Thursday, May 17, 2012

Perubahan...


Salam kepada semua sahabat yang saya kasihi kerana Allah. Semoga semuanya sihat, selamat serta dalam naungan Allah.
Amma ba’d.

Agak lama saya tidak update  blog ini kerana beberapa kekangan masa dan kerja. Hari ini, secara tidak rasminya saya sudah boleh tersenyum gembira kerana sudah habis peperiksaan yang agak kritikal, Bio Separation dan Chemical Separation. Minggu depan saya hanya ada dua subjek lagi untuk peperiksaan akhir, College Algebra dan Arabic III. Mohon doa sahabat sekalian.

Pertama-tama sekali saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada sahabat-sahabat senior yang sudah grad atau bakal grad bulan ini. Pengorbanan kalian selama tiga atau empat tahun terasa sangat indah dengan segala susah payah diharungi dalam tempoh ini. Cuaca yang ekstrim, kelas yang padat, lab report dan assignment yang bertindih, serta sedikit masalah mungkin dengan persekitaran , segalanya jelas berbaloi. Namun, menjadi harapan mereka-mereka yang di Malaysia agar kalian semua pulang dan berkhidmat untuk kemajuan Negara selepas banyak  wang pembayar  cukai kita guna bagi membiayai kita di sini.

Manusia itu sentiasa berubah. Sama ada kita sedar atau tidak, kita sebenarnya memang akan berubah baik secara fizikal ataupun mental. Kalau dulu secara fizikal tidak ada janggut dan misai, tetapi sekarang lebat kelihatan janggut dan misai bagi lelaki. Kalau dahulu cara berfikiran masih lagi keanak-anakan tetapi sekarang sudah matang sedikit bicaranya. Itulah hakikat kehidupan kita. Cuma yang menjadi persoalannya adalah , apakah kita berubah kearah kebaikan ataupun sebaliknya?

Perubahan yang kita inginkan sudah tentulah kearah kebaikan. Selepas kita dahulunya pernah hanyut dengan arus pemikiran yang tidak islamik, apakah kita masih lagi mahu duduk dalam lingkungan jahiliyah selepas kita terasa sesaknya jiwa tanpa panduan Alquran dan Assunnah? Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran saya panjatkan kepada Allah kerana mengurniakan sahabat-sahabat yang dahulunya memandang sepi kepada tarbiyah tetapi sekarang dialah orang yang begitu bersemangat untuk mentarbiyah diri dan sahabat-sahabatnya. Dia sentiasa bertanya kepada saya, apa lagi kita patut buat untuk ajak orang join  usrah, bila lagi daurah kita, bila nak buat program lagi. Saya sangat meraikan semangat sahabat-sahabat saya yang sebegini. Rasa terharu dan ingin menangis ada kerana saya kenal bagaimana mereka sebelumnya. Tarbiyah Islam benar-benar menyentuh hati mereka sehingga ada yang mencadangkan bahawa apabila sudah pulang ke Malaysia kelak, sudah bekerjaya dan berkeluarga, ingin diwujudkan penempatan tarbiyah. Taman tarbiyah, kampong tarbiyah atau apa sahaja residential. Nampak macam terlalu ideal tetapi tidak mustahil untuk dilaksanankan.

Inilah perubahan yang kita inginkan. Semuanya harus bermula dengan kesedaran, “aku adalah muslim, sudah terlunaskah tanggungjawab aku kepada Islam?”.  Meminjam kata-kata ustaz Hasrizal “memaksa diri untuk berubah adalah orang yang Berjaya, berubah kerana terpaksa itu adalah mangsa”. Masih belum terlambat untuk kita membuat perubahan dalam diri kita. Selagi nyawa dikandung badan, peluang sentiasa terbuka. Rahmat Allah terlalu luas untuk kita berubah kearah kebaikan dan yakinlah, bantuan Allah sentiasa luas untuk kita menuju kebaikan.

Berubahlah kea rah kebaikan, kita akan dapati betapa indahnya kehidupan.

P/S: Masih teringat kempen Barack Obama semasa tahun 2008 "The Change We Need"

No comments: