Tuesday, December 20, 2011

Pandanglah Di Sekelilingmu...


Salam buat sahabat-sahabat yang saya kasihi kerana Allah. Hidup dalam dunia arus globalisasi memerlukan kita menyediakan diri kita dengan perisai taqwa. Taqwa bicaranya mudah tetapi mencapai darjat taqwa sangat sukar namun ia suatu yang tidak mustahil. Semoga Allah mengurniakan sifat taqwa dalam hidup kita agar segala tindak tanduk kita tidak tersasar daripada Alquran dan Assunnah.
Amma ba’d.

Berbicara mengenai taqwa, semalam dalam usrah memang kami mengupas tentang perihal taqwa. Pernah semasa zaman pemerintahan Saidina Umar Alkhattab diceritakan ada seorang perempuan bernama Khaulah binti Tsa’labah. Perempuan ini seorang yang sangat tua. Suatu ketika sedang Saidina Umar berjalan bersama para sahabat, Khaulah duduk di sisi jalan dan merenung tajam Saidina Umar. Kemudian dia menghampiri Amirul Mu’minin sambil menarik jubah Saidina Umar lalu dia berkata:

“Wahai Umar, aku kenal engkau sejak engkau lahir lagi. Kemudian engkau membesar sebagai pemuda yang gagah dalam kalangan bani tamim, engkau seorang yang sangat digeruni. Waktu muda, engkau sangat benci kepada nabi Muhammad SAW dan engkau orang yang begitu keras terhadapnya. Kemudian engkau menjadi mulia dengan sebab Islam dan Islam menjadi mulia dengan sebab engkau dan sekarang engkau dilantik menjadi Amirul Mu’minin. Hanya satu pesanan aku kepada engkau, Ittaqullah (bertaqwalah) engkau kepada Allah”

Lalu seorang sahabat berkata kepada Khaulah binti Tsa’labah ini:

“ Wahai makcik, tahukah dengan siapa makcik bercakap?”

Saidina Umar terdengar pertanyaan itu daripada sahabat itu lalu menghampiri sahabat tersebut lalu berkata:

“Sebelum engkau bertanyakan makcik ini siapa aku, aku ingin bertanyakan kepada engkau. Kenalkah engkau tentang makcik ini? Dia adalah Khaulah binti Tsa’labah yang mana setiap seruannya didengari Allah”

Saidina Umar tertunduk mengenangkan nasihat yang sangat ringkas namun mengandungi makna yang cukup mendalam diberikan oleh Khaulah. Subhanallah, bagi orang yang ikhlas mencari redha Allah akan sentiasa bertaqwa sama ada ketika beramai-ramai mahupun bersendirian.

Sebenarnya bukan perihal taqwa yang ingin saya sampaikan tetapi untuk kali ini saya ingin membicarakan mengenai kebersihan. Pernahkah kita terfikir kenapa kadang-kadang kita solat, puasa, berdoa, dan melakukan segala perintah Allah baik yang sunat mahupun wajib tetapi merasakan tiada perubahan baik dari segi peningkatan amal, akhlak dan produktiviti kita?

Saya masih ingat semasa di awal tingkatan empat dan ketika saya masih belum berpindah ke KISAS, saya sempat belajar di sekolah lama saya di Nibong Tebal selama sebulan. Dalam satu kelas iaitu kelas Bahasa Melayu ini diajar oleh seorang cikgu perempuan yang sangat tegas, kemas, berdisiplin, tersusun, dan sangat menjaga adab-adab ketika menuntut ilmu. Macam biasa, ketika beliau masuk semua pelajar akan berdiri untuk bagi salam dan baca doa. Namun sebelum beliau benarkan kami duduk semula, beliau suruh kami lihat sekeliling. Kami melihat dengan pandangan yang kosong. Lalu beliau berkata:

“Nampak tak sampah sekeliling kamu? sebelum kamu duduk, saya mahu kamu bersihkan kelas ini. Buang sampah sekeliling kamu dalam tong sampah. Ambil sampah dalam meja kamu dan buang, sapu lantai, lap tingkap, bersihkan meja guru, padam semua contengan di atas meja kamu, betulkan pakaian, tali leher dan kasut kamu.”

Bayangkan masa kelas selama sejam itu sudah diambil selama setengah jam untuk membersihkan kelas. Selepas selesai membersihkan kelas, beliau berkata:

“bila diri dan sekeliling kamu bersih, barulah rahmat Allah turun dan ilmu yang kamu dapat akan menjadi berkat dan mudah masuk. Baik, sila duduk semua”

Subhanallah, kadang-kadang kita membicarakan bab-bab besar; baitul muslim, daulah islamiyah, ustaziatul alam tetapi bab yang paling asas bagi individu muslim ini masih belum selesai. Saya tidak kata salah kalau nak membicarakan bab yang ‘berat’ ini tetapi tolong pastikan bab kebersihan dan kekemasan diri ini betul-betul kita amalkan. 

“Kita mesti menegakkan daulah Islamiyah”

“Kerajaan Sekular mesti kita tumbangkan”

Ya akhi, ya ukhti bilik kita sudah bersih dan kemaskah? Bagaimana pula dengan tandas dan dapur? Pinggan mangkuk dah berbasuh dan tersusunkah? Bagaimana susun atur perabut di ruang tamu?
 Katil Ainuddin yang sentiasa kemas

 Meja study Suhaimi yang tersusun
 Biar teratur
 Bujang tak semestinya serabut
 Dapur kami yang bersih

 Ruang tamu yang kemas

Ini belum beristeri/bersuami dan beranak pinak lagi. Ingatlah wahai sahabat, kekemasan dan kebersihan merupakan elemen atau ciri penting bagi seorang muslim. Sebab itu saya cuba kalau di luar saya akan pakai pakaian yang simple tetapi kemas kerana kita muslim ada izzah (kemuliaan) supaya dapat dicontohi dan dipandang mulia oleh masyarakat non muslim. Semoga Allah memberi taufiq dan hidayahNya kepada kita untuk beramal.
Wallahua’lam.

P/S: Housemates saya semuanya sudah berangkat ke Las Vegas sebab diorang pergi naik bas dan tinggallah saya keseorangan kat rumah ni. Insya Allah flight saya esok. Jadi mohon doa sahabat-sahabat pengunjung dan pembaca blog ini supaya doakan perjalanan kami selamat pergi dan selamat kembali..:)
 Off from Rochester for two weeks
Will be missing my home

Sunday, December 18, 2011

Asal Kita Segumpal Darah...

Salam semua, Alhamdulillah segala puji hanya layak untuk Allah jalla wa a’la, tuhan yang telah menganugerahkan segala rahmat dan kasih sayangNya kepada semua makhluk.
Amma ba’d.

Kita sering mengimpikan perkara-perkara mahal dalam kehidupan kita seperti kereta mewah, rumah banglo, makanan sedap dan pakaian yang mahal lagi berjenama tetapi kita lupa bahawa semua perkara itu adalah kesenangan yang memperdaya. Sebenarnya ada perkara yang lagi mahal jika hendak dibandingkan dengan perkara-perkara di atas; itulah iman dan islam yang ada dalam diri kita sekarang. Walaupun tanpa rumah besar, kita masih ada tempat untuk berteduh daripada hujan dan panas. Tanpa kereta mewah, kita masih mempunyai kenderaan untuk sampai ke destinasi kita. Tanpa pakaian yang mahal kita masih mampu memakai pakaian yang menutup aurat kita. Namun, tanpa iman dan Islam kita hilang panduan dan pedoman, hidup dalam kegelisahan dan tiada arah tuju. Oleh itu, peganglah Islam yang kita ada sekarang ini walaupun harganya sehingga nyawa menjadi taruhan.

Hari ini (sabtu), Alhamdulillah saya dan sahabat-sahabat di sini diberi peluang oleh Allah untuk menghadiri kuliah tafsir mingguan oleh Imam Shaqeel. Sebenarnya kuliah ini bermula dari minggu lepas dan memang kami sudah menghadirinya sejak minggu lepas lagi tetapi atas faktor masa (exam dan perkara lain) jadi saya tangguhkan dahulu cerita pasal kuliah tafsir ini. Imam Shaqeel mulakan dengan tafsir surah Al Alaq ayat satu hingga lima.

“(Wahai Muhammad!) Bacalah dengan nama Tuhanmu yang telah menciptakan (seluruh makhluk). Ia telah menciptakan manusia dan segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmulah Yang Paling Pemurah. Yang mengajar dengan pena. Ia mengajar mauusia apa yang tidak diketahuinya.” (96:1-5)

Lafaz Iqra’ dalam surah ini adalah kata perintah (fi’il amr). Di sini kita harus bezakan antara request dan command. Jika ianya request, kita ada pilihan sama ada ingin buat atau tidak tetapi apabila ianya command, kita tidak ada pilihan. Mahu atau tidak, kita mesti buat.

Saya sebenarnya tertarik dengan pengajaran di sebalik penurunan ayat ini. Pertama, ketika malaikat Jibril menurunkan ayat ini lalu menyuruh nabi membaca, lalu jawab Nabi Muhammad SAW bahawa baginda tidak tahu membaca lalu dipeluk oleh malaikat dengan kuat dan perkara ini terjadi sebanyak tiga kali. Ketika nabi dipeluk, nabi merasa gementar yang amat sangat dan kesukaran untuk bernafas. Ini menunjukkan bahawa apa yang nabi terima dan tugas nabi selepas ini amat sukar dan terbeban. Inilah tugas dakwah dan apa yang paling penting, perkara berat inilah yang Rasulullah SAW wariskan kepada kita selaku Muslim.

Ketika Rasulullah SAW pulang lalu bagnda berkata kepada Saidatina Khadijah binti Khuwailid, isteri pertama dan paling dikasihi baginda, “zammilooni” (selimutkan aku) dalam keadaan baginda berwajah pucat lesi dan gementar. Lalu Saidatina Khadijah menyelimut baginda sambil menenangkan baginda. Saidatina Khadijah juga menyuruh baginda bertemu dengan sepupunya , waraqah bin naufal, seorang ahli kitab yang sahih.Pengajaran di sini adalah, seorang isteri merupakan sumber inspirasi dan kekuatan kepada perjuangan seorang suami. Tanggungjawab seorang lelaki dalam lapangan dakwah memang berat, terutama bagi yang sudah berada dalam Jemaah. Atas sebab ini isteri sebagai sayap kiri kepada sang suami dan sumber inspirasi kepada perjuangan suami.


