan alam akhirat kelak. Bayangkan, buku-buku jika saya dapat hasilkan, masih di baca dan dirujuk selepas seratus tahun yang akan datang, sudah pasti membahagiakan saya di alam sana. Saya sentiasa berharap, apa sahaja ilmu dan kebaikan yang didapati di blog saya disebar luaskan. Mudah-mudahan Allah merahmati saya dan orang yang menyebarkan ilmu di blog ini dengan rahmat yang banyak dan berpanjangan. Segala kesilapan dan kesalahan harap diperbetul dan ditegur. Saya juga insan biasa yang tidak maksum. Boleh jadi saya benar, boleh jadi saya salah.

Kehidupan terlalu singkat untuk kita bersuka ria, sedangkan amanah Allah kepada kita agar mentaati perintahnya serta menyebarkan Islam masih belum tertunai. Satu muhasabah buat diri saya dan semua sahabat, ambillah dunia seadanya. Fikirkanlah tentang kehidupan kita di alam sana, hiduplah dengan berlandaskan Alquran dan Assunnah, dan jadilah insan yang bermanfaat kepada alam sarwajagat.
Wallahualam

Selamat hari raya aidiladha, kullu ‘am wa antum bikhair.



Sunday, October 21, 2012

Arus Cinta...


Salam kepada semua sahabat yang saya kasihi, semoga Allah mengampunkan semua dosa kita yang telah lepas.
Amma ba’d.

Agak lama saya tidak menulis, mungkin semangat menulis yang sudah meluntur (semangat bercakap membuak-buak mungkin). Antara perkara yang saya suka bercakap tentangnya adalah perkara berkenaan pernikahan, baitul muslim dan terminologi yang seangkatan dengannya. Saya akui, memang jarang saya perkongsikan berkenaan hal ini di facebook dan blog tetapi dalam percakapan seharian dengan sahabat-sahabat di sini dan juga dalam usrah, memang topik ini selalu diselitkan. Saya yakin dan pasti, bagi mereka yang berumur sebaya dengan saya (20-an) pasti topik ini antara topik yang sering menjadi bahan bual bicara.
Berbicara mengenai cinta tidaklah salah dalam Islam bahkan Islam sangat meraikan fitrah insani yang satu ini. Atas sebab ini, ditunjukkan jalan pernikahan.

Uniknya penciptaan manusia selain dijadikan roh dan jasad, insan dianugerahkan perasaan yang pelbagai. Antaranya ialah perasaan cinta. Cinta mempunyai pelbagai tafsiran. Namun, antara tafsiran yang paling saya tertarik mengenai cinta adalah, ia satu arus yang mengalir dalam hati dan sanubari insan tanpa mampu disekat. Kadang-kadang kita tidak sedar bahawa kita telah jatuh cinta kepada seseorang. Kita boleh menafikan kepada teman sekeliling, hakikatnya hati kita tidak dapat dibohongi. Apakah salah untuk kita jatuh cinta sebelum bernikah? Insan bukanlah mesin atau robot yang tidak mempunyai perasaan. Menghalang cinta bermaksud membunuh fitrah insan itu sendiri yang akan membawa kepada keburukan yang lebih parah; kekecewaan,kemurungan,kesedihan melampau dan sebagainya. Sabda Nabi Muhammad SAW:

“Aku tidak melihat (penawar) untuk dua orang yang bercinta seperti nikah” (riwayat al-Baihaqi dan Ibn Majah, sahih)

Melalui hadith ini, jelas nabi memperakui bahawa pernikahan adalah manifestasi bagi dua insan yang berlainan jenis bercinta. Dimana tercipta cinta, disitu rindu bermula. Api kerinduan tidak dapat dipadamkan melainkan setelah melangkah ke gerbang pernikahan. Timbul persoalan lain, sebelum bernikah, apakah batasan-batasan yang perlu dijaga sebelum sentuhan antara dua insan ini menjadi halal?

Saya akui, saya memang mengetahui beberapa kisah sahabat-sahabat yang bercinta sebelum bernikah, dan Alhamdulillah sekarang sebahagian mereka telah halal untuk saling bersentuhan. Ada yang pertunangannya memakan masa empat tahun, ada yang dua tahun, dan ada yang hanya beberapa bulan sahaja.

