Sunday, September 11, 2011

Nasi & Lauk...


Salam buat muslimin dan muslimat yang dikasihi lillahi ta’ala. Semoga hidup di bawah bayangan Al Quran dan As Sunnah senantiasa.
Amma ba’d.

Ramadhan telah hampir dua minggu meninggalkan kita namun momentum tarbiyah rohani yang diterima semasa Ramadhan harus dikekalkan untuk 11 bulan yang mendatang. Moga-moga Ramadhan 1433 H sudi bertandang lagi dalam hidup kita. “Kun Rabbaniyyin wala takun Ramadhaniyyin” jadilah kamu hamba Allah dan janganlah kamu menjadi hamba kepada Ramadhan.

Sebenarnya ibadah hari-hari yang kita lakukan boleh diumpamakan seperti nasi dan lauk. Seperti yang kita sedia maklum, nasi merupakan makanan ruji bagi kita orang asia. Manakala lauk pula terdiri daripada pelbagai jenis yang biasa kita makan termasuklah ayam, ikan dan daging yang dimasak dengan pelbagai cara. Kalau kita makan nasi putih setiap hari tanpa lauk, apa yang kita rasa? Hanya sekadar kenyang tetapi tidak membangkitkan selera. Dalam istilah lain bolehlah dikatakan hambar sahaja makanan kita. kalau setiap hari kita hanya makan lauk tanpa nasi, ianya langsung tidak cukup syarat dan tidak akan langsung merasa nikmat makanan tersebut.

Begitulah nasi ini boleh la kita umpamakan seperti solat fardhu (boleh juga diibaratkan dengan amalan fardhu yang lain) manakala lauk seperti solat nawafil (solat sunat). Kombinasi nasi dan lauk mengenyangkan serta membangkitkan selera. Begitulah kalau kita hanya menunaikan yang fardhu sahaja, kita tidak akan dapat merasai kemanisan dalam beribadah. Masa kita untuk berbicara ‘hati ke hati’ dengan Allah sangat kurang justeru sakinah (ketenangan) yang dicari tidak dapat dicapai sepenuhnya. Namun, jika kita menunaikan solat fardhu ditambah dengan solat-solat sunat seperti qiyamullail, solat sunat dhuha, solat sunat rawatib, insya Allah kita akan berasa tenang dalam menjalani kehidupan walau sesukar mana mehnah yang kita hadapi. Solat juga sesungguhnya dapat mencegah kita daripada terjebak ke lembah kemungkaran seperti yang telah Allah firmankan:

Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, yaitu Al Kitab (Al Quran) dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan- perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah (solat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadat-ibadat yang lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Al Ankabut:45)

Andai kita bersolat namun masih tidak mengekang daripada melakukan kemungkaran, mungkin solat kita kurang sempurna dan perhatikan jua apa yang kita makan. Apa-apa pun saya ingin menyarankan agar jangan mengabaikan solat sunat dhuha kerana fadhilatnya yang sangat besar. Selain jaminan rezeki yang luas, insya Allah hati dan jiwa akan berasa tenang dan lapang. Andai kita mempunyai kelas, lakukanlah pada hujung minggu (sabtu dan ahad). Perbanyakkanlah diri kita membaca dan mentadabbur Al Quran kerana selain sumber ketenangan, ia juga penawar bagi penyakit-penyakit mazmumah yang ada dalam diri kita. Selamat beramal…J

2 comments:

Encik Macho said...

kalo diet tak makan nasi bleh tak encik ;)

Mohamad Nazrul Fazli bin Abdul Mutalib said...

Orang yang dah nak kawen memang kena diet ek...:P