Kemudian Rasulullah SAW pergi berjumpa dengan waraqah bin naufal. Di sana ketahuilah baginda bahawa baginda akan dilantik menjadi Rasul kepada umat akhir zaman. Di sini, ibrah yang dapat kita ambil adalah, kita hendaklah pergi merujuk kepada orang yang tahu jika kita tidak tahu.

Subhanallah, kadang-kadang saya rasa terlalu besar nikmat Allah kepada kami warga Rochester; dikurniakan komuniti muslim yang baik, duduk dalam persekitaran kampong yang aman dan tenang, dan apa yang penting program-program islamik di sini subur. Alhamdulillah. Apapun semuanya terpulang kepada diri masing-masing untuk merebut peluang keemasan ini ataupun tidak. Tiada hujah lagi di hadapan Allah bahawa “oh, aku tak dapat hidayah lagi” sedangkan sumber-sumber hidayah terlalu banyak di sekeliling kita.
Wallahu’alam.

P/S: insya Allah lagi tiga hari saya dan sahabat-sahabat dari Rochester (39 orang) akan bertolak ke Las Vegas bagi menghadiri muktamar MISG di sana. Ada yang naik flight dan ada yang naik bas tetapi apa yang paling penting, kami semua selamat pergi dan selamat pulangn ke Rochester yang kami sayangi...:)

Sunday, December 11, 2011

Secebis Kenangan Untuk Dikongsi...

Salam buat semua, ucaplah syukur kepada Allah atas segala nikmatNya yang kita terima. Sesungguhnya itulah yang selayaknya dilakukan oleh seorang hamba.
Amma ba’d.

Hidup kita tidak selalunya indah tetapi kepayahan itulah menjadikan kehidupan kita indah. Kelmarin (Sabtu), Alhamdulillah saya dan beberapa pelajar RIT menyertai satu community service  di St. John Home di Highland Avenue, Rochester. Tempat ini dihuni oleh orang-orang tua yang kebanyakannya menghidap penyakit Alzheimer. Kami pergi ke sana pada pukul 1.30 petang. Kebetulan setiap hari sabtu memang mereka (penghuni) akan bermain satu permainan dinamakan Bingo. Ada daripada kami membawa epal sebagai buah tangan. Kami menyantuni mereka dengan bermain sekali permainan tersebut dengan mereka. Saya bukanlah hendak menceritakan tentang apa yang kami buat disitu tetapi saya lebih suka untuk berkongsi pengalaman semasa saya di sana. 

Rata-rata penghuni di situ berusia lewat 80 an dan ada yang sudah mencecah umur 104 tahun. Melihat muka mereka seorang demi seorang, ada yang ceria dengan kedatangan kami tetapi kebanyakannya kelihatan sangat sugul seolah-olah hidup ini tidak ada harapan lagi. Saya ada bertanya seorang mak cik di situ tentang keluarganya. Katanya 50 tahun dahulu dia berkahwin dengan seorang peladang dan mereka tinggal di ladang tersebut dan dikurniakan 6 orang anak. Saya bertanya kepada mak cik tersebut tentang anak-anaknya, katanya tiga masih di Rochester dan yang lain-lain ada di Colorado, Tennessee, dan ada di Massachusetts; dia   ada 14 orang cucu dan tiga orang cicit. Sejak kematian suaminya dia berpindah ke rumah orang-orang tua tersebut. Saya Cuma terfikir seorang ibu mampu memelihara kehidupan enam orang anaknya tetapi tidak ada seorang pun yang mampu memelihara ibu mereka yang seorang. Tiba-tiba datang seorang wanita tua tetapi kelihatan lebih muda daripada mak cik tadi, rupanya dia adalah anak mak cik tadi. Kehadirannya sedikit sebanyak mengubah persepsi saya; mungkin dia menghantar ke tempat tersebut kerana prasarana (facilities) lebih lengkap bagi orang-orang seperti ibunya (penghidap Alzheimer). Anaknya memang melawat mak cik tersebut setiap minggu. Memang tidak dinafikan bahawa setiap bilik di rumah tersebut seolah-olah hotel tiga bintang dilengkapi tandas, katil, tv dan sebagainya. Anak mak cik tadi ada juga bertanya asal saya, jawab saya dari Malaysia dan sungguh beruntung dia tahu tentang Malaysia (jarang warga Amerika tahu tentang Malaysia), katanya dia ada kawan di Singapura. Dia juga ada bertanyakan sama ada Malaysia terkena tsunami atau tidak semasa tahun 2004.
 di tengah itu adalah anak mak cik berbaju biru itu.

Kadang-kadang punca yang menyebabkan mereka berada di situ mungkin disebabkan kehidupan mereka semasa muda; mengamalkan gaya hidup bebas, tidak berkahwin, lari dari keluarga dan sebagainya. Apabila tua, tiada siapa yang peduli akan nasib mereka lalu menyebabkan mereka menghuni di situ. Islam datang dengan membawa syariat yang menjamin kesejahteraan hidup kita selaku manusia. Islam menyruh berkahwin bagi memelihara nasab keturunan manusia, Islam menyuruh kita mentaati dan mengenang jasa ibu bapa atas segala pengorbanan yang mereka lakukan, Islam menyuruh kita mendidik anak-anak agar patuh perintah Allah, RasulNya serta kedua ibu bapa. Kalau kita mentaati dan menghayati serta mengamalkan Islam, masa tua kita insya Allah terjamin kesejahteraannya.

