Wednesday, September 14, 2011

Lafaz Ketenangan...

Salam buat semua,semoga iman dan amal bertambah sentiasa sejajar dengan penambahan ilmu.
Amma ba’d.

Ketenangan dalam bahasa Arab disebut sebagai sakinah dan jika diterjemahkan ke dalam bahasa Arab tajuk entri kali ini akan berbunyi lafaz sakinah. Nanti ramai pula teringat akan lagu daripada kumpulan Far East itu dan ada pula yang menyangka bahawa entri kali ini berkenaan baitul muslim dan segala yang bersangkutan dengannya. Kali ini saya suka kalau dapat berkongsi apa yang saya alami dan mungkin sahabat-sahabat juga alami. Pernahkah kita memohon kepada Allah agar dikurniakan perkara A namun yang terjadi kepada kita adalah perkara B? saya akui bahawa perkara ini sering terjadi dalam hidup saya. Banyak perkara yang kita harapkan dalam hidup namun yang terjadi sebaliknya.

KISAHKU

Bila saya kenang balik peristiwa-peristiwa lampau dalam hidup, banyak benda yang saya terima tidak seperti saya harapkan. Bermula daripada sekolah rendah saya berharap agar dapat keputusan 5A agar saya layak masuk ke MRSM namun takdir Allah mengurniakan saya 4A 1B sekaligus tidak melayakkan saya diterima masuk ke MRSM. Kemudian hati meronta-ronta agar tidak ke sekolah agama namun takdir Allah membawa saya ke SMKA Nibong Tebal. Semasa PMR, hati masih berharap agar tingkatan 4 dan 5 saya dihabiskan di bukan sekolah agama namun Allah membawa saya ke sebuah SBP yang hanya satu-satunya ada tertera perkataan ISLAM dalam nama sekolah. Kemudian, selepas SPM hati berharap agar dapat buat persediaan di KMB seterusnya sambung belajar di UK namun telah tertulis dalam taqdir bahawa saya harus buat persediaan di INTEC dan akan ke Amerika Syarikat. Kemudian apabila hendak memilih universiti mana harus ditujui, hati beriya-iya hendak ke Michigan State University tetapi taqdir Allah mendahului bahawa RIT adalah destinasi yang Allah janjikan buat saya.

Dan hanya sekarang, Allah yang maha bijaksana merungkai satu demi satu hikmah atas setiap taqdir ke atas diri saya. Hikmah-hikmah tersebut biarlah ia menjadi rahsia antara saya dan Allah. Apa mesej yang saya cuba sampaikan adalah, setiap perkara yang berlaku ke atas kita adalah hikmah dan rahsia yang Allah akan rungkaikan suatu masa nanti. Ketika kita menghadapi sesuatu yang bukan kita pinta bahkan kita tidak suka, kuncinya adalah REDHA dan SYUKUR.  Kalimah ALHAMDULILLAH adalah lafaz ketenangan yang saya maksudkan. Kebanyakan kita mudah mengeluh apabila kita tidak mendapat apa yang kita hajatkan.

Bila sekarang Allah telah menyingkap sedikit demi sedikit hikmah ke atas perkara yang berlaku ke dalam hidup saya dahulu, tidak ada perasaan dalam hati ini melainkan ketenangan dan kebahagiaan. Keinsafan juga menyelinap ke dalam diri ini memikirkan bahawa betapa kerdil dan terbatasnya pengetahuan kita tentang masa hadapan. Kadang-kadang terasa bahawa Allah sedang berbicara secara langsung kepada saya “wahai hambaKu, engkau tidak mengetahui apa yang Aku ketahui. Tidaklah segala rencanaKu ke atas dirimu melainkan untuk kebaikan dirimu andai engkau mengetahui”. Mengalir air mata mengenangkan bahawa keperitan-keperitan yang dahulunya menjengah dalam hidup adalah untuk kebaikan masa kini dan masa depan. Allahu Rabbi.

Point penting untuk entri kali ini, andai kita tidak dapat seperti yang kita hajatkan, jangan cepat mengeluh sebaliknya teruslah berusaha dan bersangka baik kepada Allah seperti mana dalam hadith qudsi yang biasa kita dengari:

Dari Abu Hurairah ra., ia berkata : Rasuulullah saw. bersabda : “Allah swt. berfirman : “Aku menurut sangkaan hambaKu kepadaKu, dan Aku bersamanya ketika ia mengingatiKu. Jika ia ingat kepadaKu dalam dirinya maka Aku ingat kepadanya dalam diriKu. Jika ia ingat kepadaKu dalam kelompok orang banyak maka Aku mengingatnya dalam kelompok yang lebih baik dari padanya. Jika ia mendekat kepadaKu sejengkal, maka Aku mendekat kepadanya sehasta. Jika ia datang kepadaKu dengan berjalan maka Aku datang kepadanya dengan berlari-lari kecil”. (Hadits ditakhrij oleh Ibnu Majah).

Maha suci Allah tuhan yang tidak mentaqdirkan sesuatu kepada hambaNya melainkan kebaikan.

“Ya Allah, janganlah Engkau pesongkan hati kami setelah Engkau mengurniakan petunjuk dan hidayah dan jadikanlah kami dalam kalangan hamba-hambaMu yang sentiasa bersyukur”.

lagu ini kerap kali saya ulang kerana ia sangat menyentuh qalbu.

5 comments:

El-Azwar said...

i really have to say this. your entry really move one's heart. keep doing well akh. may all be blessed :)

musafir kehidupan said...

Assalamualaikum w.b.t

Obviously, U Speak with ur heart, masyaAllah..

Bila baca entry ni, teringat kisah nabi Musa kat surah al-Kahfi..

"Kita tidak tahu, Allah tahu segala-galanya..."

Teruskan menulis. Semoga Allah redha.

~W.A.H.I.E~ said...

Post ni seakan-akan berkaitan dgn hidup seseorang juga. You did touch one's heart. Setiap kejadian ada hikmahnya. Syukur dengan ujian dan nikmat. =)

siputsedut said...

simple, short but meaningful..may Allah bless u with rahmah and may you stead fast in His path..

Mohamad Nazrul Fazli said...

thank you for all your supports..may Allah bless all of us..:)