Salam buat ikhwah akhawat yang dirahmati Allah Jalla wa A’la. Semoga terus diberi kekuatan untuk berada di atas landasan yang dijamin kemenangan oleh Allah.
Amma ba’d.
Allah menjadikan bumi ini sebuah tempat tinggal yang mengandungi pelbagai hikmah dan rahsia. Terpulang kepada kita mahu mengkaji dan memikirkan tentangnya. Saya ingin bercakap tentang agen Islam. Siapa agen Islam sebenarnya? Baik, sebelum itu saya rasa kita semua pernah belajar tentang faktor atau agen penyebaran biji benih bagi tumbuhan. Sekadar yang kita pelajari, ada melalui angin, air, haiwan, dan tumbuhan itu sendiri (self-pollination & cross pollination). Wujudnya pelbagai mekanisma penyebaran biji benih ini kerana tumbuhnya pelbagai jenis tumbuhan. Ada yang menjadi pokok menumpang seperti pokok dedalu, ada yang jenis menjalar seperti tembikai, dan pelbagai jenis lagi. Subhanallah, indahnya ciptaan Allah. Bagi golongan yang mempunyai pemikiran yang sempurna, apakah patut kita memandang sepi ciptaan Allah ini? Memandang laut hanya sebagai laut, melihat pokok hanya sebagai pokok, melihat haiwan hanya sebagi haiwan?
Berbalik kepada persoalan tadi? Siapa agen Islam? Ustaz-ustaz, tok-tok guru, pegawai-pegawai jabatan agama, atau pelajar-pelajar sekolah agama sahajakah? Barangsiapa yang bersyahadah tidak ada tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad SAW adalah pesuruh Allah, maka dia adalah agen Islam. Apa tugas sebagai agen Islam ini? Adakah seperti agen Mossad laknatullah yang membunuh pejuang-pejuang Islam? Agen Islam ini tugasnya menyampaikan Islam dengan kapasiti yang dia miliki. Jika dia pelajar, sampaikan kepada rakan-rakan pelajar, teman sekuliah, dan rakan sebaya. Jika dia ustaz, sampaikan kepada orang-orang kampung, sampaikan kepada anak-anak murid, dan masyarakat lainnya. Jika dia pemimpin, sampaikan seruan Islam kepada rakyat bawahan serta orang-orang dibawah kepimpinannya. Jika dia suami, sampaikan kepada isteri dan anak-anaknya. Pendek kata, setiap yang bergelar muslim itu adalah agen Islam dan wajib menyampaikan Islam mengikut kapasiti yang dia miliki.
Courtesy of Google Image
Kerana wujudnya pelbagai ragam manusia seperti mana wujudnya keadaan dan sifat pokok yang pelbagai, maka wujudnya cara dan manhaj dakwah yang pelbagai. Ada dakwah yang perlu melalui seni dan hiburan, ada yang melalui akademik, ada yang memang melalui kehidupan beragama, ada yang melalui penguatkuasaan undang-undang, dan ada yang melalui bantuan dan kebajikan. Inilah agama Islam, agama yang penuh keharmonian dan kesyumulan.
Kesimpulannya, sudah menjadi kewajipan kita sebagai muslim untuk menyampaikan seruan Islam kepada umat manusia. Sampaikanlah Islam dengan cara yang Allah dan rasulnya sampaikan.
Aqimu daulatan Islam fi qulubikum, taqum a’la ardhikum (tegakkanlah daulah Islam di dalam diri kamu, nescaya daulah Islam akan tertegak di atas muka bumi kamu).
“Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkanmu dari azab yang pedih?
kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.
Nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkanmu ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam jannah 'Adn. Itulah keberuntungan yang besar.
Dan (ada lagi) karunia yang lain yang kamu sukai (yaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman.
Hai orang-orang yang beriman, jadilah kamu penolong (agama) Allah sebagaimana Isa ibnu Maryam telah berkata kepada pengikut-pengikutnya yang setia: "Siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku (untuk menegakkan agama) Allah?" Pengikut-pengikut yang setia itu berkata: "Kamilah penolong-penolong agama Allah", lalu segolongan dari Bani Israil beriman dan segolongan lain kafir; maka Kami berikan kekuatan kepada orang-orang yang beriman terhadap musuh-musuh mereka, lalu mereka menjadi orang-orang yang menang.”
(Tafsir Surah As Saff: 9-14)
Sesungguhnya kemenangan itu dekat, masih adakah keraguan di hatimu tentang janji-janji tuhanmu?
3 comments:
mohon izin. td sy rujuk post ni ntk tambahan pengisian circle. sgt membantu. jazakallahkhair :)
silakan.kalau ada manfaat,silakan.kalau ada kesalahan dan kekurangan, saya manusia biasa yang boleh ditegur dan dikritik..:)
cik ni agen yg mana? angin ke air ke menjalar ke menumpang ke?
kepelbagaian cara dakwah dapat menyentuh berbagai ragam mad'u..
Post a Comment