Laman sosial seperti facebook dan twitter terutamanya, merupakan medium terpantas untuk tersebarnya berita-berita mengenai pernikahan rakan-rakan. Di kesempatan ini, saya menasihati diri saya dan rakan-rakan, agar menjaga batasan pergaulan dengan teman berlainan jantina. Berbincang hanya sekadar perkara yang perlu, tidak perlu hanyut ke lembah gossip yang pasti mengundang dosa dan kemurkaan Allah. Di laman sosial, selain Allah dan malaikat, ada lagi mata-mata yang memerhati. Kita tidak tahu, apa yang tersembunyi di hati insan. Andai dia insan yang baik, pasti dia akan mendoakan kebahagiaan kita, namun jika dia insan sebaliknya, berkemungkinan untuk dia mencetuskan sesuatu yang akan membawa kebinasaan dalam perhubungan kita. Jika bakal pasangan kita itu soleh dan solehah, sudah pasti diri ini terasa zalim andai mengkhianatinya dengan tidak menjaga batas-batas ikhtilat sedangkan dia sangat menjaga batasan pergaulan demi kita.

Persediaan dari segi ilmu dan material amat penting dalam tempoh menghitung hari menuju ke alam pernikahan. Tanpa persediaan yang rapi, impian inginkan sebuah rumah tangga muslim, hanyalah angan-angan tanpa makna. Jangan hanya dipandang manisnya pasangan itu dan ini, tetapi lihatlah segala kesukaran yang mereka tempuhi sebelum mengungkapkan lafaz sakinah di hadapan wali si muslimah. Saya akui, saya masih dalam tempoh persediaan dan saya merasai sukarnya untuk menjaga batasan-batasan ini terutama apabila kita menjadi titik rujukan sebahagian teman-teman. Namun, saya sentiasa bersitighfar agar Allah menjauhi saya dan orang yang berurusan dengan saya daripada bisikan syaitan ke arah kejahatan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kaum mukminin.

Sebagai penggulungan, saya juga ingin menyedarkan diri saya dan sahabat semua, bahawa pernikahan yang ingin kita melangkah ke dalamnya, biarlah dengan kesedaran bahawa tanggungjawab selepas akad itu adalah berat. Tambahan pula, kita adalah orang yang diberi kefahaman lebih sedikit berbanding orang lain, perlu menyedari dan beriman kepada kewajipan berdakwah dan menyeru orang agar kembali kepada Islam. Kepada muslimah, sila mudahkan bakal suami kalian dengan menguasai dan memahami ilmu-ilmu fiqh kewanitaan seperti haidh,nifas, dan wiladah. Didiklah diri menjadi insan yang matang dan mampu berdikari serta pupuklah sifat keibuan sebelum bernikah. Kepada bakal-bakal suami, sila fahami bahawa pernikahan bukan sekadar memenuhi tuntutan fitrah dan batin, namun penting untuk mengembeleng gerakan dakwah islamiyah.

Saya doakan semoga Allah mengurniakan saya dan semua sahabat yang membaca entri ini agar dikurniakan pasangan hidup yang soleh dan solehah, menjadi penyejuk mata hati seperti mana firman Allah:

“Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.” (Al Furqan 25:74)

Wallahua’lam.

Kredit Gambar: Syabab Musafir Kasih

Thursday, October 4, 2012

7 Habits of Daie...


Salam kepada semua sahabat yang saya kasihi kerana Allah, semoga Allah mengurniakan kepada kita rahmatNya yang maha luas.
Amma ba’d.

Sejauh mana kita beriman bahawa berdakwah menyampaikan kebenaran (Al Haq) adalah wajib? Jika kita mengakui bahawa berdakwah itu adalah fardhu a’in ke atas setiap muslim, maka kita harus mempertimbangkan beberapa perkara. Kenapa perlu berdakwah? Apa yang akan terjadi kalau kita tidak berdakwah? Bagaimana perlu kita berdakwah? Kepada siapa harus kita tujukan dakwah ini?

Jadi persoalan ini mungkin bermain di benak kepala kita. Saya tidak mahu membincangkan bagaimana harus berdakwah, kepada siapa harus berdakwah, apa kepentingan berdakwah. Cuma selaku muslim, saya beriman bahawa berdakwah itu wajib demi memenuhi tanggungjawab dan amanah selaku hamba Allah di muka bumi. Atas sebab ini, saya ingin berkongsi beberapa perkara yang harus kita selaku penyeru kepada jalan Allah lakukan.

Pertama sekali, kita harus taqarrub (mendekatkan) diri kepada Allah. Banyak amalan seharian kita perlu diteliti semula. Bagi lelaki, solat berjemaah itu adalah WAJIB dan jadikan ia sebagai amalan harian. Selain solat fardhu, ada beberapa solat sunat yang harus diberi penekanan; solat sunat qiyamullail, solat sunat dhuha, solat sunat witir dan solat sunat rawatib. Solat adalah penghubung antara hamba dan tuhan, solat juga merupakan terapi yang ampuh apabila kita menghadapi kesulitan.

