Thursday, August 12, 2010

SaraNan Buat baKal pERanTau....

Salam buat semua,mudah-mudahan kita mendapat kerahmatan, keampunan serta pelepasan dari api neraka sempena di bulan Ramadhan yang mulia ini.
Amma ba’d.

Alhamdulillah pada 7/8/2010 yang lepas, kumpulan pertama penerbangan pelajar Malaysia ke Amerika bagi tahun 2010 telah selamat berlepas ke destinasi masing-masing di Amerika. Ada yang ke Iowa State University, Penn State University, University Park dan University of Arizona. Mereka semua khabarnya telah selamat sampai setelah hampir 40 jam menempuh perjalanan udara serta beberapa transit.

Di kesempatan ini saya ingin menyarankan kepada rakan-rakan yang bakal berlepas selepas ini untuk membeli buku bagi menghilangkan kebosanan ketika di atas kapal terbang nanti. Ada empat atau lima buah buku telah saya beli bagi tujuan tersebut. Antaranya buku  The 7 Habits of Highly Effective People (Stephen R Covey), Rindu Bau Pohon Tin dan Bercinta Sampai ke Syurga (Ustaz Hasrizal bin Abdul Jamil), The Perfect Man (Sheila O’Flanagan, novel), Fikah Luar Negara (Ustaz Maszlee Malik) serta beberapa buah buku lagi.

Di sini saya ingin menyarankan dua buah buku yang sangat wajar dibeli, Rindu Bau Pohon Tin dan Bercinta Sampai Ke Syurga karya Ustaz Hasrizal Abdul Jamil (saifulislam.com). Bagi pelajar yang akan ke luar negara, buku ini sangat sesuai untuk dijadikan panduan memandangkan Ustaz Hasrizal juga merupakan bekas anak perantauan di bumi Jordan dan UK. Saya akui, bahawa buku Fikah Luar Negara karya Ustaz Maszlee Malik juga penting memandangkan kita akan keluar dari “comfort zone” kita. Sebagai contoh di negara kita, di semua tandas kita akan menemui paip air namun di sesetengah negara tandas mereka kering dan mereka hanya menggunakan tisu untuk beristinjak. Jadi kita perlu sesuaikan dengan keadaan yang baru ini secepat mungkin.

Berbalik kepada buku saranan saya ini, ia lebih banyak perkongsian dan perbincangan ustaz Hasrizal tentang mua’malat kita sesama rakan-rakan senegara, komuniti setempat serta rakan-rakan yang datang dari negara asing lain juga. Dalam buku ini juga, banyak input-input  yang dapat membuka minda kita terhadap sesuatu isu apabila berada di luar negara kelak. Secara peribadi, saya mendapati banyak pandangan saya sama dengan Ustaz Hasrizal. Mungkin kerana kami pernah mendapat tarbiah dari sekolah agama, maka banyak pendapat kami boleh dikatakan sama. Tidak pasti pula saya jika faktor pihak penajaan yang sama telah menyebabkan banyak persamaan pendapat antara saya dan beliau. Ustaz Hasrizal merupakan pelajar kumpulan pertama tajaan JPA ke Jordan dalam bidang syariah.
Pelajar INTEC bersama Ustaz Hasrizal pada 18/6/2010
dalam program Fly High 2010

Sebelum membaca buku ini, saya berpendapat bahawa lambakan pelajar Malaysia di Timur Tengah sedikit sebanyak telah merendahkan kualiti ilmu di tempat tersebut. Hal ini kerana, sesetengah ibu bapa menghantar anak mereka belajar bidang agama di sana dengan duit poket sendiri setelah mendapati anaknya tidak cemerlang dalam bidang akademik. Seolah-olah jika anak mereka tidak pandai, maka bidang agama adalah “talian hayat” atau pilihan terakhir untuk mencerahkan masa hadapan anak-anak mereka.Ustaz hasrizal telah “mengiyakan” pendapat saya dalam buku Rindu Bau Pohon Tin. Hal ini terjadi apabila beliau berada di tahun kedua di Jordan apabila layanan orang Jordan sebelum ini sangat baik terhadap rakyat Malaysia bertukar menjadi dingin sedikit disebabkan kemasukan pelajar-pelajar Malaysia ke sana bukan atas dasar ingin belajar tetapi kerana suruhan ibu bapa. Jadi memang berbeza orang yang pergi ke sana atas dasar ingin mendalami ilmu dengan orang yang pergi kerana “mak suruh”. Iltizam dan kesungguhan mereka sangat berbeza.

Pendapat lain dalam buku Bercinta Sampai Ke Syurga adalah dalam institusi rumah tangga sekarang. Ada suara-suara mengkritik beliau mengatakan dalam banyak-banyak isu, kenapa isu cinta dan rumah tangga menjadi pilihan dalam kebanyakan artikel beliau. Saya sememangnya bimbang dengan kes-kes keruntuhan institusi rumah tangga yang semakin meruncing di negara kita terutama membabitkan orang melayu Islam. Ia sangat menyedihkan dan dikhuatiri masyarakat non-muslim akan mendapat persepsi negatif dengan mengatakan Islam adalah punca keruntuhan rumah tangga ini. Atas sebab ini jugalah beliau menulis buku ini bagi menyatakan kebimbangan dan punca-punca berlakunya kes-kes sebegini. Ustaz Hasrizal juga telah banyak menghuraikan langkah-langkah yang perlu diambil bagi menangani krisis sebegini.

Pendapat lain yang sama dengan saya adalah mengenai hala tuju politik negara dan beberapa isu lain mengenai siasah. Cukuplah bagi saya menyatakan dua persamaan di sini dan sesungguhnya tidak rugi membeli kedua-dua buku ini. Mudah-mudahan buku ini dapat menjadikan panduan bermua’malat dan menguruskan persepsi ketika berada di luar negara kelak.

Akhir kalam, semoga kita semua menghampiri tahap taqwa dalam dalam bulan yang penuh rahmat ini.
Wallahua’lam...
P/S: Sedang menunggu panggilan akhir penerbangan ke Los Angeles pada 25/8/2010 ini.

No comments: