Sunday, August 15, 2010

LeBai dan sOngkOk...

Salam ramadhan buat semua muslimin dan muslimat, semoga kita terus meningkatkan amal ibadah dalam bulan yang mulia ini.
amma ba’d.


Semakin hari kita mendapati bahawa gejala pembuangan bayi, rasuah, seks bebas dan pecah amanah semakin menjadi-jadi di negara kita. Gejala ini merebak bagaikan barah tahap keempat; seolah-olah tidak boleh dikawal lagi. Apakah tidak ada penyelesaian dalam hal ini? Apakah manusia tidak tahu bahawa api neraka itu sangat panas? Bagi menjawab persoalan-persoalan ini kita harus tahu apa punca sebenar yang membawa kepada pemasalahan di atas.

Presenting Problem  VS  Real Problem
Gejala-gejala yang saya sebutkan di atas adalah presenting problem ataupun pemasalahan yang zahir (baca: pemasalahan yang wujud disebabkan sesuatu perkara). Semua gejala tersebut berlaku disebabkan adanya real problem ataupun pemasalahan pokok. Kebanyakan masyarakat hari ini, tidak kenal lagi halal dan haram. Apa yang penting bagi dirinya adalah wang, harta, pangkat, dan projek. Pemasalahan pokok bagi semua gejala yang negatif ini adalah disebabkan masyarakat hari ini menjauhkan (baca:dijauhkan) diri daripada al quran dan as sunnah.

Rasulullah SAW bersabda: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak akan sesat selama mana kamu mengikutinya. Al quran dan sunnahku.” (Bukhari)
Segala suruhan Allah dalam al quran tidak dihiraukan lagi. Semua sunnah nabi tidak lagi diamalkan. Apabila dua panduan ini ditinggalkan atau diamalkan secara separuh-separuh, maka kepincangan dalam masyarakat berlaku tanpa dapat dibendung. Manusia hidup tidak lagi bertuhankan Allah tetapi mereka menyembah nafsu ammarah yang senantiasa menghasut kearah kejahatan. Persoalan sembahyang pada hari ini tidak lagi dititik beratkan, puasa tidak lagi ditunaikan, zakat dianggap membebankan, dan haji dianggap menyusahkan. Lupakah kita bahawa semua yang kita ada adalah pinjaman yang akan dipersoalkan di yaumul hashr

Firman Allah dalam al quran : “sesungguhnya solat itu dapat mencegah kamu daripda perbuatan keji dan mungkar” (29:45).
Kerana tidak bersolat, kita dapat melihat hari ini masyarakat melakukan dosa dan maksiat secara terang-terangan. Pemimpin terpalit dengan rasuahnya, orang kaya sentiasa menindas yang miskin, para ulama’ bagaikan syaitan bisu dan orang miskin pula tidak sudah-sudah merungut akan nasib diri. Apakah sudah tidak ada ruang untuk mengubah keadaan ini?

Politik Kepartian
“Eh mat, hari ni kenduri rumah Seman kat Taman Batu Dua. Dia panggil kita semua pergi makan kenduri”

“Kau je lah yang pergi Mail. Kau tau kan aku ni berdarah ‘biru’. Tak nak lah aku pergi rumah orang berdarah ‘hijau’. Diorang ni cakap je lebih,buatnya tidak pun.”

Begitulah situasi keadaan sesetengah daripada kita. Jika kenduri orang BN, orang PAS tidak pergi dan jika kenduri orang PAS, orang BN tidak pergi. Inilah politik sempit yang diamalkan oleh masyarakat hari ini. Kadang-kadang perkara-perkara remeh pun hendak dipolitikkan.