“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya dan janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan.sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu.”(Al Baqarah:208)

Inilah secebis kenangan untuk dikongsi bersama para sahabat. Saya memandang ke hadapan untuk menyertai lagi community service sebegini supaya saya sedar saya adalah manusia yang beruntung.

“what are you studying honey?”

“erm.Biotechnology”

“oh.that’s too smart for me and even I can’t spell that”

Kenangan semalam mengingatkan saya kepada nenek saya di kampung yang umurnya hampir menjengah 80 tahun. Oh rindunya Malaysia.
 kenapa bayang-bayang tu nampak gemuk.:P

tatkala senja berlabuh di RIT. Subhanallah

Friday, December 9, 2011

Pembudayaan Ilmu...


Jumuah mubarakah kepada semua, semoga hidup kita sentiasa dipayungi rahmat dan kasih saying Allah.
Amma ba’d.

Jumhur ulama’ bersepakat mengatakan surah pertama yang turun adalah surah Al Alaq.

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama tuhanmu yang menciptakan” (Al Alaq:1)

Kenapa tidak pasal rukun islam atau rukun iman yang diwahyukan dahulu? Kenapa perlu membaca dahulu? Baik, banyak perkara dalam kehidupan kita memerlukan tools untuk menyampaikan hajat atau matlamat kita kepada sesuatu perkara. Sebagai contoh, untuk menyampaikan kita ke bumi US ini, kita perlukan alat atau pengangkutan yang dapat menyampaikan kita ke sini. Jadi kapal terbang dicipta bagi tujuan ini. Begitu juga dengan Islam dan seluruh isi kandungannya. Lafaz iqra’ dalam ayat ini menyatakan bahawa peri pentingnya pendidikan dalam kehidupan seharian kita untuk memahamkan diri kita tentang Islam. Membaca merupakan salah satu daripada elemen pendidikan dalam kehidupan ini. Tanpa pembacaan, mana mungkin seseorang mampu menjadi ‘seseorang’. Hari ini, kita boleh melihat seorang arkitek melakar sebuah bangunan pencakar langit. Hari ini kita mampu melihat seorang jurutera membina sebuah jambatan terpanjang di dunia. Hari ini kita melihat seorang saintis mampu menghasilkan pelbagai bahan sintetik. Mereka semua sebelum mampu menghasilkan sesuatu, mereka mengambil masa yang lama untuk mengkaji, membaca, merekacipta dan membangunkan hasil seperti mana yang boleh kita lihat sekarang.

Begitu juga dengan kita umat Islam hari ini, kita lemah kerana kurangnya membaca. Andai kita membaca sekalipun, ianya hanya sekadar bacaan tanpa menghasilkan tindakan. Islam bukanlah dogmatic kerana setiap yang ada dalam ajaran Islam adalah berasaskan dalil dan bukti. Jadi melalui pembacaan, kita dapat meningkatkan tsaqafah kita mengenai Islam. Bukan untuk kita berhujah tetapi bagi mengukuhkan pegangan kita dalam Islam dan menyampaikannya pula kepada bukan Muslim.

Pokok pangkalnya pembudayaan ilmu dalam kalangan kita umat Islam harus disuburkan semula. Lebih-lebih lagi kita yang berada dalam medan tarbiyah, perlulah persiapkan diri dengan ilmu yang secukupnya baik untuk amalan kita mahupun untuk tindakan kita. Saya menyarankan agar setiap kita membaca sebulan satu buku untuk permulaan. Buku disini bukan bermaksud buku-buku komik ataupun majalah hiburan tetapi buku-buku yang berbentuk fikrah, ilmiah dan motivasi. Sebagai contoh boleh baca Fiqh Assirah karya Sheikh Syed Ramadhan Albuti, buku Fiqh Awlawiyyat karya Dr Yusof Alqardawi, atau buku Bahtera Penyelamat karya Ustaz Fathi Yakan. Manakala buku ilmiah pula saya menyarankan buku seperti Sains dan Alquran karya Dr Zainal Abaidin dan buku-buku karya Harun yahya. Buku motivasi karya Stephen R. Covey juga adalah baik bagi membina leadership characteristics. Budaya membaca harus menjadi darah daging dalam diri setiap umat Islam agar kegemilangan lampau bukan utopia buat kita. Ayuh realisasikan kegemilangan silam. Kita mampu untuk berubah.

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah nasib mereka sendiri” (Ar Ra’d:11)

Wednesday, December 7, 2011

Di Antara Dua...

Salam buat semua, semoga sihat dan dinaungi rahmat Allah sentiasa.
Amma ba’d.

Alhamdulillah minggu lepas dan dua minggu lepas, saya telah menghadiri dua program berbeza, di tempat yang berbeza, pergi dengan cara berbeza, berjumpa dengan orang yang berbeza dan dengan sumber kewangan berbeza.

