Wednesday, May 23, 2012

Ada Apa Dengan Padi?...


Salam kepada  sahabat, ikhwah dan akhawat. Semoga Allah melimpahkan rahmatNya yang luas kepada kita.
Amma ba’d.

Cuti tiga bulan Summer sudah bermula. Diharapkan kita semua dapat merancang cuti kita dengan baik. Pelbagai program yang akan diadakan di Malaysia bagi kita sertai antaranya WOW (Wonderful Overseas Weekend), JOM(Journey Of Muslim), PUNCAK (Pre Departure US Canada KITA), SIC (Sharing Is Caring), STC (Summer Training Camp) dan banyak lagi. Selain itu mungkin ada yang balik ingin melangsungkan pernikahan, saya ucapkan Barakallahulakuma. Saya? Biarlah taqdir jadi penentu. Tinta telah diangkat, lembaran sudah kering.

Ilmu adalah asas untuk membentuk ketamadunan. Dengan adanya ilmu kita dapat melihat wujudnya masyarakat madani (civilized society). Ada satu hadith nabi yang menyebut:

“Menuntut ilmu adalah fardhu bagi setiap Muslim” (maksud hadith)

Saya rasa hadith ini semua orang maklum. Salah satu ciri atau sifat penuntut ilmu adalah dia seorang yang tawadduk atau merendah diri. Pepatah melayu mengatakan ikutlah resmi padi, semakin berisi semakin tunduk. Ada perkara yang boleh kita belajar daripada padi. Hari ini kita dapat lihat, perkembangan ilmu sangat drastik. Di sana sini perbicaraan ilmu sentiasa segar dan hidup namun persoalannya, apakah ilmu itu membentuk kita menjadi manusia yang bersifat rabbani, tunduk dan tawadduk kepada Alkhaliq serta menjadikan kita semakin taqarrub kepada Allah?. Kadang-kadang kita dapati, sesetengah orang ilmu agama hanyalah seciput tetapi begitu lantang mengkritik ulama muktabar seolah-olah dialah mujtahid abad ini. Dengan banyaknya ilmu ia sepatutnya menjadikan kita semakin merendah diri tetapi yang terjadi adalah sebaliknya.

Saya kagum dengan beberapa religious figure di RIT ini. Orang yang saya maksudkan adalah Dr Rauf Bawany. Beliau merupakan Muslim Chaplain di RIT ini. Saya rapat dengan beliau kerana beliau merupakan pemerhati (observer) dalam kelas arab saya. Biasanya selepas habis kelas arab, kami akan sama-sama berjalan ke surau (interfaith center) untuk menunaikan solat asar. Banyak perkara terutama berkaitan umat Islam di Amerika ini. Apa yang menyebabkan saya tertarik dengan beliau adalah kerendahan hati beliau sekalipun beliau bergelar Doktor. Apabila berjalan menghampiri pintu bangunan, beliau yang akan membukakan pintu dan mempersilakan saya untuk masuk dulu sebelum beliau masuk. Bagi menghormati beliau saya akan menyuruhnya masuk dahulu, tetapi beliau bertegas menyuruh saya memasukinya dahulu. Siapalah saya hendak dimuliakan sebegitu rupa. Lebih mengkagumkan saya, beliau memanggil saya “Sheikh Nazrul”. Sedangkan nak dibandingkan ketinggian ilmu, beliau dengan saya bagaikan langit dan bumi. Begitu sedikitnya ilmu saya berbanding ilmu beliau. Jika saya mengemukan pendapat saya tentang sesuatu perkara, beliau sangat menghargainya. Berkali-kali diulangnya “jazakallahu khair”. Kadang-kadang beliau meminta pendapat saya, bagaimana beliau boleh memperbaiki khutbahnya pada hari jumaat. Subhanallah, betapa tawadduknya beliau walaupun beliau berbicara dengan anak muda yang naïf seperti saya.

Antara figure yang lain adalah Dr Shaqeel. Beliau merupakan guru tafsir bagi kami pelajar-pelajar RIT. Walaupun beliau sangat hebat dalam ilmu tafsir namun sifat rendah dirinya terbukti. Saya teringat minggu lepas semasa banquet MSA (Muslim Student Association), saya makan di satu meja dengan beberapa orang sahabat. Tiba-tiba beliau menghampiri meja kami dan bertanya khabar. Selepas bertanya khabar dan bersembang hal itu dan ini, beliau meminta pendapat bagaimana penyampaian dalam kelas tafsir boleh dipertingkatkan lagi. Subhanallah, seorang pakar sakit mata yang juga faqih dalam bidang tafsir Alquran, tidak segan silu untuk meminta pendapat daripada anak muda seperti saya. Inilah tauladan dan contoh buat kita penuntut ilmu.

Adakah bila mereka merendah diri, ilmu dan maruah diri mereka berkurang? Tidak! bahkan mereka semakin dihormati. Atas sebab ini, janganlah kita yang diberi sedikit kelebihan dalam ilmu sudah ingin bongkak dan mendabik dada. Adat orang berilmu, semakin bertambah ilmu, semakin mereka merendah diri. Mereka takut kepada Allah. Saya berpesan kepada diri saya dan sahabat ikhwah dan akhawat, tawadduklah apabila kita berilmu. Semoga makin bertambah ilmu kita dan semakin berkat. Sesuatu ilmu itu berkat jika diamalkan.

“Sesungguhnya orang-orang yang takut dalam kalangan hamba Allah hanyalah Ulama’ (orang-orang yang berilmu)” (Fatir 35:28)

Wallahualam.

P/S: Kadang-kadang saya ada idea, tetapi motivasi nak menulis hilang sedikit. Hanya jasad disini, hati dan fikiran sudah di Malaysia.

1 comment:

Mohamad Suhaimi bin Ramli said...

Jazakallah sahabat atas ingatan dan perkongsian. Sama-sama kita memperbaiki diri inshaAllah =)