Salam kepada sahabat, ikhwah dan akhawat. Semoga Allah
melimpahkan rahmatNya yang luas kepada kita.
Amma ba’d.
Cuti tiga bulan Summer sudah
bermula. Diharapkan kita semua dapat merancang cuti kita dengan baik. Pelbagai program
yang akan diadakan di Malaysia bagi kita sertai antaranya WOW (Wonderful
Overseas Weekend), JOM(Journey Of Muslim), PUNCAK (Pre Departure US Canada KITA),
SIC (Sharing Is Caring), STC (Summer Training Camp) dan banyak lagi. Selain itu
mungkin ada yang balik ingin melangsungkan pernikahan, saya ucapkan
Barakallahulakuma. Saya? Biarlah taqdir jadi penentu. Tinta telah diangkat,
lembaran sudah kering.
Ilmu adalah asas untuk membentuk
ketamadunan. Dengan adanya ilmu kita dapat melihat wujudnya masyarakat madani (civilized
society). Ada satu hadith nabi yang menyebut:
“Menuntut ilmu adalah fardhu bagi
setiap Muslim” (maksud hadith)
Saya rasa hadith ini semua orang
maklum. Salah satu ciri atau sifat penuntut ilmu adalah dia seorang yang tawadduk
atau merendah diri. Pepatah melayu mengatakan ikutlah resmi padi, semakin
berisi semakin tunduk. Ada perkara yang boleh kita belajar daripada padi. Hari ini kita dapat lihat, perkembangan ilmu sangat drastik.
Di sana sini perbicaraan ilmu sentiasa segar dan hidup namun persoalannya,
apakah ilmu itu membentuk kita menjadi manusia yang bersifat rabbani, tunduk
dan tawadduk kepada Alkhaliq serta menjadikan kita semakin taqarrub kepada
Allah?. Kadang-kadang kita dapati, sesetengah orang ilmu agama hanyalah seciput
tetapi begitu lantang mengkritik ulama muktabar seolah-olah dialah mujtahid
abad ini. Dengan banyaknya ilmu ia sepatutnya menjadikan kita semakin merendah
diri tetapi yang terjadi adalah sebaliknya.
Saya kagum dengan beberapa religious
figure di RIT ini. Orang yang saya maksudkan adalah Dr Rauf Bawany. Beliau merupakan
Muslim Chaplain di RIT ini. Saya rapat dengan beliau kerana beliau merupakan
pemerhati (observer) dalam kelas arab saya. Biasanya selepas habis kelas
arab, kami akan sama-sama berjalan ke surau (interfaith center) untuk
menunaikan solat asar. Banyak perkara terutama berkaitan umat Islam di Amerika
ini. Apa yang menyebabkan saya tertarik dengan beliau adalah kerendahan hati
beliau sekalipun beliau bergelar Doktor. Apabila berjalan menghampiri pintu
bangunan, beliau yang akan membukakan pintu dan mempersilakan saya untuk masuk
dulu sebelum beliau masuk. Bagi menghormati beliau saya akan menyuruhnya masuk
dahulu, tetapi beliau bertegas menyuruh saya memasukinya dahulu. Siapalah saya
hendak dimuliakan sebegitu rupa. Lebih mengkagumkan saya, beliau memanggil saya “Sheikh
Nazrul”. Sedangkan nak dibandingkan ketinggian ilmu, beliau dengan saya bagaikan
langit dan bumi. Begitu sedikitnya ilmu saya berbanding ilmu beliau. Jika saya
mengemukan pendapat saya tentang sesuatu perkara, beliau sangat menghargainya. Berkali-kali
diulangnya “jazakallahu khair”. Kadang-kadang beliau meminta pendapat saya,
bagaimana beliau boleh memperbaiki khutbahnya pada hari jumaat. Subhanallah,
betapa tawadduknya beliau walaupun beliau berbicara dengan anak muda yang naïf seperti
saya.
Antara figure yang lain
adalah Dr Shaqeel. Beliau merupakan guru tafsir bagi kami pelajar-pelajar RIT. Walaupun
beliau sangat hebat dalam ilmu tafsir namun sifat rendah dirinya terbukti. Saya
teringat minggu lepas semasa banquet MSA (Muslim Student Association), saya
makan di satu meja dengan beberapa orang sahabat. Tiba-tiba beliau menghampiri
meja kami dan bertanya khabar. Selepas bertanya khabar dan bersembang hal itu
dan ini, beliau meminta pendapat bagaimana penyampaian dalam kelas tafsir boleh
dipertingkatkan lagi. Subhanallah, seorang pakar sakit mata yang juga faqih
dalam bidang tafsir Alquran, tidak segan silu untuk meminta pendapat daripada
anak muda seperti saya. Inilah tauladan dan contoh buat kita penuntut ilmu.
Adakah bila mereka merendah diri, ilmu dan maruah diri
mereka berkurang? Tidak! bahkan mereka semakin dihormati. Atas sebab ini,
janganlah kita yang diberi sedikit kelebihan dalam ilmu sudah ingin bongkak dan
mendabik dada. Adat orang berilmu, semakin bertambah ilmu, semakin mereka
merendah diri. Mereka takut kepada Allah. Saya berpesan kepada diri saya dan
sahabat ikhwah dan akhawat, tawadduklah apabila kita berilmu. Semoga makin
bertambah ilmu kita dan semakin berkat. Sesuatu ilmu itu berkat jika diamalkan.
“Sesungguhnya orang-orang yang
takut dalam kalangan hamba Allah hanyalah Ulama’ (orang-orang yang berilmu)”
(Fatir 35:28)
Wallahualam.
P/S: Kadang-kadang saya ada idea,
tetapi motivasi nak menulis hilang sedikit. Hanya jasad disini, hati dan
fikiran sudah di Malaysia.
1 comment:
Jazakallah sahabat atas ingatan dan perkongsian. Sama-sama kita memperbaiki diri inshaAllah =)
Post a Comment