Tamrin Di Michigan

Dua minggu lepas, saya bersama beberapa pelajar RIT menghadiri tamrin yang diadakan di Michigan State University (MSU). Kami pergi ke sana dengan menyewa kereta dan sudah pasti memandu ke sana menelan masa hampir 10 jam. Keletihan memang terasa namun tatkala bertemu sahabat-sahabat yang mempunyai fikrah Islam yang sama, kegembiraan dapat diukir menggantikan keletihan badan. Walaupun pergi ke sana dengan mengeluarkan belanja sendiri, tapi itu tidak sedikit pun kami terasa beban kerana memang sunnah dalam berjuang, kita dituntut menginfaqkan sedikit harta yang Allah beri kepada kita ke jalan-Nya. Di sana, semangat agar terus thabat dalam jalan Allah ini dipulihkan semula setelah semangat ini hilang dek pelbagai tuntutan duniawi; study, kerja, assignment dan sebagainya. Bertemu dengan ikhwah-ikhwah dari Universiti di US ini merupakan satu rahmat Allah yang besar setelah terpisah beberapa ketika. Saya menginap di rumah sahabat-sahabat di MSU. Terima kasih kepada Nazrul Hisham, Adib Bakeri dan Nazrin kerana sudi menumpangkan kami di rumah kalian.

      apa yang mereka cuba lakukan?                        
                          

 Jawad dan Moja

 Go Green, Go White
Kursus Global Leadership Outreach Di Chicago

Minggu lepas saya berseorangan ke Chicago dengan menaiki flight dan ditaja sepenuhnya oleh pihak MSD Washington DC. Sebenarnya, ada seorang lagi wakil (sister) dari RIT tetapi kami pergi dengan flight berasingan. Di sini saya bertemu dengan pelajar lain yang mempunyai latar belakang  dan fikrah yang berbeza. Program ini diadakan di Holiday Inn Hotel, Itasca,Chicago. Sesampainya saya di Ohare International Airport, saya dijemput oleh Uncle Rahman. Orangnya peramah dan banyak berceloteh. Bertemu dengan orang yang berbeza fikrah, menyebabkan saya rasa jauh dari comfort zone.
 Keseorangan dalam flight
 Holiday Inn Hotel, Itasca, Chicago

Saya rasa sangat bersyukur kerana diberi peluang oleh Allah dipertemukan dengan orang yang pelbagai latar belakang; ada yang sefikrah dan ada yang berlainan fikrah. Fikrah yang saya maksudkan untuk entri ini adalah fikrah islamiah dan fikrah sekular. Fikrah sekular, bunyinya berat tetapi ini hakikat yang saya dapati ketika program di Chicago tempoh hari. Bukan sekular pada speakernya tetapi pada sebahagian peserta di kursus ini. Persoalan yang ingin saya timbulkan di sini ialah, bagaimana kita ingin berbicara dengan orang yang neracanya berbeza dengan kita. Di tamrin, neraca setiap ikhwah dan akhawat sudah pastinya Alquran dan Assunnah, namun sebahagian peserta di kursus kepimpinan tersebut walaupun Muslim tetapi mereka mempersoalkan perkara yang termaktub dalam Alquran dengan penuh provokasi. Mereka tidak secara jelas menolak Alquran tetapi melalui soalan yang diajukan, jelas ada perkara yang masih menjadi keraguan tentang beberapa perkara mengenai Islam kepada mereka. Sesuatu yang harus kita fikirkan bagaimana hendak synchronize pemikiran muslim yang sebegini dengan kita. Hendak diberi seribu satu dalil Alquran dan Assunnah kepada mereka? Selepas puas kita beri, kita hanya boleh syok sendiri padahal antara dia dengan kita masih lagi tidak sama fikrahnya. Tatkala kita menolak Sister In Islam (SIS) tetapi muslim sebegini menerima bahkan menyokong dengan mengatakan inilah NGO Muslim yang terbaik di Malaysia.Salah seorang speaker pada kursus itu adalah Ustaz Erfino Johari, pernah bertugas di MSD London. Saya sangat kagum dengan cara beliau menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh peserta Kursus baik dari muslim mahupun non-muslim. Persoalan hudud juga ditimbulkan semasa kursus ini oleh peserta non-muslim. Beliau menggunakan neraca Alquran tetapi dengan setiap ayat Alquran telah diextract. Seingat saya,tidak sepatah ayat Alquran pun keluar dari mulut beliau semasa beliau membentangkan kertas kerjanya. Ketika malam selepas habis program, saya sempat berbual dengan salah seorang peserta yang saya maksudkan sekular tadi. Tidak banyak kami bualkan tetapi sedikit sebanyak melalui latar belakangnya yang diceritakan kepada saya, ada kesimpulan yang mungkin boleh saya simpulkan (tetapi bukan disini). 

Pesanan saya kepada diri saya dan sahabat-sahabat, kita mesti mempersiapkan diri untuk bertemu dengan muslim sebegini. Setakat Alquran yang menjadi hafalan dalam diri kita tidak mencukupi untuk berhadapan dengan mereka. Apa yang lebih penting adalah pemahaman kita tentang isi kandungan Alquran secara jelas, bukan main ambil secara literal sahaja. Di antara dua pengalaman ini, seharusnya menjadikan fikiran saya lebih dinamik dan terbuka.moga-moga.
Adakalanya kita perlu bersetuju untuk berbeza.
Wallahua’lam.

Wednesday, November 30, 2011

4S...

Salam buat semua, Alhamdulillah atas segala kurniaan Allah. Marilah kita bermuhasabah akan segala nikmat-nikmat Allah kepada kita. Cuba bandingkan pula nikmat yang kita terima dan dosa yang kita lakukan. Apakah sama banyak? Saya mohon ampun daripada Allah atas segala kekhilafan yang saya lakukan. Astaghfirullahal a’zim.
Amma ba’d.

