Thursday, November 17, 2011

Keluarga Bahagia...

Salam buat semua, semoga kita terus berada dalam rahmat dan keampunan Allah.
Amma ba’d.

Walaupun saya berasal dari kampong namun kehidupan semasa kecil hingga ke sekolah rendah saya tidak sama dengan kawan-kawan kampong yang lain. Kawan-kawan yang lain, mereka bebas mandi sungai, bebas mandi ban (baca: tali air di kawasan sawah padi), bebas ke cyber café, dan bebas ke sana sini. Lain pulak cerita saya, saya memang dicurfew oleh emak. Kalau nak mandi sungai kena pastikan ayah ada sekali. Masa kecil dulu, timbul juga rasa tidak puas hati melihat kawan-kawan lain boleh keluar rumah sesuka hati sedangkan saya nak keluar pergi kedai pun disoal oleh emak dengan bermacam-macam soalan. Tetapi dalam diam-diam, saya mandi juga di tali air itu. Biasanya saya mandi dengan kawan-kawan sekolah rendah selepas habis kelas tambahan (sampai sekarang emak tidak tahu saya kadang-kadang mandi kat tali air itu ^_^).Ya, emak dan ayah saya mempunyai watak yang berbeza dalam mendidik. Emak saya garang tapi ayah saya seorang yang sangat tegas tetapi tidak pernah marah apatah lagi merotan kami anak-anaknya.  Seawal umur tujuh tahun lagi saya sudah diwajibkan sembahyang dan seingatnya semenjak daripada itu, saya tidak pernah lagi meninggalkan solat fardhu. Adakalanya, ketika  demam saya cuba mengelat tidak mahu sembahyang tetapi emak di tangan kanannya rotan dan tangan kirinya memegang tangan saya ke bilik air untuk ambil wudhu’. Begitu juga halnya dengan puasa. Betapa tegasnya emak saya dalam mendidik kami anak-anaknya. Kesan daripada semua ini, saya tidak mempunyai ramai kawan-kawan di kampong. Alhamdulillah saya punya ramai kawan tetapi bukan di kampong sendiri.

Bila usia semakin menginjak dewasa, barulah tersedar bahawa apa yang emak dan ayah larang dan buat untuk kami anak-anaknya memang terbaik untuk masa depan kami. Bila saya berada di usia sekarang, saya dapati sesetengah anak jiran yang dahulunya bebas (baca: tidak dikawal oleh ibu bapa)sekarang sudah jadi penagih dadah. Ada jadi penghidu gam, pencuri motosikal dan mat rempit. Saya masih ingat sewaktu di lower form, saya hanya pulang ke rumah dua minggu sekali. Kadang-kadang bila balik ke kampong dengar pelbagai cerita. Anak si fulan masuk jail, anak si fulan kena tangkap hisap dadah, anak si fulan ditangkap minum air daun ketum. Rata-rata mereka yang umur sebaya saya ketika itu sudah berhenti sekolah kerana ingin pergi ke laut (jadi nelayan). Jadi nelayan waktu itu sehari boleh dapat RM 20-30 dan nilai itu sangat besar bagi budak kampong.

Tetapi pada hari ini (sebelum berangkat ke US dulu), kadang-kadang ada juga saya jumpa mereka yang sebaya di masjid.

“baguih la hang. Belajaq tinggi-tinggi,nanti balik tak kalut dah. Jangan jadi macam kami, dulu malas belajaq, la dok kerja kampong ja. time ada duit ada la.” kata mereka.

“Alhamdulillah, tak pa aih, rezeqi Allah ada ja kat mana-mana. Kat kampong kita pun banyak benda boleh buat.Cuma mau dengan tak mau ja” kata saya cuba memujuk.

Pada entri kali ini saya suka untuk bercakap mengenai masalah sosial yang melanda anak-anak muda khususnya di Negara kita. Kesannya bolehla sahabat-sahabat baca di link-link di bawah.


Sebenarnya, ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam memastikan setiap anak membesar dengan didikan yang baik sama ada didikan agama mahupun akademik. Kadang-kadang saya melihat bukannya orang lain tetapi kenalan saya sendiri yang ibu mereka tidak endahkan soal didikan kepada mereka. Ibu bapa mereka langsung tidak ambil peduli sama ada mereka sembahyang atau tidak, pergi sekolah atau tidak. Apa yang penting bagi mereka adalah memberi duit kepada anak-anak mereka. Namun, saya tidak boleh komen lebih-lebih sebab saya tidak berada di posisi bapa lagi.

