Salam kepada sahabat yang saya
kasihi kerana Allah, semoga semuanya dirahmati Allah.
Amma ba’d.
Alhamdulillah di pagi yang penuh
rahmat ini, Allah memberikan kesempatan buat saya untuk mencoretkan kembali
sedikit perkongsian di blog ini. Sebelum ini, sibuk mengemas barang dan
sebagainya, kini di rumah segala-galanya sudah tersedia; baju dibasuh oleh
emak, makanan dimasak oleh emak, pendek kata hidup begitu mudah.
Saya ingin berkongsi sedikit
mengenai perkataan yang baik dalam sepotong hadith:
Daripada Abu Hurairah r.a., Nabis
S.A.W. bersabda.
“Setiap sendi manusia perlu bersedekah, setiap
hari matahari terbit ada orang mengadili dua orang adalah sedekah. Membantu
orang dengan mengangkat barang ke atas binatang tunggangan adalah sedekah. Satu
kalimah yang baik adalah sedekah. Setiap langkah untuk mengerjakan solat adalah
sedekah dan membuang sesuatu berbahaya di jalanan adalah sedekah.”(Hadith
Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dalam kehidupan seharian kita,
begitu banyak peluang yang boleh kita gunakan untuk bersedekah. Sebelum ini
kita mungkin sempitkan definisi sedekah kepada memberi sesuatu berbentuk
material kepada orang yang memerlukan, tetapi maksud sebenar sedekah ini
terlalu luas sehinggakan suami melunaskan tuntutan batin ke atas isterinya juga
dikira sebagai sedekah.
Fokus sedekah yang ingin saya
ketengahkan adalah kalimah yang baik.
“Good morning sir”
“How are you doing buddy”
“Have a good day”
Inilah perkataan-perkataan yang
sering diungkapkan oleh masyarakat di Amerika jika kita berurusan dengan mereka,
andailah kesemua mereka beriman, maka berkat dan rahmat Allah pasti turun
mencurah-curah. Perkataan yang baik tidak saja kata-kata berunsur nasihat
tetapi ucapan salam dan kata-kata yang menaikkan semangat juga dikira sedekah. Katakanlah
kita melawat sahabat yang sedang sakit, ucapkanlah kepadanya dengan kata-kata
yang menaikkan semangat.
“insya Allah, dua tiga hari lagi
baiklah tu.”
“semoga kamu cepat sembuh”
Selain itu, percakapan harian
yang biasa kita ungkap jika diniatkan kerana Allah juga dikira sedekah.
“Aiman, nak pergi mana tu?”
“Abang, pandu kereta elok-elok ye
ke pejabat tu”
Subhanallah, betapa luasnya
konsep sedekah yang dianjurkan oleh Islam. Benarlah Islam itu Addeen
rahmatan lil a’lamin. Salah satu ciri mukmin yang Berjaya juga adalah, dia
menghindari dari berkata-kata sesuatu yang buruk dan sia-sia:
“Dan mereka menjauhkan diri dari
perbuatan dan perkataan yang sia-sia” (Al Mukminun 23:3)
Perkataan yang baik ini juga
perlu diungkapkan kepada semua tanpa harus memilih-milih terutamanya kepada ibu
bapa sebagaimana firman Allah:
“maka janganlah kamu berkata
kepada mereka dengan perkataan yang kasar sekalipun ‘uh’ dan janganlah kamu
menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka dengan perkataan yang mulia”
(Al Isra’ 17:23)
Begitulah Islam mendidik umatnya
agar berakhlaq mulia dalam bertutur. Ingatlah sebarang yang kita cakap, dan
ungkapkan dilihat Allah. Begitu juga dengan apa yang kita tulis di facebook,
twitter, dan blog semuanya dinilai Allah. Ungkapan yang baik mampu mengubah
dunia menjadi lebih baik.
Wallahua’lam.
1 comment:
Nice point, selain minding our language verbally, our writing goes the same right. You have such a great writing style, i'm sure the same goes to ur speech (apply mesej post ni). Terfikir yg pena juga boleh menjadi salah satu cabang fitnah. Just come across this ayat Al-Hujurat:6. Simply random.
Keep up the good work (:
Post a Comment