Salam buat semua muslimin dan muslimat, semoga kita semua dirahmati Allah sehingga ke akhir hayat.
Amma ba’d.
Hari ini, terdetik di hati saya untuk membeli akhbar metro. Sebelum ini, hanya berita harian yang dibeli selain akhbar alternatif tetapi akhbar metro pada 23/8/2010 ini betul-betul menyentap jantung saya. Headline pada hari ini adalah “Gadis Sunti Bermukah”. Bayangkan gadis yang masih mentah berumur 12 tahun sudah berani bermukah dengan dua lelaki yang seorang berumur 20 tahun dan seorang lagi berumur 23 tahun. Ia lebih mengejutkan kerana ia berlaku di bulan ramadhan dan semasa waktu persekolahan. Kejadian ini berlaku di Kulim, Kedah (klik di sini untuk berita penuh).
Apabila membaca berita ini, pelbagai persoalan timbul di benak fikiran saya. Apakah dia tidak ke sekolah? Di mana ibu bapanya ketika masa kejadian? Apakah penyebab dia begitu berani melakukan perbuatan terkutuk itu di bulan Ramadhan yang mulia ini? Tidakkah dia memikirkan masa depannya?
Perkara ini berlaku di Kulim; sebuah bandar teknologi tinggi dan bangunan di pekan Kulim tidaklah sekompleks dan sehebat bangunan-bangunan di kota metropolitan Kuala Lumpur. Timbul lagi persoalan, jika di Kulim perkara sebegini boleh berlaku, apakah jaminan perkara ini tidak berlaku di Bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Georgetown, dan Johor Bahru?
Membaca berita ini menyebabkan saya bimbang dan gusar apabila memikirkan 15 ke 20 tahun akan datang. Insha Allah, pada masa itu saya juga bakal mempunyai anak-anak yang berumur dalam linkungan belasan tahun. Hati jahat saya mengatakan, gadis ini tidak dididik dengan didikan agama yang sempurna. Namun hakikatnya, hanya Allah yang tahu.
Berita ini sepatutnya membuka minda kita agar dilakukan sesuatu kepada sistem pendidikan di negara kita. Saya sendiri tidak pasti bagaimana kita harus meminda sistem pendidikan yang sedia ada tetapi saya yakin bahawa sistem pendidikan kita mempunyai kekurangan. Hari ini, kita terlalu menjadi examination oriented. Kesannya, ramai ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke pusat-pusat tuisyen dan memaksa anak mereka untuk belajar supaya mendapat bilangan A yang maksimum. Ibu bapa harus sedar, perbuatan ini menyebabkan anak-anak memberontak dan tanpa mereka sedar, anak-anak akan melakukan sesuatu di luar jangkaan seperti yang dilakukan gadis ini.
Selain itu, pendidikan Islam yang diajar di sekolah-sekolah tidak menyeluruh. Hanya sebahagian tertentu sahaja yang diajar sedangkan perbincangan dalam Islam mencakupi seluruh kehidupan. Saya juga tidak nampak usaha-usaha yang bersungguh dalam menimbulkan pembudayaan ilmu di negara kita. Kita boleh dapati di stesen –stesen bas, kreta api, teksi dan sebagainya masyarakat menunggu kaku tanpa buku di tangan. Kalau ada pun, ianya novel picisan, majalah hiburan yang melalaikan dan komik yang langsung tidak membentuk budaya berfikir. Sudah tiba masanya kita melakukan sesuatu memandangkan kes-kes seksual di kalangan remaja seawal 12 tahun sudah berleluasa.
Dalam setiap kali solat, saya sentiasa memohon kepada Allah agar mengurniakan isteri yang solehah yang dapat bersama-sama saya di masa hadapan agar dapat mendidik anak-anak saya menjadi insan soleh solehah.
Rabbana hablana min azwajina wa zurriyatuna min qurrata a'yun waja'lna lil muttaqina imaama.
No comments:
Post a Comment