Salam kepada sahabat-sahabat
yang dikasihi sekalian, semoga Allah melimpahkan rahmatNya buat kita
hamba-hambaNya.
Amma ba’d.
Trend facebook, twitter,
blog dan pelbagai medium sosial yang lain memberi impak yang besar dalam
penyebaran maklumat masa kini. Namun, dalam pelbagai maklumat yang kita terima
haruslah kita bijak menapis, kerana ada sesetengah maklumat berbaur fitnah serta
tidak betul. Baik, mengenai sebar berita fitnah mendapat balasan neraka dan
azab yang pedih, tidak perlu lagi diberitahu kerana saya yakin semua sedia
maklum akan ancaman Allah yang maha dahsyat ini.
“Wahai orang-orang yang
beriman, jika datang kepadamu seorang fasiq membawa berita, maka siasatlah
tentang kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara
yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga kamu
menyesali apa yang telah kamu lakukan” (Alhujurat 49:6)
Apa yang saya perhatikan,
ada sesetengah rakan berkongsi tentang jodoh,nikah khitbah, perihal cinta dalam
Islam dan banyak lagi yang mempunyai tajuk seangkatan dengannya. Ada pula yang
berkongsi tentang politik, isu-isu kenegaraan, perihal parlimen dan salah laku
ahli politik. Banyak juga yang berkongsi tentang dakwah dan tarbiyah, isu-isu
Palestin, Syiria dan perihal umat Islam sejagat. Namun, tidak kurang juga yang
berkongsi tentang penemuan-penemuan sains terbaru yang lebih bersifat
akademik.jadi, setiap daripada kita mempunyai minat masing-masing (own interest).
Namun, menjadi sedikit
masalah jika kita gagal menghubung kaitkan perkongsian-perkongsian di atas di
antara satu sama lain. Sebagai contoh bagi yang gemar berkongsi perihal
politik, ada sesetengahnya menganggap tidak ada kaitan dengan dakwah dan tarbiyah.
Ada pula hidupnya hanya berkisar perihal dakwah dan tarbiyah dan menganggap
agenda politik adalah kotor dan tiada mengena dengan dakwah dan tarbiyah.
Begitu juga yang berkongsi tentang jodoh dan nikah gagal menghubung kaitkan
dengan politik. Ada juga yang berbicara tentang politik tetapi tidak nampak
perkaitannya dengan jodoh dan pernikahan.
Apa yang saya percaya,
kesemua minat kita mempunyai hubung kait di antara satu sama lain. Bagaimana
hubung kait tersebut? Begini, jika kita bercakap soal politik tetapi
mengketepikan aspek dakwah dan tarbiyah, kita akan melihat lahirnya politikus
yang tidak berakhlaq dalam parlimen, memakan rasuah, melakukan salah laku kuasa
serta menyeleweng dana rakyat. Begitu juga jika kita hanya mementingkan aspek
dakwah dan tarbiyah dan mengabaikan hal politik, yakinlah kuasa tidak menjadi
milik umat Islam. Segala idea-idea Islamik kita hanyalah bersifat idealistik
tanpa mampu diterjemahkan dalam bentuk realistik. Jika kita hanya memikirkan
soal jodoh soleh/solehah dan mengabaikan aspek politik (biasanya soal jodoh ini
jarang dipisahkan dengan soal tarbiyah dan dakwah), ini bermaksud kita gagal
memikirkan kebaikan untuk zuriat yang bakal lahir daripada sulbi kita.
Kita
tahu, bahawa golongan politikus adalah entiti yang diberi mandat kuasa untuk
menentukan hala tuju negara; baik dari dasar ekonomi, pendidikan, sosial serta
pembangunan negara. Saya amat mengambil berat soal pendidikan kerana realiti
hari ini, walaupun negara kita diishtihar sebagai negara Islam, tetapi agenda
islamisasi tidak nampak pesat berkembang kerana anak-anak muda kita, mahasiswa
negara kita tidak terdedah kepada pendidikan yang mampu menjadikan mereka
berfikiran kritikal serta berbalas hujah dengan non-muslim. Pendidikan sedia
ada sekarang yang bersifat exam-oriented menjadikan pelajar-pelajar
kita hanya tahu menghafal kemudian memuntahkannya semula semasa menjawab exam.
Apabila tamat belajar dan turun dalam lapangan, mereka tidak mampu melakukan
kerja dalam lapangan kerja yang semakin meluas dengan efektif. kita tidak boleh
nafikan peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak tetapi realiti hari ini kita
dapati masa kebersamaan ibu bapa dan anak-anak sangat kurang. Ibu bapa sibuk
dengan kerjaya, anak-anak pula sibuk dengan aktiviti di sekolah. Ibu bapa tidak
punya banyak masa untuk memerhati anak-anak; sebahagian tanggungjawab ‘terpaksa’
diserahkan kepada para guru. Jika sistem pendidikan tidak dapat diperbetulkan,
hasrat untuk melahirkan human capital hanyalah angan-angan kosong.
Tambahan lagi, perkaitan
antara pernikahan dan politik ini adalah, kita sedia maklum semua pasangan yang
berkahwin menginginkan zuriat. Baik, di atas saya telah bincangkan soal
kepentingan pendidikan buat generasi masa hadapan. Soal kedua adalah soal
keselamatan, apakah kita tidak bimbang dengan meningkatnya kadar zina, buang
bayi, pecah rumah, rompakan, gangsterism serta vandalisme? Dimana kewajaran
untuk ibu bapa melepaskan anak-anak keluar ke sekolah, bermain-main di laman
dengan anak jiran sebelah, keluar untuk beraktiviti di sekolah jika soal
keselamatan diabaikan? Kalau menunggu di hadapan pagar sekolah pun mempunyai
kemungkinan yang besar untuk diculik, apakah jaminan keselamatan berada di
tempat-tempat lain seperti padang permainan?
Pentingnya disini, selain
memilih pasangan hidup yang terbaik, penting juga untuk memilih bakal pemimpin
negara yang dapat menjamin keberkesanan serta kualiti pendidikan dalam mencapai
objektif melahirkan modal insan ataupun memetik istilah Alquran disebut sebagai
ulul albab. Pemimpin yang baik juga akan memastikan soal keselamatan,
ketenteraman serta keamanan negara berada dalam tahap yang paling baik.
Khulasahnya, setiap satunya
mempunyai perkaitan antara satu sama lain cuma dalam membuat pertimbangan, kita
harus mempunyai neraca. Apakah neraca kita? kita mempunyai neraca pertimbangan
Alquran dan Assunnah dalam kehidupan. Jadi, gunakanlah neraca ini untuk
melakukan perkaitan dan timbang tara dalam melakukan hal berkaitan duniawi
serta ukhrawi kita. Kita mampu hidup dengan lebih baik. Peace.
Wallahua’lam.
1 comment:
mcm essay spm ! mantap2
Post a Comment