Selain amalan solat, amalan bersedekah dan membantu insan adalah amalan terpuji. Membantu insan termasuklah berkorban harta, wang dan tenaga untuk memudahkan urusan insan yang memerlukan pertolongan dan bantuan. Selaku penyeru di jalan Allah, berkorban itu adalah sunnahnya. Puasa selain puasa fardhu di bulan ramadhan, amat-amat dituntut untuk berpuasa sunat isnin dan khamis, paling kurang sekali seminggu. Puasa juga merupakan benteng kepada iman untuk menundukkan nafsu yang tak pernah surut.

Membaca Alquran adalah wajib setiap hari bagi penyeru kebenaran di jalan Allah. Alquran merupakan hujah dalam kita berdakwah menerangkan Islam yang benar. Pastikan seharian hidup kita tidak sunyi daripada Alquran. Andai daie itu, jaraknya dengan Alquran bagaikan langit dan bumi, kepada siapa dakwah ini diserukan?.

Kebersihan jasmani, pakaian dan persekitaran seorang daie harus diambil berat sepenuhnya. Bagaimana kita mahu berbicara perkara yang berat sedangkan perkara berkaitan hal kebersihan diri pun masih tidak terjaga dengan baik?

Di sebalik semua ini, sama penting bagi seorang daie memelihara hati dan diri daripada terjerumus ke lembah dosa dan maksiat. Dosa boleh datang dalam pelbagai bentuk yang terkadang kita tidak menyedarinya. Oleh yang demikian, sentiasalah membasahi lidah kita dengan beristighfar kepada Allah. Wajib bagi daie memelihara kebersihan dan kesucian hati dengan menghindari segala sifat riya’ dan mazmumah, berburuk sangka serta sifat tidak ikhlas. Hal ini, andai dapat dijaga dengan baik, ia menjamin kualiti dan keberhasilan dakwah. Berbicara perkara teoretikal amat mudah, namun praktikalnya memerlukan satu mujahadah yang tinggi untuk melakukan semua ini.

Sebelum menutup bicara pada kali ini, suka saya mengingatkan diri saya dan kalian semua, jalan ini tidak dihampar dengan karpet merah, jalan ini tidak dijanjikan habuan dan pangkat duniawi, jalan ini sangat rencam dan penuh tipu daya di sekeliling, jalan ini adalah jalan Rasulullah SAW dan jalan para salafus soleh. Jalan ini penuh tapisan. Telah ramai orang sebelum kita gugur sama ada kerana kematian ataupun tarikan duniawi yang lain. Saya berdoa buat diri saya dan kalian, barangsiapa yang tidak hidup melainkan mencari redha Allah, semoga Allah meneguhkan kedudukan kita di atas manhaj nubuwwah ini dan semoga Allah membantu kita untuk terus menyampaikan kalimah Al Haq di muka bumiNya. Jalan ini, di penghujungnya dijanjikan syurga Allah.

Wallahualam.

Monday, October 1, 2012

Mari Merancang Kehidupan...


Salam kepada sahabat yang saya kasihi kerana Allah. Semoga sentiasa dalam rahmat dan kasih sayang Allah.
Amma ba’d.

Agak lama saya tidak mencoret di sini. Hendak dikatakan saya sibuk, saya malu kerana lebih ramai para asatizah di luar sana lebih sibuk jadual dan masa namun masih sempat mencoretkan sesuatu di laman maya buat tatapan pembaca. Namun, itulah hakikat hidup; semakin meningkat dewasa tugas dan tanggungjawab tidak pernah berkurang. Semoga Allah membantu hambaNya yang penuh kedahifan ini.

Alhamdulillah sebulan telah berlalu saya di US ini dalam tahun akhir. Sehingga sekarang, semuanya masih berjalan mengikut perancangan yang saya rancang sejak di Malaysia semasa cuti summer lepas. Semoga Allah membantu dan mempermudahkan segala urusan saya dan sahabat semua.

Rancanglah demi kebaikan masa depan kita. Sesungguhnya orang yang gagal merancang adalah mereka yang merancang untuk gagal.

Kak long tiada dalam gambar
P/S: Kak long saya dijangka melahirkan anak sulongnya pada hujung bulan ini. Semoga Allah memudahkan urusan kak long saya.