Saya mulakan entri kali ini dengan memetik ayat Al Quran daripada surah An Nur ayat 32:

Dan kahwinkanlah orang-orang yang bujang diantara kamu, dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka MISKIN Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui.” (24:32)

Memang setiap kali roadtrip topik perkahwinan ataupun bait almuslim ini tidak terlepas daripada diperbincangkan. Secara jujurnya, atas sebab ini saya suka kalau kereta yang saya pandu semuanya adalah kaum adam sahaja supaya pandangan dan pemikiran lebih luas untuk dikongsikan. Kalau naik dengan kaum hawa, mungkin tidak serancak seperti bermusafir bersama dengan orang lelaki ini untuk membincangkan topik ini. Banyak perkara yang kami bincang namun topik ini antara topik terpanas dalam kalangan orang-orang bujang walaupun cuaca di luar di bawah 5’C.

Sama ada sedar atau tidak, umur masing-masing sudah menjengah 20 an, umur yang saya kira sudah agak matang bagi memulakan langkah untuk memikirkan soal pasangan hidup. Kebiasaannya, di fatrah (fasa) ini, ramai kita mula menanamkan azam dan tekad bagi mencari pasangan yang ideal. Jadi sukalah saya untuk berkonsgi secebis pandangan tentang pemilihan bakal peneman hidup. Ia terangkum dalam 4S.

SEPADAN
Mencari pasangan yang sepadan ini bermaksud, memilih pasangan yang sesuai di pandangan kita. Maksud yang sesuai ini bolehlah dilihat dari segi kecantikan paras rupa, kebaikan hati budi serta kesopanan akhlak. Carilah pasangan yang cantik di mata kita, jangan cari yang cantik di mata orang lain.

SEKUFU
Sekufu ini pun boleh ditakrif dengan pelbagai maksud tetapi saya lebih suka untuk melihat dari segi pendidikan. Kebiasaannya, seseorang yang belajar di luar Negara akan mencari pasangan di luar Negara juga. Tidak kisah sama ada Negara tempat mereka belajar sama atau tidak. Ini penting bagi menghidupkan rumah tangga dan agar ‘bahasa’ yang akan digunakan semasa berumah tangga kelak adalah sama. Jika seseorang menggunakan ‘bahasa’ akademik, dia akan mengharapkan agar pasangannya mampu bertutur menggunakan ‘bahasa’ yang sama. Begitu juga jika seseorang itu menggunakan ‘bahasa’ agama, dia mengharapkan isterinya menggunakan ‘bahasa’ agama juga.

SEFIKRAH
Sefikrah ini bermaksud mempunyai pemikiran yang sama dalam kehidupan. Jika si suami berfikrah kuning, dia akan mengharapkan bakal isterinya juga berfikrah kuning. Jika si suami berfikrah ungu, itu juga yang diharapkannya daripada isterinya. Ini antara elemen yang dapat menguatkan perjuangan si suami serta dapat mewujudkan suasana harmonis dalam rumah tangga dakwah (bait addakwah). Si isteri menjadi penguat semangat serta sayap kiri kepada perjuangan si suami dan si suami dapat membimbing isterinya dan anak-anak kearah jalan yang diredhai Allah.

SEHATI & SEJIWA
Dalam banyak perkara, hal ini penting bagi mewujudkan kasih saying dalam keluarga. Untuk mencapai sehati dan sejiwa ini, kebiasaannya suami dan isteri berkongsi minat yang sama. Sebagai contoh, kalau si suami suka menonton iron chef (Food Channel), si isteri juga suka menonton channel yang sama. Begitu juga berkongsi hobi dan aktiviti masa lapang. Tidak terkecuali juga jika si suami minat bercerita tentang ekonomi, si isteri juga berkongsi minat yang sama. Sehati dan sejiwa ini juga elemen yang dapat melahirkan sikap tolak ansur dan toleransi sesama pasangan suami isteri apabila berumah tangga kelak.

Ramai orang selalu sangat mengimpikan seseorang yang ideal tetapi dalam masa yang sama, barangkali terlupa mungkin, tidak berusaha membentuk diri sendiri menjadi ideal mengikut acuan Al Quran dan Sunnah Nabi Muhammad SAW. Lebihnya pada mencari berbanding menjadi. Sekarang ini, apa yang perlu kita lakukan adalah melakukan turning point dalam pemikiran kita. Berusahalah untuk menjadi orang yang baik dan insya Allah pasangan kita kelak adalah daripada kalangan orang yang baik juga. Saya sudahkan entri kali ini dengan memetik ayat Al Quran daripada surah An Nur ayat 26:

Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula). Mereka (yang dituduh) itu bersih dari apa yang dituduhkan oleh mereka (yang menuduh itu). Bagi mereka ampunan dan rezeki yang mulia (syurga)” (An Nur:26)


"aku hanya ingin cinta yang halal,
di mata dunia dan di akhirat"

"aku hanya ingin cinta yang halal,
dengan dia tentu atas izin-Nya"

Tuesday, November 22, 2011

Inovasi Dalam Berusrah...

Salam buat semua sahabat-sahabat, semoga kita dapat memanfaatkan cuti ini dengan baik terutamanya kepada rakan-rakan RIT yang sedang bercuti sekarang. Rasulullah SAW bersabda “Dua perkara yang sering dilupai manusia, iaitu nikmat kesihatan dan masa lapang”.
Amma ba’d.

Cuti ini, ada yang akan ke program-program, ada yang pergi melancong, dan ada yang duduk di rumah sahaja kerana kesejukan yang melebihi paras beku. Apa sahaja yang kita lakukan biarlah ia menjumpai redha Allah. Melanconglah melihat keindahan alam, keluarlah berprogram demi menyambungkan silaturrahim, dan bila bersendirian di rumah ambillah sedikit masa berzikir ataupun mentadabbur Al Quran, moga-moga ke semua kita mendapat rahmat Allah.

Sebenarnya, saya nak berkongsi tentang usrah interaktif. Hari ini wujudnya pelbagai medium atau alat yang boleh menjadikan usrah itu tidak hambar. Kalau dengar term usrah, kebanyakan kita akan fikir ianya satu bulatan, membincangkan hal-hal keagamaan selama satu atau dua jam, bermula dengan alfatihah dan diakhiri dengan tasbih kafarah. Ini betul tetapi demi untuk menyesuaikan dengan zaman, kita harus melakukan sedikit inovasi dalam berusrah. Usrah tidak hanya harus berlaku dalam rumah, bilik atau tempat tertutup. Secara jujurnya, saya lebih suka mengadakan usrah di tempat yang terbuka seperti tepi tasik, tepi laut, dalam hutan; pendek kata yang dekat dengan nature (jiwa seorang biotechnologist). Mendekatkan diri kita dengan alam akan mendekatkan diri kita dengan Allah. Tetapi memandangkan sekarang ini musim sejuk, terpaksalah berusrah dalam rumah sahaja.Selalu juga saya  berusrah di kedai makan (Dennys dan Friendly’s).Apa yang ada dalam fikiran saya sekarang, saya nak berusrah di Grand Canyon, Arizona dan Cedar Point, Ohio.

Selain itu, medium lain seperti TV dan sebagainya merupakan salah satu bahan interaktif yang mampu menghidupkan usrah. Alhamdulillah, kadang-kadang usrah kami di sini melalui video-video di you tube, kadang-kadang menonton filem seperti sang murabbi, sang pencerah, dan  valley of the wolves (tidak terkecuali Dalam Mihrab Cinta..:))
Jadi inilah pembaharuan yang patut naqib dan naqibah perlu fikirkan. Jangan jadikan usrah itu hanya dalam bulatan di tempat yang sama setiap minggu. BOSAN.
Wallahua’lam..


My New Favorite Song.:)

Thursday, November 17, 2011

Keluarga Bahagia...

Salam buat semua, semoga kita terus berada dalam rahmat dan keampunan Allah.
Amma ba’d.

Walaupun saya berasal dari kampong namun kehidupan semasa kecil hingga ke sekolah rendah saya tidak sama dengan kawan-kawan kampong yang lain. Kawan-kawan yang lain, mereka bebas mandi sungai, bebas mandi ban (baca: tali air di kawasan sawah padi), bebas ke cyber café, dan bebas ke sana sini. Lain pulak cerita saya, saya memang dicurfew oleh emak. Kalau nak mandi sungai kena pastikan ayah ada sekali. Masa kecil dulu, timbul juga rasa tidak puas hati melihat kawan-kawan lain boleh keluar rumah sesuka hati sedangkan saya nak keluar pergi kedai pun disoal oleh emak dengan bermacam-macam soalan. Tetapi dalam diam-diam, saya mandi juga di tali air itu. Biasanya saya mandi dengan kawan-kawan sekolah rendah selepas habis kelas tambahan (sampai sekarang emak tidak tahu saya kadang-kadang mandi kat tali air itu ^_^).Ya, emak dan ayah saya mempunyai watak yang berbeza dalam mendidik. Emak saya garang tapi ayah saya seorang yang sangat tegas tetapi tidak pernah marah apatah lagi merotan kami anak-anaknya.  Seawal umur tujuh tahun lagi saya sudah diwajibkan sembahyang dan seingatnya semenjak daripada itu, saya tidak pernah lagi meninggalkan solat fardhu. Adakalanya, ketika  demam saya cuba mengelat tidak mahu sembahyang tetapi emak di tangan kanannya rotan dan tangan kirinya memegang tangan saya ke bilik air untuk ambil wudhu’. Begitu juga halnya dengan puasa. Betapa tegasnya emak saya dalam mendidik kami anak-anaknya. Kesan daripada semua ini, saya tidak mempunyai ramai kawan-kawan di kampong. Alhamdulillah saya punya ramai kawan tetapi bukan di kampong sendiri.

Bila usia semakin menginjak dewasa, barulah tersedar bahawa apa yang emak dan ayah larang dan buat untuk kami anak-anaknya memang terbaik untuk masa depan kami. Bila saya berada di usia sekarang, saya dapati sesetengah anak jiran yang dahulunya bebas (baca: tidak dikawal oleh ibu bapa)sekarang sudah jadi penagih dadah. Ada jadi penghidu gam, pencuri motosikal dan mat rempit. Saya masih ingat sewaktu di lower form, saya hanya pulang ke rumah dua minggu sekali. Kadang-kadang bila balik ke kampong dengar pelbagai cerita. Anak si fulan masuk jail, anak si fulan kena tangkap hisap dadah, anak si fulan ditangkap minum air daun ketum. Rata-rata mereka yang umur sebaya saya ketika itu sudah berhenti sekolah kerana ingin pergi ke laut (jadi nelayan). Jadi nelayan waktu itu sehari boleh dapat RM 20-30 dan nilai itu sangat besar bagi budak kampong.

