Friday, December 9, 2011

Pembudayaan Ilmu...


Jumuah mubarakah kepada semua, semoga hidup kita sentiasa dipayungi rahmat dan kasih saying Allah.
Amma ba’d.

Jumhur ulama’ bersepakat mengatakan surah pertama yang turun adalah surah Al Alaq.

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama tuhanmu yang menciptakan” (Al Alaq:1)

Kenapa tidak pasal rukun islam atau rukun iman yang diwahyukan dahulu? Kenapa perlu membaca dahulu? Baik, banyak perkara dalam kehidupan kita memerlukan tools untuk menyampaikan hajat atau matlamat kita kepada sesuatu perkara. Sebagai contoh, untuk menyampaikan kita ke bumi US ini, kita perlukan alat atau pengangkutan yang dapat menyampaikan kita ke sini. Jadi kapal terbang dicipta bagi tujuan ini. Begitu juga dengan Islam dan seluruh isi kandungannya. Lafaz iqra’ dalam ayat ini menyatakan bahawa peri pentingnya pendidikan dalam kehidupan seharian kita untuk memahamkan diri kita tentang Islam. Membaca merupakan salah satu daripada elemen pendidikan dalam kehidupan ini. Tanpa pembacaan, mana mungkin seseorang mampu menjadi ‘seseorang’. Hari ini, kita boleh melihat seorang arkitek melakar sebuah bangunan pencakar langit. Hari ini kita mampu melihat seorang jurutera membina sebuah jambatan terpanjang di dunia. Hari ini kita melihat seorang saintis mampu menghasilkan pelbagai bahan sintetik. Mereka semua sebelum mampu menghasilkan sesuatu, mereka mengambil masa yang lama untuk mengkaji, membaca, merekacipta dan membangunkan hasil seperti mana yang boleh kita lihat sekarang.

Begitu juga dengan kita umat Islam hari ini, kita lemah kerana kurangnya membaca. Andai kita membaca sekalipun, ianya hanya sekadar bacaan tanpa menghasilkan tindakan. Islam bukanlah dogmatic kerana setiap yang ada dalam ajaran Islam adalah berasaskan dalil dan bukti. Jadi melalui pembacaan, kita dapat meningkatkan tsaqafah kita mengenai Islam. Bukan untuk kita berhujah tetapi bagi mengukuhkan pegangan kita dalam Islam dan menyampaikannya pula kepada bukan Muslim.

Pokok pangkalnya pembudayaan ilmu dalam kalangan kita umat Islam harus disuburkan semula. Lebih-lebih lagi kita yang berada dalam medan tarbiyah, perlulah persiapkan diri dengan ilmu yang secukupnya baik untuk amalan kita mahupun untuk tindakan kita. Saya menyarankan agar setiap kita membaca sebulan satu buku untuk permulaan. Buku disini bukan bermaksud buku-buku komik ataupun majalah hiburan tetapi buku-buku yang berbentuk fikrah, ilmiah dan motivasi. Sebagai contoh boleh baca Fiqh Assirah karya Sheikh Syed Ramadhan Albuti, buku Fiqh Awlawiyyat karya Dr Yusof Alqardawi, atau buku Bahtera Penyelamat karya Ustaz Fathi Yakan. Manakala buku ilmiah pula saya menyarankan buku seperti Sains dan Alquran karya Dr Zainal Abaidin dan buku-buku karya Harun yahya. Buku motivasi karya Stephen R. Covey juga adalah baik bagi membina leadership characteristics. Budaya membaca harus menjadi darah daging dalam diri setiap umat Islam agar kegemilangan lampau bukan utopia buat kita. Ayuh realisasikan kegemilangan silam. Kita mampu untuk berubah.

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah nasib mereka sendiri” (Ar Ra’d:11)

No comments: