Saturday, November 12, 2011

Dimana Cacatnya?...

Salam buat semua, semoga rahmat dan redha Allah sentiasa bersama kita.
Amma ba’d.

Dengan munculnya pelbagai disiplin ilmu, menunjukkan tahap pemikiran kita selaku manusia bercambah. Hanya dalam satu hal atau masalah sahaja, pelbagai pandangan dan pemikiran dibentangkan. Inilah rahmat Allah yang menciptakan kita sebagai sebaik-baik makhluk yang hidup di atas bumi. Kita boleh lihat, kalau di zaman Rasulullah SAW, Alquran itu wujud tanpa baris dan titik, namun setelah Islam saban hari makin berkembang kepada banyak bangsa dan manusia, maka muncul disiplin ilmu seperti taranum Al Quran, tajwid Al Quran, nasakh wa mansukh Al Quran, balaghatul Quran serta banyak lagi disiplin ilmu yang berkaitan dengan Alquran. Itu salah satu contoh, disiplin ilmu yang muncul setelah tersebarnya Islam ke seluruh bangsa di dunia ini. Dalam bidang biologi pula, muncul disiplin ilmu immunologi, mikrobiologi, genetik, dan pelbagai cabang lagi ilmu yang berkaitan dengan biologi.

Perkembangan ilmu ini seharusnya dilihat sebagai suatu yang positif buat kita kerana ia menyedarkan kita bahawa di dunia ini wujudnya pelbagai manusia dengan pelbagai pandangan. Ada sesetengah pandangan berguna untuk sesuatu populasi manusia, ada sesetengahnya tidak sesuai untuk populasi manusia di tempat lain. Atas dasar ini perlunya kita berminda terbuka untuk menerima dan mendengar sesuatu pandangan walaupun kita tidak bersetuju. Sebagai contoh, di Alaska ada pendapat mengatakan kita boleh menjama’kan solat maghrib dan isya’ walaupun tidak bermusafir kerana tidak ada tanda-tanda masuknya waktu maghrib (terbenamnya matahari keseluruhannya); sedar-sedar hari terus gelap. Namun, pandangan ini tidak boleh diaplikasikan di Malaysia yang mengalami siang dan malam sama panjang; setiap peredaran matahari dapat diketahui.

Apa yang cuba saya ketengahkan adalah, percanggahan pendapat dalam kalangan kita memang tidak boleh dielak. Namun sikap husnu dhan dan berlapang dada perlu diterapkan dalam diri kita ketika menghadapi percanggahan pendapat. Allah berfirman dalam Al Quran:

“Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” (An Nisa’:59)

Selepas banyak percanggahan namun solusinya tidak juga ditemui, maka baliklah untuk merujuk kepada Al Quran dan As Sunnah. Inilah akhlak kita selaku muslim. Namun, apa yang dikesali hari ini, sesetengah kita yang tidak berakhlak dalam isu percanggahan pendapat dengan mengeluarkan kata-kata kesat, sindiran dan caci mencaci kepada orang yang tidak sependapat dengannya. Kerana perbezaan mazhab kita bergaduh, kerana berbeza Jemaah kita berkelahi, kerana berbeza pemikiran dan idea kita menohmah pihak lain. Semua ini menunjukkan betapa jelas krisis perpecahan sesama umat Islam.

Apa yang saya Nampak, presenting problem ialah perpecahan umat Islam dan real problem adalah krisis AKHLAQ. Ya! Akhlaq yang merupakan ajaran Rasulullah SAW yang agung semakin pudar dalam diri kita. Saya fikir, ilmu yang ada hari ini untuk seorang manusia survive dalam kehidupan pada hari ini sudah cukup namun dek tandusnya akhlaq dalam diri kita, kita membentuk sikap prejudis dalam diri kita kepada orang yang tidak ‘sekepala’ dengan kita.

“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlaq yang mulia” (Hadith Riwayat Bukhari)

Pokoknya, perlunya kita menanam sifat husnu dhan (baik sangka) dan berlapang dada. Seperti saya katakan dalam entri sebelum ini, ruang kritikan sentiasa terbuka namun bil hikmah itu perlu dalam kita menyatakan sebarang hujah. Jadi, di mana cacatnya? Tanyalah diri sendiri.

Khulasahnya, jika kita mengaku umat Rasulullah SAW, kembalilah mengamalkan serta menghayati akhlaq Rasulullah SAW yang mulia lagi terpuji. Wahdatul Islamiyah (kesatuan Islam) hanyalah angan-angan jika kita menyempitkan pemikiran kita untuk hanya menerima pandangan kita sahaja.
Wallahua’lam.

P/S:doakan saya dan sahabat RIT lain yang akan menghadapi final examination  minggu hadapan. Insya Allah, jumpa di tamrin di Michigan dan muktamar di Las Vegas.

2 comments:

Encik Macho said...

namun kepelbagaian mengundang ketengangan pula..

yang pelik ia bukan kepada mad'u tapi dikalangan pendakwah..

Mohamad Nazrul Fazli said...

Ikhtilaf memang tak boleh dielakkan.rujuk surah huud ayat 118.tetapi yang penting ustaz atau pimpinan jemaah duduk semeja berbincang agar titik persefahaman dapat dicapai..