“Tiang elektrik kat hujung kampong kita tumbang semalam”
“Ni mesti kerja ‘puak-puak’ tu semalam. Diorang pasang kat tiang tu banyak sangat bendera dan banner”

Boleh tak jika dalam hal-hal kemasyarakatan kita mengenepikan perbezaan fahaman politik? Disebalik perbezaan marilah kita mencari titik persamaan. Orang memakai lebai dilabel PAS manakala orang memakai songkok dilabel sebagai UMNO. Kenapa perlu mempolitikkan pemakaian songkok atau lebai?Bukankah orang islam dalam PAS dan UMNO adalah bersaudara. Rasulullah SAW bersabda “setiap muslim itu bersaudara. Tidak boleh menzaliminya, tidak boleh membiarkannya, tidak boleh mengkhianatinya dan tidak boleh mendustainya. Taqwa disini (Rasulullah SAW mengisyaratkan di dadanya).(Muslim)

Marilah kita semua tinggalkan fahaman politik sempit (politik kepartian) yang menuju ke jurang binasa. Politik yang baik adalah, kita duduk berbincang bagaimana harus kita majukan ekonomi ummah dan negara, siapa yang harus memimpin negara kita, bagaimana ingin mendaulatkan perundangan Islam dan bagaimana ingin kita mencapai perpaduan antara kaum. Perkara ini yang sepatutnya menjadi titik persamaan dalam kita ingin menuju kea rah negara maju.

Ultra Melayu
Terdapat hari ini segelintir orang melayu sangat pantang dicabar hak dan ketuanan Melayu tetapi apabila Islam dicabar semuanya menikus. Saya amat terkilan dengan kelulusan lesen perjudian yang dibuat oleh seorang pemimpin melayu. Bukankah dalam Perlembagaan Malaysia perkara 160, Melayu itu adalah I) menganut agama Islam II) bercakap bahasa melayu III) mengamalkan adat dan budaya melayu. Di mana Islam disisi orang yang membenarkan lessen judi? Adakah masih di dalam hati atau sebaliknya. Nauzubillah.. Kadang-kadang semangat kemelayuan melebihi semangat Islam lalu halal haram tidak lagi diambil kira. Kalau ia menguntungkan orang melayu, ketepikan perkara halal dan haram. Mari kita renungi sebuah lagi hadis Rasulullah SAW
Bukan daripada golongan kami sesiapa yang menyeru kepada Asabiyah, dan bukan daripada golongan kami sesiapa yang berjuang di atas panji Asabiyah, dan bukan daripada golongan kami sesiapa yang mati di atas Asabiyah” (Sunan Abu Dawud)

“Barangsiapa yang berjuang di bawah panji-panji emosi, menjadi marah kerana sikap berat sebelah (’asabiyah), atau menyeru ke arah ‘asabiyah, atau mendukungnya dan kemudian meninggal, maka dia mati dalam keadaan jahiliyyah.” (Sahih Muslim)

Rasullulah SAW tidak mengaku umat bagi orang yang mendukung fahaman assabiyah dan matinya dalah sama dengan orang jahiliyah. Neraka tersedia bagi orang yang memegang selain dari tali-tali Allah.

Tajdid
Oleh itu, sudah tiba masanya kita melakukan tajdid (pembaharuan) dalam diri kita. Selaku masyarakat yang celik ilmu, marilah kita mengambil semula al quran dan as sunnah yang ditinggalkan setelah kita melihat kebobrokan yang berlaku akibat panduan yang mulia ini ditinggalkan. Hiduplah di atas landasan tauhid dan iman serta tingglkanlah segala kemungkaran dan kefasikan hidup. Semoga ramadhan tahun 1431 hijrah menjadi pemangkin (catalyzer) dalam kita melakukan anjakan paradigma.
Wallahua’lam…

2 comments:

sKiRafaRgEek said...

salam..
kdang2 surau pun jadi isu politik..hurmmm..nice artikel kawan..masyarakat harus pandai bezakan Melayu dan Islam..

Mohamad Nazrul Fazli bin Abdul Mutalib said...

ada satu buku karya Muhammad Rashidi Abdullah (Travelog Syahadah).Buku ini menguraikan pemasalahan orang melayu yang dilema antara melayu dan islam..mudah-mudahan terbuka la sikit minda orang yang masih ultra melayu ni..