Saya suka lagi untuk bercakap soal peranan kita selaku anak-anak. Semakin kita menginjak dewasa tidakkah kita pernah terfikir matlamat dan tujuan hidup kita sebenarnya? Pernahkah kita persoalkan siapa diri kita sebenarnya? Tidakkah kita pernah terkenang jasa ibu bapa kita sewaktu kita kecil, tak mampu berjalan dan tak mampu menguruskan semua perkara dengan sendiri? Ingatlah tatkala Allah berfirman:

Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada dua orang ibu bapanya, ibunya yang mengandungnya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah (pula). Mengandungnya sampai menyusukannya adalah tiga puluh bulan, sehingga apabila dia telah dewasa dan umurnya sampai empat puluh tahun ia berdoa: "Ya Tuhanku, tunjukilah aku untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku dapat berbuat amal yang soleh yang Engkau redhai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri." (Al Ahqaaf:15)

Kalau kita kenang dan ingat jasa kedua ibu bapa kita, kita tidak akan melibatkan diri dengan gejala sosial seperti budaya rempit, penagihan dadah, arak dan sebagainya. Sewaktu mengandungkan kita, selama Sembilan bulan emak mengusung kita ke hulu dan ke hilir, makanan banyak kena pantang, aktiviti seharian banyak yang terbatas dan sentiasa dalam keadaan lemah. Semasa melahirkan kita pula, nyawa emak pula bagaikan di hujung tanduk dek sakitnya ingin melahirkan kita. Kemudian selepas melahirkan kita, emak terpaksa berpantang selama 40 hari lebih. Selepas itu dalam tempoh dua tahun emak terpaksa menyusukan kita dan menjaga kita siang dan malam, bimbang kalau ada nyamuk atau serangga kecil menggigit kita. Kadang-kadang kita menangis di tengah malam, emak dan ayah bangun silih berganti. Kemudian ayah bersusah payah siang dan malam mencari nafkah untuk mebesarkan kita. Ayah berusaha yang terbaik demi melihat anaknya membesar sebagai seorang insan.

Namun, apa balasan yang mereka dapat? Ada sesetengah ayah terpaksa menanggung malu apabila jiran tetangga heboh menceritakan tentang perilaku anak mereka.

“semalam anak Pak Mail kena tangkap sebab pecah masuk rumah Meon”

“Anak Mak Leha yang perempuan tu semalam kena tangkap basah kat rumah sendiri. Waktu tu Mak Leha tak de kat rumah”

Setelah pengorbanan demi pengorban emak dan ayah lakukan, kita menconteng arang pula ke muka mereka. Saya tidak tahu bagaimana peritnya seorang ibu ketika melahirkan anak tetapi luangkan masa kita sebentar untuk melihat bagaimana peritnya seorang ibu ketika mengandung. Video ini dikongsikan oleh seorang sahabat di FB yang belajar dalam bidang perubatan di India. Tidaklah tujuan saya kongsikan video ini melainkan supaya kita bermuhasabah bagaimana peritnya seorang ibu ketika melahirkan anak.


Cukuplah video ini menggambarkan betapa peritnya keadaan emak kita ketika melahirkan kita. Selepas menonton video ini, dua perkara timbul di minda saya. Pertama, saya mesti menjadi anak soleh yang dapat berbakti kepada emak dan ayah saya serta menjadi contoh buat adik-adik saya. Kedua, di masa depan kelak, saya akan mendidik anak-anak saya dengan didikan yang baik supaya mereka tidak menderhakai ummi mereka.

Kepada sahabat-sahabat, saya berpesan kepada diri saya dan kalian semua agar jadilah anak yang soleh dan solehah. Doakanlah kesejahteraan ibu bapa kita serta janganlah sesekali mengecilkan hati mereka. Binalah keluarga bahagia yang dalamnya ada rahmat Rabbul Izzati.
Wallahua’lam.

Sekadar bacaan tambahan klik di sini. (Bila Usia Menjelang Empat Puluh oleh Dr Asri)

5 comments:

Unknown said...

bersyukur juga dapat ayah yg tegas mentarbiyah anak-anak dia. nasib yang sama,mmg tak ada kawan di kampung, mungkin sebab belajar jauh dri rumah.

21years of life, I think I rarely spent time with family. Kirimkan doa dari jauh boleh? bila jauh,rasa nk expresikan kasih sayang sgt selalu.Also,we never know the love of our parents for us till we have become parents.

vdeo melahirkan anak--> video yg xpernah tgok smpai habis.

syahmi said...

nice one bro. sama mcm zmn aku kecik dlu. byk curfew. tapi dlm adik beradik aku la yg plg byk kne rotan aku rasa sbb nakal sgt. haha.

Mohamad Nazrul Fazli bin Abdul Mutalib said...

to nabihah: yes ,that is what we suppose to do. pray for them as Rasulullah SAW taught us...:)

to syahmi: rotan tu tanda kasih sayang parents kat kite..:)

siputsedut said...

teringat kisah Hassan Al Bana..beliau pernah berkata, "Aku beruntung mempunyai seorang ayah yang tegas mendidikku dan ahli keluargaku dalam hal agama, tetapi yang menjadi kerisauanku adalah, bagaimana mereka yang tidak mempunyai ayah seperti ayahku"
sikap care for ummah yg beliau tunjukkan membawa beliau kepada siapa beliau pada kita pada hari ini..
jazakallahakhair for sharing

Mohamad Nazrul Fazli bin Abdul Mutalib said...

jazakillahu khair salwani. so, kalau nak pilih suami,pilih yang tegas dan berpendirian.insya Allah rumah tangga aman dan sentosa..:)