Salam kepada sahabat yang
diredhai Allah. Semoga Kasih sayang Allah kekal berpanjangan buat kita.
Amma ba’d.
Bersyukur bukan hanya sekadar
melafaz kata-kata syukur seperti Alhamdulillah tetapi apa yang lebih penting
adalah kita melakukan perbuatan yang Allah redha dengan kurniaan nikmat
pemberianNya. Sedar atau tidak, nikmat Allah kepada kita tidak pernah putus
baik berupa nikmat harta yang banyak, jiwa yang tenang, hati yang bahagia,
dihormati sahabat serta orang sekeliling serta dipermudahkan urusan dalam
kehidupan. Bagi melahirkan jiwa yang sentiasa bersyukur kepada Allah, maka kita
haruslah melihat orang yang kurang bernasib baik daripada kita supaya kita
sedar betapa beruntungnya kita berada di atas muka bumi ini berbanding orang
lain. Rasulullah SAW bersabda :
“Lihatlah kepada orang yang
berada di bawah mu dan jangan melihat orang yang berada di atas mu kerana yang
demikian lebih patut supaya kamu tidak meremehkan nikmat Allah yang diberikan
kepadamu.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan at-Tirmidzi)
Dua hari lepas, saya ada berbual
dengan si H (Sahabat-sahabat RIT pasti mengenali dia). Secara ringkas, si H ini
adalah orang melayu yang dilahirkan dan dibesarkan di US. Dua tahun lepas, boleh
dikatakan dia langsung tidak boleh bertutur dan memahami bahasa melayu, namun
setelah bergaul dengan kami di sini, dia boleh memahami dan bertutur dalam
bahasa melayu walaupun agak lambat. Si H ini orang yang pemalu, dan tidak
pandai bersosial. Dia menghadapi masalah dalam pelajaran dan tidak akan
meneruskan pelajaran di sini lagi. Dia menceritakan bahawa dia sekarang dalam
keadaan depress kerana dia akan kehilangan kawan-kawan yang sangat baik
dan rapat dengan dia di RIT ini. Katanya lagi, semasa dia berada di high
school, dia tidak mempunyai rakan-rakan. Hari-hari dia pergi ke sekolah dan
pulang. Faktor dia tidak bergaul dengan kawan-kawan di high school adalah
kerana perbezaan adat dan budaya yang ketara serta pegangan agama yang berbeza.
Kerana sikap pemalu dan kurang keyakinan diri, dia menjadi mangsa buli di high
school; berbeza di sini, dia dilayan dengan baik oleh kami semua.
Cuma saya tertarik dengan
pandangan dia:
“H,what is your opinion about
us being here?”
“You guys are so lucky. You get
scholarship. Just sometimes, I scream in my heart when I see certain people
like him (dirahsiakan nama) buying so many stuffs that he really doesn’t
need. It’s wasting your government’s money. like me, I have to save a lot.”
Kemudian dia bertanya saya;
“What is your expectation
before you came here?”
“ I think I just come and study
here but after coming here I learn a lot whether in the class and outside the
class. I travel a lot too. I had traveled to 16 states out of 50 states in the
US. Sometimes I learn how to organize an event (merujuk kepada beberapa
siri program dan rehlah yang pernah saya organize di RIT). “
“yeah, it’s good. When you go
back to Malaysia,you could be a leader but me here, I don’t know. I don’t have
much money to go travelling with all of you guys.”
Nada percakapannya kelihatan
sedikit mengeluh. Saya rasa sudah banyak kali saya ingatkan tentang perkara ini
dalam usrah saya; beli barang ikut keperluan bukan kemahuan.
Kita datang di negara orang boleh
bermewah-mewah sedangkan orang di tempat mereka sendiri terpkasa berjimat
cermat, jarang memakai itu dan ini, jarang memakan itu dan ini. Saya terkilan
kerana di sebalik mukanya yang sentiasa ceria dan happy-go-lucky,
tersimpan rasa sedih dan kecewa di lubuk hatinya.
Kepada sahabat-sahabat khususnya
di RIT dan umumnya yang sedang berada di oversea, bersyukurlah dengan
cara berjimat cermat. Ingatlah ketika kita sedang bermegah-megah boleh memakai
pakaian berjenama, ada orang tidak pernah berpeluang merasainya. Saya tidak katakan
salah kalau ingin berbelanja kepada baju-baju mewah, membeli gadget-gadget elektronik dan sebagainya tetapi
berpada-padalah. Ingatlah, elaun yang kita terima setiap bulan adalah hasil
keringat pembayar-pembayar cukai yang menuntut amanah kita apabila pulang ke
Malaysia kelak.
“Sesungguhnya orang-orang yang
boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah
makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (Al Isra’ 17:27)
Wallahualam.
No comments:
Post a Comment