Tetapi pada hari ini (sebelum berangkat ke US dulu), kadang-kadang ada juga saya jumpa mereka yang sebaya di masjid.

“baguih la hang. Belajaq tinggi-tinggi,nanti balik tak kalut dah. Jangan jadi macam kami, dulu malas belajaq, la dok kerja kampong ja. time ada duit ada la.” kata mereka.

“Alhamdulillah, tak pa aih, rezeqi Allah ada ja kat mana-mana. Kat kampong kita pun banyak benda boleh buat.Cuma mau dengan tak mau ja” kata saya cuba memujuk.

Pada entri kali ini saya suka untuk bercakap mengenai masalah sosial yang melanda anak-anak muda khususnya di Negara kita. Kesannya bolehla sahabat-sahabat baca di link-link di bawah.


Sebenarnya, ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam memastikan setiap anak membesar dengan didikan yang baik sama ada didikan agama mahupun akademik. Kadang-kadang saya melihat bukannya orang lain tetapi kenalan saya sendiri yang ibu mereka tidak endahkan soal didikan kepada mereka. Ibu bapa mereka langsung tidak ambil peduli sama ada mereka sembahyang atau tidak, pergi sekolah atau tidak. Apa yang penting bagi mereka adalah memberi duit kepada anak-anak mereka. Namun, saya tidak boleh komen lebih-lebih sebab saya tidak berada di posisi bapa lagi.

Saya suka lagi untuk bercakap soal peranan kita selaku anak-anak. Semakin kita menginjak dewasa tidakkah kita pernah terfikir matlamat dan tujuan hidup kita sebenarnya? Pernahkah kita persoalkan siapa diri kita sebenarnya? Tidakkah kita pernah terkenang jasa ibu bapa kita sewaktu kita kecil, tak mampu berjalan dan tak mampu menguruskan semua perkara dengan sendiri? Ingatlah tatkala Allah berfirman:

Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada dua orang ibu bapanya, ibunya yang mengandungnya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah (pula). Mengandungnya sampai menyusukannya adalah tiga puluh bulan, sehingga apabila dia telah dewasa dan umurnya sampai empat puluh tahun ia berdoa: "Ya Tuhanku, tunjukilah aku untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku dapat berbuat amal yang soleh yang Engkau redhai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri." (Al Ahqaaf:15)

Kalau kita kenang dan ingat jasa kedua ibu bapa kita, kita tidak akan melibatkan diri dengan gejala sosial seperti budaya rempit, penagihan dadah, arak dan sebagainya. Sewaktu mengandungkan kita, selama Sembilan bulan emak mengusung kita ke hulu dan ke hilir, makanan banyak kena pantang, aktiviti seharian banyak yang terbatas dan sentiasa dalam keadaan lemah. Semasa melahirkan kita pula, nyawa emak pula bagaikan di hujung tanduk dek sakitnya ingin melahirkan kita. Kemudian selepas melahirkan kita, emak terpaksa berpantang selama 40 hari lebih. Selepas itu dalam tempoh dua tahun emak terpaksa menyusukan kita dan menjaga kita siang dan malam, bimbang kalau ada nyamuk atau serangga kecil menggigit kita. Kadang-kadang kita menangis di tengah malam, emak dan ayah bangun silih berganti. Kemudian ayah bersusah payah siang dan malam mencari nafkah untuk mebesarkan kita. Ayah berusaha yang terbaik demi melihat anaknya membesar sebagai seorang insan.

Namun, apa balasan yang mereka dapat? Ada sesetengah ayah terpaksa menanggung malu apabila jiran tetangga heboh menceritakan tentang perilaku anak mereka.

“semalam anak Pak Mail kena tangkap sebab pecah masuk rumah Meon”

“Anak Mak Leha yang perempuan tu semalam kena tangkap basah kat rumah sendiri. Waktu tu Mak Leha tak de kat rumah”

Setelah pengorbanan demi pengorban emak dan ayah lakukan, kita menconteng arang pula ke muka mereka. Saya tidak tahu bagaimana peritnya seorang ibu ketika melahirkan anak tetapi luangkan masa kita sebentar untuk melihat bagaimana peritnya seorang ibu ketika mengandung. Video ini dikongsikan oleh seorang sahabat di FB yang belajar dalam bidang perubatan di India. Tidaklah tujuan saya kongsikan video ini melainkan supaya kita bermuhasabah bagaimana peritnya seorang ibu ketika melahirkan anak.


Cukuplah video ini menggambarkan betapa peritnya keadaan emak kita ketika melahirkan kita. Selepas menonton video ini, dua perkara timbul di minda saya. Pertama, saya mesti menjadi anak soleh yang dapat berbakti kepada emak dan ayah saya serta menjadi contoh buat adik-adik saya. Kedua, di masa depan kelak, saya akan mendidik anak-anak saya dengan didikan yang baik supaya mereka tidak menderhakai ummi mereka.

Kepada sahabat-sahabat, saya berpesan kepada diri saya dan kalian semua agar jadilah anak yang soleh dan solehah. Doakanlah kesejahteraan ibu bapa kita serta janganlah sesekali mengecilkan hati mereka. Binalah keluarga bahagia yang dalamnya ada rahmat Rabbul Izzati.
Wallahua’lam.

Sekadar bacaan tambahan klik di sini. (Bila Usia Menjelang Empat Puluh oleh Dr Asri)